“MAKAN lagilah Chaya. Biar badan tu kuat sikit,” pujuk Mama. Tengahari tadi aku dibenarkan keluar dari hospital. Han dan Papa Mi terus membawa aku pulang ke Kajang. Umi dan Mama tidak datang sekali menjemputku kerana sedang buat persediaan di rumah. Rupa-rupanya mereka sedang sibuk memasak untukku. Semangat sungguh aku tengok lauk pauk yang terhidang di meja makan.
“Ya minta maaf tapi Ya dah kenyang Ma,” balasku. Aku guna kata nama baru supaya nampak kelainan di antara Chahaya dahulu dan Chahaya yang hilang ingatan ini.
“Biarlah Ma. Dia dah kenyang tu,” tambah Han yang berada di sisiku. Sedari tadi sejak dia duduk di sebelahku, tangan kirinya asyik di peha kananku. Sehinggakan hendak makan pun aku rasa kurang senang. Dia mengambil bekas air untuk membantu membasuh tangan ku. Jahitan di tangan sudah hampir hendak kering. Terasa menyengat sekali sekala. Panjang juga jahitan itu lebih kurang dua inci lebih. Walaupun begitu, aku masih dapat menggunakan tangan kananku untuk makan. Syukur sungguh kerana tidak ada tulang yang patah atau kecederaan yang lebih teruk. Semua ahli keluarga Han sedang makan malam bersama di meja makan. Umi asyik memandangku. Aku hanya membalas dengan senyuman. Seolah-olah aku tidak berapa mengenali Umi.
“Chaya ada ingat sikit apa yang berlaku?” soal Mama kepadaku.
“Ya ingat dan kadang-kadang Ya nampak macam Ya tengah daki bukit yang ada banyak pokok. Ada beberapa orang bersama Ya tapi Ya tak ingat siapa dan di mana,” balasku dengan wajah yang kelihatan keliru. Di dalam hati aku berdoa agar tiada lagi soalan yang diajukan kepadaku.
“Bila Ya ingat ni? Kenapa abang tak tahu?” Han menyoalku. Wajahnya serius sekali.
“Ya tak boleh ingat semuanya. Jadi Ya tak tahu nak cerita macam mana.”
“Nampaknya betul cakap doktor. Chaya sedang peroleh balik ingatan dia tu. Cuma jangan paksa sangat Chaya. Takut sakit kepala nanti,” pesan Papa Mi.
“Ya pun nak ingat semuanya,” balasku perlahan. Aku melihat Umi asyik memandangku lagi. Apa yang Umi sedang fikirkan itu. Aku tunduk sahaja.
“Kalau dah selesai, Han bawalah Chaya berehat di dalam bilik. Mungkin dia penat. Perlukan rehat,” kata Mama.
“Baiklah Ma. Han masuk dulu. Mari Ya,” ajak Han kepadaku. Aku bangun dan minta izin dari semua untuk pergi masuk berehat. Sebelum itu aku ingin mengangkat pingganku dan Han untuk dibawa masuk ke dapur tetapi ditegah oleh Umi. Bibik dipanggil untuk membuat kerja yang ingin aku lakukan itu.
Han memaut pinggangku dan kami berjalan menuju ke bilik yang pernah menjadi bilik pengantin kami dua minggu yang lalu. Han melepaskanku dan membiarkan aku berjalan sehingga ke katil. Aku lihat katil dan perabot di sekeliling seolah-olah cuba mengingati sesuatu. Sama seperti tengahari tadi ketika aku keluar dari hospital. Bila aku bersiap dengan pakaian yang disediakan oleh keluargaku yang ada bersama sebelum aku keluar. Bila ku capai tudung, aku seperti menyoal Han samada aku memakai tudung kepala selama ini. Mengujinya samada dia suka aku bertudung atau tidak. Jawapan Han buat aku rasa ingin memeluknya. Katanya, aku lebih cantik bila bertudung dan dia bangga berkahwin dengan perempuan yang tahu hukum agama.
“Cantik rumah abang,” kataku bersahaja sambil melihat ke luar tingkap.
“Masa Ya mula ke rumah ni, Ya datang untuk jaga seseorang yang sakit. Ya jaga dia dengan ikhlas dan orang yang Ya jaga tu terus jatuh hati dengan Ya.”
“Abang ye? Kenapa Ya kena jaga abang pula? Takkan Ya jadi jururawat?”
Han tergelak mendengar jawapanku. Dia menghampiriku.
“Bukan jururawat pun tapi Ya kena jaga abang sebab keluarga Ya berhutang dengan abang.”
“Keluarga Ya buat apa sampai berhutang dengan abang?”
“Adik Ya, Mika, rosakkan motosikal abang sehingga abang accident. Sebagai balasan Ya yang kena jaga abang sementara keluarga abang pergi Haji.”
Aku pura-pura cuba cari ingatan itu sehingga berkerut dahiku. Untuk menambah kesannya, aku duduk di birai katil. Sebab lainnya kerana Han terlalu rapat denganku. Takut dia dapat dengar debaran jantungku yang tidak menentu ini.
“Ingat?”
Aku gelengkan kepala.
“Teruk ke abang accident?”
“Boleh tahan juga. Patah sana sini,” jelas Han sambil menunjukkan kaki dan tangannya kepadaku.
“Mungkin apa yang jadi pada Ya ni balasan sebenarnya tak?” balasku pula.
“Jangan fikir yang bukan-bukan. Dah perkara nak berlaku. Abang dah ok. Ya rehatlah. Abang keluar sebentar. Kalau Ya nak apa-apa, janganlah malu pula. Kami semua di sini keluarga Ya juga,” katanya kepadaku.
Bila dia keluar dari bilik, aku terus meloncat gembira perlahan-lahan. Nampak gayanya suamiku berubah sama sekali. Baru aku hendak berseronok, ada seseorang yang mengetuk pintu. Sebentar selepas itu, Umi masuk berseorangan sambil tersenyum. Bila dia tutup pintu aku terus meluru memeluknya. Aku pasti Umi sedikit hairan dengan perbuatanku. Aku tarik tangan Umi ke katil.
“Chaya kenal Umi!” kataku kepadanya.
“Ye? Tadi Chahaya dah dapat ingat?” soal Umi. Dia nampak sungguh teruja dengan perkembanganku.
Aku buat ketawa nakalku.
“Dah lamalah Umi. Ini Chahayalah,” kataku kepadanya.
“Alhamdulillah. Chahaya dah dapat kembali ingatan. Han dah tahu ke belum ni?”
“Umi….Selama ni Chaya tak hilang ingatanlah.”
“Hah! Habis tu yang tak kenal kami semua masa bangun di hospital?”
“Chaya berlakonlah Umi. Nak tengok Abang Han sayang Chaya ke tidak.”
“Subhanallah budak ni!”
Aku kena cubit di peha.
“Umi janganlah marah. Chaya dah beritahu pun pada Umi ni.”
“Chahaya buat macam ni, risau semua orang. Tahu tak?”
“Tahu Umi. Chaya minta maaf sangat-sangat. Tapi Kak Suri tahu Chaya tengah bohong semua orang. Dan sekarang Umi dah tahu. Tapi Chaya nak minta tolong Umi jangan beritahu sesiapa. Chaya minta beberapa hari saja lagi. Boleh tak Umi?”
“Kamu nak kenakan suami kamu tu ye?”
“Umi tahu tak, dia bawa Chaya pergi honeymoon di Taman Negara. Bukannya Cameron Highlands. Kecil hati tau. Lepas tu dia tinggalkan Chaya seorang diri dan dia pergi fishing. Kalau dia temankan Chaya, pasti Chaya tak jatuh hari tu,” aku mengadu kepada Umi.
“Ini kes kamu merajuklah ni. Hai cucu Umi tu memang degil sikit. Eloklah tu dapat isteri macam kamu ni. Sepadan betul. Tapi jangan tipu lama-lama. Kesian Umi tengok Han semasa kamu masuk hospital. Tak senang duduk dia. Sebab dia tak boleh bermalam di hospital Jerantut, dia terus uruskan kamu ke sini. Supaya dia boleh temankan kamu siang dan malam.”
“Betul ke Umi?” soal aku tidak percaya.
“Sepanjang Chaya tak sedar diri, dia resah memanjang. Salahkan diri dia. Ada sekali tu Umi perasan dia menangis.”
“Maknanya dia sayang Chayalah, Umi. Padan muka dia. Layan Chaya macam tu. Chaya dah cuba nak berdamai tapi dia jual mahal.”
“Ish! Nasib baik kamu pura-pura lupa. Kalau lupa ingatan terus, tak ke menyesal.” balas Umi sambil melurut rambutku dengan manja.
“Kalau lupa terus macam mana Chaya nak menyesal,” balasku.
“Bertuah betul budak ni menjawab. Jadi, bila Chaya nak berterus terang dengan yang lain. Jangan lama-lama sangat nak menipu tu.”
“Beri Chaya sikit masa lagi. Chaya belum dengar lagi pengakuan dia. Bila dia dah declare dia cintakan Chaya, barulah Chaya declare yang Chaya bukan hilang ingatan.”
“Kamu ni memanglah! Umi pun sedih juga sebab Chahaya tak boleh ingat Umi. Rupanya main-main. Dahlah. Lega Umi jumpa Chahaya malam ni. Umi nak masuk tidur dulu. Tenang sikit Umi nak tidur malam ni.”
“Sweet dream ye Umi. Tapi ingat. Jangan beritahu yang lain-lain. Takut nanti plan Chaya tak menjadi ni.” Aku berikan ciuman di kiri dan kanan pipi Umi.
“Ye lah Umi keluar dulu ni.”
HAN berada di dalam bilik air ketika ini. Sedang menggosok giginya. Aku boleh dengar kerana pintu bilik air terbuka luas. Bila dia keluar dari bilik air, dia tidak berbaju. Hanya memakai seluar pijama. Sehelai baju T miliknya berada di atas katil. Dekat dengan hujung kakikku. Han mengambil baju dan disarungkan ke badannya. Aksinya memakai baju memang buat aku hilang ingatan sebentar. Aku alih pandangan ke arah sisi supaya dia tidak perasan aku memandangnya tadi.
“Nak abang tutup lampu?” soalnya kepadaku.
Aku angguk saja. Angguk sajalah sebab kalau aku keluarkan suara, pasti tersekat-sekat. Berdebar. Bila lampu utama di tutup masih ada lampu di sisi yang menyala. Aku melihat suamiku mengambil tempatnya di sebelah kiriku. Cadangan dia supaya aku tidur di bahagian kanan supaya tangan kananku berada di tempat yang lebih selamat. Kini aku berbaring mengadap suamiku. Tangan kanan ku letakkan di atas bantal peluk yang berada di antara kami berdua.
“Sakit lagi tangan Ya?” ujarnya kepadaku sambil bermain dengan jemari tangan kananku.
“Sikit je,” ada getaran pada nada suaraku.
“Abang minta maaf Ya. Kalau tak kerana abang, Ya tak jadi macam ni,” katanya.
“Dahlah abang. Ya tak ada apa-apa sangat. Tangan ni saja. Itupun dah macam nak ok. Abang dah baik sangat dengan Ya walaupun abang tahu Ya tak ingat satu benda pun. Sepatutnya Ya yang minta maaf sebab dah menyusahkan abang.”
“Abang rasa bersalah sebab Ya jadi begini.”
Aku diam. Dia baik denganku sebab dia rasa bersalah? Bukan sebab dia mencintaiku?
“Abang rasa bersalah? Sebab tu abang baik dengan Ya?”
“Bukan sebab tu sahaja sayang. Nanti.”
Han bangun dan membuka semula lampu yang ditutup tadi. Aku pun bangun dan duduk menunggunya di atas katil. Dia berhadapan denganku. Matanya memandang tepat kepadaku. Aku menanti dengan penuh debaran. Adakah saat ini yang ku tunggu-tunggu?
“Ya tahu yang abang sayangkan Ya bukan?”
Aku rasa seperti berada di awangan. Saat yang kutunggu akan tiba jua.
“Jadi buat masa ini dan sehingga Ya ingat semula semuanya, abang mahu Ya tumpukan perhatian untuk berehat dan sembuh. Abang akan bersabar menunggu Ya ingat balik. Tidak kira berapa lama. Abang nak Ya tahu yang abang akan sentiasa berada bersama-sama dengan Ya.”
Bukan sebab abang cintakan aku? Mana ayat-ayat cinta yang ku cari ini.
“Kalau Ya tak dapat ingat langsung, bagaimana?” soalku.
“Abang akan sentiasa di sisi Ya. Itu janji abang pada Ya.”
Tiada langsung kata-kata cinta. Aku mula hendak putus asa. Aku nak dengar kata-kata cinta. I love you pun tak apa.
“Tapi kalau Ya tak dapat ingat, bukan itu macam hidup dalam kepura-puraan,” tanyaku untuk menguji suamiku.
“Kalau ditakdirkan Ya tidak boleh ingat sampai bila-bila, tengoklah dalam hati Ya. Jodoh Ya dengan abang. Kalau kita perlu mulakan hidup baru dalam keadaan Ya begini, mungkin itu yang terbaik untuk kita. Abang terima Ya seadanya. Abang harap Ya dapat terima abang seperti mana sekarang ini. Abang juga berharap perasaan Ya pada abang sama seperti mana perasaan yang ada pada Ya sebelum ini.”
Aku terpegun dengan jawapan Han.
“Terima kasih abang.”
“Dahlah. Mari kita tidur. Oh sebelum abang lupa. Esok abang ada surprise untuk Ya. Tapi abang tak boleh beritahu Ya. Kena tunggu dan lihat saja.”
Aku melihat suamiku kembali menutup suis lampu. Cahaya malap mula menyinari bilik tidur kami. Han baring di sebelahku.
“Good night, My Love,” bisiknya perlahan. Aku terdiam.
-------------------//--------------------------------------
AKU tidak menjangka kejutan yang suamiku ingin berikan datang dalam tiga orang perempuan. Erin, Ula dan Nad. Ketiga-tiga mereka berada di ruang tamu di rumah mertuaku. Mereka bangun ketika aku sampai di situ. Mereka nampak berbeza. Selalunya kalau berjumpa, pasti kami akan terkam satu sama lain. Kali ini, mereka tidak buat begitu. Mungkin cerita tentangku hilang ingatan sudah sampai ke pengetahuan mereka. Jadi, mereka kelihatan begitu tertib berjumpa denganku sekarang. Aku hampir tersenyum melihat Ula memakai baju yang pernah menjadi topik kritikan aku suatu ketika dahulu. Sehelai baju hijau sehingga ke lutut dengan kolar kuning terang. Aku pernah kata baju itu tidak sesuai dengannya sebab dia kelihatan seperti pokok pisang. Sekarang, baju itu yang dipakainya untuk berjumpa denganku. Pasti untuk cuba memulihkan ingatanku. Aku melihat Han seperti meminta penjelasan siapa perempuan bertiga di sini. Sukar juga untuk aku buat adengan lakonan kerana mereka ini kenal sangat dengan diriku.
“Ya kenal tak siapa ke?” Han menyoalku.
Aku pura-pura sakit kepala. Aku sandarkan kepalaku di dadanya. Aku sempat ambil kesempatan mencium bau suamiku. Nyaman rasanya.
“Kenapa Ya? Ya tak sihat ke?” soal Han. Risau melihatku.
“Tak…tak..Ya rasa keliru,” bisikku kepada Han.
“Ya memang kenal sangat dengan mereka. Cuba Ya tengok perlahan-lahan kalau Ya kenal salah seorang daripada mereka,” ajak Han.
Aku kembali melihat semula sahabat bertigaku. Han memimpinku dan duduk di sebelahku di sofa. Berhadapan dengan mereka.
“Chaya. Ini Erin. Sepupu dan best friend Chaya. Ingat tak? Ini Ula dengan Nad,” kata Erin seraya memperkenalkan aku dengan mereka yang lain. Wajah Erin seperti kerisauan. Aku lagi risau. Tambahan pula bila aku saling berpandangan dengan Ula. Yang seorang ini pandai membaca fikiranku manakala yang seorang lagi pula pandai menilai seseorang. Apatah lagi orang itu ialah aku.
“Ula? Macam pernah dengar,” kataku perlahan. Sukar sungguh untuk berlakon di hadapan mereka.
“Ula. Housemate. Kita duduk sekali dulu. Tak ingat? Betul-betul tak ingat?” soal Ula.
Tiba-tiba aku senyum.
“Saya ingat baju ni macam saya pernah nampak dulu. Macam warna pokok pisang,” kataku kepadanya.
“Betul! betul! Awak selalu kata saya nampak macam pokok pisang,” jerit Ula.
Aku terkekek-kekek di dalam hati sebab bahasa Ula yang penuh beradab. Aku tutup wajahku dengan kedua-dua tapak tangan. Satu sebabnya aku mahu menahan reaksi. Keduanya, kalau aku buat begitu, nampak seperti aku cuba ingat sesuatu.
“Saya ingat ada seorang lelaki. Nama dia Nizam. Dia kawan saya juga ke?”
Bila aku tanya soalan itu, aku perasan genggaman tangan Han berubah. Sedikit kuat genggamannya. Bila aku lihat wajahnya pun berubah. Aku pandang ketiga-tiga sahabatku. Wajah mereka pun berubah.
“Kenapa?” aku pura-pura tidak faham.
“Chaya boleh ingat siapa Nizam?” soal Erin.
“Rasa macam ingat. Malah macam boleh nampak wajah dia sekarang. Kalau dia ada di sini, mungkin saya kenal Nizam. Kenapa? Saya rapat ke dengan dia?” Sekilas pandang aku nampak Nad sedikit terkejut. Gerak badan Han juga lain macam. Ada yang cemburulah sekarang. Hah! Rasakan!.
“Er..memang Chaya kenal dia sebab Chaya berkawan dengan dia. Nizam tu tunang Nad,” Erin menjelaskan kepadaku perlahan-lahan.
“Tapi kenapa saya tiba-tiba boleh ingat pada dia? Peliklah. Abang?” aku minta bantuan Han. Bukan bantuan. Mungkin menduga Han.
“Masa Ya di kolej dulu, Ya rapat dengan dia. Mungkin sebab tulah Ya ingat dia,” balas Han. Kalau boleh, aku ingin saja tahu apa yang Han fikirkan sekarang ini.
“Sebenarnya Ya ada nampak seorang dua bila Ya cuba nak ingat. Seorang lagi tu budak lelaki,” aku cuba jelaskan serba sedikit tentang budak lelaki itu kepada Han.
“Itu mungkin adik Ya. Namanya Mika. Ya nak pergi jumpa dia?”
“Ya ada adik lelaki? Kenapa dia tak ada di hospital hari tu?”
“Sebab dia sekolah lagi. Apa kata Ya duduk berbual dengan kawan-kawan Ya. Dengar cerita mereka pasal Ya Mungkin Ya boleh ingat satu dua perkara.”
Aku angguk setuju. Han pergi meninggalkan aku. Erin datang rapat kepadaku.
“Betul Chaya tak boleh ingat kami?”
“Betul. Saya tak tahu tapi saya tak boleh ingat. Saya tak tahu kenapa.”
“Dahlah tu Erin. Chaya, suami awak minta kami ceritakan pada awak tentang kita semua. Awak nak dengar tak?” kata Nad.
“Boleh juga. Mana tahu lepas ni saya ingat balik,” kataku.
Ketiga-tiga sahabatku bersilih ganti bercerita. Semua kisah dari ketika kami zaman kanak-kanak sehinggalah dewasa. Aku ketawa sekali sekala mendengar. Ikutkan hati, aku pun ingin turut sama bercerita. Tapi nanti terbocor pula rahsiaku. Jadi aku diam sahaja. Sekali sekala, aku tanya soalan. Konon-kononnya ingin tahu kenapa itu dan ini. Bagaimana, apa dan mengapa. Ketika itu juga aku sedar, mereka bertiga inilah sahabat yang perlu aku ‘simpan’ selama-lamanya. Inilah sahabat dunia dan juga akhirat. Mungkin aku akan masuk ke hospital sekali lagi akibat dikerjakan mereka suatu hari nanti bila mereka tahu apa yang aku lakukan hari ini. Aku tidak kisah. Memang aku layak menerima hukuman daripada mereka.
“Semua yang kami cerita tadi tu, awak ada ingat tak?” soal Erin setelah hampir sejam bercerita dan berbual sesama mereka.
“Mmm..maaflah sebab memang otak saya tak dapat nak tangkap cerita-cerita tadi. Sepertinya saya ada di dalam cerita tu, tapi itulah. Saya tak ingat,” kataku.
Mereka kelihatan kecewa.
“Janganlah macam ni. Saya betul-betul tak ingat. Terima kasih sebab sudi berkongsi cerita dengan saya,” kataku kepada mereka bertiga.
“Kami pun minta maaf sebab tak dapat bantu awak tapi kami akan ke sini lagi nanti,” kata Ula. Aku nampak dia sepertinya mahu menangis sahaja. Terus dia bangun untuk mencari bilik air. Han kembali berjumpa denganku. Erin bangun berjumpa dengannya. Tinggal aku dan Nad sahaja. Nad memegang tanganku.
“Saya harap awak dapat ingat semula. Kami semua rindukan awak Chaya.”
“Terima kasih Nad,” hanya itu sahaja yang dapat aku ucapkan.
“UMI dengar Han bawa kawan-kawan Chahaya jumpa Chahaya. Bagaimana?”
“Serius Umi. Chaya panik tapi akhirnya diorang ingat Chaya betul-betul lupa ingatan. Chaya ingatkan Erin atau Ula macam dah boleh teka Chaya menipu, tapi mereka nampak sedih sebab tak boleh ingatkan Chaya.”
“Umi tak tahulah berapa ramai yang Chahaya kena jumpa minta maaf nanti.”
“Itu yang Chaya tengah risau ni Umi. Dah mula rasa bersalah.”
“Sekarang nak buat apa?”
“Kalau malam ni Chaya boleh buat Han mengaku, esok pagi juga Chaya jumpa semua orang untuk minta maaf.”
“Apa rancangan Chaya?”
“Itu pun Chaya tengah fikir Umi.”
“Umi pun tak tahu nak tolong bagaimana. Umi cuma boleh tolong doakan Chahaya saja.”
“Tolong doa pun dah teramatlah baik untuk Chaya. Thank you Umi. Thank you. Thank you,” kataku berkali-kali. Pada masa yang sama aku cium Umi di seluruh wajahnya.
Aku berani buat begitu kerana aku berada di dalam bilik Umi. Sesiapa yang hendak masuk ke dalam bilik Umi selalunya mengetuk bilik itu dahulu. Jadi kalau Mama atau Han mencariku. Pasti mereka akan mengetuk bilik ini. Aku dan Umi boleh berbual dengan selesa dan bila ada yang masuk, kami boleh berlakon semula.
“Tangan Chahaya nampak macam dah nak elok tu. Sakit lagi tak?”
“Jahitan ni dah kering. Rasa sakit sikit je. Nasib baik Chaya tak luka banyak tempat. Lebam sana sini saja.”
“Mmm…nasib baik tak hilang ingatan betul-betul. Kalau tak, bagaimana?”
“Alaa..Umi. Chaya pura-pura kejap je. Arwah Tok Mi Chaya pesan, semoga Allah merahmati Tok Mi, tak apa kalau bohong sunat untuk kebaikan.”
“Ingat Chahaya. Kecil hati Han, Chahaya berdosa sayang. Dia tu suami Chahaya.”
“Tapi kalau dia maafkan Chaya, kira Chaya dah tak ada dosa kan?”
“Kena dapatkan kemaafan dari dia Chahaya. Ingat tu.”
“Ye Umi. Chaya ingat.”
“Kita turun makan sekarang. Nanti, Han cari kita pula.”
Ketika kami keluar dari bilik Umi, aku bertembung dengan Han yang baru sahaja ingin mengetuk pintu.
“Hi, My Love,” Han menegur kami.
“Oh abang. Terkejut Ya. Abang cari Umi ke?” soalku.
“Mama dah panggil untuk makan malam. Mari,” ajaknya.
“Chahaya dengan Han turun dulu. Umi nak ambil barang kejap,” kata Umi lalu kembali masuk ke dalam bilik. Tiba-tiba, Han memaut pinggangku dan kami berjalan beriringan sehingga ke meja makan.
“Ya buat apa di bilik Umi tadi?”
“Berbual dengan Umi,” itu sahaja yang ingin aku jawab.
“Tentang apa?”
“Ya nak tahu pasal satu dua perkara,” balasku.
“Pasal apa?”
“Err…pasal abang.”
“Kenapa tak tanya abang saja?”
“Err..Ya..Ya ingat lebih baik kalau Ya tanya Umi saja,” balasku.
“Malam ni, Ya tanya saja abang apa yang Ya nak tahu,” kata Han sambil mencedok gulai asam pedas dan menuang ke atas nasi panas yang sedia terhidang. Aku diam dan mula menjamah hidanganku.
Share this novel