HAN baru empat hari pergi dan aku sudah mengubah studionya menjadi tempat yang selesa untuk didiami. Studio itu tidak banyak barang. Mana yang tidak perlu aku masukkan ke dalam kotak. Aku sental lantai bilik air sehingga berkilat dan mop lantai studio beberapa kali sehingga terserlah cahaya lantai. Beberapa ekor labah-labah yang menjadi penghuni di situ terpaksa berpindah keluar dari studio kerana aku telah sapu bersih sawang yang memenuhi ruang di atas siling. Aku buang langsir yang sudah separuh abad. Amy ada memberikan aku langsir lamanya bila aku mengadu keadaan studio Han. Bila aku gantung langsir yang berwarna oren dan krim itu, barulah nampak pencahayaan yang menarik masuk ke dalam ruang tamu. Amy juga ada dermakan sebuah karpet kepadaku. Karpet itu aku gunakan di ruang hadapan tamu yang kecil itu.
Kalau ikutkan hati, aku ingin buang satu-satunya sofa yang sudah lusuh. Aku tidak kuat untuk mengangkatnya, jadi untuk mengelak dari pandangan yang kurang enak, aku tutup sofa dengan cadar single aku. Mujurlah tilam dan katil dalam keadaan yang masih elok. Aku beli cadar baru dan buang terus cadar lama. Aku turut buang kedua-dua bantal dan bantal peluk milik Han kerana aku tidak tahan dengan corak peta yang terhasil di atas bantal. Selama empat hari aku tidur beralaskan selimut sebab aku takut Han tiba-tiba datang melawatku. Sekarang, bila dia sudah jauh di Australia, bolehlah aku mengubahsuai sedikit keadaan studio ini.
Han hanya menelefon aku sekali sekala sahaja dari sana. Katanya dia tidak boleh nak berbual panjang dengan aku kerana dia agak sibuk menguruskan kerjanya. Setiap kali dia telefon, dia bisikkan yang dia rindukan aku. Ada sekali aku terlepas kata yang aku rindukan dia. Kemudian Han terus terdiam di sebelah sana. Memang benar aku rindukan dia. Allah sahaja yang tahu betapa hati ini teramat merindui lelaki itu. Setiap masa aku teringatkan dia. Setiap kali aku menelefon keluarganya atau pun keluarga aku, pasti sahaja cerita tentang dia yang aku bualkan..
Bila malam, aku bayangkan hidup aku dengan Han di studio ini. Hanya kami berdua sahaja. Aku bayangkan yang dia meluahkan perasaan cintanya dan aku juga demikian. Aku juga bayangkan yang kami merancang untuk berkahwin di Cherating, bersempena dengan tempat kami mula bertemu. Kalau difikirkan, memang aku sudah sampai ke tahap gila bayang. Aku gilakan Han dan aku rasa aku tidak pernah sebegini gila ketika aku bersama dengan Nizam dahulu.
Berbeza pula bila aku di butik. Aku ada kawan untuk berbual. Jadi, aku tidak terlalu memikirkan tentang Han sampai begitu sekali. Lebih-lebih lagi bila aku berkenalan dengan seorang pensyarah di sebuah universiti yang datang mengunjungi butik untuk membuat tempahan. Aqilah atau dikenali dengan panggilan Kiki ialah seorang wanita dalam lingkungan tiga puluhan yang cukup mesra bila berbual. Apa yang buat aku tertarik dengan Kiki ialah dia sudah mengembara ke beberapa buah negara atas misi kemanusiaan. Menurutnya, dia berdaftar dengan sebuah badan amal dan selama ini menjalankan aktiviti sukarelawan di bawah naungan organisasi yang tidak berteraskan keuntungan itu. NGO atau Non-Profit Organization. Pada mulanya Kiki mendaftarkan diri dengan sebuah badan kebajikan. Sekarang, selain daripada bdan kebajikan tersebut, dia juga bergerak bebas dan menerima tugas daripada mana-mana badan NGO lain. Misinya yang terakhir ialah memberi bantuan kepada mangsa banjir di Indonesia.
“You tak teringin ke nak jadi sukarelawan?” soalnya kepadaku ketika dia datang membuat penyesuaian baju kurung untuk ke majlis rasmi universiti.
“Nampak macam menarik Kak Kiki tapi Chaya tak ada pengalaman.”
“Tak ada pengalaman, kena pergi dapatkan pengalaman.”
“Dengar macam menarik tapi Chaya tak pernah ke luar negara. Takut pula kalau pergi mana-mana dan tak kenal sesiapa.”
“Kalau pergi pun bukannya pergi seorang. You pergi satu kumpulan. Jadi, tak ada masalah kalau tak kenal orang. Kalau nak belajar, jadi sukarelawan dalam negara dulu. Dapatkan pengalaman tu. Kemudian, kalau dah rasa seronok, cuba terima kalau ada keperluan untuk ke luar negara pula.”
“Cubalah Chaya. Eid pun dah pernah jadi sukarelawan di perkampungan orang asli. Seronok tau. Kadangkala, kita ingat kita ni masih banyak yang kurang, tapi bila kita pi tempat macam tu, baru kita tau, nasib kita ni sebenarnya jauh lebih baik. Lepas Eid pi sana, Eid bersyukur sangat yang walaupun hidup Eid ni tak sempurna, sekurang-kurangnya Eid sudah ada hala tuju untuk kehidupan ini. Chaya cubalah kalau berminat. Daftar dengan badan yang Eid masuk tu,” celah Eid.
Aku pun baru tahu Eid berdaftar dengan sebuah NGO dan sudah dua tahun menjadi sukarelawan.
“Kalau nak you boleh masuk mana-mana badan kebajikan yang menarik minat you. Ikutlah citarasa you nak bantu pihak mana. Semuanya ada di Malaysia ni. Kami yang dah terlibat ni alu-alukan sangat kepada orang baru untuk masuk. Yelah, kalau tak mahu berbelanja duit untuk kebajikan, apa salahnya berbelanja tenaga yang ada,” tambah Kiki lagi.
“Kalau daftar dengan satu badan kebajikan tu, kita nak kena ikut aktiviti badan tu saja ke?” soalku untuk tahu lebih lanjut lagi.
“Tak juga. Berdaftar dengan satu badan supaya kita boleh dapat maklumat apa yang badan tu lakukan. Tapi kalau you nak ikut buat projek dengan badan lain pun tak ada masalah. Kalau you dapat je maklumat, you pergi saja. Orang tak akan halau you balik. Setakat ni, I ikut juga mana-mana aktiviti seperti AWAM dan MERCY.”
“Bunyi macam menarik sangat, tapi Chaya kena tanya Papa Chaya dululah.”
“Nak kena tanya Papa ke atau tunang?” tegur Amy.
“Chaya dah ada tunang ke?” soal Kiki sambil membelek baju gaun yang dipakainya manakala Amy pula menyemat pin pada lipatan kaki gaun mengikut ketinggian Kiki.
“Dah. Tapi pendapat dia tak penting. Yang penting restu Papa, betul tak?” jawabku sambil meminta pendapat Eid.
“Restu keluarga memang perlu Chaya tapi restu bakal suami kena dapatkan juga. Nanti dia merajuk, kau juga yang rugi,” balas Amy pula.
“Daripada Chaya dapatkan restu dia, lebih baik Chaya dapatkan restu korang sebab bila dah jadi sukarelawan mesti nak kena tinggalkan kerja untuk buat kerja sukarelawan tu, kan. Jadi, restu majikan lagi pentinglah!”
SESAWANG Internet adalah sumber rasmi untuk mendapatkan maklumat berkaitan dengan tugas dan tanggungjawab yang bakal dihadapi oleh sesiapa yang ingin menjadi seorang sukarelawan. Kelayakan yang diperlukan untuk menjadi seorang sukarelawan pun tidaklah menyusahkan pemohon. Selain daripada sihat tubuh badan dan keyakinan diri, kesanggupan untuk meluangkan masa dan tenaga amat diperlukan. Tiada bayaran atau pun penghargaan. Aku tertarik. Suara hatiku pula seringkali membisikkan kepadaku supaya aku lakukan sesuatu dalam hidupku ini. Seolah-olah menyuntik semangat untuk aku melakukan kebajikan, bukan untuk orang lain, tetapi untuk diriku sendiri.
Aku dapati terdapat banyak cabang badan amal yang aku boleh daftar. Malah terdapat beberapa pusat latihan untuk sukarelawan yang berdekatan di sekitar Lembah Kelang. Mudah untuk aku kalau aku buat keputusan nanti. Pilihan di tanganku. Semuanya bergantung kepada pengalaman yang ingin aku rasai. Aku tertarik dengan badan-badan kebajikan yang berjuang untuk alam sekitar. Untuk mendapatkan persekitaran yang lebih bersih dan sihat untuk semua. Aku tidak berminat kalau tugasku hanya untuk memberi kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya kitar semula ataupun menyebarkan iklan tentang penjagaan rumah untuk mengelakkan nyamuk Aedes.
Begitu juga badan amal yang berjuang untuk pesakit tertentu terutamanya penyakit AIDS dan kanser. Terus terang, aku tidak berani untuk mendekati pesakit AIDS. Mungkin aku takut bila mendengar sahaja penyakit yang membunuh dan berjangkit itu. Walaupun aku takutkan penyakit itu dan takut dekat dengan pesakit AIDS, aku amat hormati mereka yang memberi bantuan, terutama sekali yang tidak kisah untuk menjaga pesakit seperti itu. Bukan sembarangan orang yang sanggup berhadapan atau sukarela bekerja seperti itu. Semuanya bergantung kepada pemikiran individu. Kalau pesakit kanser pula, aku takut aku tidak sanggup. Pesakit kanser hanya perlukan penjaga yang ceria supaya hidup mereka lebih gembira. Belum mencuba, aku sudah tahu yang aku ini amat sensitif. Dibuatnya aku menangis ketika menjaga para pesakit, tidakkah haru biru nanti?
Organisasi seterusnya yang aku baca ialah kategori yang memberi bantuan sukarelawan kalau ada kecemasan seperti berlakunya peperangan atau bencana alam seperti tsunami dan sebagainya. Contoh yang aku baca ialah Global Peace dan MERCY Malaysia. Paling hebat ialah MERCY. Memang dasyat pengalaman seorang doktor wanita yang terlibat dengan MERCY. Berkobar-kobar aku membaca tentang perjuangannya. Aku cuba bayangkan kalau aku berada di tengah kemelut peperangan untuk memberi bantuan kepada rakyat Palestin. Aku tahu perjuangan seperti itu terlalu murni tetapi mungkin bukan untukku. Aku tidak tahu. Mungkin aku takut mati awal atau aku tidak sanggup hidup melihatkan penderitaan orang lain. Apa yang pasti, aku tidak mampu dari segi mental untuk menjadi sukarelawan seperti itu.
Aku tahu aku boleh bergaul dengan kanak-kanak. Ada beberapa badan dalam dan luar negara yang menjaga kepentingan kanak-kanak. Ada beberapa pilihan seperti pendidikan, anak yatim dan juga penderaan. Kalau aku ingin salurkan pengalaman, mungkin aku boleh buat kebajikan di rumah anak-anak yatim. Aku kehilangan Mama ketika kecil lagi. Aku tahu apa rasanya tidak mempunyai seorang insan yang terpenting dalam hidup. Suara hatiku berbisik lagi. Inilah yang ingin aku lakukan. Menabur bakti kepada anak-anak yang tidak bernasib baik. Aku lihat ada beberapa badan amal yang mengkhusus ke arah keperluan anak-anak yatim di samping beberapa projek lain.
Selepas menilai antara dua badan kebajikan, akhirnya aku mendaftarkan diri secara talian dengan salah sebuah badan amal. Aku rasa aku tidak perlu berbincang dengan sesiapa terlebih dahulu. Tambahan pula, ini kerja amal jariah bagiku. Buat apa aku hendak khabarkan yang aku ingin buat amal? Beberapa tahun sahaja lagi aku akan mencecah tiga puluh tahun. Aku layak membuat keputusanku sendiri. Akhirnya, aku isi borang di talian dengan sebuah badan kebajikan.
“YOU dah dapat jawapan ke belum lagi?” soal Kiki apabila dia datang mengambil baju yang ditempahnya tempoh hari. Berkenaan pendaftaranku sebagai sukarelawan sudah heboh diperkatakan di butik itu. Semunya pasal mulut Amy yang tidak boleh diharap menyimpan rahsia.
“Respon email tu adalah tapi tak ada pula yang telefon untuk panggil buat kerja sukarela,” balasku sambil aku seterika sehelai gaun yang tergantung dengan seterika wap.
“Nak ikut I tak?” tanya Kiki.
“Pergi mana?” belum sempat aku menyoal, Eid dulu yang bertanya.
“Hujung minggu ni I buat projek dengan budak-budak fakulti. Pergi masuk hutan bakau, buat penanaman semula pokok bakau.”
“Ada juga ke projek macam tu?” soalku.
“Eh. Mestilah ada. Seronok tau. Setiap tahun kami buat aktiviti ni. Elok juga kalau you all semua nak pergi. Kereta I dah penuh. Kalau nak pergi kena naik kenderaan sendirilah.”
“Buat kat mana Kiki?” soal Eid.
“Sabak Bernam. Kalau you all berminat, nanti I mesej alamatnya. Kita berkumpul depan kawasan pejabat I pukul tujuh pagi. Hari Sabtu ni. Ajaklah kawan-kawan yang lain tapi beritahu I berapa orang sebelum hari Jumaat ni. Senang I nak arrange nanti,” kata Kiki sebelum dia keluar dari butik dengan beg berisi pakaiannya.
“Siapa yang berminat, habaq mai?” Soal Eid.
Dalam kedai itu hanya ada aku, Eid dan Amy sahaja.
“Kalau kau orang nak pergi, pergilah. Butik ni mana boleh tutup. Aku tak mau pergi. Tak naklah masuk dalam paya bakau tu. Entah ada binatang apalah nanti,” kata Amy.
“Macam mana Chaya. You nak ikut tak? Kita pergi berdua. Nak tak?”
“Boleh juga. Tapi bos tak marah ke?” soalku sambil menunjukkan kepada Amy.
“Bos ni sporting. Awal tahun ni tak banyak tempahan. Pergilah korang enjoy,” balas Amy.
“Terima kasih bos. Nanti saya bawa balik pokok bakau satu,” kataku sambil seronok ketawa. Aku teruskan seterika gaun sambil menyanyi-nyanyikan lagu yang ada kaitan dengan pokok bakau. Lagu Bangau oh Bangau aku ubah lirik menjadi Bakau oh Bakau.
“Senang hati nampak,” tegur Amy.
“Mestilah. Kita first time nak masuk paya bakau tau. Paya pun kita tak pernah masuk. Inikan pula nak tanam bakau,” balasku.
“Ingat senang nak jalan dalam paya. Ingat lagi tak masa di Kedah dulu tu? Bendang berlumpur tu pun kau susah nak bergerak. Inikan paya yang lagilah susah nak jalan,” balas Amy memberi amaran kepadaku.
“Oh ye ke? Macam jalan dalam lumpur sawah tu je ke? Kalau macam tu saya kena cari kasut murah sikit ni,”
“Kalau kita jadi pergi, kita pergi hari Sabtu ni kan?” soal Eid kepadaku .
“Ha’ah.”
“Bukan ke tunang kau nak balik esok lusa?”
“Ha’ah la. Dia balik Khamis malam ni.”
“Mesti dia cari kau nanti.”
“Apa susah. Kita ajak dia sekalilah,” balasku.
Share this novel