Bab 13

Romance Completed 8896

“AKU terima nikahnya Puteri Erina Alisa bt Raja Omar …”
Sah.
Erin mengalirkan air mata sejurus sahaja Ikram dengan penuh yakin, melafazkan kata-kata keramat itu dengan sekali lafaz sahaja. Hadirin yang ada memberi pelbagai reaksi. Ada yang menarik nafas lega, ada yang tersenyum dan ada yang ketawa gembira. Ada juga yang terlalu suka sampai bertepuk tangan. Aku dan pengapit yang lain duduk berdekatan pun macam tangkap leleh juga bila episod penting seperti ini berlaku. Suasana mulai sepi apabila majlis diiringi bacaan doa. Selesai acara akad nikah, aku seperti dapat merasai debaran bila Ikram menyarungkan cincin ke jari manis Erin. Aku akui, aku memang mudah emosi.

Kelam kabut juga pagi tadi di bilik hotel. Aunty Elis, Mak Andam dan juga pelukis inai telah datang awal-awal pagi tadi di hotel untuk menyiapkan Erin. Memandangkan kami memang lepak sehingga awal pagi, maka bagaikan mahu runtuh bangunan itu dengan kepanikan kami. Sampaikan ada dua kawan Erin berkongsi bilik air ketika mandi untuk menjimatkan masa. Aku yang paling terakhir guna bilik air kerana aku ingat lebih baik aku makan dahulu sarapan pagi yang ditempah dan dihantar pihak hotel. Bila aku keluar, Erin sudah selesai dengan hiasan inai dan Mak Andam pula sedang memulakan tugasnya. Mujurlah pelukis inai membawa bekalan yang banyak. Katanya, perkara sebegini biasa berlaku. Aunty Elis pula tidak kisah untuk belanja kami semua berinai. Aku juga berinai di kedua-dua tangan. Bukan di jari jemari tetapi lukisan corak bunga kecil menghiasi kedua-dua jari telunjuk sehingga ke pergelangan tangan. Ringkas.
Suasana di majlis pernikahan gamat kembali apabila Ikram mengucup dahi Erin. Umph!! Seronoknya. Rasa tercabar juga melihat kebahagiaan pasangan mempelai itu. Pasti aku juga bahagia kalau berada di situasi ini. Aku soal diri sendiri. Betulkah aku tidak mahu menikmati saat seperti ini? Aku memandang di sekelilingku. Wajah-wajah keluargaku. Aku boleh. Sekiranya aku dikelilingi oleh ahli keluarga seperti ini, aku rasa aku tidak perlu seorang lelaki untuk melengkapi hidupku.

Ada suara memanggil untuk sesi bergambar. Erin dan Ikram duduk di persada serba putih dihiasi bunga merah jambu dan ungu. Kilauan manik-manik dan mutiara menghiasi singgahsana yang cukup ringkas sesuai untuk acara akad nikah. Selepas beberapa aksi bergambar, para pengapit yang bertona warna dari putih, krim, merah jambu ke ungu diminta bergambar sekali. Pakaian yang aku perolehi ialah ungu cair. Mungkin itu warna yang paling sesuai untuk kulitku yang tidak cerah dan tidak gelap. Bergilir-gilir tetamu bergambar merakamkan kenangan. Memang kecoh suasana ketika itu.
Selesai sesi bergambar, kami menemani pengantin ke ruang kafetaria untuk jamuan makan. Tetamu dihidangkan pelbagai makanan ala buffet manakala meja pengantin pula sudah tersedia ayam golek dan udang galah paling besar aku pernah lihat. Para hadirin yang lain sudah pun beransur terlebih dahulu dan setibanya kami di sana, ada yang sudah selesai menjamu selera. Kafe juga dihiasi dengan hiasan sebagaimana dewan dihias. Elok juga kalau diadakan di resort seperti ini. Semuanya setempat. Kedamaian pantai Cherating dan tiupan angin Laut China Selatan juga memberi kelainan yang tidak dapat digambarkan. Aku duduk di meja yang disediakan khas untuk pengapit pengantin.

Kalau ada pengapit perempuan, tentulah ada pengapit lelaki. Pengapit Ikram sepatutnya empat orang, tetapi tiga orang sahaja yang hadir. Dua daripada mereka ialah rakan juruterbang manakala sahabat Ikram yang terakhir pula seorang eksekutif di syarikat swasta. Sejak kami mengiringi Erin tadi, memanglah masing-masing kawal sahaja kelakuan. Ketawa pun tutup mulut dan tidak berbunyi. Barulah nampak ayu begitu. Mana tidaknya, pengapit lelaki boleh tahan kacak semuanya. Mula-mula berkumpul, semua malu-malu sahaja. Selepas berkenalan, semakin rancak kami berbual. Melalui perbualan kami, aku dapat tahu yang salah seorang pengapit hilang tidak dapat dikesan. Bila ditanya, rupa-rupanya Han si Orang Utan itu yang tidak hadirkan diri. Sudahlah menganggur dan kaki pukul. Tambah markah satu lagi. Jenis yang tidak tepati janji pula. Elok jugalah dia tidak hadir. Aku pun rasa lari tema pengapit lelaki kalau dia ada. Maklumlah, yang tiga orang di depan aku sekarang semuanya ada paras rupa. Kalau Han masuk dengan misai dan jambang selekeh itu, pasti nampak tak sesuai langsung.

Kaum keluarga Erin semuanya serba putih dan krim manakala kaum keluarga Ikram lebih kepada tema ungu. Maka senang hendak mengenali siapa dari keluarga mana kecuali para pengapit yang memakai pakaian campur-campur. Aku nampak untuk hari yang berbahagia ini, Umi memakai baju kurung putih bermotifkan bunga-bunga kecil berwarna ungu. Selendang ungu muda menghiasi kepalanya. Aku meninjau-ninjau mencari Umi yang duduk semeja dengan pengantin, bersebelahan dengan ibu Ikram. Aku pandang saja Umi sambil melayan dengar perbualan di meja makan ku. Mungkin Umi perasan aku tengah tengok dia di meja makan, dia tersenyum ke arahku. Untuk pura-pura akibat tertangkap melihatnya, aku buat isyarat kamera dengan tangan seolah-olah aku mahu bergambar dengannya sebentar lagi. Umi anggukkan kepala. Sesaat kemudian, aku melihat salah seorang ahli keluarga menghampiri Umi. Sebaik sahaja Umi mendengar apa yang disampaikan oleh orang itu, aku dapat lihat wajah Umi berubah. Wajah yang melakar senyuman sebentar tadi terus berubah terkejut berbaur sedih. Aku nampak sudu ditangannya turut terjatuh. Umi bangun tiba-tiba. Dia seperti dipapah oleh ahli keluarga di sebelahnya pergi dari situ mengikuti lelaki yang berbual dengannya tadi. Selang beberapa saat, beberapa orang lagi turut bangun dan turut pergi dari situ juga.

Tidak sampai beberapa minit, suasana menjadi semakin kecoh. Mereka yang berada di meja utama tampak cemas. Ramai ahli keluarga Ikram yang sudah meluru ke perkarangan resort. Hanya sebahagian keluarga sahaja yang tinggal seperti keluarga Ikram sendiri. Mereka yang tinggal sedang menenangkan yang lain. Aku tangkap wajah Aunty Elis dan Uncle Omar. Muka mereka pun nampak gelisah. Pasti ada sesuatu yang buruk berlaku. Pengapit Ikram bangun dari meja kami dan meluru ke arah meja utama.

“Ada apa tu?” soalku kepada semua yang masih di meja makan. Suasana sudah terlalu kecoh sangat. Kami di meja ini masih tidak mendapat berita apa sebenarnya yang berlaku. Salah seorang pengapit lelaki kembali di meja. Soalan terus diajukan kepadanya.

“Ada orang kemalangan,” jawabnya seperti dalam kerisauan. Dia terduduk sambil meneguk air sirapnya.

“Siapa?” tanya kami serentak.

“Sepupu Ikram. Sharhan.”
Aku tersentak dan terdiam. Sharhan tu Han ke? Soalku sendirian.
Pengapit lelaki itu menambah lagi.

"Ikut cerita dia kemalangan semalam lagi. Pagi tadi baru ada yang jumpa dia dan motosikalnya tidak jauh dari sini. Polis baru sahkan siapa dia dan dapat kesan keluarga Ikram.”
Berderau darah tiba-tiba. Aku menutup mulut. Tidak berani bertanya.

“Dia bagaimana?” seseorang sudah menyoal persoalan yang bermain di fikiranku.

“Tak pasti. Sekarang family dia kena pergi ke hospital dengan segera.”

-----//-----
RAMAI yang masih berada di ruang kafe, menunggu khabar tentang kemalangan Han. Suasana nampak suram sahaja. Tidak ramai yang bergelak ketawa. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Hanya kanak-kanak berkeliaran di pekarangan kafe. Semua yang berada di situ saling bertukar cerita tentang kemalangan Han. Ada yang mengatakan dia sedang bertarung nyawa. Ada yang kata dia sudah pun meninggal dunia dan banyak lagilah maklumat yang kami perolehi dari masa ke semasa. Erin dan Ikram juga masih berada di situ. Sepatutnya mereka sudah pun beredar untuk berehat di salah sebuah pusat peranginan lima bintang di Cherating. Malah keluargaku pun masih lagi berada di sekitar dan tidak bergerak balik seperti yang dirancangkan. Mungkin Papa mahu menemani Uncle Omar dan Aunty Elis sekeluarga.
Lebihan makanan yang ada di bahagian buffet sudah pun diangkat masuk ke dalam dapur. Yang tinggal hanya air yang diisi di dalam bekas air besar. Air sirap merah nampak lazat pada petang yang panas seperti hari ini. Semalam, memang hujan lebat tetapi hujan reda sebelum subuh. Aku terfikir juga nasib Han. Menurut cerita terkini, dia masih lagi di dalam bilik pembedahan. Kata sumber yang aku dengar, motosikal besarnya tergelincir lalu terjatuh di kawasan yang sedikit curam. Kawasan yang penuh semak dan belukar. Kerana keadaan sebegitu, tiada kenderaan yang perasan Han ataupun motor besarnya. Pagi tadi ada beberapa orang kanak-kanak yang menaiki basikal melalui kawasan itu. Mereka ternampak tubuh Han tersorok di dalam semak samum. Maka, dari situlah orang ramai berkumpul dan memulakan operasi menyelamat.

Ula mengajak aku balik ke bilik untuk berehat seketika dan menyalin pakaian yang kami pakai sejak pagi tadi. Aku turut sahaja. Busuk juga aku rasa duduk di kafe yang hanya ada kipas dan hembusan angin laut. Elok kalau aku mandi dan kemudiannya sertai semula perhimpunan di kafe untuk berita selanjutnya tentang Han. Entah kenapa hatiku seperti tidak tenteram. Mungkin aku teringat hal pergaduhan kelmarin. Walaupun aku dan Han berkenalan dalam keadaan yang tidak menyenangkan, aku berharap dia akan selamat dan tidak ada yang buruk berlaku ke atasnya.
Sampai sahaja aku di bilik, aku lihat joran milik Han tersandar di tepi pintu biliknya. Aku masuk mengekori Ula ke dalam bilik. Ula sudah pun merebahkan dirinya di atas katil. Aku pun turut serta. Segala penat lelah yang dicurahkan untuk membantu Erin akhirnya selesai juga. Barulah aku rasa betapa penat minda aku sekarang. Sedang aku dan Ula melayan perasaan masing-masing, pintu bilik diketuk kuat. Panggilan namaku bertalu-talu. Dengar sahaja suara, aku tahu Mika yang sedang memanggilku. Aku bangun menuju ke pintu. Bila aku buka sahaja, aku nampak Mika meluru ke arahku. Ula pun bingkas bangun bila melihat Mika memelukku.

“Kenapa ni Mika?” soalku.
Mika tidak diam. Badannya terhenjut-henjut. Barulah aku perasan yang dia sedang menangis rupanya. Aku jadi hairan. Aku lihat Ula juga kehairanan.
“Mika? Kenapa ni?” Aku soalnya lagi. Mika hanya tinggi sedikit daripadaku. Bila dia peluk, kepalanya diletakkan di bahuku. Janggal juga bila dia memelukku sebegitu.
“Mika tak sengaja kak,” katanya. Kali ini dia melepaskan pelukan. Dia memandangku. Air mata lelakinya berjurai-jurai. Ketika ini, dia nampak seperti seorang kanak-kanak sahaja padaku. Seperti Mika yang kecil menangis akibat terjatuh dan terluka di lutut. Aku tarik Mika duduk di katil. Dia masih lagi menangis. Aku memegang bahunya. Menepuk-nepuk memujuk.
“Cuba Mika cerita, kenapa Mika menangis? Kalau menangis cenggini, bagaimana akak nak tolong,” kataku.
“Betul, Mika tak sengaja kak.”
“Apa yang Mika tak sengaja?” soalku.
“Mika tak sangka boleh jadi sampai macam ni. Mika dan Rahman main-main saja,” katanya.
“Mika main apa?”

Adik aku cuba menahan tangis. Dia melihatku dengan wajah seperti seseorang yang meminta belas kasihan.
“Hari tu masa dia pukul akak, Mika dan Rahman kacau motosikal dia. Kami ingat kalau dia jatuh pun tak teruk sangat, tapi tadi…tadi ada orang kata dia dah meninggal dunia.”
“Motosikal siapa?” soalku. “Motor Han ke? Mika main-main dengan motor Han?” aku ulang sekali lagi sambil mulutku mengucap panjang.
Mika angguk dan kembali menangis.
“Kenapa Mika buat macam tu?” aku masih tidak percaya yang kemalangan Han mungkin disebabkan oleh Mika dan kawannya.
“Mika tak sengaja Kak. Kami nak ajar dia sebab dia pukul akak.”
“Kan akak kata dia tak sengaja terpukul akak. Ish! Macam mana ni Ula?”
Aku panik. Kali ini aku minta pendapat Ula. Dia pun sudah mendengar pengakuan Mika.
“Kita nak buat apa kak?” Mika menyibuk.
“Kejap. Akak tengah pikir ni. Ula! Kau pun pikir sama,” aku menjerit minta kawan baik aku tu pun fikir juga. Jantungku terasa semakin kencang.
“Betul ke Han tu dah mati? Bila Mika dengar cerita tu?” tanya Ula.

“Mika tak pasti Kak Ula. Mika dengar saja tadi orang cerita.”
“Ohhh…orang utan tu belum mati lagilah!”
“Oi Ula. Jangan panggil dia macam tu. Nanti kalau dia mati betul-betul, jadi hantu orang utan, cari kita padan muka. Cepatlah! Nak buat macam mana ni?”
“Aku rasa elok kita cari parents kau. Cerita semua ni.”
“Tak nak!” jerit adikku. “Nanti Mika yang kena sorang-sorang. Rahman dah balik tadi. Janganlah bagitau Papa, Kak Chaya.”

“Ikut kata Kak Ula tu betul. Kak Chaya ingat elok bagitau Papa. Nanti akak cakaplah yang Mika tak sengaja. Mika jangan bimbang. Biar akak yang cerita dengan Papa.”

“Mika tak beranilah kak.”
“Kena berani Mika. Berani buat berani tanggung. Ula, kau ikut kami juga nah?” ajakku.
“Aku boleh ikut tapi aku ada dua jam lagi sebelum bersiap. Malik akan datang jemput aku karang.”

----//----
“KENAPA tak pakai otak bila nak buat macam tu. Sekarang tengok apa dah jadi. Lelaki tu entah hidup ke atau mati pun kita tak tahu. Teruk sangat perangai Mika ni. Macam mana you didik anak you ni Zan?”
“Jangan marah Mika dan Mami Zan Papa,” aku cuba membela Mika dan juga tidak mahu Mami Zan dipersalahkan jua. Kedua-dua kakakku sudah pun beredar dengan keluarga masing-masing sejam yang lalu. Jadi aku tiada sokongan lain. Papaku tidak garang sebenarnya. Tetapi, kalau hal seperti ini berlaku, tentulah dia mengamuk juga. Aku lihat Papa mundar mandir berfikir.

“Mika pun tak sangka sampai boleh jadi macam ni. Agaknya kalau si Han tak bawa motor laju, taklah sampai kemalangan macam tu,” aku beri alasan untuk tidak meletakkan kesalahan kepada Mika seratus peratus.
“Kau jangan nak menjawab. Pasal kaulah dia buat macam tu. Sekarang ni semua ikut Papa ke hospital. Kita jumpa keluarga tu. Biar Papa uruskan semuanya nanti.”
KAMI sampai ke hospital Kemaman. Masuk sahaja di perkarangan, kami jumpa beberapa saudara Ikram dan Han berbual di luar. Papaku terus bertanyakan khabar tentang Han. Mujurlah berita yang kami dengar ialah Han selamat dan sudah pun berada di wad biasa. Keluarganya sedang menguruskan supaya dia dapat dihantar ke Hospital di Kuala Lumpur untuk rawatan lanjutan. Papa bertanya di mana kami boleh mencari keluarga Han. Selepas diberi panduan, kami terus menuju ke tempat yang dikatakan itu.
Sesampainya di kawasan luar wad, aku dapat lihat Umi ditemani Aunty Jah dan beberapa ahli keluarga. Mami Zan dan aku bersalaman dengan kaum wanita sementara Papaku pula dengan orang-orang lelaki di situ. Papaku menghampiri mereka dan bertanyakan kalau dia boleh berbincang dengan bapa kepada Han. Seorang lelaki tampil memperkenalkan diri. Namanya Shuhaimi. Dialah lelaki yang bercakap dengan Umi awal tengahari tadi. Papaku yang mungkin mengenali juga lelaki ini terus memanggilnya dengan pangkal ‘Datuk’ tetapi lelaki itu memintanya hanya dengan panggilan Abang Mi sahaja. Papaku ajak bapa Han ke suatu sudut berdekatan.
“Bagaimana dengan Han sekarang?” soal Papaku.
“Alhamdulillah. Mujur dia selamat. Hanya patah di tangan dan di bahagian kaki sahaja. Yang lain tu cedera ringan.”
“Syukur dia selamat.” ujar Papaku. “Mika ke sini.”
Mika takut-takut. Dia pegang tanganku. Aku iring dia ke sebelah Papa. Mami Zan juga menyusul di sebelah. Biarlah kami hadapi situasi yang bakal berlaku ini bersama-sama. Satu keluarga. Biar baik mahupun buruk.
“Abang Mi, saya datang ni bagi pihak anak saya,” Papaku memulakan ayatnya. “Anak saya bersalah pada Abang Mi sekeluarga. Saya pun tidak tahu yang dia akan bertindak sebegini. Salah saya juga sebab tak pandai mendidik anak. Saya sekeluarga ingin minta maaf dengan Abang Mi sekeluarga.”
“Kenapa pula sampai macam ni. Apa yang berlaku Ibrahim?”
“Anak saya Mika yang rosakkan motosikal Han,” balas papaku.
Mika sudah mula menangis. Aku mungkin kelihatan berwajah simpati. Keluarga Han di situ terkejut mendengar penjelasan Papa. Uncle Shuhaimi pun terdiam seketika. Papaku menambah lagi.
“Begini ceritanya Abang Mi. Anak saya ni sayang sangat dengan kakaknya si Chaya. Petang kelmarin, Chaya nampak Han bergaduh dengan seorang perempuan, dia pula pergi masuk campur. Tanpa sengaja Han terpukul dia. Itu yang mulutnya macam bengkak sedikit tu. Salah anak perempuan saya juga. Masuk campur tak tentu pasal. Jadi bila dia terserempak dengan Mika, si adik ni pun tanyalah pasal mulut dia. Chaya pula pergi cerita. Mika ni rapat sangat dengan Chaya. Jadi dirosakkan motosikal Han sebab nak balas dendam kononnya. Mana nak tahu, Han kemalangan bila naik motosikal tu. Jadi saya ke sini nak ceritakanlah hal ini, Abang Mi.”
“Oh begitu rupanya,” Uncle Mi seolah-olah faham sekarang dengan apa yang berlaku.
“Kami sekeluarga nak minta maaf. Cepat Mika. Minta maaf dengan Uncle,” keras suara Papa mengarah Mika.
“Mika tak sengaja Uncle. Mika minta maaf,” tambah Mika dengan mukanya yang teramatlah sedih tetapi masih lagi comel. Terketar-ketar dia minta maaf. Sedih hati aku tengok adikku takut sebegitu.
Uncle Mi hanya mengangguk sahaja. Dia dihampiri Aunty Jah yang memegang lengannya. Aunty Jah turut mendengar cerita daripada Papa tadi. Malas seluruh keluarga yang berada di sekitar pun turut mendengar cerita Papa. Uncle Mi melihat wajah Aunty Jah yang sedih tetapi masih mampu tersenyum.
“Beginilah Abang Mi, kami sanggup buat apa untuk tebus kesalahan Mika. Saya sanggup bayar berapa sahaja kos rawatan Han,” tambah Papaku.
“Sudahlah tu,” Uncle Mi bersuara. “Benda dah jadi pun. Alhamdulillah Han selamat. Pasal kos, janganlah susah-susah. Mika di sini dah mengaku pun kami dah senang hati. Kami ingatkan Han bawa laju dan terlanggar sesuatu. Lagipun, ini bukan kali pertama kami di hospital kalau pasal Han. Dari dia kecil lagi, kami asyik keluar masuk hospital pasal dia seorang. Susah nak menjaga anak yang seorang ini. Selalu timbulkan masalah.”
“Jadi Abang Mi sekeluarga dapat maafkan anak saya dan kami sekeluarga? Sebab kalau tidak, saya sanggup buat laporan polis. Biar anak saya merengkok di dalam penjara pun saya tak kisah asalkan dia dapat balasan yang setimpal.”
“Eh jangan sampai macam tu Ibrahim. Budak ni kecil lagi. Biarlah dia belajar dari kesilapan ini. Betul tak Mika?”
“Be..betul Uncle. Mika janji Mika tak akan buat macam tu lagi.”
“Eloklah tu Mika,” balas Uncle Mi.
Tiba-tiba adikku memeluk Uncle Mi. Spontan Uncle Mi membelai belakangnya. Sayu aku lihat drama swasta di depanku. Mika ni memang satu. Pandai sungguh ambil hati orang. Mami Zan pula berbual dengan Aunty Jah dan juga dengan keluarga perempuan yang lain. Dia buat seperti yang Papaku buat. Meminta maaf kerana perbuatan anaknya terhadap Han. Aku berdiri di sebelah Mami Zan. Umi juga tersenyum sambil menyatakan yang penting, cucu kesayangannya itu selamat. Kedua-dua keluarga aku dan Han berkumpul. Suasana semakin ceria apatah lagi doktor yang merawat Han menyatakan bahawa dia sudah boleh dipindahkan ke hospital Kajang petang itu juga.

Kami tidak dapat melawat Han kerana pelawat yang berada di situ sudah terlalu ramai. Selepas bersalaman dengan ahli keluarga, kami meminta izin untuk balik. Papaku berjanji yang dia akan datang melawat Han dan keluarganya suatu hari nanti. Aku rasa senang hati kerana tiada apa-apa yang teruk berlaku kepada Han. Kalaulah ada kecacatan fizikal akibat kemalangan itu, aku juga akan turut rasa bersalah. Walaupun adikku yang bertindak, dia bertindak demi menuntut keadilan terhadapku. Syukur semuanya selesai dengan cara yang baik. Aku pun boleh kembali kepada kehidupanku yang asal. Kehidupan penganggur yang akan memulakan kerja barunya di sebuah butik di Shah Alam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience