Bab 34

Romance Completed 8896

SEPANJANG di restoran makanan segera itu, kami berbual tentang pertemuan pertama aku dan dia. Tiga empat kali aku minta maaf sebab aku kenakan dia sehabis tenaga aku ketika itu. Ketawa besar aku bila dia bersyukur kerana dia tidak cedera dikerjakan aku. Begitu juga dengan hal kemalangannya. Aku katakan yang aku tidak sangka Mika akan bertindak sebegitu rupa. Budak masih mentah dan aku katakan yang aku bangga juga kerana adikku boleh diharap untuk menjagaku jika aku teraniaya.
“Aku pun boleh jaga kau Chaya. Kau boleh bergantung dengan aku kalau kau perlukan pertolongan.”
“Terima kasih,” balasku.

“Esok kau tak kerja, kan?”
“Mm…”
“Aku ingat mulai esok, kau tinggal sajalah di kondo aku. Kau tak payah tinggal lagi di rumah lama kau tu. Lagi pun Subang dekat sedikit dengan Shah Alam. Senang kau nak berulang alik. Tak perlu nak bermalam di kedai tu.”
“Awak nak saya duduk di kondo awak? Saya tak pasti itu satu idea yang baik atau tidak.”

“Kenapa?”
“Kalau saya duduk di sana, awak nak duduk di mana?”
“Aku di rumah mak akulah. Kenapa? Kau nak aku tinggal dengan kau?”
“Gila!” balasku.
“Kau jangan risaulah. Aku akan selalu ke luar negara. Kalau aku balik ke sini, aku akan balik ke rumah mak aku.”
“Awak nak keluar negara lagi ke? Bila?”
“Minggu depan. Aku pergi dua atau tiga minggu.”
Aku menyudahkan minumanku. Lama juga dia hendak pergi.
“Nanti saya fikirkanlah. Lagipun saya ada kawan yang berkongsi bayar sewa.”
“Kalau kau tak kisah, aku boleh beri pampasan pada kawan kau tu.”
“Eh, saya kisahlah. Biar saya bincang dulu dengan dia.”
“Esok aku hantar kau balik. Kau bincanglah terus dengan dia. Lagi cepat kau masuk, lagi senang hati aku nak tinggalkan kau. Aku tak mahu kau bagi alasan yang rumah kau jauh dan lepas tu kau tidur di butik.”
Aku terkejut bila Han tahu aku pernah tidur di sana.
“Bapa kau yang beritahu aku. Dia suruh aku kawal pergerakan kau sikit. Katanya dia tak mampu nak jaga anak dara dia yang tak dengar cakap ni.”
“Itu tahun lepas saya memang baru kerja. Waktu tu ramai yang buat tempahan. Saya kenalah tolong sebab dah tak cukup tangan. Lagipun bukan saya seorang yang tidur di situ. Ada dua tiga orang perempuan lagilah.”
“Apa-apa pun sekarang ni kau dah jadi tunang aku. Jadi aku tak mahu kau bagi alasan yang sama juga. Keputusan aku muktamad. Mulai esok kau masuk kondo aku.”
“Eh! Nantilah dulu. Saya belum bincang lagi dengan Ula. Sabarlah.”
“Kalau macam tu, sebelum aku pergi keluar negara, kau mesti tinggal di sana.”
Aku tak mahu bagi keputusan. Tunggulah sampai aku berbincang dulu dengan Ula. Aku perlu dengar pendapat Ula juga.
“Jom balik,” ajakku.

HAN memang tidak boleh diharap. Aku dan dia melepak sehingga ke pukul empat pagi barulah kami mula berangkat balik. Ingatkan restoran makanan segera itu berhampiran dengan kawasan perumahan. Rupa-rupanya kena masuk dan keluar lebuhraya. Lepas itu bila hendak pulang, jauh pula perjalanannya.
“Saya nak tanya sesuatu,” kataku memulakan bicara di dalam jip merahnya itu.
“Apa dia?”
“Papa saya ada beritahu ketika keluarga awak datang dulu yang anak bujang mereka seorang ahli perniagaan. Awak ni bekerja ke sebenarnya atau pun menganggur?”
“Selama ni kau ingat aku buat apa?”
“Err…tak buat apa-apa. Menghabiskan duit Papa awak saja.”
“So, kau tak kisah kalau aku tak kerja apa-apa? Kau setuju nak kahwin dengan aku pasal kau tahu keluarga aku kaya.”
“Helooo!!! Siapa kata saya nak kahwin dengan awak. Kan saya nak fikir dulu sama ada saya nak teruskan atau tidak hubungan kita.”
“Kau tak payah fikir pun aku dah tahu. Kau akan teruskan juga. Kau belum jawab lagi pertanyaan aku. Kau nak dengan aku sebab bapak aku banyak duit atau kau suka aku?”
“Awak pun belum jawab soalan saya lagi. Awak ni menganggur ke atau ada kerja?”
“Kalau aku kata aku ada kerja, kau nak kata apa?”
“Alhamdulillah. Apa lagi saya nak kata? Syukur sajalah.”
“Pandai betul kau bagi jawapan ye.”
“Kalau awak bekerja, saya tambah markah untuk awak. Gaji kecik pun tak apa. Rezeki tu ada saja. Saya tak suka jenis orang yang menumpang hidup dengan keluarga.”
“Kau nak kata macam diri kau lah tu? Sampai kerja tak tentu arah asalkan kau tidak bergantung dengan keluarga kau.”
“Awak tak tahukah yang saya dulu kerja di sebuah syarikat swasta. Gaji empat angka tau.”
“Aku tahu. Kau berhenti sebab kau frust dengan boyfriend kau.”
“Excuse me and its ex-boyfriend. Dan untuk makluman awak, saya berhenti bukan sebab saya frust menonggeng. Saya berhenti sebab saya tak suka kerja yang membosankan.”
“Baiklah Cik Chahaya. Apa-apa saja asalkan awak saja yang tahu.”
“Baiklah Encik Sharhan. Ikut suka awaklah asalkan awak puas hati.”
Aku menguap.
“Kalau mengantuk, kau tidurlah dulu.”
“Tak payahlah. Saya gagah buka mata sampai ke rumah. Takut kalau saya tertidur jadi macam cerita novel yang Ula pernah ceritakan pada saya tu.”
“Cerita novel? Pasal apa?”
“Kisah heroin tertidur dalam kereta lepas tu hero ambil kesempatan pula.”
“Dia buat apa?” soal Han dengan ketawa kecilnya itu.
“Adalah. Malaslah saya nak cerita,” balasku sambil menggaru belakang tengkukku. Aku biasa berjaga malam tapi kalau lewat sampai ke pagi ni mengantuk betul. Aku menguap sekali lagi.
“Tidurlah Chahaya. Aku janji aku tak akan ambil kesempatan.”
“Yelah tu!”
“Betul. Kalau tak percaya, kau tidurlah sekarang.”
“No thank you. Anyway, saya nak tahu, awak ni ada kerja ke tidak?”
“Risau sangat ke kalau aku kerja atau tidak?”
“Mestilah. Gaji saya kecil. Sekadar boleh tanggung diri saya sendiri je. Tak cukup nak tanggung awak sekali.”
“Aku ada kerja,” balas Han.
“Ye? Kerja apa?” Aku toleh ke arahnya. Menanti jawapan dengan penuh sabar.
“Restoran yang kita lepak tadi tu, kedai aku,” katanya bersahaja.
Mulut aku ternganga. Betul ke tidak ni? “Serius? Awak tokey restoran tadi? Biar benar. Tapi awak bayar masa beli tadi. Kalau tokey, tak payahlah bayar.”
“Siapa kata aku tokey? Aku ni hanya rakan kongsi saja. Kawan aku yang buka restoran tu. Aku suntik modal dan dapat keuntungan saja. Jadi, kalau makan di situ masih kena bayarlah.”
Aku terdiam seketika. Berkira-kira di kepala. “Banyak ke dapat untung?”
“Boleh tahan kalau ada satu. Kalau banyak….”
“Banyak?” soalku. Mulutku ternganga kembali.
Han angguk sahaja. Dia ketawa sambil mencubit pipiku. Aku pantas menepis tangannya.
“Terkejut?”
“Awak ada banyak restoran, ke?”
“Ada dua saja. Ada bisnes lain juga. Sama juga. Aku suntik modal dan jadi rakan kongsi. Hal pengurusan, aku tak masuk campur.”
“Jadi awak memang ada duitlah.”
“Ada. Cukuplah kalau nak tanggung kau bila kita kahwin nanti.”
“Jadi betullah awak businessman macam Papa kata tu,” aku angguk kepala kerana memahami situasi sebenar.
“Lebih kuranglah kalau nak dikatakan businessman.”
“So, kerja awak dapat duit setiap bulan dan duduk lepak macam tu saja? Wah! Kalau macam tu, seronoknya hidup awak.”
“Nak hidup dengan saya?”
“Errrr….nanti saya fikir lagi,” balasku.
“Nak fikir apa lagi? Harta, duit dan kalau nak kata paras rupa pun aku ada. Apa lagi yang kau nak fikirkan.”
“Perasan! Ingat kahwin ni main tangkap muat ke?”
“Aku tunggu kau sehingga kau bersedia Chaya.”
“Tengoklah!” kataku. Seketika ada pesanan masuk ke dalam telefon bimbitku. Aku terlompat membaca mesej itu.
“Ada apa Chaya?”
“Kakak saya dah masuk hospital nak bersalin. Boleh tak kalau awak hantar saya ke Putrajaya sekarang?”
Han terus bawa keretanya menuju ke arah yang kupinta.

------------------------------///-------------------------------------------

“ULA. Aku ada satu lagi perkara nak bincang dengan kau.”
“Apanya?”
“Tunang aku tu kan…” aku memulakan bicara.
“Overlah kau ni,” perli Ula.
“Dia nak suruh aku pindah rumah.”
“Hah? Pindah mana pulak? Kau nak keluar dari sini ke?”
“Dia suruh aku duduk rumah dia. Dekat sikit dengan butik Eid.”
Aku lihat Ula sedang berkira-kira. Sampai senget mulut dia berfikir.
“Kau cadang nak keluar bila? Kita kena bagitau tuan rumah sebab aku kena cari orang lain kalau kau dah keluar nanti. Tak mampu aku nak bayar sorang-sorang,” jelas Ula.
“Aku faham. Aku tahu. Itu yang aku nak bincangkan dengan kau ni. Aku ada duit simpanan sikit. Duit deposit yang dua bulan tu aku ingat aku tak nak claim. Lepas tu, untuk sewa bulan-bulan aku bayar. Aku tak kisah kalau kau nak cari orang lain. Aku ingat nak standby saja. Manalah tahu kalau aku tak sesuai duduk di sana, aku boleh balik sini. Lagipun, aku duduk sana free. Dia yang bayar sewa.”
“Kalau kau cakap macam tu aku tak kisahlah. Apa-apa pun kau kena bagi tahu aku awal kalau kau tak boleh bayar sewa nanti.”
“Ok. Kalau aku tak boleh bayar sewa, aku suruh Malik masuk meminang cepat. Kalau kau kahwin dengan dia, tak payahlah kau sibuk duduk rumah sewa lagi.”
“Cakap senang. Nak buat tu yang susah tau.”

AKHIRNYA aku berpindah ke studio Han dua minggu selepas aku berbincang dengan Ula. Aku buat keputusan untuk terus membayar sewa rumah di Taman Melati. Tiga ratus ringgit setiap bulan. Aku mampu kerana bila aku tinggal di Subang, perbelanjaan pengangkutan aku akan berkurangan. Malah aku anggap seperti aku membayar sewa untuk unit studio itu.
Keluarga aku dan keluarga Han tahu yang aku berpindah masuk ke situ. Entah kenapa kedua-dua keluarga berfikiran terlalu terbuka. Anak dara masuk tinggal di rumah anak bujang lelaki. Papa aku tidak risau ke kalau-kalau Han terkam aku nanti? Manalah aku tahu sebab aku bukannya kenal sangat dengan perangai Han. Paling menarik ialah kenyataan Umi. Katanya, elok kalau aku belajar tinggal di rumah bakal suami. Nanti senang aku nak sesuaikan diri. Malunya aku.
Han tolong aku mengangkut beberapa buah beg dan kotak ke studionya. Itulah kali pertama aku kenalkan dia dengan Ula secara rasmi walaupun sebelum ini aku pasti Han pernah berjumpa atau melihat Ula di Cherating. Ula siap berpesan dengan Han supaya lebih peka dengan keperluan aku. Bunyinya lain macam. Aku faham benar dengan permintaan Ula itu. Dia hendak beri petunjuk kepada Han tentang perasaan aku. Nasib baik Han nampaknya kurang faham dengan maksud Ula. Kalaulah Han dapat tangkap maksud Ula, aku sendiri tidak tahu bagaimana untuk berhadapan dengan Han nanti.
Aku ingatkan bila dia ajak aku tinggal di studio, Han akan cantikkan tempat itu untukku. Malangnya, studio itu masih nampak seperti mana aku tinggalkan ketika aku mula datang ke sini dahulu. Apa yang aku lihat ialah kain baju miliknya sudah tidak ada lagi. Mungkin sudah diangkut keluar sebelum aku sampai ke sini. Kalau aku hendak duduk lama di sini, aku perlu buat sesuatu. Aku bukannya pandai menghias rumah. Bagiku, rumah mesti kemas dan tersusun. Kalau tidak kepala aku tentu berserabut nanti. Selepas meletakkan barang di dalam rumah, Han ajak aku balik ke Kajang untuk makan malam.
“Lepas makan nanti aku hantar kau balik,” katanya ketika dalam perjalanan ke sana. Sejak keputusan aku untuk meneruskan hubungan dengannya dua minggu yang lalu, Han kerap juga menjemput dan menghantar aku pulang ke rumah dari tempat kerjaku. Malah, ada sekali dia hantarku pulang ke Seremban dan menjemputku di KL Sentral. Walaupun kami berjumpa hampir setiap hari, aku dapati Han masih tidak berubah. Kenapa dia tidak boleh gunakan bahasa yang lebih baik sedikit.
“Saya nak buat permintaan boleh tak?”
Han memandangku.
“Kan aku pernah kata dulu, kalau kau nak apa sahaja, aku akan berikan pada kau.”
“Ok. Kalau begitu, boleh tak jangan bahasakan diri awak ‘aku’ dan pangil saya ‘kau’. Kau. Kau. Kau. Bunyi pun macam lembu, C.O.W.,” aku mengejek dan mengeja.
“Umph! Payah sikitlah kalau dah biasa,” balasnya.
“Kalau nak boleh cuba. Saya tak paksa,” balasku.
“Nak bahasakan apa? Saya dan awak?”
“Apa salahnya. Macam saya selalu cakap dengan awaklah. Ok kan?”
“Tak mahu guna I dan you?”
“Tak best,” balasku.
“How about Han dan Chaya?”
“Jiwang sangat. Geli!”
“Kalau macam tu, kita off set. Aku dan awak?”
“Dahlah. Nak guna ganti nama pun susah. Ikut suka awaklah,” aku terus pandang keluar tingkap jip. Malas bertengkar supaya Han berubah dalam penggunaan bahasanya.
“Aku suka awak.”
Aku tidak bergerak atau menoleh.
“Awak suka aku tak?” soalnya. “Awak suka aku atau tidak?” kali ini suaranya perlahan sedikit.
Aku angguk tapi tiada kata yang masih mahu keluar dari bibirku untuk mengakui yang aku bukan sekadar suka padanya. Aku sayang padanya. Aku menoleh sebaik sahaja tanganku ditarik dan dipegang oleh Han. Sebelah tangannya memegang stereng. Kami hanya diam tidak berkata apa-apa. Ketika ini aku benar-benar berharap kesunyian kedaan dapat dipenuhi dengan lagu yang menarik. Malangnya, radio jip merah milik Han tidak berfungsi. Hanya sebuah lagu sahaja yang bermain di ruang kepalaku.
“Awak tengah fikir pasal apa?” Han menyoal tiba-tiba. Kereta bergerak perlahan menyusuri lebuhraya yang masih belum sesak kerana waktu pejabat belum lagi tamat. Tangannya masih memegang tanganku.
“Saya tengah dengar lagu dalam kepala saya.”
“What song?”
“Alah, salah satu lagu yang adik saya suka dengar.”
“What song?” Han mendesak.
“Tak ingat tajuk.”
“Tipu.”
“Kalau tak nak percaya sudahlah.” balasku.
“Bila aku pegang tangan, awak menggigil. Kemudian awak dengar lagu tak ingat tajuk dalam kepala? Atau awak dengar lagu lain? Lagu jiwang karat?”
“Mana ada. Tak mainlah lagu jiwang,” kataku sambil menarik tangan dari genggamannya.
“Apa salahnya kalau awak dengar lagu yang romantik dalam kepala awak tu? Lagi baik kalau awak mainkan lagu dan bayangkan wajah aku sekali dalam lagu tu.”
“Nak buat apa?”
“Supaya awak rindukan aku bila aku tak ada di sini.”
“Awak jadi ke Australia esok ni?” soalku. Aku sudah sedia maklum yang Han ada urusan di Sydney. Katanya ini kali ketiga dia ke sana. Bila aku soal urusannya ke sana, Han hanya menjawab yang ada kerja yang perlu diuruskan di sana. Itu sahaja yang dia kata dan aku pula tidak mahu menyoal lebih-lebih. Mana tahu kalau ada perkara yang dia tidak mahu ceritakan dan aku hanya menyibuk sahaja.
“Berapa lama awak nak ke sana kali ni?” soalku lagi.
“Mungkin dua tiga minggu. Mungkin sebulan.”
Suasana kembali diam. Han tidak bercakap lebih dan aku pun tidak lagi untuk menyoal. Kami membisu sehingga sampai ke destinasi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience