12 : Ego

Romance Series 18456

UMAIRAH terpaksa menahan rasa marahnya hari ini. Jika diikutkan hati, memang nipis sahaja rasa sabarnya terhadap Mikael. Hari ini dia terpaksa menemani suaminya ke hospital untuk melakukan pemeriksaan selanjutnya. Kaki Mikael yang patah sudah beransur pulih dan simen yang membaluti kakinya sudahpun ditanggalkan. Cuma ingatan Mikael masih lagi tiada apa-apa perkembangan.

Mikael mencebik sahaja apabila dia dipaksa duduk di atas kerusi roda. Kalau boleh dia nak saja berjalan. Tapi Umairah memarahinya dengan mengatakan dia tidak boleh banyak bergerak. Lagipun pergerakan Mikael yang terbatas hanya akan melambatkan urusan sahaja.

Orang ramai melalui lobi hospital melepasi tempat di mana Mikael berada. Umairah sengaja tinggalkan lelaki itu di lobi untuk ke farmasi mengambil ubat. Lagipun kalau dia bawa Mikael sekali, panjang pula urusannya nanti.

"Weh bro, lama betul tak jumpa," sapa seseorang.

Reaksi wajah Mikael sedikit sebanyak menunjukkan dia terkejut. Pantas saja dia berjabat tangan dengan lelaki yang menegurnya itu.

"Kenapa dengan kau? Berkerusi roda bagai," soal Raiz.

"Aku accident dua bulan lepas. Tadi baru buka simen ja."

Raiz mengangguk. Tidak lama kemudian seorang wanita berbadan dua menghampiri mereka berdua lalu memeluk mesra tangan Raiz.

"Eh Mya. Panjang betul jodoh korang ya," ujar Mikael.

Raiz dan Mya hanya tersenyum sahaja. Kedua-dua mereka adalah rakan satu program dengan Mikael ketika belajar di London. Terkejut juga Mikael apabila melihat kedua-dua orang ini bersama sedangkan mereka bagaikan anjing dan kucing dahulu. Raiz sangat suka mengenakan Mya dahulu dan wanita itu juga bencikan Raiz. Kalau jodoh tak ke mana juga.

Umairah membawa bungkusan berisi ubat menghampiri Mikael. Dia segera bersalaman dengan Mya apabila sedar kewujudan wanita itu.

"Isteri kau ke?" soal Raiz.

Lambat-lambat Mikael mengangguk lalu dia terus memperkenalkan Umairah sebagai isterinya.

"Aku ingat kau dengan Aira. Korang dulu kan sweet couple kononnya," seloroh Raiz.

Umairah hanya mengukir senyuman pahit sahaja. Mikael tidak pula menidakkan kata-kata rakannya malah hanya mengatakan tiada jodoh sahaja di antara dia dan Aira.

"Dah berapa lama korang kahwin?" soal Raiz.

Mikael memandang ke arah Umairah meminta jawapan. Dia pun tidak pasti sudah berapa lama mereka telah berkahwin.

"Dah tujuh tahun. Ada dua orang anak dah," jawab Umairah sambil tersenyum.

Raiz mengangguk sahaja. Banyak perkara yang dibualkan oleh tiga sahabat itu. Berkali-kali nama Aira terbit dalam perbualan mereka. Umairah hanya mendiamkan diri sahaja. Tidak bolehkah Mikael menjaga hatinya sedikit sahaja?

*****

SEPANJANG perjalanan di dalam kereta,Umairah mengambil keputusan untuk mendiamkan diri sahaja. Dia masih terasa dengan Mikael. Lelaki itu pula hanya bermain dengan telefon bibitnya sahaja bagaikan langsung tidak kisah apa yang dirasai oleh Umairah.

"Pak Mad boleh hantarkan saya pulang ke rumah? Nanti sahaja saya pergi ambil Azrael dan Airina," ujar Umairah membelah kesunyian.

Pemandu yang bernama Pak Mad hanya mengangguk. Arah perjalanan terus ditukar. Mikael yang leka dengan telefon bimbitnya terus memandang tajam ke arah Umairah. Pergelangan tangan Umairah terus dicapai lalu digenggam erat.

"Balik rumah daddy. Kau memang sengaja nak mummy marahkan aku kan. Kalau dia tengok kau tak ada nanti mesti dia marahkan aku."

Umairah merentap tangannya lalu menjarakkan sedikit dirinya.

"Biarlah. Saya nak balik rumah sendiri pun salah ke?"

Pak Mad yang mendengar perbalahan suami isteri itu hanya mampu mendiamkan diri sahaja. Tiba-tiba Mikael meminta Pak Mad untuk memberhentikan kereta di bahu jalan dan meminta untuk Pak Mad menunggu di luar sekejap. Umairah juga ingin melangkah keluar tapi Mikael cepat-cepat menarik lengan Umairah lalu menutup kembali pintu yang dibuka.

"Apa masalah kau sebenarnya?" soal Mikael separuh menjerit.

Umairah ketawa sinis sahaja lalu menolak tubuh Mikael ke belakang.

"Sepatutnya abang tanya diri abang sendiri. Tanya diri abang ini." Umairah menekan dada Mikael dengan jari telunjuknya.

"Kau cemburu bila aku sebut pasal Aira?" teka Mikael.

Tubuh Umairah dipusingkan ke arah bertentangan dengan Mikael. Panas pula hatinya apabila nama Aira meniti di bibir lelaki itu. Hatinya agak terkesan apabila Raiz membuka cerita mengenai kemesraan Aira dan Mikael ketika di London dahulu. Kenapa perlu diungkit perkara yang lepas?

"Jawablah. Kau cemburu kan?"

Umairah mengalihkan pandangan ke arah Mikael. Matanya sudah mula berkaca.

"Isteri mana yang tak cemburu kalau suaminya bercakap tentang perempuan lain. Kenapa abang perlu lupa semua tentang kita? Kenapa abang perlu ingat Aira sahaja? Kenapa?"

"Tak bolehkah abang layan saya macam dulu? Maira rindukan abang sangat-sangat. Maira dah tak tahan hidup macam ni. Maira boleh terima kalau abang tak ingat siapa Maira. Tapi, tolonglah cuba untuk jaga hati Maira," tambah wanita itu lagi.

Bagai tidak berperasaan sahaja Mikael memandang Umairah. Hatinya sedikit tidak terkesan dengan kata-kata Umairah. Kalau boleh dia akan paksa dirinya untuk ingat semua perkara. Tapi dia tak mampu.

"Kau tahu tentang sejarah hidup aku. Tapi, kenapa kau tetap terima aku jadi suami kau? Kau pandang harta aku sama macam Aira ke?"

"Abang sedar tak apa abang cakap?" jerkah Umairah lantang.

Mikael bercakap bagai tidak menggunakan akal fikiran sahaja. Perlahan-lahan Umairah mengurut dadanya yang mula berombak. Tidak dia sangka dia perlu berdepan kembali dengan Tengku Umar Mikael yang pernah dia kenali suatu ketika dahulu. Mikael yang penuh dengan rasa benci dalam dirinya.

"Aku tak tahu apa yang berlaku pada dalam tempoh tujuh tahun ini. Aku rasa macam semua orang nak tipu aku dan sembunyikan perkara sebenar. Sebab apa aku kahwin dengan kau?"

"Sebab abang yang perangkap Maira. Abang yang buat Maira merana. Abang juga yang buatkan Maira dibuang oleh keluarga sendiri. Abang juga tak pernah ada bersama dengan Maira saat Maira kandungkan Azrael," jerit Umairah.

Akhirnya terluah juga apa yang terpendam dalam hatinya selama ini. Sudah cukup dia bersabar dengan Mikael selama dua bulan ini. Tapi sabarnya juga ada had. Tolonglah bersikap matang semula Mikael.

"Tak mungkin aku perangkap kau. Aku bukan sebodoh itu." Mikael menidakkan sesuatu yang memang dia tak ingat.

"Sudahlah, saya dah penat. Tak guna bertikam lidah dengan orang yang ego seperti abang." Air mata Umairah terus mengalir

Mikael hanya mencebik sahaja. Dia terus memanggil Pak Mad masuk ke dalam kereta. Umairah terus dihantar pulang ke rumah. Semakin lama dia memandang wajah Umairah semakin sakit pula hatinya. Setibanya di hadapan pintu pagar rumah, Umairah menghulurkan tangannya pada Mikael.Tapi langsung tidak bersambut.

"Maafkan Maira kerana terkasar bahasa tadi," ujar Umairah.

Mikael sedikitpun tidak memandang wajah isterinya itu.

"Kalau betul Azrael dan Airina adalah hasil perkongsian hidup kau dan aku. Aku taknak tengok lagi muka kau di rumah daddy. Anak-anak biar mereka stay dengan aku. Aku haramkan kau tengok mereka walaupun sedikit pun."

Setelah habis kata-katanya, Mikael mengarahkan Pak Mad untuk memandu pulang. Terkaku tubuh Umairah mendengar kata-kata lelaki itu. Tidak cukup lagikah Mikael menyeksanya. Kini dia nak pisahkan Umairah daripada anak-anak pula. Kau memang kejam Mikael. Hati kau sudah digelapkan dengan ego kau sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience