Bab 5

Romance Completed 8896

PERKARA pertama yang aku dan Erin lakukan ialah mencari maklumat tentang nikah kahwin di Malaysia. Ikram yang sentiasa sibuk menyerahkan tugas itu kepada bakal isterinya untuk membuat segala urusan. Bila maklumat sudah diperoleh, aku terus bertugas dengan penuh kegigihan. Tidak sampai beberapa hari, aku siapkan tugas pertamaku. Perkara mudah untuk orang yang tidak bekerja. Tidak perlu ambil cuti atau pun tergesa-gesa ke sana sini. Semalam aku serahkan kepada Erin semua dokumen yang berkaitan untuk dia isi dan ambil tindakan. Bab nikah sepatutnya perkara yang paling mudah, tetapi di Malaysia ada prosedur tertentu.. Baru aku tahu bukan senang untuk berkahwin. Banyak dokumen yang perlu disediakan. Salinan kad pengenalan pun mesti ada lebih kurang sepuluh helai. Ada kursus dan macam-macam lagi. Siapa kata kahwin itu senang?

Aku agak beruntung kerana tahu selok belok kotaraya Kuala Lumpur. Lokasi seperti Jalan Tunku Abdul Rahman dan Chow Kit punya banyak pilihan untuk mencari barang-barang yang diperlukan untuk majlis pertunangan itu nanti. Hanya ambil dan bayar sahaja. Erin ada bekalkan aku dengan sejumlah wang untuk tepak hiasan hadiah bertunang dan juga elaun tambang aku menguruskan hal nikahnya nanti. Aku ada pergi ke beberapa tempat yang dicadangkan oleh Erin tetapi kebanyakannya harga kayangan. Bila aku laporkan kepadanya tentang persamaan kualiti barangan, Erin setuju dengan pilihanku. Bangga juga aku dapat jimatkan duit sepupuku yang sememangnya kaya itu.

Sesekali aku rasa cemas juga kerana tinggal seminggu sahaja lagi untuk majlis pertunangan Erin. Kalau majlis ini berjaya, bermakna aku memang ada kebolehan untuk menjadi seorang pembantu peribadi. Erin baru sahaja terbang ke Eropah. Dia akan kembali sehari sebelum majlis pertunangannya.
Hari ini aku balik ke Seremban. Barang-barang yang aku beli kebanyakannya sudah diangkut oleh pemandu keluarga Erin beberapa hari sebelumnya. Yang tinggal denganku hanya beberapa barang yang diisi dalam sebuah beg besar. Aku tiada kereta. Jadi, komuter adalah pengangkutan untuk sampai ke Seremban.

Aku keluar dari rumah bersama-sama dengan Ula. Kami keluar awal-awal sesudah Subuh. Dia tumpangkan aku sehingga ke KL Sentral padahal, jalan ke tempat kerjanya menyimpang dari situ. Baik betul Ula. Bila di KL Sentral, manusia sudah pun ramai di dalam stesen untuk ke tempat kerja masing-masing. Sukar untuk masuk ke gerabak dengan beg yang besar. Mujur juga ada yang membantu. Aku ucapkan terima kasih kepada seorang lelaki warganegara Bangladesh yang membantuku. Aku duduk di hujung sekali kerana ada kawasan untuk aku letakkan beg besar itu. Komuter mula bergerak. Tidak sabar juga aku hendak balik kampung. Mami Zan, isteri Papaku telah berjanji akan menjemputku di stesen dan menghantarkan aku ke rumah Aunty Elis, mamanya Erin.
Selepas sejam aku tersengguk-sengguk di dalam komuter, aku pun sampai di Seremban. Ibu negeri aku ini tidaklah sesibuk Kuala Lumpur, tetapi inilah tempat yang paling dekat di hatiku. Tempat yang jauh lagi dikenang, inikan pula tempat lahir, membesar, sekolah dan kolej. Dua puluh tahun lebih aku di Seremban sehingga aku bekerja di Kuala Lumpur. Kampung asalku ialah satu tempat bernama Jiboi. Arwah Tok Mi orang Penang yang menetap dengan suaminya di sini. Rumah kampungku ialah rumah dua tingkat lima bilik. Tingkat bawah dibina daripada batu bata manakala tingkat atasnya pula daripada kayu. Aku dan kakak-kakakku tinggal di situ sehinggalah Tok Mi meninggal dunia. Papa dan Aunty Elis akhirnya menjual rumah peninggalan itu kerana tiada siapa yang mahu tinggal di sana. Papaku punya rumah sendiri di Seremban 2 manakala Aunty Elis pula ada banglo di kawasan berdekatan.
Keluar sahaja daripada terminal keretapi, aku sudah nampak kereta kancil kuning Mami Zan di luar. Aku nampak Mika juga ada di dalam sedang menungguku. Aku menghampiri kereta dan mengetuk cermin di bahagian penumpang. Mika tersenyum melihat aku dan segera keluar berjumpa dan bersalaman denganku. Aku menegur Mami Zan yang menyuruhku masuk segera kerana dia parkir di kawasan larangan. Aku segera masuk manakala Mika membantuku memasukkan beg besar ke but kereta. Nasib baik but kecil Mami Zan dapat memuatkan beg itu. Kalau tidak, pasti aku terpaksa bersempit di bahagian belakang kereta.
“Mika tak sekolah ke?” soalku kepada adik lelaki yang seorang itu.
“Dia kata dia sakit perut pagi tadi. Jadi Mama suruh dia berehat di rumah. Bila Mama balik dari pasar, Mama tengok dia tengah sibuk main game.”
“Mika betul-betul sakitlah Mama,” balas Mika yang berada di tingkatan dua. Mika rapat denganku kerana aku yang menjaganya dari kecil lagi ketika Mami Zan, yang bekerja sebagai agen hartanah perlu keluar berjumpa dengan pelanggan. Mungkin air tangan aku yang selalu menyuap Mika menyebabkan dia seperti ‘terikat’ sedikit denganku.
“Mama tahu Mika buat alasan. Semalam Mika dengar Mama cakap dengan Kak Chaya. Mika tak nak pergi ke sekolahlah tu,” jelas Mami Zan.
“Oh…Mika rindu akak ye? Dah besar-besar pun rindu dekat akak lagi. Malulah,” usikku. Aku tengok Mika semakin hari semakin berubah. Sudah jadi anak teruna.
“Ala kak. Sekali sekala apa salahnya. Kak Chaya pun dah jarang sangat balik rumah. Kali ni kita rematch semula? Lawan game yang aritu, nak?”
“Akak boleh main malam nantilah Mika. Nak kena buat kerja dulu. Nanti bila dah settle, baru boleh main.”
“Chaya balik berapa hari kali ni? Tidurlah lama sikit,” kata Mami Zan kepadaku. “Papa dah mula terasa kehilangan anak-anak perempuan dia. Sejak Kak Kasih kahwin, Papa takut lepas ni Chaya pula yang akan tinggalkan dia.”
“Mama cakap dengan Papa jangan bimbang. Chaya tak mahu kahwin langsung.”
“Akak frust cinta dengan Abang Nizam ke?” Mika menyoalku.
Tanpa berdolak dalik aku mengiyakan sahaja.
“Akak nak Mika belasah abang Nizam tak?”
“Mikaa….,” Mami Zan bersuara.
“Badan keding macam ni, pandai ke nak lawan orang?”
“Dia baru masuk kelas Taekwondo, Chaya. Nak tunjuk pakarlah tu,” balas Mama Zan.
“Oh patutlah. Nanti kalau ada orang kacau akak, bolehlah akak minta Mika tolong.”
“Beres! Sebut je. Mika mesti tolong punya.”
Hai, beruntung aku dapat adik lelaki seperti Mika yang sanggup berkorban membela diriku sekiranya teraniaya.

WAJAH Aunty Elis jauh berbeza dengan Papaku. Memang keturunan keluarga sebelah Papa bercampur baur. Keturunan Arab yang berakar umbi memang jelas kelihatan pada bahagian mata dan hidung Aunty Elis. Rambut Aunty Elis pun keperangan. Berbeza dengan Papa. Sekali atau dua kali pandang, memang nampak seperti anak mami Pulau Pinang. Gelap. Papa pula suka sangat dengan stail rambut dicukur botak. Sekali pandang orang ingat dia bekas pemain bolasepak Pahang. Mujurlah arwah mama keturunan Melayu tulen. Hanya Kak Suri yang tersangkut genetik Papa. Aku dan Kak Kasih dapat kulit cerah Mama.
Aku bertemu dengan Aunty Elis di kedai perabutnya. Kak Kasih juga turut ada di sana. Kak Kasih sedang mengandung anak pertama. Dan keduanya. Sepasang kembar perempuan. Kak Kasih bekerja di Pejabat Pendaftaran Negara. Pegawai kerajaan. Aku pun tidak pasti kerja apa yang dia buat. Abang Lan iaitu abang ipar aku pula bekerja dengan Kementerian Dalam Negeri. Ada harapan aku untuk melancong ke luar negara suatu hari nanti sebab menurut Kak Kasih, ada khabar yang mungkin abang Lan akan ke luar negara untuk tugas seterusnya.
“Macam mana Chaya berhenti kerja macam tu je?”
“Mmm…naper?” soalku. Hal aku berhenti kerja memang tersebar dengan cepat sekali. Aku pasti bukan Kak Suri yang khabarkan. Samada datang daripada Erin atau Ula. Keluarga kami dekat dan rapat. Cerita di KL, satu Seremban boleh tahu dalam masa yang singkat. Tidak mungkin Kak Suri yang beritahu kerana dia tidak akan cakap sembarangan kecuali Papa yang menyoal. Aku pasti cerita ini datang dari mulut Erin ke telinga Aunty Elis dan dari Aunty Elis kepada kakakku yang seorang ini. Aku tengok Aunty pura-pura lihat hasil yang aku bawa dari KL padahal aku tahu dia tengah pasang telinga.
“Akak nak tahu, lepas ni Chaya nak buat apa?”
“Lepas ni Chaya cari kerja lainlah.”
“Chaya nak kerja dengan Aunty tak?” tanya Aunty Elis.

“Chaya dah ada kerja yang menunggu. Lepas Erin kahwin, Chaya akan mula kerja di sana?”
“Mana tu?”
“Butik kawan Chaya.”
“Banyak ke gaji?”
“Chaya buat part time saja sampai Chaya figure out nak buat apa.”
“Betul ke yang Chaya berhenti pasal Nizam dengan Nad?”
Aku sudah tahu soalan ini juga yang akan ditanya.
“Tak ada kaitan langsung. Abang Lan jadi ke pergi bertugas di Cambodia?”Aku mula menukar topik.
“InshaAllah jadi,” balas kakakku.
“Akak ikut ke? Bersalin di sana ke?” soalku bila aku lihat kakak aku itu buyung semacam sahaja. Baru empat bulan tapi sudah nampak macam tujuh bulan. Muka kakak aku pun sudah bulat semacam.
“Akak gi kemudian. Nasib baik abang Lan pergi lepas akak bersalin. Kalau tak akak tak tahu macam mana nak handle.”
“Nanti babies siapa nak jaga?”
“Mak mertua akak. Lepas tu akak kena cari bibiklah. Chaya nak jadi bibik akak tak? Akak kasik upah. Nak tak?”
“Kena bayar mahal sikitlah kak. Ini bibik bertauliah ni,” balasku.
“Yelah tu. Dah lah. Gi tolong Aunty siapkan semua benda tu.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience