SEKALI lagi aku kembali kepada titik permulaan dalam hidupku. Aku masih bersendirian dan aku tiada pekerjaan. Penganggur sepenuh masa seperti yang Mika selalu jelaskan kepada kawan-kawannya. Aku kembali tinggal di rumah Seremban. Aku simpan sahaja tahap maluku kerana tidak dapat berdikari buat masa kini. Aku tahu, masanya akan tiba juga bila aku akan dapat apa yang aku inginkan. Sebuah pekerjaan untuk menampung hidupku seorang diri. Untuk kupenuhi waktu terluang itu, aku ambil alih tugas Mami Zan untuk menghantar dan mengambil Mika dari sekolah ataupun bila dia ada aktiviti tertentu. Sememangnya aku sudah cekap memandu.
Hari ini aku akan berjumpa dengan Erin. Setelah balik dari Kemboja lebih seminggu yang lalu, inilah kali pertama aku bertemu sua dengan Erin. Aku tidak sabar melihat Erin. Aku hentikan kereta yang ku pinjam dari Mami Zan. Aku terus mengambil beg kertas berisi hadiah yang kubawa balik dari Kemboja. Sehelai baju T untuk Uncle Omar, sehelai selendang untuk Aunty Elis dan pelekat magnet peti ais untuk Erin. Aku pasti sangat Erin belum pernah ke Kemboja. Aku beri salam sebelum masuk ke dalam banglo Aunty Elis.
“Walaikumsalam. Chaya ke tu? Masuklah,” aku dengar suara Aunty Elis dari dalam. Aku terus buka pintu dan melangkah masuk. Aku berhenti bila lihat wajah Erin yang terkejut melihatku. Aku senyum sambil menyapa dia.
“Congratulation babe! Aku tak sangka kau dah berhijrah rupanya. Mama aku mesti terkejut ni. Jom pergi dapur. Aku nak tengok reaksi Mama aku,” kata Erin tanpa memberi peluang untuk aku menarik nafas. Dia segera menarik tanganku ke dapur rumahnya.
“Mama tengoklah anak saudara Mama sekarang ni, tadaaaa….” katanya kepada Aunty Elis. Aku nampak Aunty Elis yang ketika itu sedang memerah santan terhenti tatkala memandangku. Dia terus ke sinki untuk membasuh tangan dan mengarahkan pembantu rumahnya untuk menyudahkan kerja yang terbengkalai.
“Syukur Aunty tengok Chaya macam ni. Si Erina ni entah bila nak ikut jejak kita ye, Chaya? Pandai Chaya pakai tudung lilit macam ni. Nampak manis betul. Sejak bila Chaya bertudung ni, sayang?”puji Aunty Elis sambil dia membelek kemasan selendangku.
“Baru sebulan lebih Aunty. Masa di Kemboja.”
“Seronok kau bercuti di sana?” kali ini Erin pula mencelah.
“Aku tak bercutilah. Tolong Kak Kasih jaga Princess dengan Puteri.”
“Princess dengan Puteri? Bukan nama bebudak tu Maya dengan Sara ke?” soal Aunty Elis kepadaku. Aku ketawa kecil.
“Maya dengan Saharalah Aunty. Saja Chaya panggil mereka Princess dengan Puteri.”
“Apa-apalah Chaya ni,” kata Aunty Elis. Suasana menjadi diam seketika. Aunty Elis bersuara kembali.
“Chaya nampak gembira sekarang. Alhamdulillah. Aunty bukan nak jaga tepi kain Chaya tapi Aunty nak tumpang tanya. Chaya bagaimana sekarang ni?”
Aku faham maksud Aunty Elis tapi aku cuba mengalih perbualan ke arah topik yang berbeza. Kalau Aunty patah balik ke arah topik yang sama, aku terpaksa berterus terang sahaja kepada kedua-dua mereka.
“Macam inilah Aunty. Tengah cari kerja. Dah lama tanam anggur, Papa dah pandang Chaya lain macam saja.”
Aku lihat Aunty dan Erin bertukar pandangan.
“Eh! Kalau nak, kau kerjalah dengan Mama sebab Mama asyik suruh aku berhenti saja. Tolong dia jual perabot.”
“Hah eloklah tu. Memang itu warisan kau pun. Betul tak Aunty?”
“Pandai pun Chaya. Kami laki bini siang malam kerja usahakan bisness tu sebab nak pass dekat anak perempuan kami ni tapi dia yang tak ingin pulak nak ambil alih.”
“Bukan Erin tak nak Mama. Erin tak sedia lagi.”
“Nak sedia bila lagi Sayang. Kan lebih baik kalau Erin jaga kedai tu daripada sekejap terbang, sekejap turun. Dulu masa bujang Mama tak kisah. Sekarang bila dah bersuami, kenalah jaga suami tu baik-baik. Sekaranglah masa yang sesuai untuk Erin tinggalkan dunia penerbangan tu. Tolong Mama dengan Papa uruskan bisnes.”
“Kalau Erin quit, Erin kena bayar ganti rugilah Ma.”
“Kalau macam tu, kita bayar. Kita ada duit. Kalau Erin betul-betul nak quit, kita bayar ganti rugi tu.”
“Betul tu Aunty. Lainlah kalau kapal terbang tu tak boleh terbang tanpa Erin.”
Pang! Satu penampar hinggap di bahuku.
“Tengok tu Aunty. Main kasar isteri orang ni.”
“Kau memang nak aku berhenti kan? Dari dulu lagi kau tak berapa nak setuju aku jadi pramugari, betul tak?”
“Siapa kata aku tak suka. Suka perr.... Kau selalu bagi buah tangan masa kau mula-mula terbang oversea dulu. Lepas dua tiga kali kau terbang, aku dah tak nampak dah sebarang buah tangan. Sebut pasal buah tangan, ini je yang Chaya mampu bawa dari Kemboja untuk Aunty, Uncle dan kau.”
“Apa-apa yang Chaya bawa balik, kami terima. Murah ke mahal ke sama saja,” balas Aunty Elis. Erin keluarkan barang-barang dalam beg kertas dan aku nyatakan hadiah apa untuk siapa. Sebaik sahaja dia dapat pelekat magnet, dia terus lekatkan di peti sejuk keluarganya.
“Kau tak pernah ke sana. Sebab tu aku belikan untuk kau.”
“Thanks babe. I appreciate it.”
“Bagaimana preparation grand wedding kau di Marriott nanti?” soalku kepada Erin. Semasa aku dapat email ketika di Kemboja dahulu, Erin kata dia pilih Marriott Putrajaya sebagai lokasi majlis perkahwinannya. Bukan main hebat. Aku tidak pernah menghadiri sebarang majlis perkahwinan di hotel terkemuka seperti itu. Pasti aku tidak akan melepaskan peluang untuk menghadiri majlis itu. Pastinya, aku ingin mendapatkan peluang berjumpa dengan Han.
“Dah almost nak settle. Tinggal food tasting dengan confirm decoration je. Jom masuk bilik aku berbual. Aku tertinggal phone di atas. Takut Ikram telefon pulak,” ajak Erin.
Aku minta izin Aunty Elis sebelum mengekori Erin naik ke atas.
“SUSAH aku nak bual dengan kau pasal hal lain depan Mama aku. Nanti dia tanya banyak soalan, kau juga yang tak boleh tahan.”
“Pandai kau baca fikiran aku kan, Erin.”
“Kita membesar sama-sama. Aku tahu sangat apa perasaan kau. Kekadang je aku tak mahu tunjuk lebih-lebih. Kau pun sama. Tahu je apa yang aku nak.”
“Mmmm…untung aku ada kawan bernama Raja Erina. Apa yang kau nak cerita dengan aku sampai beria-ria suruh aku ke sini hari ni.”
“Memang ada benda aku nak beritahu kau. Ikram cakap dengan aku yang Han akan balik untuk wedding kami nanti. Kau dah bersedia ke nak jumpa dia?”
“Betul ke? Bila Ikram cakap dengan Han?” Seronok rasa hati bila aku dengar berita yang Erin sampaikan kepadaku ini.
“Ikram kata dua hari lepas Han called dia. Han ada di London sekarang ni. Kau tahu tak?” Bila Erin nampak aku geleng kepala, Erin ceritakan lagi kepadaku “Selama ni family dia ingat dia ada tempat lain. Rupa-rupanya dia di sana.”
“Dia ada kawan baik di sana,” balasku. Mungkin dia ke sana kerana Nina. Itu sahaja alasan yang aku ada. Entah kenapa timbul rasa cemburu juga. Tidak mungkin dia dan Nina akan bersama. Mereka sendiri mengaku bahawa mereka hanya bersahabat. Tidak lebih dari itu. Aku masih percayakan kata-kata mereka berdua. Ia buat hati aku tenang seketika.
“Oh ye? Si Nina tu ke?”
“Mmm..”
“Tak ada apa-apa kan? Dah..kau jangan fikir yang bukan-bukan. Aku rasa dia mungkin cari Nina sebab Nina tu memang kawan baik dia kan?”
“Aku tak kisah kalau Han pilih Nina, Erin. Aku dah buat dia macam tu. Mesti dia marah betul dengan aku. Lagipun, aku lebih suka dia dan Nina daripada dia pilih perempuan lain yang aku tak tahu dan kenal.”
“Habis tu kau nak sangat jumpa Han kenapa Chaya?”
“Dulu aku nak dia semula Erin. Masa aku di Kemboja, aku rasa apa yang lebih penting ialah kemaafan dari dia. Kalau itu yang aku dapat, aku akan rasa bahagia.”
“Aku pasti Han masih sayangkan kau, Chaya.”
“Entahlah. Dah beberapa bulan dia tak balik ke sini. Tak berhubung dengan keluarga dia. Aku kesiankan Umi dan Mama Jah. Setiap kali aku telefon, sama ada aku yang menangis atau pun salah seorang daripada mereka yang menangis. Kalau aku tak buat perangai, Han mungkin tak lari dari rumah.”
“Dahlah tu. Jangan fikir sangat hal dulu.”
“Baiklah. Aku tak fikir dah. Baju pengantin kau dah siap ke belum?”
“Dah siap pun. Sepasang je. Aku kan pengantin basi. Dah berbulan nikah baru nak bersanding. Basi tak basi pun, aku tak kira. Bersanding tetap bersanding.”
“Kau dengan Ikram macam mana sekarang?”
“Macam tu juga tapi dah ada improvement. Boleh nak bertolak ansur sikit.”
“Aku ingat lebih baik kau ikut saja cadangan Mama kau tu. Berhenti kerja dan ambil alih bisnes family kau. Duduk je Seremban ni.”
“Sebenarnya aku pun terfikir macam tu juga. Kalau aku kerja di sini, aku boleh beri lebih perhatian kepada Ikram. Aku tengok Kak Kasih tu best betul. Ada dua baby sekaligus. Lepas tu kerja jadi Puan Besar. Aku pun teringin juga nak jadi macam tu.”
“Then, kau jangan fikir banyaklah Erin. Quit and start a new life.”
“I’ll probably do that. Thanks Chaya. Aku harap kau juga akan dapat kehidupan yang kau inginkan suatu hari nanti.”
“Aku dah dapat Erin. This is just the start of it all,” kataku sambil menunjukkan tudung yang kupakai di kepala.
Share this novel