×sebelas×

Romance Series 18456

UMAIRAH menarik nafas lega. Akhirnya dia dapat juga menjejakkan kakinya di bumi Perancis sebelum melahirkan bayinya. Lagipun dia begitu rindukan bumi Perancis yang pernah dia huni dahulu.

Fawwaz yang banyak membantunya menguruskan tiket dan segala dokumen yang diperlukan. Perlahan-lahan Umairah mengusap perutnya yang semakin memboyot itu. Sudah hampir seminggu dia menetap di sini dan terpaksa berdikari tanpa Fawwaz di sisi.

Fawwaz ada juga menyatakan hasratnya untuk menemani Umairah disebabkan dia terlalu risaukan Umairah yang agak sarat itu. Tapi Umairah sudah berjanji akan pulang sebelum due date. Umairah memandang ke arah Menara Eiffel yang berada di hadapannya. Ramai sekali pasangan yang bercinta yang berada di sekitar menara itu.

"Sayang, mummy rasa bahagia sangat dapat datang ke sini lagi. Nanti kalau sayang dah keluar dari rahim mummy, mummy akan bawa sayang ke sini lagi. Mummy minta maaf sebab tak dapat bawa daddy sekali," nada suara Umairah sedikit mengendur.

Umairah membawa langkahnya berjalan-jalan di sekitar taman Champ de Mars. Kakinya terasa agak kebas apabila banyak berjalan. Punggungnya segera dilabuhkan di atas sebuah kerusi yang diperbuat daripada batu marmar. Perlahan-lahan dia memicit kakinya yang kelihatan sedikit membengkak itu.

Tiba-tiba ada tangan yang memegang kaki Umairah lalu memicit kaki itu perlahan-lahan. Umairah yang terkejut dengan tindakan itu terus merentap kakinya kasar. Terbuntang matanya melihat pemilik tangan itu. Pemilik tangan itu terus melabuhkan punggungnya di sebelah Umairah.

"Tak sangka pula aku akan jumpa kau di sini," ujar Tengku Mikael sinis.

Umairah memalingkan wajahnya kearah lain. Tidak sanggup dia melihat wajah itu setelah beberapa bulan tidak bersua muka. Perlahan-lahan Umairah menarik baju sejuk yang tebal itu menutup bahagian perutnya.

"Tak payahla kau sembunyikan perut kau tu. Aku tahu kau mengandung. Kau mesti anggap aku lelaki yang tak guna kan sebab tak jaga kau bila kau pregnant. Kau dah ada Fawwaz untuk jaga kau kan," ujar Tengku Mikael lagi.

Sakit hati Umairah apabila nama Fawwaz disebut. Sekurang-kurangnya lelaki itu tidak tinggalkan dia sendirian.

"Fawwaz yang beritahu aku kau ke sini. So, aku terus ke sini sebelum pulang ke Kanada. Mesti kau benci aku sangat-sangat kan. Iyalah, aku dah ganggu kau nak bercuti di sini." Tengku Mikael melempar pandangannya ke arah menara Eiffel.

Umairah sudah tidak betah duduk. Kakinya pula masih lagi terasa sakit. Tanpa menunggu lebih lama, Umairah segera mengatur langkahnya perlahan-lahan untuk pergi. Tapi disebabkan kakinya yang terasa kebas, hampir sahaja tubuhnya jatuh menyembah bumi. Mujurlah Tengku Mikael pantas bertindak dengan menyambut tubuhnya.

Umairah menolak kasar tangan Tengku Mikael lalu mengucapkan terima kasih. Dia tetap meneruskan langkahnya walaupun terasa sangat susah. Tengku Mikael pula hanya menggeleng kepalanya melihat kedegilan Umairah. Benarlah kata Fawwaz, Umairah yang sekarang bukanlah Umairah yang dahulu. Wanita di hadapannya itu kini sangat berdikari.

Tengku Mikael terus menghampiri Umairah lalu mengangkat tubuh itu. Berkali-kali Umairah menumbuk dadanya dan minta dilepaskan. Tetapi Tengku Mikael tetap tidak mahu lepaskannya. Kini mereka tiba di hotel yang Umairah menginap.

"Kau kemas barang kau dan ikut aku sekarang. Kau jangan nak bantah apa yang aku cakap. Aku tunggu kau dekat bawah. Kalau kau tak turun, nahas kau," ugut Tengku Mikael.

Umairah mendengus kasar. Dia terus meloloskan diri ke dalam lif menuju ke bilik hotelnya. Tengku Mikael pula bersorak kemenangan di dalam hati melihat Umairah tunduk padanya. Tidak lama selepas itu, kelibat Umairah mula kelihatan bersama dengan dua buah bagasi bersaiz sederhana.

"Bagus. Isteri yang baik perlu dengar cakap suami," ujar Tengku Mikael selamba lalu mendapatkan bagasi yang berada di tangan Umairah.

Mereka kini menaiki sebuah teksi menuju ke sebuah tempat. Umairah banyak mendiamkan diri. Dia memang malas nak bercakap dengan Tengku Mikael buat masa sekarang. Kini mereka tiba di hadapan sebuah pangsapuri. Tengku Mikael segera melangkah masuk ke dalam pangsapuri itu. Mereka menuju ke tingkat lapan.

"Sementara kau nak bercuti dekat Paris ni, kau boleh stay dekat apartment aku. Kau boleh pilih mana-mana bilik yang kau nak. Kalau ada apa-apa, kau boleh panggil aku dekat atas." Tengku Mikael menghilangkan diri ke dalam bilik tidurnya.

Umairah memilih bilik berhampiran dengan ruang tamu. Dia malas hendak mengambil bilik di atas yang berdekatan dengan Tengku Mikael. Sebaik saja masuk ke dalam bilik, Umairah cepat-cepat menghubungi Fawwaz.

"Kenapa awak beritahu Mikael? Saya perlu stay dengan dia sekarang," ujar Umairah dingin apabila panggilan disambungkan dengan Fawwaz.

"I'm sorry Maira. Saya risaukan awak. Lagipun Mikael berhak tahu tentang keberadaan awak. Awak dah sarat sangat dah. Bahaya kalau awak sendirian di sana." Fawwaz mengeluh di hujung talian.

Umairah terus menamatkan panggilan telefon. Tiba-tiba pintu biliknya diketuk perlahan. Umairah cepat-cepat mengenakan kembali selendang yang dibuka tadi lalu melangkah ke arah pintu.

"Kau nak solat berjemaah dengan aku?" soal Tengku Mikael dingin. Lelaki itu sudah lengkap  berbaju Melayu berwarna hitam dengan kain pelikat.

Umairah mengangguk.

"Aku tunggu dekat ruang tamu. Kita solat dekat situ." Tengku Mikael terus melangkah pergi.

Umairah bergegas ke tandas untuk berwuduk. Setelah itu, dia mencapai kain telekung yang berada di dalam bagasi. Perlahan-lahan dia melangkah ke arah ruang tamu. Tengku Mikael sudah siap menantinya di atas tikar sejadah. Berbeza sekali dengan Tengku Mikael yang pernah dia kenal dahulu.

Usai sahaja solat, Umairah menghulurkan tangannya pada Tengku Mikael. Lambat-lambat Tengku Mikael menyambut huluran tangan isterinya. Apabila Umairah ingin melangkah pergi, Tengku Mikael cepat menarik tangan Umairah,

"Aku tak nak kau tinggal di rumah Fawwaz lagi. Kau boleh kembali ke rumah semula," ujar Tengku Mikael.

Umairah tersenyum sinis. "Bukankah Tengku yang buang saya di situ dan sekarang Tengku nak saya kembali pula. Bukan semudah itu Tengku."

"Aku tak nak gaduh dengan kau Maira. Sebagai suami kau, aku juga ada perasaan cemburu bila isteri aku tinggal di rumah lelaki lain," nada Tengku Mikael sedikit meninggi.

"Baru sekarang Tengku nak cakap tentang perasaan. Mana hati dan perasaan Tengku saat Tengku rampas maruah saya. Ada Tengku fikir semua itu? Adakah Tengku fikir tentang perasaan saya saat Tengku buang saya dahulu. Kenapa Tengku kembali semula sekarang?" air mata Umairah sudah mula mengalir.

Tengku Mikael mendengus kasar. Malas dia hendak melayan emosi Umairah. Dia terus membawa langkahnya mendaki anak tangga menuju ke bilik. Dia cuma ingin berbaik dengan isterinya itu sahaja. Tidak sangka pula Umairah masih lagi ingin mengungkit perkara lama itu.

"Lepaskan saya Tengku Umar Mikael. Saya dah tak sanggup digantung tidak bertali. Ceraikan saya," jerit Umairah tiba-tiba.

Langkah Tengku Mikael terus terbatas. Berdesing telinganya mendengar kata-kata Umairah itu. Wanita itu memang suka mencabar dirinya sedaj dahulu lagi. Tengku Mikael pants membawa langkahnya menuruni anak tangga kembali lalu menghampiri Umairah. Dagu runcing Umairah dicekak hingga wanita itu sukar bernafas.

"Sampai mati pun aku tak akan lepaskan kau. Aku akan pastikan kau menyesal dengan kata-kata kau Maira," satu tamparan terus hinggap di pipi Tengku Mikael.

Tengku Mikael terus menolak Umairah hingga belakang tubuh wanita terasa sakit akibat terhempas ke lantai. Tanpa berfikir panjang, Umairah terus bergegas ke dalam biliknya lalu mendapatkan beg tangannya. Dia terus lari keluar dari pangsapuri itu. Tengku Mikael pula jatuh terduduk. Tidak sangka pula tindakannya itu sudah di luar batas.

"Kenapa kau bodoh sangat Mikael? Kenapa kau tak boleh nak kawal diri kau walau sesaat pun." Tengku Mikael kesal akan dirinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience