17 : Permulaan

Romance Series 18456

RADEN IDZLAN membaca maklumat di dalam fail di tangannya dengan teliti. Sesekali dia mencuri pandang ke arah wanita di hadapannya melalui celahan fail. Bibirnya mengukir senyuman apabila melihat wanita berkali-kali menggosok telapak tangan. Mungkin dia gementar kerana terpaksa berhadapan terus dengan pemilik syarikat.

"Durriyatul Umairah. Berusia 28 tahun dan lulusan daripada Universiti Strabourg, Perancis. Permintaan untuk permulaan gaji not bad. Baiklah, saya boleh bayar jumlah yang awak inginkan tu."

Umairah mengurut dadanya. Tak sangka pula dia akan ditemukan terus dengan pemilik Raden Holding. Menurut setiausaha sebentar tadi, pemilik berada di syarikat induk. Tiba-tiba sahaja pemilik syarikat datang ke cawangan Raden Holding di Kulim.

Idzlan menekan interkom lalu memanggil setiausahanya masuk. Matanya masih lagi tak lepas memandang ke arah Umairah. Ada satu rasa yang lain pula timbul dalam hatinya. Jarang dia rasa begini. Pintu bilik mesyuarat diketuk dari luar, Idzlan segera berdehem memberi isyarat supaya setiausahanya masuk.

"Dian, ini Cik Umairah. Tolong ambilkan fail projek Kulim Hi-Tech."

Wanita bernama Dian itu menundukkan sedikit tubuhnya pada Umairah. Setelah itu dia keluar untuk mengambil fail projek.

"Maaflah sebab awal-awal lagi saya dah berikan kerja pada Cik Umairah. Lagipun Raden Holding cawangan Kedah memang sangat-sangat memerlukan seorang arkitek untuk projek ini," terang Idzlan.

"Err... Encik Raden panggil saya Maira saja. Saya mungkin perlukan tunjuk ajar memandangkan saya agak baru dalam bidang kerjaya ini."

Idzlan tersenyum. Dia kembali menutup fail maklumat diri Umairah lalu melangkah menghampiri tingkap kaca. Pandangannya dilemparkan keluar tingkap.

"Saya sendiri akan berikan tunjuk ajar. Dulu saya juga pelajar seni bina. Tapi tiba-tiba sahaja minat ke arah pengurusan syarikat pula. By the way, awak boleh panggil saya Idz."

Dian muncul kembali membawa dokumen yang agak tebal. Semua dokumen itu diletakkan di atas meja mesyuarat termasuklah beberapa gulung plan binaan. Idzlan kembali duduk di meja lalu mencapai salah satu plan. Setelah membelek plan itu, dia menghulurkan kepada Umairah.

"Ini projek kilang kimia. Semua bahan binaan perlu berkualiti. Kos yang dianggarkan lebih kurang RM 15 juta."

Umairah membentangkan pelan binaan itu di atas meja. Setiap sudut plan itu diteliti. Idzlan menghampirinya lalu mula menerangkan mengenai mengenai pelan itu. Kedudukan mereka agak dekat membuatkan Umairah sedikit kekok. Tapi dia cuba fokus pada penerangan lelaki itu.

Idzlan mencapai sebuah fail pula lalu diletakkan di hadapan Umairah. Semua berkenaan projek itu diterang dengan teliti. Susah juga nak jumoa majikan yang mengambil tahu akan sesuatu projek dengan teliti begini. Selalunya semua akan diserahkan kepada ketua projek sahaja.

"Encik Idzlan..." Idzlan berdehem apabila Umairah memanggilnya begitu.

"Maksud saya Idz. Siapa Ketua projek ini?" soal Umairah.

Lelaki itu tersenyum lalu menunjuk ke arah dirinya sendiri. Terkejut juga Umairah apabila lelaki itu mengatakan bahawa dia adalah ketua projek. Nampaknya majikannya ini memang bukan calang-calang orang. Banyak kerja yang dia boleh lakukan. Adakah dia menyahut seruan salah seorang menteri di negara ini untuk mempunyai lebih dari satu kerja?

"Projek ini dah lama tertangguh. Kali ini saya akan bertanggungjawab sepenuhnya. Saya taknak kita gagal lagi."

Fahamlah Umairah bahawa lelaki itu taknak menempa kegagalan untuk kali kedua.

"Saya dah cuba dapatkan arkitek sokongan dan beberapa bantuan dari sebuah syarikat yang agak terkenal. Harap-harap pemilik syarikat itu bersetuju untuk cooperation."

"Boleh saya minta bawa balik semua fail dan plan ini?"

Idzlan mengangguk. Mungkin Umairah hendak memahami dengan lebih teliti mengenai projek ini.

"Saya nak bawa awak melawat site petang ini. Boleh?"

Umairah berfikir sejenak lalu terus mengangguk. Banyak perkara yang dibualkan oleh Umairah dan majikan barunya itu. Senang juga dia dapat majikan seperti ini. Tak adalah kekok sangat untuk dia bekerja.

*****

UMAIRAH memandang ke arah stiletto yang dipakainya. Macam manalah dia nak jalan di tapak pembinaan seperti ini. Matanya dihalakan ke arah bangunan terbengkalai dihadapannya. Idzlan pula sedang mengeluarkan topi keselamatan yang berada di bahagian tempat duduk belakang. Sebenarnya dia lupa hendak mengambil kasut bertutup di dalam keretanya sebentar tadi. Mereka ke sini dengan menaiki Hummer milik Idzlan.

"Kenapa Maira?" soal Idzlan sambil menghulurkan topi keselamatan kepada Umairah.

Lelaki itu sudah lengkap memakai topi keselamatan termasuk kasut bertutup yang dipakai di tapak binaan. Mata Idzlan tertancap pada kaki wanita itu. Bibirnya terus mengukir senyuman. Idzlan duduk bertinggung lalu meleraikan tali pada kasutnya. Kasut itu ditanggalkan lalu dihulurkan pada Umairah.

"Err... tak apalah Idz. Saya boleh saja pakai kasut ini." Umairah menolak.

Idzlan menggeleng kepalanya. Dia terus menarik kaki Umairah lalu menyarungkan kasut itu. Umairah sedikit tersentak dengan tindakan berani Idzlan menyentuhnya. Tali kasut siap diikat, Idzlan mengangkat wajahnya lalu tersenyum pada Umairah.

"Maaflah sebab saya sentuh awak tadi," ujar Idzlan sedar akan keterlanjurannya.

"Tapi, Idz nak pakai kasut apa pula?" soal Umairah sedikit risau.

Idzlan menghampiri kereta lalu mengeluarkan kasut kerjanya. Dia boleh saja pakai kasut itu, yang penting keselamatan pekerjanya terjamin.

"Saya akan pakai kasut kerja ini. Lagipun saya dah biasa dengan site. Maira kan dah lama tak turun site, bahaya kalau pakai kasut macam tu."

Setelah sudah siap semuanya, Idzlan membawa Umairah ke dalam bangunan yang tergendala pembinaanya. Setiap pelusuk bangunan itu dilawati oleh mereka. Idzlan pula tidak henti-henti mengingatkan Umairah akan menjaga langkahnya. Risau juga kalau-kalau ada paku karat ataupun papan yang diletakkan di tempat tidak selamat jatuh atas kepala nanti.

Kini mereka naik ke atas bumbung bangunan. Terkejut Umairah apabila pandangannya dihidangkan dengan pemandangan yang sangat menarik dan indah. Idzlan pula hanya memeluk tubuh. Dia yakin, sesiapa sahaja naik ke atas sini pasti saja akan kagum dengan pemandangan yang dihidangkan.

"Dulu sewaktu projek masih berjalan. Selalu juga saya naik ke atas. Tapi dululah, Sekarang dah malas nak datang sini."

"Cantik sangat. Selalu saya pergi mana-mana site tak pernah lagi jumpa pemandangan macam ni."

Setelah hampir 10 minit berada di situ, Idzlan mengajak Umairah turun. Ketika sedang menuruni anak tangga, Umairah telah tersilap langkah dengan memijik kayu di atas tangga itu. Kaki Umairah terus tergelincir tapi tindakan cepat Idzlan cepat menarik tangan wanita itu. Idzlan membantu Umairah untuk duduk. Bahagian pergelangan kaki Umairah sudah mula merah dan kelihatan sedikit bengkak.

"Awak boleh jalan?" soal Idzlan.

Umairah mengangguk. Berkerut wajahnya menahan sakit. Perlahan-lahan Umairah berpaut pada dinding untuk melangkah turun. Idzlan sentiasa berjaga-jaga di belakang Umairah. Risau juga kalau Umairah jatuh sekali lagi. Kalau diikutkan hati memang nak saja dia cempung si Umairah ke kereta. Tapi dia perlu menjaga batas pergaulan mereka juga.

Setibanya di kereta, Umairah terus meloloskan diri ke dalam kereta. Sakit sungguh kakinya. Hari pertama kerja dah jadi begini. Malang sungguh nasibnya. Idzlan muncul di bahagian pintu sebelahnya. Lelaki itu sedang memegang bandage.

"Boleh saya tolong?"

Lambat-lambat Umairah mengangguk. Idzlan segera membalut kaki wanita itu dengan bandage. Balutan itu hanya untuk sementara untuk elakkan kaki Umairah masuk angin. Selepas ini, dia akan singgah di klinik yang berdekatan untuk dapatkan rawatan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience