33 : Ending

Romance Series 18456

ALANGKAH terkejutnya Umairah apabila melihat Mikael bersama beberapa orang wanita di hadapan chalet yang dihuninya sejak beberapa hari yang lalu. Kesemua wanita itu membawa peralatan solekan dan ada juga membawa persalinan gaun berlengan panjang berwarna putih. Mikael segera mengarahkan kesemua mereka untuk merias wajah Umairah sebaik mungkin.

Dia mengikut Mikael ke pulau ini atas alasan untuk bercuti. Tak sangka pula Mikael menyewa seluruh resort ini untuk keluarganya dan juga keluarga Mikael. Kononnya untuk merapatkan silaturrahim. Tapi kenapa pula dia dirias cantik seperti pengantin pula hari ini. Hal ini memang langsung tak ada dalam perancangan mereka atau mungkin ada dalam perancangan Mikael.

Mikael hanya tersenyum sahaja melihat wajah isterinya yang kebingungan. Dia sudahpun selesai menyalin pakaian. Di tubuhnya tersarung sepasang tuxedo berwarna hitam. Wajah Mikael juga disolek sedikit untuk kelihatan berseri. Sudah lama dia merancang untuk mengadakan majlis perkahwinannya dan Umairah.

Mereka tidak pernah mengadakan majlis perkahwinan semenjak mereka bernikah di pejabat agama beberapa tahun dahulu. Jadi, dia mengambil keputusan untuk mengadakan majlis tersebut dan biarlah isterinya itu juga merasai bagaimana menjadi raja sehari.

"Tengku, you nak pakai bow tie or necktie sahaja?" soal seorang wanita yang sedang mengemaskan tuxedo Mikael.

"Necktie please. I selesa pakai itu."

Wanita itu mengangguk lalu bergegas ke arah closet. Dia memilih beberapa tali leher untuk dipadankan dengan tuxedo Mikael. Akhirnya dia memilih tali leher berwarna hitam untuk dipadankan bersama tuxedo tersebut. Setelah itu dua orang wanita lain menghampiri Mikael untuk mengemaskan rambut pula.

"Your wife so cantiklah Tengku. Untungnya Tengku dapat dia," puji salah seorang dari wanita itu.

Mikael hanya tersenyum sahaja. Dia sendiri juga mengakui kecantikan isterinya itu. Setelah siap segalanya, kesemua wanita itu meminta diri untuk pergi. Umairah masih lagi berada di hadapan meja solek. Tanpa henti dia membelek wajahnya di cermin. Belum pernah lagi dia bersolek sebegitu rupa.

"Cantiknya isteri abang," puji Mikael sambil memegang bahu Umairah. Dia tersenyum melihat pantulan susuk tubuh isterinya di dalam cermin.

Tiba-tiba Mikael duduk berlutut di hadapan Umairah sambil mengeluarkan kotak baldu berwarna merah. Kotak itu dibuka lalu diletakkan di atas peha Umairah. Tangan isterinya ditarik lalu dikucup.

"Abang tak tahu sayang sedar ataupun tidak. Sejak kita bernikah hinggalah ada anak tiga, abang tak pernah belikan sayang cincin tanda perkahwinan kita ini. Abang rasa ralat sangat kerana selalu sangat abaikan sayang."

Umairah menggeleng kepalanya. Dia menutup kotak baldu itu lalu meletakkannya semula di atas tangan Mikael. Wajah lelaki itu ditenung lama dengan sepenuh hati. Jarang sekali dia melihat keikhlasan dalam mata lelaki itu. Tapi kali ini, mata Mikael menggambarkan segalanya.

"Maira tak pernah minta semua ini pun. Abang dah bagi Maira harta yang tak ternilai iaitu hati abang. Cukuplah semua ini untuk Maira." Umairah meletakkan telapak tangannya pada dada Mikael.

"Lain kali Maira boleh tolak. Tapi hari ini Maira kena pakai cincin ini. Ada ramai tetamu dah tunggu kita di dewan sana."

Usai Mikael menyarungkan cincin, dia mencapai sepasang high heels berwarna putih yang dihiaskan dengan manik-manik halus lalu disarungkan pada kaki Umairah. Setelah itu, mereka sama-sama melangkah keluar dari chalet tersebut. Jarak chalet ke dewan juga tidaklah jauh mana.

Bibir Umairah menguntum senyuman apabila melihat Azrael yang siap bersut dan Airina dengan gaun kembangnya sudah menanti mereka di hadapan pintu dewan. Airina terus mencapai tangan Umairah manakala Azrael mencapai tangan Mikael. Mereka sama-sama melangkah masuk ke dalam dewan tersebut.

Irama muzik romantik dan perlahan mendayu-dayu di telinga Umairah. Semua orang yang dikenali oleh Umairah sudah menanti di dalam dewan tersebut. Kelihatan Tengku Tiara sedang mendukung si kecil Aidan di sisi abangnya, Huzair. Mikael memimpin tangan Umairah ke arah pelamin yang disiapkan di tengah dewan.

"Anak tiga pun nak bersanding lagi ke?" bisik Umairah.

"Tak apalah. Abang pun nak merasa juga duduk atas pelamin. Ke Maira nak suruh abang merasa duduk atas pelamin dengan orang lain." Sempat lagi Mikael mengusik isterinya itu.

Tangan Umairah spontan mencubit pinggang Mikael. Ada hati nak pasang lain. Yang seorang ini pun masih tak terjaga. Fawwaz dan Jojo pula sudah menanti mereka di atas pelamin sebagai pengapit.

"Lepas ni kita makan nasi minyak mereka berdua ini pula," ujar Mikael tiba-tiba.

Fawwaz dan Jojo hanya tersenyum tersipu sahaja. Nampaknya hubungan antara majikan dan pekerja ini sudah mengorak langkah. Siapa sangka Jojo berjaya memenangi hati Fawwaz dalam tempoh masa yang pendek sahaja. Lagipun Fawwaz berasa sangat selesa dengan Jojo ataupun nama sebenarnya Ashla Zulaikha.

Semua tetamu yang hadir menghampiri pentas pelamin untuk menepung tawar pasangan mempelai. Umairah agak terharu apabila mendapati rakan-rakan ketika dia menuntut ilmu di Perancis juga turut sama hadir. Nampaknya Mikael memang telah mengatur rancangan ini dengan sebaik mungkin tanpa pengetahuannya.

"Terima kasih abang. Maira bahagia sangat," bisik Umairah perlahan.

Mikael mencapai tangan Umairah lalu menggengam erat. Pipi mulus isterinya dicuit manja.

*****

UMAIRAH duduk menghadap ke arah laut yang ditelan gelap malam. Angin laut lembut mengelus pipinya. Sesekali dia tersenyum apabila teringatkan majlis pada siang hari tadi. Banyak gambar yang diabadikan oleh jurugambar profesional yang ditempah oleh Mikael. Dahulu dia hanya mampu melihat gambar perkahwinan orang lain sahaja yang diabadikan. Tapi kini dia juga mampu merasai semua itu.

Aidan yang tertidur dalam pangkuannya ditenung lama. Si kecil ini jarang sekali meragam dan hanya menangis ketika lapar sahaja. Dia sangat bersyukur kerana mempunyai keluarga kecil ini. Jika dahulu dia hampir sahaja berpisah dengan suaminya. Tapi kini lelaki itulah yang banyak bersama dengannya ketika susah dan senang.

Tiba-tiba ada tangan memeluk pinggangnya dari belakang. Bibirnya hanya mengukir senyuman kerana kenal akan tangan itu. Kepala Mikael diletakkan di atas bahu Umairah.

"Sayang happy?"

Umairah mengangguk. Sebelah lagi tangannya menepuk pipi Mikael mesra. Mikael meleraikan pelukan lalu duduk di sebelah Umairah. Wajah Aidan yang kemerahan dipandang sekilas lalu bibirnya menguntum senyuman.

"Nama sayang Durriyatul kan?" soal Mikael tiba-tiba.

Kening Umairah dijungkit sedikit. Percubaan nak buat pickup line lagi ke apa Mikael ni. Takkanlah boleh lupa nama isteri sendiri pula kan. Lama berdiam, akhirnya Umairah mengangguk kepalanya.

"Oh jadi betullah Maira lah duri yang mencucuk hati abang supaya selalu ingatkan Maira. Ingatkan duri mawar sahaja yang bahaya. Rupanya duri sebelah abang pun bahaya juga."

Tawa Umairah terus meletus. Mana dia belajar pickup line pula ni. Percubaan pertama hari itu gagal.

"Cia cia cia...." Umairah menjelirkan lidahnya.

Mikael terus mendabik dada. Sia-sialah dia fikirkan nak buat pickup line itu kalau tak menjadi. Tidak lama selepas itu kelihatan Azrael dan Airina berlari-lari anak ke arah mereka. Mikael segera menangkap kedua-dua anaknya itu. Kalau dibiarkan, terlajak terjun ke dalam laut agaknya.

"Daddy, bila kita nak pergi Disneyland? Kali ni tak payah bawa Airin sebab dia gigit tangan Azrael tadi." Azrael menolak adiknya ke tepi.

Bulat mata Mikael melihat tingkah anaknya seorang itu. Airina juga tidak mengalah. Tangan abangnya itu terus ditampar kuat. Mikael cepat-cepat meleraikan pergaduhan dua beradik itu. Walaupun selalu bergaduh, mereka berdua ini tidak boleh berjauhan sebenarnya.

"Abang Azrael yang tarik rambut Airin tadi. Sakitlah." Petah sekali Airina berkata-kata.

"Shh... kalau Azrael dengan Airin gaduh lagi, mummy akan pastikan daddy bawa Aidan saja. Kamu berdua tinggal di kampung dengan uncle Am."

Tiba-tiba sahaja Azrael dan Airina melompat apabila terdengar perkataan kampung. Lupalah Umairah bahawa anak-anaknya itu memang suka berada di kampung. Tambahan pula, Amzar selalu sahaja melayan kehendak mereka. Kalau Huzair ada lagilah dahsyat. Ke mana sahaja dua beradik itu nak pergi pasti dibawa. Mikael menepuk tempat kosong disebelahnya mengisyaratkan untuk Azrael dan Airina duduk.

"Daddy tak nak bawa korang ke Disneyland. Apa kata kita pergi London dan France. Daddy rindu pula nak balik London. Lagipun mummy juga dah lama tak balik France kan."

Azrael menarik muncung panjang. Dia taknak pergi sana. Lebih baik dia duduk di kampung dengan Uncle Am. Boleh juga mandi sungai setiap petang.

"Tak nak tak apa. Daddy pergi dengan mummy dan Aidan ja." Sengaja Mikael mengumpan lagi.

"Nak !" jerit Azrael dan Airina serentak.

Mikael menjungkitkan keningnya pada Umairah. Berjaya juga plan mereka. Bukannya dia tak nak bawa anak-anaknya ke Disneyland. Memang tak laratlah nanti dia seorang terpaksa melayan karenah dua beradik itu. Umairah pastilah akan menjaga Aidan.

"Terima kasih Tuhan kerana berikan kebahagiaan ini pada aku. Tiada apa lagi yang aku minta melainkan kau kekalkan kebahagiaan ini sehingga aku menutup mata. Andainya ditakdirkan salah seorang daripada kami pergi dahulu, kau tetapkanlah hati kami agar terus kuat dan menerima semua ketentuan-Nya." Mikael mendepakan tangan lalu memeluk isteri dan anak-anaknya.

Kadang-kadang peluang kedua adalah lebih baik kerana ia mampu membaiki sesuatu yang rosak. Ada kalanya juga peluang kedua itu hanya akan disia-siakan. Kebahagiaan yang abadi mungkin tidak ada, tapi yang penting diri sendiri yang perlu berusaha untuk kekalkan kebahagiaan itu. Kadang-kadang manusia juga terlupa akan hakikat dirinya yang saling memerlukan dalam hidup. Jadi apa salahnya turunkan taraf ego itu dan berbahagialah dengan sepuas hati.

-Tengku Umar Mikael-

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience