18 : Temu

Romance Series 18456

SEGALA dokumen kerjasama di antara Raden Holding dan Dermaga Holding telah ditandatangani. Mikael juga sudah berada di cawangan Raden Holding di Kedah untuk melawat kawasan tapak pembinaan. Jika diikutkan hati, dia hanya mahu menghantar wakilnya sahaja. Tapi rasanya dia sendiri perlu turun kali ini setelah dua bulan tidak turun ke tapak pembinaan.

Idzlan menghulurkan mug berisi kopi panas pada Mikael. Mereka sama-sama duduk di beranda menghadap ke arah hutan tebal. Idzlan yang mempelawa Mikael untuk menginap di rumah rehatnya. Lagipun ianya memudahkan pergerakkan mereka berdua untuk pergi ke mana-mana. Jadi, tak perlulah Mikael menyewa bilik di hotel pula.

"Tenang saja kawasan rumah rehat kau," puji Mikael.

"Biasalah. Kawasan rumah bujang. Aku sengaja beli tanah di kawasan ini. Jauh dari bunyi bising bandar."

Malam ini mereka ada makan malam di Raden Holding. Idzlan sengaja mengadakan majlis makan malam sempena kerjasama di antara Dermaga Holding. Lagipun dia ingin meraikan pekerjanya di cawangan ini. Selalunya dia hanya mengadakan majlis makan malam ataupun majlis tahunan di syarikat induk sahaja.

"Kau dah kahwin?" soal Idzlan tiba-tiba.

Hampir sahaja Mikael tersedak mendengar soalan itu. Tapi dia cepat-cepat mengawal reaksi wajahnya.

"Aku dah kahwin. Aku dah ada dua orang anak," jawab Mikael.

"Dengan Aira?" teka Idzlan.

Pantas sahaja dia menggeleng. Belum sempat Mikael berkata apa-apa, Idzlan meminta diri untuk menjawab panggilan telefon. Mikael mengeluh lalu mengeluarkan telefon bimbitnya. Hari ini dia langsung tidak menelefon Umairah ataupun menghantar mesej. Dia malas hendak mengganggu isterinya itu disebabkan dia tahu Umairah sudah mula bekerja. Bibirnya mula mengukir senyuman apabila terbuka video Azrael. Rindu sungguh dia pada anak terunanya itu.

Jarum jam sudah menunjukkan pukul 6:00 petang. Dia sudah perlu bersiap untuk ke majlis malam ini. Rasanya Idzlan juga sudah beransur ke dalam bilik setelah habis menjawab panggilan tadi. Mikael hanya mengenakan pakaian casual sahaja untuk makan malam itu. Lagipun dia merupakan tetamu VIP pada malam itu. Setelah siap, Mikael membawa langkahnya turun ke ruang tamu.

"Dah siap bro?" soal Idzlan sambil mencapai kunci keretanya.

Mikael hanya mengikut langkah Idzlan ke arah kereta sahaja. Jika diikutkan hati dia nak bawa keretanya, tapi Idzlan menghalang. Katanya lebih mudah jika mereka pergi bersama. Sebaik sahaja masuk ke dalam kereta, Idzlan mengeluarkan sebatang rokok daripada kotak lalu dirapatkan ke bibir. Sempat juga dia menawarkan rokok pada Mikael. Tapi Mikael menolak.

Sepanjang perjalanan ke syarikat Raden Holding, Mikael hanya mendiamkan diri. Idzlan juga begitu. Terkejut juga Mikael, Idzlan agak kuat merokok. Bagi Mikael, Idzlan adalah lelaki yang sangat misteri dan penuh dengan rahsia. Tapi dia memang memuji lelaki itu kerana dalam usianya sudah bergelar usahawan muda yang berjaya. Tidak pula bagi Mikael, dia hanya mewarisi syarikat Tengku Arsyad.

Setibanya di dewan syarikat, ramai pekerja sudah menanti mereka di luar pintu. Mikael dilayan dengan baik oleh semua pekerja. Sempat juga Idzlan memperkenalkan Mikael kepada beberapa orang pengarah syarikat yang turut hadir. Kebanyakan mereka sangat mengenali Tengku Arsyad dengan rapat dalam dunia korporat.

Ketika Mikael hendak melangkah ke arah sebuah meja, salah seorang pekerja perempuan telah terlanggarnya. Pekerja itu cepat-cepat meminta maaf lalu terus berlalu pergi. Sempat lagi mata Mikael menangkap susuk tubuh itu. Takkanlah.... Mikael cepat-cepat mengusir jauh perasaan itu.

"Mikael, kau duduklah dulu. Aku nak cari arkitek syarikat yang uruskan projek ini untuk kenalkan dengan kau."

"Okay. Pergilah, aku okay saja." Mikael menepeuk bahu Idzlan perlahan.

*****

UMAIRAH sudah gelisah menanti di hadapan pintu dewan syarikat. Di tidak kenal pekerja-pekerja di sini. Baru seminggu sahaja dia bekerja di syarikat itu. Jadi, memang tak ramai pekerja yang dia kenal. Tidak lama selepas itu, Umairah disapa oleh Dian. Wanita segera mengajaknya masuk ke dalam.

"Dian, saya nak pergi tandas kejap." Dian mengangguk.

Umairah terus membawa langkahnya ke arah tandas. Malangnya dia telah terlanggar seseorang pula. Cepat-cepat Umairah membetulkan selendangnya.

"Maaf Encik," tanpa melihat wajah lelaki itu, Umairah terus melangkah pergi.

Setibanya di tandas, tubuh Umairah terus tersandar di dinding. Kenapalah dia cuai sangat. Dah la dia langgar lelaki itu, minta maaf pula tak lihat wajah. Kurang ajar sangat dia rasa. Setelah membetulkan solekan, Umairah melangkah keluar dari tandas. Dia telah terserempak dengan Idzlan di hadapan pintu tandas itu.

"Maira... merata saya cari. Call pun tak angkat," rungut Idzlan sambil menunjuk skrin telefonnya pada Umairah.

Umairah segera memeriksa telefonnya. Rupanya dia meletakkan telefon itu dalam keadaan senyap. Ah ! Lalainya dia. Sedar akan kesilapannya, Umairah segera meminta maaf.

"Saya nak kenalkan awak dengan pemilik syarikat yang bekerjasama dengan kita."

"Apa nama syarikat itu?" soal Umairah.

Idzlan menggaru dagunya cuba mengingati nama syarikat Mikael. Lupa pula dia.

"Dermasih... Dermasa. Eh, Derma apa tah nama syarikat dia. Saya lupa." Idzlan tersenyum memaparkan barisan giginya.

Umairah hanya ketawa sahaja. Ada-ada sahaja majikannya ini. Nama syarikat begitu pun boleh lupa. Sempat lagi Umairah berdoa dalam hati dan berharap bahawa bukan Dermaga Holding yang menjalinkan kerjasama tersebut.

Idzlan mengajak Umairah untuk mengikutnya. Katanya tetamu itu sudah agak lama menunggu mereka. Tanpa banyak soal, Umairah mengikut Idzlan ke arah meja VIP yang berada di tengah dewan. Kelihatan tetamu itu sedang berborak dengan beberapa orang pekerja dengan rancak.

"Excuse me. Boleh saya berbual dengan Tengku sekejap," pinta Idzlan.

Pekerja-pekerja itu bagaikan memahami. Mereka segera meinta diri untuk pergi memberi ruang kepada Idzlan. Umairah memandang sahaja susuk tubuh tetamu itu dari belakang. Entah mengapa hatinya rasa ada sesuatu akan berlaku pula.

"Kenalkan, ini arkitek syarikat saya, Durriyatul Umairah," ujar Idzlan.

Tersentak Umairah apabila melihat Mikael. Mikael pula sedaya upaya mengawal reaksi wajahnya. Dia juga tak sangka akan bertemu Umairah di sini.

"Saya Mikael," ujar Mikael pendek.

Umairah mengangguk perlahan. Dia mula rasa tidak selesa apabila Mikael menghadiahkan senyuman sinis pada wanita itu. Idzlan mengajak mereka duduk untuk berbual mengenai projek tersebut. Apabila diajukan soalan, hanya sepatah sahaja yang terbit dari bibir Umairah.

"Cantik akitek kau," puji Mikael sinis.

"Kau jangan macam-macam Mikael. Kau tu dah ada anak pun. Dengan Aira kan," seloroh Idzlan.

Umairah menghadiahkan senyuman pahit. Kalaulah Idzlan tahu apa yang Umairah rasa dalam hati sekarang. Kalau boleh dia mahu pergi cepat dari situ.

"Cik Umairah dah kahwin?" soal Mikael.

"Dalam resume hari tu statusnya bujang. Betul tak Maira?" Idzlan pula yang menjawab.

"Oh bujang. Baguslah."

Lambat-lambat Umairah mengangguk menngiyakan jawapan majikannya itu. Sebenarnya resume itu adalah resume ketika zaman belajarnya. Dia tak sempat buat resume yang baru. Pandangan mata Mikael sedari sejak tadi menikam mata bundar Umairah.

"Korang berbual dahulu. Saya ada hal sikit," Idzlan meminta diri.

Sebaik sahaja Idzlan pergi, Mikael juga mengangkat kaki pergi. Malas dia hendak lama-lama di situ. Umairah segera mengejar suaminya. Dia pasti Mikael sangat marah sekarang.

"Abang..." panggil Umairah kuat.

Tapi Mikael tidak mempedulikan panggilan Umairah. Kenapalah dia datang dengan Idzlan tadi? Kalau dia datang sendiri, pasti dia dah pergi dari majlis ini.

"Abang tak boleh marah Maira," jerit Umairah.

Langkah Mikael terhenti. Dia terus menghampiri Umairah lalu menarik tubuh wanita itu rapat dengannya.

"Kenapa pula aku tak boleh marahkan kau?" soal Mikael sinis.

"Kenapa abang tak beritahu dia Maira isteri abang? Kenapa pula dia sebut nama Aira? Kalau dia salah, kenapa abang tak betulkan? Abang ni memang ego." Umairah menolak tubuh Mikael kasar lalu terus melangkah pergi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience