SEMINGGU sudah berlalu. Siang malam aku bagaikan tidak keruan. Aku rindukan Han. Kadangkala, aku rasa menyesal dengan tindakanku. Kadangkala, aku rasa apa yang aku lakukan adalah yang terbaik untuk diriku. Sejak hari itu, aku balik ke Seremban. Aku angkut segala pakaian dari rumah di Subang dan pindahkan ke sini. Kunci rumah Han, aku masukkan ke dalam peti surat di kondo. Dia ada kunci lain. Tiada masalah untuknya.
Keluarga aku seringkali bertanyakan tentang diriku. Erin, Ula dan Nad pula tidak habis-habis memberi kata-kata semangat sama ada melalui telefon atau pun melalui pesanan mesej. Aku naik rimas. Aku dapat tahu melalui Papa yang sejak aku dan Han berpisah hari itu, Han telah keluar dari rumahnya. Sehingga kini, keluarganya tidak dapat menghubungi dia. Aku pasti dia pergi menjaga Marini. Memang itu yang sepatutnya yang dia lakukan. Aku rasa sakit hati pada masa yang sama. Perasaan cemburu itu tetap ada. Aku pasrah bahawa perasaan aku begitu kuat terhadap Han.
“Chaya, Papa masuk ni,” Papaku masuk tanpa aku sempat buat apa-apa.
“Masuklah Papa,” balasku juga.
"Chaya nangih lai ko? Dah jangan nak bagi alasan memacam yo, tu haaa nampak bona mato ko tu bongkak meghah menchaghau"soal Papa. Nak mengusik akulah tu kalau Papa soal ikut bahasa negeri.
"Cemano Chaya nak buek lai, tongah sodih ni"
"Papa paham tu, ko ghaso cemano skaghang?"
"sodih amek-amek ni"
"Haa...elok bona laa camtu kan?"
"Elok apo eh Papa?" balasku sambil berjuraian air mata. Sebentar sahaja sebab aku cepat-cepat sedar diri. Papa tepuk belakanganku.
"Tu makno eh ekau masih sayang an si Han....Kalau tak, takdo ko bekughung siang malam ni doh...dah la tu asyik menangih tak bonti-bonti"
Aku ketawa dan Papa pun ketawa. Lama tak cakap gini dengan Papa.
“Masa Nizam tinggalkan Chaya dulu pun Chaya nangis juga.”
“Tapi lain kan. Ula beritahu Papa yang Chaya taklah teruk menangis sampai begini. Masa Chaya break dengan Nizam, Chaya menangis sebab marah. Yang ini lain. Chaya menangis bukan sebab marah tetapi kecewa. Sedih sebab Chaya hilang kepercayaan dengan orang yang Chaya cinta.”
“Dah nasib Chaya Papa. Han lain. Perasaan Chaya dengan dia lain, Pa. Tak sama dengan apa yang Chaya rasa dengan Nizam.”
“Kalau Chaya sayangkan dia, kenapa Chaya nak tinggalkan dia?”
“Chaya tak tahu Papa.”
“Papa tahu. Chaya keras kepala. Macam Papa.”
Aku terketawa.
“Tadi Uncle Mi telefon Papa. Dia tanyakan khabar Chaya. Papa kata Chaya masih bersedih. Dia minta sangat Chaya pertimbangkan tentang keputusan Chaya. Dia kata Chaya ambillah berapa lama yang Chaya perlukan. Mereka di sana tu masih berharap dapat jadikan anak Papa ni menantu mereka.”
“Papa rasa apa yang Chaya buat ni betul ke tak?” kali ini barulah aku tanya pendapat Papa. Aku pun terfikir kenapalah aku tidak berbincang dahulu dengan Papa sebelum ini.
“Betul Chaya nak dengar pendapat Papa sekarang?”
“Betul Pa.”
“Papa rasa Chaya bertindak terburu-buru.”
Baru saja Papa kata begitu, aku tahu aku sudah buat kesilapan yang besar. Papa jelaskan kepadaku.
“Sepatutnya Chaya berbincang hati ke hati dengan Han kenapa dia rahsiakan perkahwinan dia dengan isterinya itu daripada Chaya. Sepatutnya Chaya beri peluang kepada Han. Papa tahu Chaya rasa sakit bila dapat tahu orang yang Chaya cintai sepenuh hati tiba-tiba mengkhianati Chaya. Tetapi Chaya kena tahu satu perkara. Dalam hal ini, Han lebih lagi sakit daripada Chaya.”
“Kenapa Papa cakap macam tu?”
“Cuba Chaya bayangkan perasaan Han. Di sana ada isteri yang sedang sakit. Dan di sini ada perempuan yang dia cintai, seperti yang kami dengar dia katakan pada Chaya hari itu. Han berada di persimpangan Chaya. Dalam keadaan seperti itu, dia amat perlukan Chaya untuk berada di sisinya. Sebaliknya, Chaya memilih untuk pergi dari hidupnya. Melepaskan orang yang dicintai pergi lebih perit rasanya Chaya. Percayalah sebab suatu ketika dahulu, Papa juga seperti Han bila Papa terpaksa merelakan Mama Chaya pergi dari hidup Papa.”
Aku dibelenggu rasa bersalah yang begitu mendalam.
“Papa sayangkan Chaya. Papa tak mahu Chaya lepaskan satu-satunya lelaki yang boleh membahagiakan Chaya. Han adalah jodoh Chaya. Tidak kiralah dia sudah beristeri atau pun tidak tapi Chaya kena ingat. Chaya pun ada pilihan dan apa saja pilihan Chaya, Papa dan Mami akan sokong Chaya.”
Aku diam seketika. Kata-kata Papa betul-betul buat aku berfikir.
“Chaya rasa Chaya dah buat silap Papa. Kenapa Chaya tak fikir panjang? Kenapa Chaya bodoh Papa. Chaya sayangkan Han. Apa Chaya nak buat sekarang Papa?”
“Satu saja yang Chaya boleh buat. Chaya cari Han dan minta maaf dengan dia. Kemudian bincang dengan dia baik-baik. Papa tahu dia sayangkan Chaya. Dia akan terima Chaya,” jelas Papaku.
Aku tidak mahu membuang masa lagi. Aku perlu jumpa Han segera. Aku tidak kisah kalau aku di katakan seperti gila talak kerana mahu semula bersama dengan bakal ‘suamiku’. Aku perlu segera ke Kajang.
“Papa tolong hantarkan Chaya ke stesen komuter, boleh tak? Chaya perlu jumpa Han sekarang juga.”
“Chaya nak Papa dan Mami temankan?”
“Tak perlu Pa. Biar Chaya sendiri yang selesaikan hal ini dengan Han.”
“Kalau begitu, Chaya telefon dahulu mereka di sana. Katakan yang Chaya nak ke sana. Mana tahu kalau tiada orang pula nanti,” itulah pesan Papa kepadaku.
SEPANJANG aku naik komuter aku tidak putus-putus cuba menelefon Han. Setiap saat jariku mendail nombornya tetapi tidak diangkat langsung. Aku mula tidak keruan. Pasti Han kecil hati, merajuk hati dan marah dengan aku. Bila aku tidak dapat jawapan, aku taip mesej kepadanya. Aku katakan yang aku sedang dalam perjalanan ke rumahnya. Aku ingin bersama dengannya tidak kira apa yang berlaku. Aku minta maaf berkali-kali. Kalau Han melihat mesejku, hanya kemaafan yang kupinta dalam berpuluh-puluh mesej yang kuhantar sepanjang perjalanan.
“MAMA minta maaf Chaya. Mama sendiri tak tahu Han sudah ada isteri. Dia rahsiakan daripada kita semua. Mama pun tak tahu sehinggalah minggu lepas Chaya,” peluk Mama Jah bila dia sambut aku di hadapan pintunya. Aku menangis dan Mama Jah pun menangis juga.
“Chaya pun minta maaf Mama. Chaya tak fikir pasal Han….,” laju sahaja aku mengaku bersalah.
“Masuk dulu Chaya,” kata Mama Jah yang masih memelukku.
"Umi!” aku terus melulu menemui Umi yang sudah berdiri untuk menyambutku. Papa Mi juga ada di situ. Aku buang rasa maluku. Aku hanya mahukan Han untuk diriku.
“Umi ingat Chaya dah lupakan kami semua.”
“Tak, tak, Umi. Chaya sedih bila tahu Han dah ada isteri. Tapi..tapi ..Chaya datang hari ni sebab Chaya tahu yang Chaya dah buat keputusan yang salah Umi. Chaya dah tak kisah Umi. Chaya sayangkan Han. Chaya tak kisah kalau takdir Chaya sebagai isteri kedua. Chaya redha Umi.”
“Alhamdulillah. Lega Umi dengar Chaya kata begini. Sudahlah. Kita lupakan sahaja apa yang sudah berlaku dahulu. Kita mulakan semuanya semula.”
“Chaya perlu jumpa Han. Chaya nak minta maaf. Chaya bersalah dengan dia.”
“Kami tak tahu nak cakap apa dengan Chaya. Han tak ada di sini. Sejak dia tinggalkan Chaya masa hari tu, sampai ke hari ni dia tak balik-balik. Kami dah cuba telefon dan cari dia di rumah dia, tapi sampai sekarang pun tak ada berita,” jelas Papa Mi kepadaku.
“Chaya cuba telefon dia sekarang ya. Mana tahu kalau kali ini dia angkat panggilan Chaya,” kataku terdesak. Berkali-kali aku dail nombor itu tetapi tidak berangkat sehingga aku taip sahaja mesej sekali lagi. Entah yang keberapa puluh mesej pada hari ini. Aku minta maaf dan aku rayu kepadanya supaya dia kembali. Aku akan menunggu sehingga dia balik ke rumahnya.
“Dia tak angkat telefon. Macam mana ni?” aku semakin resah.
“Nanti kita suruh Papa dengan Abang Farid tolong carikan Han. Mungkin mereka tahu dengan siapa lagi kita boleh tahu dia di mana?” kata Mama Jah sambil memelukku semula. Dalam keadaan sebegini, pelukan Mama Jah amat menyenangkan.
“Dah cuba kawan-kawan Han?” soalku seperti terdesak.
“Semuanya kami dah tanya. Luc dan Sam pun tak tahu ke mana dia menghilang.”
“Mungkin dia dengan Marini tak? Marini kan tengah sakit. Mungkin Han tengah jaga dia,” aku yang bertanya, aku pula yang memberikan jawapannya.
“Mungkin juga, tapi kami sekeluarga tak tahu macam mana nak hubungi Marini,” balas Mama Jah.
“Chaya rasa Sam boleh tolong sebab isteri dia Sara kenal Marini dan kakaknya Lisa.”
“Kita boleh cuba Chaya tapi Papa rasa sekarang dah lewat sangat ni. Takut mengganggu Sam nanti. Apa kata kita tunggu sampai pagi esok. Chaya tidur sahaja di sini malam ni.”
“Papa, Mama dan Umi tak kisah Chaya tumpang tidur di sini?”
“MasyaAllah, kenapa cakap begitu Chaya. Kalau Chaya nak duduk di sini selama mana pun kami sudi sangat. Sudahlah tu. Mari kita semua masuk berehat,” ajak Papa Mi kepadaku. Mama Jah membelaiku. Aku berpimpin tangan dengan Umi naik ke atas rumah. Nampak sahaja bilik Han, aku rasa aku ingin bermalam di situ. Sekali lagi tanpa rasa malu, aku minta izin kalau aku boleh bermalam di situ. Mana tahu Han balik nanti, aku dapat dahulu bersua dengannya. Papa Mi dan yang lain memberi izin kepadaku. Mereka minta aku rehat dan tidur seeloknya.
Aku masuk ke dalam bilik Han. Biliknya kelihatan sama seperti kali terakhir aku masuk dahulu. Aku duduk di katil yang aku pernah duduk. Aku memandang di sekeliling. Hatiku tertanya-tanya sama ada Han kini sedang berada dengan Marini. Menjaga isterinya yang sedang sakit itu. Kalau aku ada, InshaaAllah, aku akan jalankan tanggungjawab aku untuk menjaga Marini bersama-sama dengan Han. Biar beban yang Han tanggung dapat kugalas juga. Aku periksa telefonku kalau ada jawapan daripada Han tetapi sama sahaja. Aku letakkan telefon di sisi meja tidur.
Ada sebuah buku yang selalu Han bawa ke hulu ke hilir. Buku berkulit tebal yang dia tidak benarkan aku sentuh, apatah lagi melihat kandungannya. Aku terlalu merindui Han. Aku sentuh juga buku itu. Apa istimewanya buku ini? Kenapa kali ini dia tinggalkan buku ini? Mungkin hari itu, dia pergi begitu sahaja sehinggakan terlupa untuk membawa sekali buku ini. Aku angkat buku. Bukan niat aku menceroboh tetapi buku ini istimewa untuk Han. Aku buka helaian utama. Ianya sebuah buku hasil penulisan seorang penulis yang terkenal di Barat berkaitan dengan pengembaraan menjelajah hutan Amazon. Patutlah Han tidak pernah lekang dengan buku ini. Mungkin penulis merupakan idolanya dalam dunia pengembaraan. Aku buka beberapa helaian sehinggalah aku bertemu dengan sesuatu yang terselit di antara helaian mukasurat. Aku menggigit bibirku sehingga terasa sakitnya. Apa yang aku temui buat aku semakin menyalahkan diriku.
Aku ambil gambar sekeping yang terselit si celah-celah buku. Aku melihat sendiri foto diriku. Gambar yang tidak sengaja diambil oleh jurugambar ketika pertunangan Erin suatu ketika dahulu. Saat aku sedang memerhati Umi dari tingkap bilik Erin. Inikah sebabnya Han bawa buku ini ke mana sahaja dia pergi? Kerana gambarku ini? Mungkinkah dia tegah aku dari membuka buku ini kerana ada gambar ini? Takut dia malu tertangkap dengan gambarku ini? Ya Allah! Ampunkanlah aku. Sesungguhnya kalau Han berkecil hati dengan keputusanku, lembutkanlah hatinya. Pulangkanlah dia kepadaku. Aku akan lakukan apa sahaja untuk membahagiakan dia.
Malam itu aku tidur di bilik Han dengan buku itu dekat di hatiku.
Share this novel