Bab 41

Romance Completed 8896

“KAMI dah hampir nak sampai. Lampu isyarat yang dekat dengan selekoh tu. Jumpa di sana sajalah,” kataku sambil menutup telefon bimbit.
“Siapa tu?”
“Erin. Dia tanya dah sampai ke belum. Semua dah ada di sana. Saya saja yang belum sampai lagi. Lepas ni awak ambil simpang ke kiri. Hah! Itu pun rumah Nad.”
“Kawan awak kahwin ke atau bertunang?”

“Bertunang. Kenapa?”
“Khemah mengalahkan orang nak kahwin.”
“Standard zaman sekarang.”
“Nasib baik kita tak bertunang macam ni.”
“Ke nasib awak kurang baik dapat tunang macam saya?”
“Kenapa kata macam tu pula?”
“Sebab saya bukan pilihan awak?”
Han diam. Aku pun terdiam. Di dalam hati aku menyesal tidak sudah kerana terlepas kata. Aku memandang keluar tingkap jip. Berfikir bagaimana untuk aku tarik balik kata-kata aku itu tadi. Han sudah memberhentikan kereta di simpang jalan. Aku curi-curi pandang. Dia nampak tidak gembira. Sebelum dia keluar, aku tarik tangannya. Han tidak memandangku langsung. Dia hanya berhenti untuk mendengar apa yang ingin aku katakan. Tanganku masih berpaut pada lengannya.
“Saya minta maaf kalau saya terlepas cakap tadi.”
Han hanya mengangguk. Aku pula yang tidak puas hati.
“Saya betul-betul minta maaf,” kataku lagi. Kali ini aku lepaskan lengannya. Han terus keluar. Aku turun sambil membetulkan baju kurung berbunga kelabu dan merah yang dipilih oleh Han. Aku lihat Han berdiri sambil berpeluk tubuh. Dia mengenakan sehelai baju T biru berkolar. Aku naik risau bila dia membisu sambil mengekoriku ke dalam khemah. Kemudian kami nampak Erin dan Ikram serta Malik.
“Apsal lambat babe? Kawan kita dah naik panik sebab kau tak sampai lagi. Dia takut kau berubah fikiran pulak sebab Nizam tu ex-boyfriend kau.”
Aku tidak pandang Erin. Sebaliknya aku pandang Han yang sudah mengangkat keningnya mendengar cerita daripada Erin.
“Wooops! Sorry. I should not say what I said just now, right?” Erin bersilih ganti memandang aku dan Han.
“Really. I did not mean to say that. I ingat Chaya dah cerita dengan you hal dia dengan Nad dan Nizam. I betul-betul tak tahu,” bila tiada jawapan dari aku ataupun Han, Erin melihat suaminya. Ikram sudah geleng kepala. Rahsia sudah pecah. Sekarang suasana yang riuh rendah seperti tidak kedengaran lagi. Han hanya membisu.
“Err…apa kata kita masuk dulu Chaya? Nad dah tunggu kita tu,” ajak Erin sambil menolak aku supaya bergerak dari situ. Sambil itu dia beri isyarat kepada Ikram supaya kata sesuatu kepada Han. Bila kami masuk ke dalam rumah Nad, sekali lagi Erin minta maaf denganku.
“Really Chaya! Aku betul-betul minta maaf. Aku ingat bila kau datang dengan Han, dia dah tahu pasal Nizam dengan Nad.”
“It’s okay,” nanti pandai-pandailah aku, tambahku di dalam hati.
“Kau pun satu. Dah tahu nak ke sini, ceritalah sejarah kau tu. Orang lelaki ni tak suka kalau perempuan yang dia nak kahwin ada rahsia yang dia tak tahu. Dahlah tu. Nanti kau pujuklah dia. Jom naik. Nad dah lama tunggu tu.”
Aku ekori Erin menaiki anak tangga. Kami bertembung dengan emak Nad yang baru sahaja keluar dari bilik. Selepas bersalaman dan bertanya khabar, kami pun masuk ke dalam bilik. Nad sedang berbual di telefon manakala Ula sedang duduk melepak di atas karpet. Aku mengambil tempatku disebelahnya.
“Apsal murung? Senyumlah sikit. Nanti Nad ingat kau tak suka dia dengan Nizam,” tegur Ula sambil berbisik.
“Aku tak kisah pasal dia dengan Nizam. Sekarang ni aku ada masalah besar. Tunang aku baru tahu Nizam tu ex aku,” aku membalas dengan bisikan juga.
“Ya Rabbi. Kau tak bagitau ke?”
“Ssstt…slow sikit. Nanti Nad dengar,” celah Erin yang juga pasang telinga.

AKU harungi majlis pertunangan itu dengan perasaan berbelah bahagi. Selesai majlis menyarung cincin, Nad sibuk bergambar. Nizam juga tampil untuk bergambar dengan tunangnya. Aku jeling melihat Han yang hanya memerhatikan Nizam di singgahsana untuk majlis pertunangan itu. Aku tidak dapat meneka apa yang dia fikirkan ketika itu.
Tiba masanya kami berempat bergambar. Selepas beberapa posisi bergambar, Nad memanggil semua pasangan untuk bergambar sekali. Malik dan Ikram segera mendapatkan teman masing-masing. Aku lihat Han yang masih tidak bergerak dari tempatnya berdiri tadi. Aku pandang dia dengan pandangan yang mengharap. Aku dengar Ikram memanggil namanya. Aku pandang sahaja padanya. Mujurlah ketika itu dia juga sedang memerhatikanku. Aku katakan sesuatu yang hanya dia sahaja dapat membacanya. Kuasa Allah kalau dia membaca gerakan bibirku.
Come here. Please.
Dia masih tidak berganjak. Aku tatap wajahnya dan gerakkan bibirku supaya dia faham maksudku. Kali ini aku tidak malu-malu lagi. Aku tidak mahu panjangkan hal ini. Dalam kereta nanti aku akan berterus terang dengannya. Dengan jelas aku katakan lagi.
Please. Come here, Sayang.
Kali ini aku nampak wajah Han berubah sedikit. Dia juga berjalan dan mengambil tempat di sisiku. Aku bisikkan terima kasih kepadanya. Kesempatan itu diambilnya untuk memaut pinggangku. Badanku terus jadi keras. Bila jurukamera mengarahkan kami agar lebih rapat, Han menarikku rapat ke dadanya. Kalau dia boleh dengar degupan jantungku, pasti dia akan tahu apa kata hatiku.
“Bila kita kahwin nanti, aku akan pastikan awak lupa terus dengan lelaki tu. Hanya aku sahaja yang awak akan ingat sampai ke dalam mimpi,” bisik Han ke telingaku. Menggeletar tubuhku mendengar kata-katanya. Wajahku dan telingaku pasti merona merah. Aku memandang Erin dan Ula. Ikram pun sedang memeluk Erin. Tapi mereka sudah sah suami isteri. Malik pula hanya berdiri di belakang Ula. Memang patut pun seperti itu. Han pula yang melebih-lebih. Aku cuba leraikan tangannya perlahan-lahan tetapi lagi kuat dia paut pinggangku. Kali ini aku dapat rasa hembusan nafasnya yang panas mengenai cuping telingaku. Apa yang Han sedang buat ni. Aku memaling melihatnya. Terkejut aku. Rupa-rupanya dalam orang sedang sibuk bergambar, dia pula mengambil kesempatan untuk menciumku terang terangan. Aku terus mengelak sehingga terlajak bergerak ke hadapan.
“Mana nak pergi Chaya? Belum selesai lagilah,” tegur Erin kepadaku.
Aku jeling Han yang tersenyum tanpa rasa bersalah. Aku masuk semula ke dalam barisan. Aku tepis tangannya yang mula hendak menjalar kembali. Bila aku tidak berjaya, aku cubit lengannya sekuat hati. Baru dia alihkan tangannya dari pinggangku dan aku dapat bergambar sambil tersenyum lebar. Padan muka dia.

“JADI itulah bekas teman lelaki yang tinggalkan awak dulu?” soal Han ketika kami berada di dalam kereta. “Berapa lama awak dengan dia couple?”
“Tak lama pun,” balasku endah tak endah.
“Awak dengan dia ada lebih-lebih tak?”
“Lebih-lebih apa ni? Saya tak fahamlah.”
“Aku cuma nak tahu hubungan awak dengan dia sampai ke tahap mana? Baru pegang-pegang tangan ke atau ringan-ringan atau dah lebih daripada tu?”

Aku terus pandang Han. Apa hal tiba-tiba nak tanya aku soalan seperti itu.
“Awak tanya soalan apa ni?” balasku.
“Aku tanya soalan yang senang. Takkan awak tak faham pula? Awak dengan budak laki tu bercinta dah sampai ke tahap mana?”
“Boleh tak jangan tanya soalan like this?” balasku kepadanya.
Han memandu keretanya masuk ke lebuhraya. Dia dan aku diam sahaja sepanjang perjalanan. Aku tidak pasti bagaimana untuk memulakan perbualan lain. Yang pasti aku tidak mahu menjawab soalan yang diajukan. Aku rasa aku tak perlu nak ceritakan sejarah aku dan Nizam kepada Han. Biarlah itu jadi cerita lama aku sendiri. Buat masa sekarang aku naik panik bila Han mula membawa kereta dengan begitu laju. Trafik agak lengang ketika itu.
“Boleh…boleh slow sikit tak?” tanyaku dengan lembut. Aku agak Han merajuk dan marah. Jangan main-main dengan orang yang ada dua sifat sebegini pada masa yang sama. Aku pernah kena dengan orang yang ada dua sifat ini. Papa. Bukan selalu. Sekali Papa marah dan merajuk, memang kami sekeluarga tak berani nak keluar dari bilik.
Han tidak menunjukkan sebarang reaksi. Malah dia menekan lagi pedal minyak. Aku memandang ke luar tingkap. Pejam mata. Walaupun aku tidak takut kereta selaju itu, aku berdoa di dalam hati supaya jangan ditimpa malapetaka. Kami diam sehinggalah aku sedar yang dia menuju ke Subang Jaya. Hari masih awal dan dia sudah nak hantar aku balikkah?
Sampai sahaja di hadapan parking, dia berhentikan kereta tetapi tidak mematikan enjin kereta. Dia menunggu seperti menunggu sahaja aku keluar. Aku buka tali pinggang keledar dan memandang Han yang hanya memandang ke hadapan.
“Terima kasih sebab temankan saya ke majlis tu,” kataku kepadanya tetapi dia hanya mengangguk sahaja. Sebaik sahaja aku turun dan menutup pintu, Han sudah bergerak pergi. Aku belum sempat angkat tangan untuk melambai. Tiba-tiba hati aku rasa sakit. Sedih. Mungkin aku tidak dapat mengawal perasaan aku ketika itu dan aku terus menangis. Di dalam hati aku tertanya-tanya. Di mana silapnya? Aku teringat kata-kata Erin yang aku sepatutnya ceritakan tentang hubungan itu dengan Han. Tanpa berlengah aku terus tekan nombor Han. Dia langsung tidak angkat telefon. Dua kali aku cuba buat panggilan tetapi masih gagal menghubunginya. Aku terus tidak buang masa. Aku bergegas ke hadapan bangunan sambil menempah satu kereta sewa. Senang dapat tempahan kerana mahal bayaran dari Subang ke Kajang. Tidak sampai lima minit, kereta sudah ada di depan mata. Kalau Han nak tahu kisah silam aku, biar aku cerita semua kepadanya. Tiada apa yang ingin aku rahsiakan daripadanya.

“MACAM mana Chaya boleh sampai sini sorang-sorang? Kata nak ke majlis pertunangan kawan Chaya? Mana Han?” soal Mama Jah bila dia sambut kedatanganku. Nampak gaya Han tidak ada di rumah. Ke mana pula dia pergi? Kenapa belum balik ke sini? Aku pun malas nak berdalih dengan Mama Jah. Biar dia tahu perangai anak bujangnya itu.
“Tadi memang Chaya pergi dengan Han. Dia baru tahu tunang kawan Chaya tu sebenarnya bekas boyfriend Chaya. Lepas tu dia terus hantar Chaya balik ke Subang. Agaknya dia merajuk. Chaya rasa tak senang hati pulak. Itu yang Chaya datang nak pujuk ni.”
Mama Jah ketawa dengan penjelasanku.
“Anak Mama tu cemburu besarlah tu. Kesian Chaya. Marilah masuk dulu. Tunggu Han di dalam. Dah cuba telefon tanya dia di mana?”
“Dah Mama. Rasanya dah berpuluh kali telefon tapi dia tak angkat pun.”
“Dia tengah pujuk diri sendirilah tu. Jom kita minum dulu sambil tunggu. Kejap lagi dia baliklah tu.”
“Han tu kuat merajuk ke Mama?” soalku sambil berjalan mengekori Mama Jah ke dapur. Dia minta bibik buatkan air untukku. Kemudian kami ke ruang rehat.
“Boleh tahan juga. Macam Papa masa muda-muda dulu. Cemburu tak tentu pasal.”
“Susahlah Chaya macam ni,” aku mula merungut.
“Apa yang susahnya. Pujuk sahajalah.”
“Itulah yang susah. Chaya ni bukannya pandai nak memujuk.”
“Kenalah belajar. Han tu bakal suami Chaya. Tenangkan dia kalau dia marah. Pujuk dia kalau dia merajuk dan sentiasa bersama dengan dia kalau dia ada masalah.”
“Mama cakap memanglah dengar macam senang. Chaya ni memang tak pandai bab-bab pujuk memujuk ni. Kalau dulu Erin merajuk, Chaya biar saja dia seorang diri. Tak mahu masuk campur. Kalau Erin nak cerita, barulah Chaya dengar saja.”
“Kawan perempuan lain Chaya. Orang lelaki lain caranya. Tu Mama dengar bunyi kereta. Dah balik agaknya.”
“Umi mana Mama?” soalku tiba-tiba. Cuak untuk berdepan dengan Sharhan.
“Umi tengah berehat di dalam bilik dia.”
Kami nampak kelibat Han masuk ke dalam rumah.
“Han?” panggil Mama.
“Yap!” balasnya. Sebentar kemudian, dia muncul di ruang rehat di mana kami berada. Terkejut dia melihatku berada di situ.
“Han pergi mana? Chaya dah lama tunggu Han,” kata Mama Jah kepadanya. Aku diam membisu. Pandang Han pun aku tidak berani. Namun, aku angkat juga muka. Kami bertentang mata seketika.
“Han penat Mama. Han nak masuk rehat dulu.”
“Eh budak ni. Tunang ada di sini, dia buat tak endah saja,” rungut Mama Jah bila Han tinggalkan kami berdua tanpa banyak bicara. Muka aku pun dia tak pandang lama-lama.
“Masih merajuk lagilah tu. Pergilah pujuk dia Chaya,” tambah Mama Jah lagi.
Bila aku bangun, Mama Jah suruh aku bawakan segelas jus oren untuk Han. Kata Mama buat alasan untuk aku berjumpa. Konon-konon nak hantar minuman. Pandai betul Mama Jah. Aku ikut nasihatnya dan membawa naik ke bilik Han segelas air di atas dulang kecil. Sampai di hadapan pintu yang bertutup, aku ketuk dua kali. Hatiku berdebar-debar. Aku tarik nafas panjang sebelum masuk.
Bila aku masuk ke dalam bilik, Han tiada di situ. Aku dengar bunyi air. Tentu Han sedang mandi. Berbelah bahagi lagi nak tunggu atau tidak.. Aku duduk di kerusi dekat meja tulis. Atas meja ada buku yang Han tegah aku ambil dahulu. Aku mula rasa ingin tahu. Sebaik sahaja aku pegang buku itu, pintu bilik air pun terbuka. Aku terus terbangun.
Aku panik.
Han berseluar panjang tanpa baju. Hanya tuala sahaja di lehernya.
Dia pun terkejut melihat aku sedang berada di dalam bilik tapi dia seperti berpura-pura tidak ambil kisah. Han menuju ke almari pakaian dan mengeluarkan sesuatu. Buat seketika aku sedari Han sudah berada di hadapanku.
“Awak nak apa?”
Aku buka mataku. Han sudah berpakaian lengkap. Dia sedang mengelap rambutnya yang basah. Aku telan air liur sebelum bertanya kepadanya.
“Awak marah dengan saya?”
“Nak marah pasal apa pula?” katanya sambil melemparkan tuala di atas katilnya. Dia duduk berbaring di atas katil sambil mengambil sebuah buku. Konon-konon sedang membaca tanpa pedulikan aku yang berada di situ. Memang kebudakan betul tunang aku ini.
“Saya dan dia dah kawan tiga tahun lebih. Sepanjang saya..”
“Awak tak perlu cerita kalau awak tak mahu cerita. Aku faham,” celah Han sebelum aku sempat susun ayat untuk bercerita. “Kita keluar sekarang. Aku hantar awak balik.”
Kali ini aku tidak fikir lama-lama. Aku terus berdepan dengannya. Aku pegang lengan kanannya dengan kedua-dua tanganku. “Sepanjang saya kawan dengan Nizam, saya tak pernah ada perasaan seperti ni. Apa yang saya ingat, saya tak pernah jaga dia kalau dia sakit atau deman. Saya tak pernah pakai baju cantik bila nak berjumpa dengan dia. Well, mungkin sebab saya tak suka membazir beli baju baru. Dan apa yang pasti, saya tak pernah jadi barber untuk cukur jambang seperti yang saya buat dengan awak macam dulu tu.”
“Betul awak tak pernah buat semua tu?”
“Saya tak pernah. Tak elok tau.”
“Sekarang yang awak pegang aku begini eloklah?”
Aku terus lepaskan peganganku.
Dia capai kembali tangan-tanganku dan dan cuba temukan di belakang pinggangnya. Seperti aku memeluknya.
Aku tarik sekuat hati tetapi Han tetap menghalang.
“Ini lagi tak elok. Lepaskanlah tangan saya.”
“Betul awak tak pernah buat begini dengan dia, mmm…?”
“Tak pernah. Saya tak tahulah nak pujuk awak macam mana!” aku rasa kecewa. Mungkin juga kepenatan mental.
“Pandang aku Chahaya.”
Aku memandang Han bila dia suruh aku buat begitu.
“Dia tak pernah buat begini?” soalnya. Han sedang membelai rambutku dengan sebelah tangannya. Aku geleng kepala. Kini tangan itu hinggap dipipiku.
“Kalau begini?”
“Tak.”
“Kalau begini?” soalnya sambil jarinya bermain-main dengan bibirku.
“Tak.”
“Dan kalau begini?”
Aku dapat rasakan apa yang Han cuba lakukan. “Janganlah!” jeritku sambil melepaskan diri. Ternyata Han semakin berani. Nasib baik cubaannya gagal. Kalau tidak, aku jadi mangsa. Dapat sahaja peluang aku terus lari turun ke bawah. Aku bertembung dengan Mama Jah di dapur. Aku capai gelas dan tuang air. Sekali nafas aku telan air.
“Ini yang terkocoh-kocoh ni kenapa? Dah berjaya pujuk Han?”
“Anak Mama tu bukan Sharhan tapi Orang Utan. Mengada-ngada.”
“Apa pulak dia buat kali ini?”
“Han tak buat apa-apa pun Ma,” tiba-tiba lelaki itu muncul di dapur sambil menghampiriku. Gelas ditanganku terus diambilnya untuk minum. Ikut suka dia sahaja.
“Dah tak merajuk ke anak mama sekarang?”
“Bila pula Han merajuk Ma?”
“Habis tu apa pulanya kalau tak merajuk? Si Chaya ni datang jauh-jauh sebab Han tak jawab telefon langsung.”
“Telefon Han habis baterilah Ma.”
“Dia saja bagi alasan tu,” kataku.
“Alasan apa? Kalau tak percaya, jom naik atas tengok telefon bimbit tu. Ada bateri atau tak? Mari naik atas sekarang,” ajak Han. Dia kejip satu mata. Sah! Tidak boleh dipercayai.
“Dah lah. Jangan usik si Chaya tu lagi. Chaya tinggal sampai dinner ya? Hari ni Mama nak masak kari kambing. Papa kamu dah order awal-awal tadi.”
“Tak apelah Mama. Chaya nak balik sekarang. Esok pagi Chaya kena masuk kerja awal. Tak ada cuti sampai sembilan hari,” perkataan sembilan itu aku tekankan kuat sedikit.
“It’s ok Ma. Han hantar dia sekarang. Han pun lusa dah nak ke Sydney balik. Biar Han spend time dengan Chaya hari ni.”
“Tak payahlah. Saya boleh balik sendiri.”
“Mama nampak tak bakal menantu mama ni start merajuk pulak,” adu Han pada Mama Jah.
Aku jeling Han. Aku minta izin pada Mama Jah untuk berjumpa dengan Umi sebelum aku pergi. Bila aku naik tangga, aku perasan Han ikut di belakangku. Terus aku berlari anak ke bilik Umi.

“NANTILAH. Kenapa nak cepat sangat masuk ke dalam. Awak marah lagi pasal hal tadi?” tanya Han bila aku meluru ke lif kondo sebaik sahaja dia berhentikan motosikalnya. Memang dia sengaja mahu mengambil kesempatan. Mentang-mentanglah aku ambil ikhtiar memujuk. Punyalah aku berusaha supaya dia tidak berkecil hati. Ini tidak. Sampai begitu sekali dia mainkan aku. Kalau Mama Jah tahu apa yang dia cuba buat padaku, malu aku nak berhadapan dengan keluarganya nanti. Lepas itu, aku ingat dia nak hantar aku naik jip. Rupa-rupanya dia tolak motosikalnya keluar. Sebab ada Umi dan Mama Jah, aku tidak mahu banyak cerita. Pakai helmet dan terus membonceng. Sebelum Han bawa motor, depan-depan keluarganya pun dia suruh aku peluk kuat-kuat. Geram betul!
“Chahaya!” Han tarik tanganku.
“Apa lagi. Dahlah tu. Saya penatlah,” balasku.
“Sayang marah dengan aku?”
Meremang bulu roma aku dengar kata-kata Han sampai nak terjatuh aku bila tersepak pembahagi jalan. Han sempat menarik tanganku supaya aku tidak terhumban ke lantai. Aku berada dekat sangat dengan Han. Tidak berani memandang Han langsung.
“Pandang aku, sayang,”
“Janganlah. Tak elok ni. Nanti orang nampak,” aku jarakkan diriku.
“Peduli apa dengan orang lain.”
“Nak apa lagi. Baliklah. Nanti nak kena berkemas untuk ke luar negara lagi.”
“Aku nak minta maaf sebab usik awak di bilik tadi. Memang betul aku kecil hati dengan awak sebab tak berterus terang tentang Nizam. Apa salahnya cerita dengan aku. Sekurang-kurangnya, aku tahu apa perasaan awak pada dia. Sekarang, aku tahu yang aku ada sedikit peluang untuk tawan hati awak yang keras tu.”
“Apa yang awak cakap ni?”
“Mmm...memang tak best main panggil awak, awak. Mulai hari ni, panggil nama aku, abang atau sayang. Sebulan sahaja lagi kita akan bernikah. Jadi kena belajar mulai sekarang.”
“Saya panggil lepas bernikahlah.”
“Bukan saya. Chaya. Kalau malu, biar Han saja yang cakap dulu. Han sayangkan Chaya. Han tak tahu bagaimana perasaan ini tiba-tiba muncul dalam hati. Yang pasti ia ada di sini. Ia akan tetap ada di sini sampai bila-bila. Han mahu Chaya mula fikirkan tentang kehidupan kita nanti. Beritahu apa sahaja yang Chaya fikir, mahu atau apa sahaja. Han nak tahu semua yang Chaya inginkan. Kalau boleh, apa yang Chaya mahu, Han akan berikan. Han hanya mahukan Chaya. Hanya Chaya.”
Aku tidak tahu nak jawab apa.
“Tidur baik-baik malam ini, Sayang. Rindukan Han selalu sebab Han akan sentiasa rindukan Chaya.”
Sebelum dia tinggalkan aku di hadapan lif, dia lontarkan satu ciuman. Flying kiss paling mengujakan pernah aku dapat dari seorang lelaki.
Malam itu aku resah sepanjangan. Sukar untuk aku melelapkan mataku. Pada masa yang sama aku bersyukur kerana hati Han sudah terbuka untukku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience