BEBERAPA hari berlalu dan aku rasa perjalanan hidup aku di sini agak lancar sahaja. Ada sekali aku dapat panggilan dari Aunty Jah. Aku buat laporan yang semuanya dalam keadaan yang baik. Aku juga telefon Papa selang sehari untuk buat laporan kepadanya. Sebelah pagi cleaners akan datang dan seorang cleaner akan masuk bilik Han untuk mengemas dan mencuci bilik air. Jururawat lelaki yang bernama Ashraf akan membantu menguruskan Han seharian. Dia datang jam sembilan pagi dan balik selepas Asar. Lapan jam sehari. Entah berapa Uncle Mi bayar untuk penjagaan daripada jururawat peribadi. Aku tahu dia bantu Han untuk ke tandas, cuci luka, buat fisio ntah apa. Aku rasa lega juga ada Ashraf sebab aku tengok Han semakin hari semakin terurus. Sesekali aku berbual dengan Ashraf bertanyakan itu dan ini. Mujur kakak aku seorang doktor. Jadi senang aku nak faham bila Ashraf buka mulut. Usia kami pun hampir sebaya. Memang senang nak masuk berbual.
Suatu hari, Pak Mus berjumpa dengan aku awal pagi menyatakan yang ada kematian dan kedai anak saudaranya juga tidak beroperasi. Makanya tiada bekalan makan untuk tengahari dan malam pada hari ini. Aku kata tiada masalah sebab memang ada stok makanan di rumah ini. Memandangkan aku tidak cekap sangat bab-bab memasak, tidak seperti kakak sulungku, aku buat bubur nasi untuk makan tengahari sekaligus makan malam. Apatah lagi bubur nasi sesuai sangat untuk seorang pesakit seperti Han.
Melihatkan bubur nasi yang tidak habis dimakan oleh Han tengahari tadi, untuk makan malam pula, aku goreng ikan bilis dan bawang putih untuk dimakan bersama-sama dengan bubur nasi.
“Kau bawa bubur nasi lagi ke? Aku ingat kau makan sorang sajalah bubur kau tu. Aku tengok bubur kau pun aku tak selera. Silap-silap kucing sebelah rumah kami ni pun tak ingin nak makan bubur nasi kau tu. Tak payahlah.”
Aku berdiri terpacak di tepi pintu sambil memegang dulang. Sentap! Kecil hatiku mendengar yang bubur nasi aku ini tidak mendapat pujian seperti yang aku harapkan.
“Kau ni bengap ke apa? Aku kata aku tak mau makan bubur kau tu. Kau bawakan aku roti atau biskut dengan milo panas. Aku ingat nak makan yang itu saja.”
Aku masih terpacak lagi. Kedua-dua lengan masih terasa percikan minyak panas ketika aku menumis bawang dan ikan bilis tadi. Susah payah aku masak bubur ini dengan hati yang ikhlas. Ini tidak. Sehinggakan dia kata kucing sebelah rumah pun tidak selera dengan bubur nasi yang aku masak ini. Kalau ikutkan hati, aku hempuk mangkuk berisi bubur ini di kepalanya. Kalau ikut daya imaginasi ku yang kedua, aku sumbat bubur nasi ini ke mulutnya. Sebentar tadi aku selesai menjamah semangkuk bubur. Ok sahaja. Tidaklah teruk mana. Sedap pulak tu sebab aku campurkan dengan hirisan daging.
“Betul tak mahu bubur ni?” aku menyoal sekali lagi. Mungkin ada nada kecewa di situ. Maklumlah, aku cuba beri yang terbaik tetapi ditolak mentah-mentah.
“Aku tak mahu. Kau bawakan aku roti sahaja. Cepat sikit. Aku dah lapar ni.”
Aku beredar dari situ sambil menatap bubur yang kubuat itu. Entah kenapa aku rasa sebak sahaja. Mungkinkah aku terasa dengan Han hanya kerana semangkuk bubur nasi? Inilah kali pertama aku masak untuk seorang lelaki, tetapi nampaknya bukan penghargaan yang aku dapat. Untuk Nizam pun aku tak pernah masak. Memanglah masakanku tidak sehebat mana, tetapi aku masak dengan sepenuh hatiku. Mulai hari ini, aku berniat di dalam hati bahawa aku tidak akan masak lagi untuk seorang lelaki kecuali Papa dan adikku Mika.
Aku masukkan bubur itu ke dalam bekas plastik. Pagi esok, bubur ini akan jadi sarapan pagiku. Buat apa hendak membazir. Bagi diriku, bubur ini lebih sedap daripada bubur yang dijual di restoran McDonald ataupun KFC.
KETIKA aku sedang duduk bersendirian di ruang rehat aku dengar Han memanggil-manggil namaku dari biliknya. Aku terus ke sana dengan segera. Aku lihat dia sedang cuba untuk bangun dari katil.
“Awak nak ke tandas ke?”
“Kalau ke tandas aku tak ada hal. Aku nak kau tolong bawa aku keluar. Aku bosan duduk seorang diri di dalam bilik ni.”
“Pak Mus tak ada. Awak duduklah saja dalam bilik”
“Kau takut duduk dua dengan aku ye? Kalau aku keluar pun bukan aku boleh buat apa-apa.”
Kadang-kadang aku memang pantang dicabar. Aku terus menghampirinya dan mendapatkan kerusi roda. Selebihnya, dia pandai naik sendiri. Aku standby kalau-kalau dia tersalah langkah.
“Nak saya tolak ke mana?” soalku.
“Kau tolak aku ke tempat TV. Aku nak layan movie malam ni.”
Aku jeling dia semacam. “Dalam bilik kan ada TV.”
“Apsal? Aku tak boleh tengok di luar ke? Aku ada ganggu program kau ke?”
“Tak pe…tak pe..kalau awak nak tengok TV, tengoklah.”
Sampai di ruang rehat, aku kena perli sebab menonton sinetron Indonesia.
“Cerita mengarut macam ni pun kau nak tonton ke?”
“Saya tak tengok pun cerita ni. Tadi saya main tekan-tekan rancangan, lepas tu saya dengar awak panggil saya. Terus saya pergi.”
“Memang alasan nak cover line,” katanya. Dia cuba untuk berubah tempat dari kerusi roda ke sofa di situ. Aku tahu dia sedang menanti bantuan daripadaku. Mahu atau tidak aku pinjamkan kedua-dua tanganku untuk membantunya. Dia duduk di sofa sementara aku masih tidak puas hati bila dikatakan suka menonton rancangan Indonesia.
“Saya memang tak tengok sangat rancangan di TV. Saya lebih suka melayan Internet atau dengar lagu saja. Err…by the way, rumah ni ada wifi kan? Kalau ada. Errr…saya boleh tumpang ke?”
“Kalau kau pergi ambil komputer riba kau tu, aku masukkan password.”
“Betul!??” soalku. Bukan main suka aku bila dapat tahu aku boleh layan Internet. Tidaklah aku bosan nanti. Bila Han angguk banyak kali, aku terus tidak buang masa. Aku lari naik ke bilik untuk mengambil beg komputer riba yang sentiasa ada di tepi meja di sebelah katil. Sepantas kilat aku berlari turun ke bawah.
“Nah,” aku serahkan komputer riba yang Kak Suri belikan kepadaku beberapa tahun yang lalu. Walaupun komputer itu sebenarnya dimamah usia, penjagaan yang berterusan aku amalkan sehingga ia nampak masih baru lagi.
“Apa password kau?” soal Han setelah dia menghidupkan komputer riba itu.
“Bak sini,” aku ambil semula darinya. Aku masukkan kata laluan yang aku letakkan dari dulu lagi. Nama Tok Mi aku yang ditaip dengan kata kunci tertentu. J@m1lah. Kemudian aku serahkan kembali kepada Han. Aku lihat dia sedang memasukkan kata laluan dan membuka paparan laman web. Han serahkan kepadaku. Aku mula melayan Internet sambil Han melayan televisyen. Sukan adalah pilihan rancangannya.
“Laju juga Internet di sini,” kataku seorang diri kerana tiada sebarang balasan daripada Han. Dia asyik menonton. Aku ambil mini fon telinga dan untuk mendengar lagu dari koleksi kegemaranku. Layan lagu semasa melayari aplikasi media sosial agak menarik juga. Aku bukannya ada ramai kawan pun. Kawan-kawanku terdiri daripada sahabat baikku yang bertiga dan juga keluargaku. Selalunya aku selalu masuk ke laman yang menarik minat aku sahaja. Selepas aku hendap laman Erin, aku masuk ke ruang Nad. Bila aku lihat gambar-gambar yang ada, tiada satupun gambar dia dan Nizam. Pandai juga Nad menyembunyikan hubungannya di media sosial. Bila aku masuk ke tempat Ula, tiada yang baru. Memang Ula jarang kemaskini aktivitinya. Sama seperti aku. Aku rindu dengan Ula. Sudah lama aku tidak berjumpa dengannya. Selepas Ula, aku beralih ke melihat video TikTok Mika. Saja nak tahu apa aktiviti adik aku. Sedang aku sibuk menelaah, tiba-tiba seketul benda melayang mengenai kepalaku.
“Aduh!” aku pegang kepalaku. Aku lihat ada sekeping duit syiling dua puluh sen yang dibalik ke kepala.
“Apa baling-baling ni? Panggil baik-baik tak boleh ke?” aku marah sambil mengurut kepala yang terkena peluru syiling.
“Aku panggil kau, tapi kau yang tak dengar,” balas Han.
“Ye ke?” aku tertanya sendiri sebab kalau aku pakai alat pendengar pun, aku pasti aku masih lagi boleh mendengar.
“Aku dah kata yang kau tak dengar aku panggil.”
Baiklah. Terima sajalah yang aku tidak mendengar tadi.
“Nak apa?”
“Kau buat apa tu?”
“Saya dengar lagu dan layan itu ini.”
“Bagi aku dengar lagu apa yang kau layan tu?”
Aku buka fon dari komputer riba dan lagu-lagu lama Alleycats berkumandang dari pembesar suara komputerku.
“Lagu macam ni yang kau minat? Ini zaman bila punya lagu.”
“Bukan saya minat. Papa saya yang minat. Apa papa minat, saya pun minat,” balasku. Memang benar yang aku lebih meminati lagu berbahasa Inggeris. Lagu-lagu Alleycats ini sebenarnya aku muat turun suatu ketika dahulu. Ketika itu aku tercari-cari hadiah harijadi untuk Papa. Akhirnya aku dan Mika berkongsi idea untuk buat koleksi lagu untuk Papa. Jadi bolehlah dia dengar di dalam keretanya. Pesan arwah Tok Mi - semoga rohnya di Rahmati Allah, berilah hadiah walaupun murah kerana apa yang penting ialah ingatan kami pada Papa. Hasilnya, aku juga mendengar lagu itu sekali sekala.
“Banyak lagu ni yang kau ada?”
“Awak minat juga ke kumpulan ni?”
“Aku tak minat lagu-lagu Melayu. Banyak yang jiwang karat. Kalau yang rock tu, boleh tahanlah. Tapi lagu ni menarik juga. Apa tajuk lagu ni?”
“Kalau tak silap tajuk dia Gila Bayang.”
“Boleh tahan muzik dia. Kau suka lagu yang mana?”
“Saya? Lagu Alleycats ni?” aku soal Han kembali. Hairan kenapa dia nak tahu lagu mana yang aku suka. Mungkin cuba hendak berkawan denganku.
“Bagi aku dengar lagu yang kau suka.”
“Err..saya tak ada yang special. Semua lagu tu boleh tahan sedap.”
“Kau pilihlah satu. Aku nak tahu kau suka yang mana?”
“Err…,” aku lihat senarai lagu yang ada. Kebanyakannya aku suka dengar. Namun, ada satu yang tersentuh di hatiku. Lagu itu aku muat turun tapi aku tidak sertakan dalam senarai lagu yang diberikan kepada Papa. Lagu yang aku pilih memang memberi kesan yang amat mendalam terhadap diriku.
“Saya suka yang ini,” aku tunjukkan kepada Han.
“Pasanglah,” arahnya tanpa melihat tajuk lagu itu. Aku terus tekan dua kali untuk memainkan lagu itu. Sepanjang lagu itu berkumandang, aku tahan sahaja perasaanku supaya tidak tercicir airmataku. Sehingga selesai lagu itu dimainkan, aku menarik nafas yang panjang.
“Lagu ni sedih sikit. Aku tak suka.”
Lantaklah kalau dia tak suka. Ada aku peduli dan aku pun malas nak beri komen.
“Mak kau dah mati ke?”
Aku terus jeling Han.
“Mak saya meninggal dunia,” aku betulkan penggunaan bahasanya.
“Patutlah kau jadi macam ni.”
“Sorry?”
“Tak cukup kasih sayang.”
“Untuk makluman awak, walaupun saya tak dapat kasih sayang dari seorang emak, saya dapat sepenuh perhatian daripada ahli keluarga saya yang lain, termasuk mak tiri saya yang sangat baik!” kataku. Aku cuba kawal suaraku supaya tidak kedengaran seperti aku sudah mahu separuh menangis. Aku bangun meninggalkan tempat duduk dan menuju ke dapur. Air mata terkeluar sedikit tapi aku cuba kawal sepenuh hati. Beberapa lama aku memujuk diri, aku kembali semula ke ruang rehat seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Aku lihat Han masih melepak menonton di situ. Biar aku tunjukkan padanya yang kata-kata dia tadi tidak memberi kesan langsung. Aku duduk mendengar lagu. Buat tak kisah. Biarlah dia mahu duduk di sini berapa lama pun. Cukup masanya, aku akan tidur juga di sini.
“Aku minta maaf kalau buat kau sedih tadi,” aku dengar kata-katanya melalui fon telinga. Aku buat tidak peduli sahaja.
“Bila mak kau meninggal dunia?”
Aku buka fon.
“Kenapa nak tahu?”
“Saja. Rasa nak tahu,” balasnya.
“Masa tu saya tak sekolah lagi.”
“Kecil lagi tu. Aku betul-betul minta maaf.”
“Small matter,” balasku. Aku harap setakat itu saja komen dia tentang Mama. Kalau diungkit lebih lagi, mungkin aku terpaksa beranikan diri tidur di bilik Nora seorang diri malam ini.
---------------///----------------------
“LEPAS sarapan nanti aku nak minta tolong dengan kau,” Han beritahu aku ketika menghantar sarapan pagi yang merupakan dua kepingan roti, sosej goreng dan sekeping telur. Memang aku goreng sosej dan telur itu, tetapi tidak dengan sepenuh hati seperti apa aku masak bubur nasi tempoh hari. Aku lihat Han makan dengan enak sekali roti berintikan sosej dan telur itu. Sos cili menitik-nitik ketika Han membaham roti itu.
“Awak nak saya buat apa?” soalku.
“Aku nak bersihkan diri sikit? Nak minta tolong kau.”
“Aaa??” terkejut aku. Nak bersihkan apa ni? “Tunggu Ashraf datanglah. Bayar dia mahal-mahal buat apa kalau tak suruh dia tolong.”
Han ketawa melihat mataku yang membulat.
“Hari ni aku bagi Ashraf off. Aku nak kau tolong cukur jambang aku ni.”
Dia ni memang sengaja nak kenakan aku. Aku lihat wajah Han. Jambang yang dicukur bersih oleh Uncle Mi dahulu sudah pun tumbuh melata di bahagian bawah wajahnya. Bagaimana aku tidak perasan pula sebegini cepat jambang dan misainya tumbuh? Mungkin aku tidak pernah ambil kisah sebelum ini dan bila sekarang barulah aku perasan.
“Tunggu Pak Mus sajalah. Nanti dia datang, saya suruh dia tolong awak,” balasku. Malas nak layan. Aku berlalu keluar dari situ.
“ALAMAK. Pak Mus tak bolehlah Chaya. Pak Mus dah janji nak bawa Mak Teh ke hospital. Kalau nak, cakap dengan Han, Pak Mus tolong esok pagi sebelum ambil dia dan bawa ke hospital untuk check tangan dia nanti.”
“Tak apalah Pak Mus. Nanti Chaya tolong Han sajalah. Pak Mus jangan bimbang. Pak Mus pergi jaga cucu Pak Mus tu. Kesian dia. Dahlah mak bapak dia kerja, lepas tu Pak Mus dengan isteri nak kena tolong kami hal makanan ni.”Aku pun tak mahu peningkan Pak Mus.
“Sehari dua ni saja Chaya. Esok lusa dia keluarlah dari hospital tu. Lagi satu, Pak Mus dah suruh cleaners cuci kawasan luar rumah saja hari ni,” beritahu Pak Mus sebelum dia beredar dari situ. Hari itu dia ada kecemasan apabila cucunya demam panas dan perlu segera ke hospital. Hari ni mungkin Mak Teh perlu tolong anaknya yang kena masuk kerja. Aku masuk ke dalam rumah dan buat apa yang patut. Kemudian aku ke bilik Han.
“Pak Mus tak ada juga hari ni. Awak nak tunggu dia esok tak?”
“Aku kena cukur jambang ni hari ni juga. Ada orang yang nak datang. Aku nak nampak elok sikit,” katanya.
Oh, rupanya dia mahu kelihatan kemas sebab ada yang nak datang melawat. Seseorang yang istimewa, agaknya.
“Saya tak berapa pandai,” balasku. Malas dan tidak mahu sebenarnya. Seumur hidupku ini, aku tidak pernah mencukur jambang seorang lelaki.
“Aku ajar. Pergi bilik air. Sana ada shaver dan shaving cream. Kau ambil dan bawa ke sini.”
Lambat saja aku berjalan ke bilik air untuk menurut arahan Han. Aku bawa barang-barang yang dia minta.
“Kau tekan krim tu ke tangan kau dan kau ratakan ke muka aku?”
Aku tengok dia dengan pandangan yang pelik. Ish. Aku kena buat juga ke?
“Cepatlah. Letak krim tu.”
Aku tekan krim ke tangan kiriku. Krim yang berwarna putih dengan bau yang menarik terbentuk di atas telapak tanganku.
“Sapu sini,” arah Han menunjukkan ke seluruh jambangnya.
Aku gunakan tangan kananku untuk menyapu krim ke bahagian bawah dagunya. Ketika itu mataku bertembung dengan mata Han. Aku terus tunduk. Entah kenapa hatiku tiba-tiba berdebar kencang. Aku sedikit terganggu. Tanganku yang disapu ke mukanya menggigil sedikit.
“Kau takut dengan aku ke?” soal Han bila dia nampak sangat tangan aku yang terketar-ketar menyapu krim ke mukanya.
“Saya tak takut. Saya tak pernah buat benda macam ni. Itu yang saya cuak sikit,” kataku kepadanya. “Saya harap awak faham-fahamlah. Saya ni belum kahwin lagi. Macam tak elok saja. Kalau jadi Ashraf pun mesti rasa kekok. Anyway, there is always a first time to everything, kan.”
“Mmm…,” balas Han.
“So, nak buat apa lepas ni?” aku tanya selesai menyapu ke seluruh kawasan kulit mukanya yang berjambang.
“Ambil shaver,” arahnya.
Aku ambil shaver tersebut dan pegang di hadapannya.
“Sekarang kau cukur dari bawah naik ke atas.”
Aku buat demo sekali kepadanya sebelum aku betul-betul buat yang sepatutnya.
“Yap. Macam tu. Sekarang kau cuba buat.”
Tangan aku menggigil ketika aku dekatkan bahagian pencukur yang ada pisau cukur itu ke mukanya. Aku cuba tahan nafas dan mula membuat satu cukuran.
“That’s my girl!” kata Han kepadaku.
Terus pencukur terlepas dari tanganku!
Aku dengar Han ketawa. Aku capai semula pencukur yang terjatuh itu.
“Do not call me your girl,” kataku dengan keras.
“Sorry. Terlepas dari mulut tadi. Aku ingat nak bagi kau sedikit semangat sebab berjaya buat satu cukuran”
“Sorry accepted. Lepas ni nak buat apa?” tanya aku bila pencukur itu sudah pun dipenuhi krim dan segumpul rambut jambangnya.
“Kalau boleh lalu bawah air. Kalau tak, kau lap saja pada tuala,”
Aku bangun ke sinki. Han kata kalau aku gunakan bekas air untuk membilas lagi mudah. Aku ikut cakapnya. Aku kembali semula untuk menyelesaikan tugas mencukur. Aku dan Han diam sahaja. Sudah separuh bahagian jambang telah dihilangkan. Ketika aku tengah tekun mencukur jambangnya di sebelah kanan, Han tanya soalan yang selalu orang tanya kepadaku.
“Kenapa nama kau Chahaya?”
“Adalah ceritanya. Semasa Papa mengurat Mama, dia ada berikan satu puisi cinta. Cara Papa ni memang outdated sikit zaman sekarang ni. Dengar cerita Mama ramai peminat. So bila ada mamat jiwang seorang ni ayat dengan puisi tu, Mama terus jatuh hati. Love at first sight dengan puisi tu. To make the long story short, Mama tersangkut juga dengan Papa. Bila mereka kahwin dan ketika dapat Kak Kasih, kakak sulung saya, mereka buat keputusan untuk namakan kakak dengan salah satu perkataan yang ada dalam puisi itu. Suri was their first choice. Kakak kedua ialah Kasih. Saya yang terakhir. Chahaya. Well, sepatutnya Chahaya tanpa ‘h’ di tengah. Mama kata nampak klasik sikit kalau ejaannya berlainan. Itulah cerita di sebalik nama saya. Sekian.”
“Very interesting story. Suri, Kasih dan Cha..ha…ya.”
Meremang bulu roma aku bila Han sebutkan patah perkataan namaku sebegitu.
“Aku dengar kau putus cinta. Betul ke?”
Aku terhenti seketika.
“Betul,” balasku.
“Kali ke berapa?” soalnya
“Pertama….dan mungkin terakhir.”
“Takkan kau tak mahu cuba lagi. Baru kali pertama putus. Bukannya kau rugi sangat pun. Berapa tahun kau bercinta?”
“Entah. Tak ingat,” kataku endah tak endah sahaja.
“Kenapa putus?”
“Kenapa nak sibuk pasal hal saya?”
“Saja. Nak isi masa berbual dengan kau. So? Kenapa putus?”
“Dia jumpa orang yang lebih menarik dari saya agaknya.”
“Really? Kau tahu siapa?”
Aku angguk sahaja.
“Siapa?”
Hai sibuk betul lelaki ini nak ambil kisah pasal hal percintaan aku yang putus di tengah jalan.
“Kawan baik sendiri.”
Han terus ketawa berdekah-dekah. Aku angkat alat cukur itu dari wajahnya. Takut pula tertoreh ke pipinya disebabkan ketawa itu.
“Ok saya dah siap,” kataku. Aku serahkan sehelai tuala kecil supaya Han boleh lap saki baki krim yang tertinggal.
“Rasa-rasanya ok, kan? Cukuran tu?” soalku.
“Rasa macam ok,” jelas Han. Tangannya merasai hasil seni yang aku telah lakukan.
“Kalau macam tu saya minta diri dululah,” balasku.
“Ok. Thank you Chahaya.”
“Welcome,” balasku walaupun aku terhenti bernafas dengar cara dia sebut namaku itu.
Share this novel