Bab 24

Romance Completed 8896

WAKTU makan selalunya aku makan dengan Han sejak dia boleh menapak ke meja makan. Hari ini aku bersarapan lebih awal. Aku bagi alasan kepada Pak Mus yang aku ada perkara nak kena buat. Hal berkaitan kerja baru supaya Pak Mus tak curiga. Bila Han datang, aku bagi alasan yang sama Bila makan tengahari pun aku buat begitu. Aku tahu Han mesti pelik tengok aku seolah-olah melarikan diri. Tanpa aku sangka, selepas makan tengahari itu, dia duduk di sebelahku.
“Petang ni kita keluar. Kau belajar bawa kereta.”
Aku nak belajar ke? Sedangkan duduk berdua dengan dia sekarang ini pun jantungku kurang stabil, ini pula duduk berdekatan dengannya di dalam kereta.

“Kita keluar pukul tiga nanti. Kena isi minyak dulu sebab minyak kereta Mama aku dah nak habis. Kita pergi Sungai Long. Ada satu tempat yang aku nak kau bawa aku.”
“Nak pergi situ buat apa?”
“Aku dah lama tak memancing. Aku ingat aku nak lepak situ sejam dua.”
Rupa-rupanya nak suruh aku jadi pemandu untuk bawa dia keluar memancing.
“Awak ajak Pak Mus sajalah.”
“Mana janji kau dulu nak jaga kebajikan akulah, amanah bapak kaulah? Aku ajak kau teman memancing. Bukan ajak kau pergi rompak bank pun.”
“Bosanlah kalau saya kena tunggu awak memancing.”
“Apa yang bosannya. Kau pancinglah sama. Aku nak pergi tengok barang pancing kejap. Nanti kalau kau dah siap, aku panggil kau.”

RAMAI yang datang memancing. Hanya aku seorang saja perempuan di kawasan itu. Kolam berbayar itu nampak terjaga juga. Aku sandang beg pancing yang agak berat menuju ke suatu tempat duduk yang ditunjukkan oleh Han. Dia pula sedang membeli anak-anak ikan untuk dijadikan umpan. Sampai di tempat duduk, aku boleh bau hanyir ikan sekeliling kawasan. Pening kepala aku seketika. Sejak aku kenal Han, banyak bau yang aku cium. Dari bau hancing sehingga ke bau hanyir. Aku lihat Han dari jauh sudah mengangkat sebuah baldi kecil. Pasti ada beberapa ekor anak ikan yang malang di dalam baldi kecil itu.
Aku lihat Han berjalan dengan sebelah topang ketiak. Tangan yang sebelah lagi memegang baldi kecil. Aku biarkan sahaja Han mengambil masa berjalan menuju ke arahku. Aku lihat tubuh badannya yang tinggi lampai dan sasa itu. Aku lihat raut wajahnya dengan kaca mata hitamnya itu. Han punya rupa paras sekacak Ikram. Maklumlah, keturunan yang sama. Bertuah kalau ada teman lelaki seperti Han. Aku mula berangan. Sekarang aku bertengkar sendirian. Mana Plan C yang aku cuba pertahankan. Apakah aku sudah lupa yang aku berikrar untuk tidak mahu bermain cinta lagi? Tetapi tidak salahkan kalau aku sendiri yang bermain dengan perasaan aku seorang-seorang. Han tidak perlu tahu apa perasaan aku kepadanya. Tambahan pula, aku baru sedar aku suka dia. Bukannya mendalam lagi perasaan aku kepadanya. Silap hari bulan, ini hanya perasaan yang sementara sahaja. Mungkin esok lusa, perasaan ini hilang begitu sahaja.
‘‘Hoi! Kau ni kalau tak berangan, mesti tengah melayan perasaan. Sampai aku dah lama di sebelah pun kau tak perasan”
Aku ketawa. Tapi ketawa aku macam dipaksa-paksa. Tidak natural. Nampak sangat aku gugup ketika itu.
“Kau tolong ambilkan aku rod tu. Aku nak pasang,” katanya.
Aku buka zip beg memancing dan keluarkan satu per satu joran yang ada. Aku serahkan satu joran kepadanya. Han cekap memasang umpan. Kesian aku tengok anak ikan itu yang masih bernyawa lagi. Aku rasa itu sudah menjadi adat memancing di mana-mana. Ada yang jadi umpan dan ada yang jadi tangkapan.
“Nah. Kau ambil yang ini,” Han menyerahkan kepadaku joran itu. Aku pun ambillah. Ingatkan dia suruh aku pegang buat sementara.
“Balinglah,” katanya.
“Ha?” Aku tanya. Mana aku pernah memancing ikan. Ada juga sekali dua aku main permainan memancing di Internet.
“Macam ni,” Han ambil semula joran itu dan tunjukkan kepadaku setiap langkah yang perlu aku lakukan untuk aku memancing.
Sekali lagi tanganku terketar-ketar untuk buat setiap langkah itu. Setiap langkah yang aku buat betul dan mendapat pujian daripada Han. Akhirnya, aku berjaya baling tali pancing ke dalam tasik.
“Nak buat apa pula?” soalku bila Han juga turut membaling tali jorannya.
“Kita tunggu sampai ikan makan,” katanya.
“Macam mana nak tahu?”
“Bila rasa macam joran kena tarik. Kau rentap joran kau tapi jangan kuat sangat. Takut nanti putus pulak.”
“Ok. saya cuba. Berapa lama nak tunggu,” soalku.
“Selama mana kau boleh tunggu. Kalau nasib kau baik sekejap sajalah. Kalau tidak sampai kita balik pun belum tentu dapat.”
“Err… macam ni ke?” soalku bila ku rasa ada joran yang kupegang seperti ditarik-tarik. Han melihatku seperti tidak percaya. Tarik, katanya. Aku pun menarik tetapi joranku seperti ditarik semula.
“Pusing reel tu,”
Apakah benda yang Han maksudkan itu? Sambil aku pegang joran aku buat muka yang keliru. Mana aku tahu apa yang dia nak aku buat. Akhirnya. Han berada di belakangku. Dia arahkan aku memegang joran kuat-kuat sementara tangannya memandu tanganku untuk memusingkan satu alat yang terlekat di joran itu.
“Pusing reel ni,” katanya sambil melepaskan tanganku.
“Saya pusinglah ni. Tapi joran ni,” aku mengadu bila aku sudah nak pegang joran.
“Pegang kuat-kuat.”
“Payahlah. Awak buatlah sendiri,” kataku mengalah.
“Aku tolong kau pegang. Kau pusing reel,” katanya. Han menghampiriku. Dia tolong aku tarik pancing. Aku ikut arahannya. Sekali sekala dia suruh aku lepaskan tali dan tarik, lepas tarik. Lepas beberapa ketika, aku nampak ikan yang berjaya aku tangkap. Besar juga ikan itu. Aku pun tidak pasti ikan apa. Han sebut nama ikan. Aku tak pernah tahu pasal ikan. Kalau kena tipu pun, aku tak kisah.
Han suruh aku bawakan jaring untuk dapatkan ikan itu. Aku serahkan jaring itu kepadanya. Dengan keadaan kakinya sebegitu, Han sauk ikan itu dan bawanya ke lantai tanah. Han suruh aku buka beg kecil yang dibawanya. Dia keluarkan suatu alat untuk menarik mata kail daripada mulut ikan itu. Ikan bergerak-gerak dengan kuat. Selepas menarik keluar mata kail, Han pastikan ikan itu betul-betul di dalam jaring dan dia cuba ikat jaring itu di salah satu tiang kolam. Dia biarkan ikan itu di dalam air kolam. Selepas itu dia pasangkan semula umpan di mata kail. Aku malas nak memancing jadi aku berterus terang sahaja. Aku suruh dia teruskan sementara aku duduk di kerusi melihat sahaja. Apa tidaknya. Bila Han dibelakang tadi, aku teruja seketika. Silap haribulan, Han boleh dengar jantung yang berdegup kencang ketika itu.
“Nak buat apa dengan ikan tu?”
“Kau nak bawa ikan tu balik buat lauk?”
Aku geleng kepala.
“Kalau macam tu, kita jual balik. Boleh lepas separuh yuran memancing di sini,”
Hampir setengah jam aku menunggu tetapi tiada hasil. Bila aku nampak Han menarik tali pancing untuk dibaling semula, aku pun minta izinnya untuk membuat perkara yang sama dengan joran yang aku guna tadi. Tidak sampai lima minit sahaja, joranku seperti ditarik lagi. Han geleng kepala tidak percaya. Selepas dapat menarik seekor ikan, Han kata dia tak kisah kalau aku dapat tangkap ikan. Biasalah untuk orang baru. Ianya nasib baik orang yang baru belajar. Aku katakan sesuatu sahaja. Dia cemburu dengan aku.

------------------------///----------------------------------

“SAH! Awak jealous. Mengaku sajalah,” kataku kepada Han beberapa hari selepas itu sebab dia masih tidak puas hati denganku. Kami ulang semula ke tempat pancing petang ini dan aku berjaya menangkap seekor ikan lagi. Han pula tidak dapat apa-apa. Kami sedang melayan cendul di sebuah gerai tepi jalan.
“Agaknya, masa di Cherating dulu tu awak tak dapat seekor ikan pun. Lepas tu nak salahkan saya pula.”
“Aku dapatlah!” katanya. “Kau tu yang menjerit tak pasal-pasal sampai terkejut ikan yang aku nak tangkap.”
“Mana ada,” kataku sambil makan cendol ais. Dua tiga hari ini aku rasa seronok sungguh. Aku dapat bersama dengan orang yang aku suka, walaupun dia mungkin tidak suka aku seperti aku suka dia. Atas bimbingan Han, aku juga semakin cekap membawa kereta. Kami luangkan masa di waktu petang untuk merayau-rayau di jalanraya dan di lebuhraya. Kadang-kadang kami singgah di kedai makan yang kami jumpa sepanjang jalan untuk minum ataupun makan juadah petang yang ada. Aku rasa selesa bila bersama Han. Lelaki yang aku ingat bongkak dan tidak berperikemanusian suatu ketika dahulu adalah seorang yang boleh diajak berbual. Tambahan pula dia lelaki berwajah menarik. Kalau wajah dia serabut seperti dulu pun, aku rasa kalau diberi masa mengenali dia, aku memang boleh terpikat dengan dia. Lebih-lebih lagi kalau Han ketawa. Aku semakin cair. Nampaknya keadaan aku semakin parah. Apa sahaja yang dia buat aku nampak elok belaka.
“Hari ni kita kena balik awal sikit. Keluaraga awak telefon dekat Maghrib nanti. Kalau boleh biar saya ada di rumah. Tak nak ada gangguan.”
“Kau kena beri laporan ke setiap minggu?”
“Mestilah kena. Awak kan anak manja keluarga awak. Jadi diorang nak tahu apa awak buat. Awak cukup makan ke tidak. Saya buli awak atau tak? Dan awak buli saya tak?... bla..bla..bla..”

Han ketawa mendengar aku membebel. Aku ketawa di dalam hati yang kian cair.


“APA diorang cakap?” tanya Han kepadaku sebaik sahaja aku letakkan telefon ke gagang.
“Kalau tiada aral, diorang semua sampai malam Khamis ni di KLIA,” balasku.
“Cepat betul. Dah sebulan rupanya.”
“Mmm…cepatkan,” aku mengiyakan cakap Sharhan. Aku duduk di bawah berdekatan sofa. Aku dan Han kerapkali melepak di sini untuk menonton rancangan TV. Ianya umpama rutin harian kami selepas makan malam. Bukan aku tak ajak Pak Mus atau Mak Teh, kalau Mak Teh ada, lepak sekali menonton apa sahaja cerita yang mereka nak tengok, tapi mereka tak minat.

“Lepas ni Papa aku dapat lagi satu pangkat barulah. Datuk Sri Haji ke atau Haji Datuk Sri?”
“Datuk Sri Haji Shuhaimi,” balasku.
“Mama aku jadi Puan Sri Hajjah Khatijah,” tambah Han.
“Seronok kan kalau dapat pergi Haji. Sekarang ni kalau daftar, entah dua puluh tahun lagi baru dapat peluang.”
“Lamanya,” kata Han.
“Kalau nak cepat boleh. Bukan pergi Haji tapi buat Umrah.”
“Kalau pergi umrah tu, aku dah pergi. Aku pergi masa aku kecik dulu.”
“Seronok kan dapat pergi sana? Awak dah pergi banyak tempat di luar negara kan?”
“Banyak.”
“Tempat mana paling best?” soalku.
“Bergantung pada soalan kau tu. Best bahagian mana?”
“Ada beza ke bahagian mana yang best?”
“Yap. Kalau kau suka main laut, kau pergi Phuket, Bali atau Maldives. Kalau kau suka aktiviti mencabar, kau ke Afrika, Nepal atau ke Mongolia. Kalau kau nak shopping barang high class macam ramai orang perempuan, kau pergi US atau Eropah.”
“Awak dah pergi semua tempat tu ke?”
“Aku dah pergi banyak tempat jugalah.”
“Negara apa yang last sekali?”
“Aku ke Kathmandu, Nepal. Kalau ikut rancangan, aku sepatutnya buat perjalanan ke kaki tapak kem Annapurna tapi aku terpaksa batalkan sebab Ikram nak kahwin dan keluarga aku nak ke Mekah. Kalau kaki aku dah pulih nanti, aku akan sambung balik rancangan aku tu.”
“Tentu seronok dapat pergi tempat seperti itu.”
“Kau tak pernah ke luar negara ke?”
“Belum. Kakak-kakak saya dah merasa masa dorang belajar dulu. Saya yang belum lagi. Tengoklah kalau saya teringin nanti, saya pergi.”
“Kau patut pergi sendiri. Bagus kalau kau tengok negara orang. Banyak yang kau boleh belajar. Patutnya kau pergi seorang diri. Barulah mencabar sedikit. Aku kenal ramai perempuan yang travel sorang-sorang. Kau patut buat macam tu.”
“Cakap senang. Nak buat tu yang susah. Mungkin kawan perempuan yang awak kenal tu macam Kak Kasih saya. Jenis orang yang berani atau pun yang pernah belajar luar negara.”
“Itu pasal aku suruh kau cuba. Kalau tak, sampai bila kau nak belajar jadi berani. Kau cuba pergi yang dekat dulu. Singapura atau Indonesia. Sekurang-kurangnya, orang di sana lebih kurang macam kita. Kalau dah confident, kau travel yang jauh sedikit, Thailand dan Filipina. Kemudian, kau cuba pula Australia atau New Zealand. Wait! Kau ni dah pernah pergi Sabah atau Sarawak?”
“Belum lagi,” kataku sambil menggelengkan kepala.
“Dalam Malaysia ni kau pernah pergi mana?”
Aku sebut lima negeri sahaja. Selain Negeri Sembilan, Selangor Kuala Lumpur dan Cherating Pahang, aku pernah bercuti ke Melaka.
“Kes kau ni memang teruk sangatlah. Takkan kau tak pernah pergi negeri lain?”

“Tak pastilah. Mungkin pernah pergi Langkawi masa kecil dulu. Ingat-ingat lupa macam Papa pernah bawa ke sana. Jadi saya pernah pergi Kedah. Kalau pergi Kedah, kena lalu Perak. Itu dah tujuh negeri.”

“Kau memang patut merantau mulai sekarang. Luaskan pengalaman kau. Lagi pun kau tak terikat dengan sesiapa sekarang ni. Sepatutnya kau buat begitu.”

“Nak balik Seremban pun saya tak mampu, macam mana saya nak travel pulak.”

“Itu yang kau kena explore. Masa aku lapan belas tahun, aku mengembara sambil bekerja. Tak kisahlah kerja apa asalkan halal dan aku dapat duit poket sedikit. Ada sekali tu aku ada kes emergency, duit aku habis terus. Tinggal beberapa ringgit sahaja. Masa tu aku di Taiwan. Lastly, aku call parents aku. Mereka terus hantar duit.”

“Awak anak orang kaya senanglah cakap. Kalau sayalah yang tak ada duit masa tu, silap hari bulan dah kena jual dengan orang Taiwan. Tak pasal-pasal kena kahwin dengan tokey di sana.”
“Elok juga tu. Nanti kalau aku pergi sana, aku boleh duduk free.”
Aku jentik kas di kakinya. Pasti dia tidak rasa sakit sedikit pun. Aku jentik sekali lagi. Kali ini tepat di ibu jari kakinya. Han ketawa tapi bila kena jentik dia mengadu terasa berbisa. Aku buat tak endah sahaja. Masa aku semakin dekat. Sebaik sahaja keluarga Han pulang, aku akan mengundurkan diri. Lagi cepat lagi bagus.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience