5 : Retrograde

Romance Series 18456

LANGIT kelihatan sangat gelap dan menandakan hari akan hujan. Umairah kelihatan sangat resah dan sesekali dia mundar-mandir di hadapan pintu utama rumah. Jarum jam sudah menunjukkan jam 3.00 petang. Mikael masih lagi belum pulang membawa Azrael. Tidak pernah pula suaminya lewat begini. Selalunya jika ada mesyuarat dan hal lain, Mikael akan menghubunginya dan meminta untuk menjemput Azrael di sekolah. Airina yang tidur di dalam baby cot di ruang tamu dipandang sekilas.

"Mana daddy dengan abang ni sayang. Risau betul mummy. Demam Airina pun tak kebah juga ni." Umairah meletakkan belakang telapak tangannya pada dahi Airina.

Tangannya pantas mencapai sapu tangan yang sudah hampir kering di atas kepala Airina.  Setelah itu, dia melangkah ke arah dapur untuk membasahkan sapu tangan tersebut. Tiba-tiba sahaja telefon rumah berdering.

"Bibik tolong jawabkan panggilan kejap. Saya di dapur ni," laung Umairah.

Pembantu rumah yang berada di ruang makan segera mendapat telefon yang berdering itu. Tidak lama selepas itu, pembantu rumah tersebut memanggil Umairah kerana pemanggil ingin bercakap dengan majikannya. Umairah segera menjawab panggilan tersebut.

"Hello." Air mukanya mula berubah lalu gagang telefon di tangannya perlahan-lahan terlepas.

Umairah pantas berlari ke arah biliknya. Tidak lama selepas itu dia muncul di ruang tamu dengan siap bertudung litup. Airina di dalam baby cot didukungnya lalu dia bergegas ke arah kereta. Air matanya sudah mula mengalir laju. Gear satu dimasukan lalu perlahan-lahan kereta mula bergerak. Panggilan telefon yang diterima sebentar tadi sangat mengejutkannya.

Umairah mengeluarkan telefon bimbitnya lalu menghubungi Fawwaz.

"Fawwaz, Mikael accident. Jumpa saya di hospital sekarang." Umairah menamatkan panggilan.

Kini kereta yang dipandu Umairah memasuki perkarangan sebuah hospital. Selesai memarkir kereta, Umairah bergegas ke arah ruangan kecemasan. Tengku Arsyad sudah berada di tempat menunggu sambil memangku Azrael yang terlena. Dahi Azrael hanya ditampal plaster sahaja dan lengannya mempunyai kesan calar.

"Azrael cedera ringan sahaja. Mikael ada dalam red zone. Keadaan dia agak teruk," terang Tengku Arsyad.

Umairah menghulurkan Airina pada Tengku Arsyad lalu mendapatkan Azrael. Wajah Azrael diusap perlahan.

"Bagaimana boleh accident?"

"Tadi daddy temankan Mikael jemput Azrael di sekolah. Sewaktu Mikael turun nak jemput Azrael, ada kereta pecut laju ke arah Azrael. Mikael cuba nak selamatkan Azrael dengan menolak Azrael. At the end, dia pula yang kena langgar. Kereta tu pula terus blah," cerita Tengku Arsyad.

Luluh hati Umairah mendengar cerita ayah mertuanya. Siapalah yang tergamak hendak cederakan anak dan suaminya. Sungguh fikirannya sangat berserabut sekarang. Dia sangat risaukan Mikael yang masih menerima rawatan dan tidak tahu akan keadaannya.

"Maira..." panggil Fawwaz. Dia bernafas tercungap-cungap seperti baru selesai larian pecut 100 meter.

"Kesiannya anak uncle. Sayang sakit ke?" Fawwaz mendapatkan Azrael lalu dipeluknya erat.

Umairah menyandarkan tubuhnya pada dinding. Selagi dia tidak tahu akan keadaan Mikael, selagi itulah hatinya tak akan tenang.

"Maaf, siapa waris Tengku Umar Mikael?" soal seorang jururawat dan kelihatan seperti sedang mencari waris Mikael.

Fawwaz dan Umairah segera menghampiri jururawat tersebut.

"Saya isterinya."

Jururawat itu mengatakan sesuatu pada Umairah dan Fawwaz. Tidak lama selepas itu, Umairah dan Fawwaz sama-sama bergerak masuk ke dalam ruangan kecemasan. Lemah lutut Umairah melihat keadaan Mikael yang tidak sedarkan diri. Tubuhnya dipenuhi wayar dan bernafas menggunakan bantuan mesin. Kakinya patah dan berbalut. Bahagian kepala Mikael juga berbalut.

"Puan isteri Tengku?" soal seorang doktor.

Umairah mengesat air matanya lalu mengangguk. Doktor itu tersenyum lalu menghampiri katil Mikael. Pandangan Fawwaz juga kelihatan sayu. Dia tidak pernah melihat Mikael terlantar sakit dan tidak sedarkan diri seperti ini.

"Tengku mengalami pendarahan pada bahagian kepalanya. Kami perlu lakukan pembedahan padanya," terang doktor tersebut.

Umairah terus jatuh terduduk. Dia meraung sekuat hati tanpa mempedulikan keadaan sekeliling lagi. Fawwaz menghampiri Umairah lalu cuba menenangkan wanita itu. Dia juga terkejut mendengar perkhabaran tersebut.

"Sabar Maira. Mikael akan selamat. Kita tunggu saja result selepas pembedahan. Awak perlu sign surat kebenaran." Fawwaz juga buntu bagaimana hendak menenangkan wanita itu.

Umairah mengesat air matanya kasar lalu mengikut doktor tersebut ke arah biliknya. Fawwaz pula masih setia di samping Mikael.

"Siapa yang buat kau begini bro. Kau kena kuat Mikael. Maira masih perlukan kau lagi." Fawwaz mencapai tangan Mikael lalu digenggam erat.

÷÷÷÷

PEMBEDAHAN tersebut selamat dijalankan dan Umairah masih lagi setia menemani suaminya di dalam wad. Matanya juga sedikit membengkak kerana langsung tidak dapat tidur sejak beberapa hari. Bagaimana dia mahu tidur jika terpaksa melihat Mikael dalam keadaan begini. Azrael dan Airina pula dibawa tinggal bersama Tengku Arsyad. Rindu pada anak-anaknya bukan kepalang lagi. Tapi dia sedar akan tanggungjawabnya pada Mikael. Perlahan-lahan Umairah meletakkan kepalanya pada tepi katil Mikael. Tangan suaminya digenggam erat. Kepalanya terasa berat sekali.

"Abang perlu kuat. Maira dan anak-anak perlukan abang. Abang jangan tinggalkan Maira ya." Mata Umairah mula terpejam rapat disebabkan rasa letih yang melampau.

Mikael menggerakkan tangannya. Tapi ada sesuatu yang menghalang tangannya dari terus bergerak. Kepalanya terasa sakit sekali dan perlahan-lahan matanya terbuka.

"Mummy... Daddy...," panggil Mikael perlahan.

Kepalanya disentuh lalu dipicit perlahan. Kenapa pula kepala dan kakinya berbalut? Apa yang sudah terjadi padanya? Tubuhnya dipusing sedikit ke arah kanan. Berkerut dahinya melihat seorang wanita yang sedang nyenyak tidur sambil menggenggam tangannya. Mikael merentap tangannya dan membuatkan wanita itu terjaga.

Umairah menggosok-gosok matanya. Terkejut juga dia dengan tindakan Mikael tadi kerana dia baru sahaja hendak melelapkan mata.

"Abang dah sedar ya. Alhamdulillah." Umairah terus memeluk Mikael.

Mikael semakin bingung. Bahunya terasa basah sedikit mungkin disebabkan air mata wanita itu sudah tumpah pada bahunya. Dia langsung tidak membalas pelukan Umairah. Apa yang dia mahukan sekarang adalah melihat ibu bapanya berada si sini sekarang.

"Mana mummy dan daddy?" soal Mikael.

"Oh ya, kejap lagi mummy dan daddy sampai. Abang dahaga ya." Umairah segera menuangkan air ke dalam gelas lalu dihulurkan pada Mikael.

Mikael hanya menyambut gelas itu. Tekaknya yang terasa kering itu segera dibasahi dengan air. Setelah itu, dia menghulurkan semula gelas itu pada Umairah. Tiba-tiba pintu bilik terbuka dan kelibat Tengku Arsyad dan juga Tengku Arwana.

"Mikael dah sedar ya." Tengku Arwana mendekati Mikael lalu meletakkan Airina di sebelah anaknya.

Azrael pula sudah berlari mendapatkan Umairah. Semalaman dia asyik menangis kerana Umairah tidak menemaninya tidur. Puas juga Tengku Arsyad dan Tengku Arwana memujuknya.

Mikael memandang ke arah Umairah dan Azrael sebelum pandangannya dialihkan pula pada Airina yang sedang menarik hujung jarinya. Bibirnya terus mengukir senyuman lalu mengusap pipi Airina perlahan.

"Oh ya, Maira lupa nak panggil doktor," ujar Umairah lalu ingin melangkah keluar. Tapi Tengku Arsyad segera menghalang dan menawarkan dirinya untuk pergi memanggil doktor.

"Mummy, Mikael nak tanggalkan baju ni. Rasa melekit pula bahagian belakang ni," ujar Mikael sambil memandang ke arah Tengku Arwana.

Umairah menghampiri Mikael apabila melihat suaminya itu terkial-kial hendak menanggalkan bajunya. Sebaik sahaja Umairah menyentuhnya Mikael segera menghalang. Tengku Arwana tersenyum sahaja lalu menghampiri Umairah. Dia menepuk belakang menantunya perlahan sebelum membantunya anaknya pula.

"Syukurlah Tengku sudah sedar. Saya akan lakukan sedikit pemeriksaan ya," ujar seorang doktor.

Mikael kembali membaringkan tubuhnya. Sebaik sahaja diperiksa, doktor menyatakan bahawa keadaan Mikael sudah semakin stabil. Umairah masih belum berpuas hati dengan kata-kata doktor itu. Kenapa Mikael dingin saja padanya dan bagaikan tidak mengenalinya?

"Awak kenal saya, Mikael?" soal Umairah tiba-tiba.

Mikael mengerutkan dahinya sebelum kepalanya digeleng lemah. Pandangannya dihalakan pada Tengku Arwana dan bagaikan meminta penjelasan. Umairah cuba memaniskan wajahnya sedaya upaya. Ujian apakah lagi yang perlu dilaluinya sekarang ini.

"Maafkan saya. Sekarang tahun apa ya Tengku?" soal doktor itu pula.

Mikael memejamkan matanya seketika dan membuka kembali.

"Saya rasa 2006 kan."

Terkejut doktor itu mendengar jawapan Mikael. Dia segera menyemak fail laporan kesihatan Mikael. Setelah itu bibirnya hanya mampu mengukir senyuman pahit.

"Sekarang tahun 2018 Mikael dan saya adalah isteri awak yang sah. Ini anak-anak awak Mikael." Air mata Umairah sudah mengalir. Bibirnya digigit akibat menahan tangisannya.

"Apa ni? Isteri. Eh, aku masih belum berkahwin. Bagaimana pula nak ada anak dengan kau? Mummy.. Semua ini tak betul kan. Rasanya sekarang Mikael masih lagi study di London." Mikael mencapai tangan Tengku Arwana.

Tengku Arwana menggeleng kepalanya. Wajah Mikael yang polos diusap perlahan. Mikael menolak tangan ibunya. Dia tak faham dengan apa yang yang sedang berlaku sekarang. Kepalanya sakit sangat.

"Tengku... Puan, boleh kita berbual sebentar di luar." Doktor tersebut melangkah keluar diikuti oleh Umairah dan Tengku Arsyad.

"Maaf. Saya harap keluarga Tengku dapat terima perkhabaran yang ingin saya sampaikan. Berdasarkan laporan yang saya baca tadi. Tengku Mikael berkemungkinan mengalami amnesia retrograde. Amnesia ini menyebabkan Tengku Mikael hanya mengingati peristiwa yang tertentu dalam tempoh masa tertentu sahaja," terang doktor itu.

Lemah sekali lutut Umairah mendengar perkhabaran itu. Jadi, Mikael memang tak mampu mengingatinya? Dia tidak kisah jika Mikael tidak mengenalinya. Tapi bagaimana dengan anak-anaknya pula. Lebih-lebih lagi Azrael yang memang manja dengan Mikael.

"Saya akan lakukan CT scan pada Tengku Mikael untuk kukuhkan lagi perkara ini. Saya harap Tengku dan Puan bersabar. Jangan paksa Tengku Mikael mengingati perkara yang dia tidak ingat. Sokongan moral sangat diperlukan untuk pulihkan penyakit ini. Saya minta diri dulu."

Umairah sudah jatuh terduduk di atas lantai. Air matanya laju mengalir. Tengku Arsyad pula hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya. Hati tuanya juga terasa sedih apabila mengetahui keadaan anaknya.

Umar Mikael : Revenge

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience