Bab 18

Romance Completed 8896

SEBENARNYA aku risau juga dengan keadaan Han. Kemudian, bila aku fikirkan kembali apa yang dikatakan oleh Han, aku buat keputusan untuk kembali semula di kawasan ruang rehat keluarga. Sekurang-kurangnya di situ ada rancangan televisyen yang boleh ditonton. Aku cuba keraskan hati untuk tidak memikirkan tentang Han. Dia yang tidak mahu pertolongan aku, jadi biar dia uruskan dirinya sendiri. Aku tak mahu tolong kalau dia panggil tengah-tengah malam pun. Aku nak ajar sedikit orang yang sombong dan bongkak macam Sharhan itu. Aku nak tengok bagaimana orang berlagak macam dia nak hidup tanpa orang lain. Dalam masa yang sama, aku berdoa tiada apa-apa yang berlaku kepadanya.
Sepanjang malam aku tidak dapat melelapkan mata. Banglo besar ini betul-betul sunyi sepi. Selama ini pun sunyi juga memandangkan isi rumah selalu masuk tidur awal tapi kali ini sunyinya lain macam sahaja. Satu lagi perkara yang buat aku tidak boleh tidur ialah kerana asyik memikirkan tentang Han. Mujur cerita-cerita menarik di tv pintar dapat mengalih perhatian aku untuk fikir hal yang bukan-bukan. Banyak juga cerita menarik dan aku rasa aku tak akan kesunyian tinggal di rumah ini selagi ada tv pintar ini. Selama ini aku pakai data telefon sahaja untuk layan cerita-cerita bila semua orang sudah tidur. Sudah berhari-hari aku tinggal di sini, barulah aku menyesal tidak minta kata laluan untuk akses jalur lebar internet. Sekarang bila Aunty Jah tak ada, baru aku teringat pasal akses ni. Sudah terlambat!

Jam hampir ke pukul sebelas malam. Mataku juga sudah hampir-hampir nak tutup. Tiba-tiba aku terdengar bunyi seperti kaca jatuh. Bunyi itu datang daripada bilik Han. Aku pasti sangat Han sedang cuba buat sesuatu tetapi mungkin sukar dalam keadaan sepertinya. Aku berbelah bahagi. Perlukah aku pergi atau aku biarkan sahaja? Nak panggil Pak Mus atau tidak. Kalau aku pergi nanti, rosaklah rancangan aku untuk memberi pengajaran kepada orang seperti Han. Aku buat keputusan untuk tidak beri respon. Malam ini kalau aku dengar bunyi kapal terbang jatuh terhempas pun aku tidak akan berganjak langsung dari ruang rehat ini.

Pelbagai imaginasi bermain di fikiranku. Aku bayangkan yang Han cuba untuk mengambil air untuk diminum tetapi gelas jatuh atau pun Han cuba bangun untuk ke bilik air tetapi dalam usahanya dia terlanggar gelas. Atau ketiga, mungkin dia cuba dapatkan perhatian aku untuk membantunya. Sebab itu dia jatuhkan gelas. Dia ingat kalau aku dengar bunyi gelas pecah, aku akan meluru masuk ke dalam biliknya. Minta maaf, Encik Sharhan. Awak sendiri yang cari pasal. Aku pujuk mataku supaya endahkan semua imaginasi yang bersarang di kepala. Aku menguap. Mataku tutup rapat. Takkala itu, tiada apa atau sesiapa yang boleh mengejutkan aku lagi dari dibuai mimpi malam hari.

Aku sedar-sedar, hari masih lagi gelap di luar. Aku lihat jam di telefon bimbitku menunjukkan beberapa minit selepas pukul lima pagi. Tidur mati aku beberapa jam. Aku ingin bangun hati kecilku sedikit takut untuk naik ke bilik Nora. Selang sepuluh minit begitu, aku perasan lampu di dapur dinyalakan. Pasti Pak Mus dan Mak Teh dah bangun. Aku terus angkat kaki ke dapur. Aku beri salam pada Mak Teh yang tengah tuang air. Aku ambil gelas ikut minum air kosong dahulu sebelum beredar naik ke bilik Nora. Meremang bulu roma aku berjalan untuk sampai ke bilik. Cuaca dingin pagi bercampur baur dengan perasaan takut. Aku cekalkan diri mandi. Tak sampai sepuluh minit, aku dah selesai berpakaian. Air pemanas pun tak sempat panas.Memang macam lipas kudung aku sarungkan seluar dan baju. Aku terus rangkul kain telekung untuk turun solat di bawah.

Selesai solat aku rasa aku patut mengintip Han. Mengintip tanpa pengetahuannya. Aku tumpukan seluruh tenaga kepada deria pendengaran kalau-kalau aku dapat dengar sesuatu. Tiada bunyi langsung daripada bilik Han. Patutkah aku pergi untuk melihat keadaannya sekarang? Mungkin dia sedang tidur, jadi senang untuk aku mengintip. Terenjut-enjut aku berjalan menuju ke biliknya supaya kedatangan aku tidak dapat didengari. Pintu biliknya terbuka seperti biasa. Aku hampiri bilik itu dan hidungku sudah menangkap bau yang kurang menyenangkan. Sama seperti bau hari pertama aku melangkah masuk ke biliknya dahulu. Aku boleh agak apa yang berlaku. Baru sahaja aku berdepan dengan pintu bilik Han, hatiku tiba-tiba berubah. Aku masih ingat niatku semalam. Aku patah balik. Aku akan biarkan Han dengan kehidupannya sendiri buat beberapa jam lagi. Lepas itu baru aku masuk berjumpa dengannya, itu pun kalau aku mahu.

PAK MUS keluar membeli nasi lemak untuk sarapan pagi dan hantar Mak Teh pulang ke rumah. Bila dia nak hantar nasi lemak kepada Han, aku tidak benarkan. Aku ambil nasi lemak tu dan letak atas meja. Aku ceritakan apa yang berlaku dan aku suruh Pak Mus percaya dengan tindakan aku. Pak Mus nampak berbelah bahagi tetapi aku yakinkan dia yang ini sahaja caranya untuk Han menerima kehadiran aku dalam rumah ini.

“Chaya nak ajar sikit dia tu. Dia kata dia tak perlukan pertolongan sesiapa. Dia suruh Chaya pergi dari rumah ni. Mana boleh. Aunty Jah dan Umi kan dah amanahkan Chaya pastikan semuanya teratur di sini. Jadi, Chaya nak tengok Han boleh tak hidup sendiri tanpa sesiapa tolong dia,” jelasku kepada Pak Mus. Lebih baik aku ceritakan niat aku pada Pak Mus. Kalau jadi apa-apa pada Han, sekurang-kurangnya aku ada alibi yang boleh dipercayai.

“Kisahnya dari semalamlah ni?” soal Pak Mus.

“Ye Pak Mus,” balasku dengan tidak rasa bersalah.

“Dia tak panggil langsung ke?”

“Dia tu kan sombong sikit Pak Mus. Kita tunggu je lah.”

“Chaya nak Pak Mus tolong tengok Han sekarang?”

“Eh! Jangan Pak Mus. Nanti tak jadi plan Chaya. Kalau Pak Mus pergi tolong dia sekarang, dia akan tahu yang Pak Mus akan tolong dia hari-hari. Lepas tu dia mesti nak Chaya pergi dari sini. Tak apa Pak Mus. Kejap nanti Chaya tengoklah dia.”

“Betul kamu tak nak Pak Mus tengokkan dia ke nak Pak Mus tidur dekat dengan bilik dia malam nanti?”
“Dua-dua tak yah, Pak Mus. Chaya boleh handle Han. Kalau dia panggil, boleh dengar. Paling paling pun dia tahu Pak Mus ada sini. Dia boleh saja telefon Pak Mus, tapi tak telefon pun. Memang degil dia tu.”
Pak Mus gelengkan kepalanya.

“Baiklah. Buatlah apa yang Chaya rasa terbaik. Pak Mus tahu Han memang degil sedikit. Pak Mus pergi tengok pokok. Kejap lagi cleaner datang dan Pak Mus tunggu mereka sampai baru Pak Mus balik rumah Pak Mus sekejap. Esok baru jururawat tu datang sini.”

“Baiklah Pak Mus,” balasku.
Pak Mus beredar dari situ dan aku masuk ke ruang dapur. Aku duduk di kerusi dan menelefon Ula.

“Amacam kau di sana? Tak takut ke?” soalnya.

“Nak takut apa?” balasku.

“Ye lah. Kau tu duduk berdua-duaan. Tak takut kena cekup ke?”

“Kau ni mulut tak ada insuran betul. Kalau pencegah maksiat datang sini, mereka tengok saja orang utan tu, mereka pun tak pasti nak cekup atau tidak.”

“Jangan cakap besar Chaya.”

“Mana ada. Aku bukan sorang di sini. Pak Mus dengan wife dia teman akulah.”

“Abih, sekarang kau tengah buat apa tu?”

“Tak buat apa-apa pun. Baru lepas breakfast. Sekarang goyang kaki saja.”

“Kau kena suap dia lagi ke?’

“Dia dah pandai makan sendiri pun.”

“Chaya. Nad ada tanya pasal kau. Dia kata dia nak jumpa kau sebab ada hal penting. Aku kata kau bercuti luar KL. Sebulan baru balik.”

“Bagus. Bagus….tak sia-sia aku kawan dengan kau.”

“Tapi lebih baik kalau kau dan dia berterus terang saja Chaya. Lagi pun Nad dengan kau dari dulu lagi tak pernah bergaduh. Kau dan dia selalu baik sahaja. Tak seronoklah kalau aku jadi orang tengah macam ni.”

“Tengoklah dulu Ula. Aku tak bersedia lagi dengan Nad. Nanti-nanti sajalah. Wei, aku kena pergi dulu ni. Aku nak jenguk jap orang utan tu.”

“Eloklah tu. Tengoklah orang utan kau tu selalu. Manalah tahu nanti kau pula yang jadi awek orang utan.”
Klik!

Aku tutup telefon bimbitku. Malas aku nak melayan si Ula. Aku masih duduk di dapur. Aku malas lagi lagi untuk menjenguk Han. Aku perlu tunggu beberapa jam sahaja lagi untuk buktikan kepadanya yang dia memang perlukan pertolongan aku.

DUA orang pembantu rumah yang datang pun hanya dua jam sahaja. Bukan semua tempat yang mereka kemas. Pak Mus yang beri arahan apa nak buat. Hari ini buat apa dan esok lusa buat apa. Lepas tu Pak Mus pun keluar dari rumah dan pesan untuk aku pantau sekali sekala mereka buat kerja. Setakat ni mereka kerja di bawah sahaja. Tak naik pun bahagian atas. Selesai dengan kerja, aku teman mereka berjalan sampai ke pintu pagar untuk hantar mereka naik kereta majikan. Bila kereta hilang dari pandangan, baru aku perasan yang aku tak tahu nama kedua-dua mereka. Tak mengapalah. Esok masih ada.

Tepat jam sebelas pagi, aku pun sengaja melintas di hadapan bilik Han. Memang aku rasa cukup masa untuk aku tanyakan khabar. Aku jenguk ke dalam. MasyaAllah! Keadaan di dalam bilik itu bagaikan sedikit huru hara. Sekali pandang sahaja, aku naik terkejut. Han sudah berada di atas lantai mengesot entah ke mana dan dari mana pun aku tidak pasti. Kaca pecah bertaburan di lantai. Kain cadar tertarik jatuh ke bawah manakala bantal dan apa sahaja yang berada berdekatan katil bergelimpangan ke sana sini. Aku tak tahu apa dah berlaku tapi bekas air kencingnya bertaburan. Terus mataku berpinar-pinar sekejap.
“Dah lama saya sediakan makanan di luar tu, Encik Han tak makan lagi ke sebab sebentar lagi saya dah nak kemas tempat tu?” kataku selamba. Aku buat muka ketat seolah-olah tiada apa yang berlaku di hadapanku. Aku lihat Han sedang bersandar di hujung kaki katil. Wajahnya kepenatan dan mungkin kesakitan. Atau mungkin kelaparan. Dalam hati aku bertepuk tangan sambil menjerit kesukaan. Itulah. Nak sangat berdikari. Dipersilakan. Han tidak menjawab langsung pertanyaanku. Aku bilang dalam kiraan sepuluh di dalam hati sebelum berganjak pergi.
“Nanti!” jeritnya kepadaku. Aku toleh dengan muka ketatku.
“Yes?”
“I need your help,” katanya perlahan.
“Excuse me? Saya tak dengarlah,”
“Aku kata aku nak kau tolong aku!”
“Ok. Encik Han nak saya buat apa?” soalku. Masih dengan muka selamba.
“Boleh…..boleh kau tolong papah aku?”
Aku pura-pura tengok keadaan sekeliling. Sebenarnya aku menyesal pulak masuk ke bilik sekarang. Salah timing. Pak Mus pun tak ada sekarang kalau nak minta tolong.
“Encik Han nak saya tolong papah Encik Han ke katil ke atau Encik Han nak saya tolong jaga Encik Han sepanjang keluarga Encik Han tiada?”
Dia tengok aku dengan riak wajah yang sedikit marah tetapi sekejap sahaja kerana aku dapat lihat perubahan wajahnya. Mungkin dia cuba mengawal marah.
“Kau nak dengar aku mengaku kalah dengan kau baru kau puas hati ke?” kata Han. Nampak sangat dia tengah tahan perasaan marah dan geram. “Baiklah. Aku memang tak boleh buat apa-apa selagi kaki dan tangan aku begini. Kau menang. Aku perlu kau untuk tolong aku sepanjang keluarga aku tak ada.”
“Saya bukan nak lawan menang atau kalah dengan Encik Han. Saya tolong ni ikhlas bagi pihak Umi dan Aunty Jah. Juga, untuk tebus kesalahan adik saya bagi pihak Papa saya. Selepas keluarga Encik Han balik ke sini nanti, tugas saya selesai. Itu saja.”
“Kau dah habis bersyarah?” soal Han.
“Susah betullah cakap dengan awak ni,” tertekan jiwa dan perasaan aku dengan lelaki ini. Aku rasa macam hendak keluar sahaja dari bilik. Hilang kawalan untuk berbaik-baik dengan dia. Aku tengok keadaannya dan kemudian, aku buat-buat tengok keadaan sekeliling bilik itu. Sebenarnya, aku panik dengan permintaan Han. Aku salah timing masuk bilik ni.
“Ok. Ok. I am sorry. Aku perlukan pertolongan kau,” katanya yang sedikit lembut. Baru aku rasa lega dan terkawal sedikit.
Aku patah balik dan menuju ke arahnya sehingga aku berdiri berdekatan kakinya yang bersimen itu. Aku cuba tengok bagaimana aku boleh membantu memapahnya. Lelaki ini bukan sekadar tinggi. Badannya juga besar. Kalau aku nak gunakan tenaga empat kerat aku, entah boleh atau tidak pun aku tidak tahu. Apa-apa pun cuba sajalah.
“Kalau Encik Han nak saya tolong Encik Han, saya harap kita dapat bekerjasama dengan lebih baik lagi. Ok?”
“Ok. Aku setuju. Lagi satu. Kau jangan panggil aku Encik Han. Entah bila pula aku gajikan kau sampai kau panggil aku macam tu.”
“Deal,” balasku.
Aku melihat keadaannya sekali lagi.
“Banyak yang nak kena buat ni,” aku separa mengadu.
“Kau tengah fikir semula ke pasal tolong aku?”
“Tak lah. Saya tengah compute nak buat apa dulu. Sekejap ye,” kataku. Memandangkan Pak Mus tiada sekarang, nampak gaya akulah yang nak kena buat semua benda. Pantas aku pergi ke tingkap dan buka semuanya. Kemudian, aku pergi dapatkan kerusi roda yang dibeli oleh Uncle Mi tempoh hari. Masih berbalut lagi. Aku buka kerusi roda dan tolak ke sebelah katil. Aku ada teringat beberapa adegan hospital drama luar negara. Ada caranya untuk orang naik duduk ke kerusi atau kerusi roda.
“Awak kena tolong sama-sama bangun. Saya seorang tak mampu nak tolong awak,” Aku buat pemeriksaan dahulu. Seluar pendeknya agak basah. Aku rasa hendak mengusik kalau dia terlepas hajat kecil tetapi aku batalkan niat. Mungkin juga basah sebab kena air dalam botol mineral yang kosong di lantai itu. Apa-apalah. Aku tidak mahu menyoal dia pasal hal tu. Buat dia malu dan buat aku malu sahaja. Aku terus dapatkan sehelai tuala untuk dilapikkan ke atas kerusi roda. Aku datang ke sebelahnya sambil memberi arahan supaya memegang salah satu tempat letak tangan kerusi roda itu. Kaki yang sihat aku suruh bengkokkan supaya dia senang bangun nanti.
“Ok. On the count of three, awak bangun dan duduk di kerusi ini ok?” aku pun mulakan kiraan. Sambil Han memegang kerusi roda, aku paut dari belakang membantu dia bangun. Sekali sahaja dengan tenaga yang kami satukan, Han sudah pun berjaya duduk di kerusi roda.
“Nasib baik tak kena kaca. Saya rasa awak kena mandi dan tukar pakaian. Awak boleh buat sendiri tak? Kalau tak boleh tunggu..”

“Aku boleh buat sendiri,” sampuk Han terlebih dahulu.

“Ok. Mana saya boleh dapatkan pakaian awak?”
“Mama aku letak di sana,” katanya sambil menunjukkan sebuah rak buku. Aku lihat ada satu rak yang diletakkan dengan beberapa kain pakaian. Aku pergi dan dapatkan sehelai seluar pendek dan sehelai baju T. Aku menghampirinya dan menolak kerusi roda masuk ke dalam bilik air.
“Kau nak mandikan aku juga ke?” soalnya sambil ketawa kecil.
“Tak lah. Saya letak awak di sini. Awak pandai-pandai cuci badan. Ni ada kain tuala kecil untuk awak lap badan awak ni. Make sure guna sabun. Kalau saya masuk sini tapi masih ada bau busuk, saya tinggalkan awak dalam ni sampai awak sabun. Faham?”
Han hanya angguk sahaja.
“Saya tak kunci bilik air ni. Just in case. Ini pakaian salin. I am sure you can handle this. Kalau dah siap, awak jerit panggil saya.”

Aku keluar dan menutup sehingga rapat pintu bilik air itu. Aku lihat sekeliling. Kalau nak tunggu pembantu rumah yang akan datang esok, nanti teruk lagilah bau bilik ini. Aku ingat aku buat saja apa yang patut. Bila pembantu rumah datang nanti, aku suruh mereka bersihkan sekali lagi. Aku keluar seketika dari bilik itu. Beberapa minit kemudian, aku kembali dengan sehelai tuala, cadar, kain selimut dan sarung bantal. Semuanya milik Nora dengan warna dan corak mengikut citarasa orang perempuan.
Mulanya, aku angkut cadar dan semua bantal keluar dari bilik dan masukkan ke dalam mesin basuh. Sambil aku capai penyapu, aku angkut baldi dan plastik sampah. Bila sampai di bilik Han, aku sapu semua yang ada di lantai dan masukkan ke dalam plastik sampah. Semuanya termasuk air kekuningan yang merata di lantai. Apa yang terjatuh tetapi terkena kotoran kuning itu, aku masukkan ke dalam baldi termasuklah alat kawalan televisyen. Nampak gayanya, aku kena lap sendiri alat itu. Mujurlah aku ada ternampak semburan anti-kuman di bahagian dapur tadi. Baru sahaja separuh jalan aku bekerja, aku dengar panggilan daripada Han. Kali ini dia panggil aku dengan namaku. Cik Chahaya. Aku berjalan menuju ke pintu bilik air tetapi tidak masuk melulu.
“Dah ke?” soalku.
“Dah,” balasnya.
“Ok saya masuk.”
Aku buka pintu dan dapat hidu bau sabun. Mataku yang hampir terjegil bila melihat Han hanya berseluar pendek sahaja. Aku rasa pelik semacam. Aku tak rasa dia mandi tapi aku tak kisah asal dia bersihkan apa yang patut.
“Aku nak pakai baju tapi dengan satu tangan, memang ada masalah sikit,” katanya.

“Boleh pakai seluar tapi tak boleh pakai baju. Peliklah,” aku luahkan rasa.

“Kau pernah tak cuba pakai seluar bila kaki kau menegak saja macam ni?” soalnya. Aku geleng kepala.

“Kau patut cuba,” katanya.

“Macam mana awak pakai seluar tadi?” entah kenapa soalan itu pula yang keluar dari mulutku. Aku baru terfikir yang mungkin susah untuk memakai seluar kalau berada di dalam keadaan seperti Han.

“Guna akal,” balas Han sambil ketawa kecil.

“Ok,” kataku menjeling. “Macam mana nak pakai T-shirt ye?”

“Lagi senang kalau kau ambilkan kemeja yang berbutang. Lepas tu buka ikatan di leher aku ni dan pakaikan bahagian tangan ni perlahan-lahan.”

Jadi itulah yang aku lakukan. Cari baju kemeja dan tolong Han dengan kemeja itu. Kemudian aku tolak dia keluar. Terus dia nampak keadaan bilik yang sudah separa kemas dengan cadar bunga-bunga itu.

“Sorry. Saya boleh fikir nak ambil di bilik Nora saja. Ok kan?” aku lihat Han hanya angguk sahaja. Mungkin terlalu penat dengan apa yang telah dialaminya.

Aku menolak kerusi roda sehingga masuk ke tamu utama.

“Saya tahu awak lapar. Tunggu saya buat roti kejap. Lunch sampai pun maybe sejam lagi. Saya nak sambung buat kerja di bilik awak,”

Aku tinggalkan Han dengan 2 keping roti bersalut jem, beberapa buah pisang dan segelas milo panas. Aku sambung semula kerja di bilik Han. Ada sekali aku kembali ke dapur untuk mengambil mop dan dapat melihat Han masih lagi makan. Kesian dia. Bukan niat aku untuk menderanya sebegitu. Dia sendiri yang cari pasal dengan aku. Namun begitu, penderaan sementara aku telah membuatkan Han mula menerima aku untuk berada di sini. Syukurlah kalau begitu. Senang hati aku.

Setengah jam lamanya aku berhempas pulas membersihkan lantai bilik Han. Sekembali ke dapur, aku lihat Han menguap beberapa kali. Aku kesiankan dia sekali lagi. Aku kejutkan dia dan katakan yang aku akan tolak dia ke biliknya semula supaya dia dapat berehat dengan lebih selesa lagi. Aku tinggalkan Han di katil yang cadar yang bermotif bunga-bunga. Aku kata aku akan kejutkan dia untuk makan tengahari nanti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience