26 : Pergi

Romance Series 18456

Pulau Pinang, Malaysia

Dua bulan kemudian...

SUASANA di tanah perkuburan sunyi sepi sahaja sehingga bacaan talkin tamat. Semua yang ada di situ turut bersedih dengan kehilangan seseorang yang sangat penting dalam hidup mereka semua. Setelah hampir berbulan melawan sakitnya, akhirnya insan itu pergi buat selamanya. Tak guna berapa banyak rawatan yang dilakukan jika tanpa izin Allah. Setiap manusia pasti akan pergi. Huzair dan Amzar menghulurkan bantuan menguruskan segalanya sejak dari awal lagi. Lagipun mereka memang terbiasa menguruskan hal berkaitan pengurusan jenazah sejak dulu lagi.

"Along, aku rasa malam nanti kita buat tahlil di surau lebih baik rasanya. Rumah kita pun agak bersepah juga sebab tak sempat kemas lepas uruskan jenazah tadi. So, aku kena pergi surau dulu dan maklumlan pada bilal dan imam."

Huzair segera meminta diri. Lagipun dia mahu pulang ke rumah terlebih dahulu untuk bersihkan diri. Amzar masih lagi setia menunggu di tanah perkuburan itu. Semakin hari semakin banyak kematian di sekelilingnya. Semua yang pergi itu pula orang yang dia sayang.

Orang ramai sudah beransur pulang. Masing-masing bersalaman dengan Amzar. Tidak kurangnya juga yang mengucapkan takziah atas pemergian. Mata Amzar tertancap pada Umairah yang masih lagi berteleku di tepi kubur. Perlahan-lahan dia mengatur langkah menghampiri Umairah.

"Maira, kita balik rumah dulu ya."

Umairah menggeleng dan masih lagi mahu berada di sini. Dia berasa sangat ralat kerana masih belum puas menjaga insan yang sangat penting dalam hidupnya ini.

"Dia selalu ada dengan Maira sejak dahulu lagi. Susah senang kami asyik bersama. Tapi, Maira langsung tak ambil tahu pasal dia," Umairah mula merintih.

"Hidup masih perlu diteruskan Maira. Along juga rasa sangat ralat Maira. Jomlah balik. Kita kena buat persiapan tahlil malam nanti." Amzar menghulurkan tangannya pada Umairah.

Umairah memandang sekilas ke arah Amzar sebelum menyambut huluran tangan abangnya itu. Tangan Amzar terus memaut bahu Umairah lalu memapah adiknya ke arah kereta. Mata Umairah kelihatan agak bengkak akibat banyak menangis sejak dari semalam lagi.

"Along, Maira rasa hidup Maira kosong sangat sekarang."

Amzar masih lagi fokus pada pemanduannya. Sesekali dia memandang ke arah Umairah di sebelah. Kereta yang dipandunya kini melalui kawasan sawah padi yang terbentang luas.

"Along ingat tak, dulu along, angah dan abang selalu bawa Maira datang sini tangkap ikan dalam sawah. Bila balik saja mesti kena marah dengan Ummi sebab baju berlumpur." Umairah mula ketawa. Tapi ada air jernih mengalir dari tubir matanya.

Tiba-tiba sahaja Amzar hentikan kereta di tepi jalan lalu melangkah keluar dari kereta. Terpinga-pinga Umairah apabila Amzar membuka pintu di tempat duduknya pula. Amzar menarik tangan Umairah ke arah batas sawah lalu menuju ke tali air di tengah-tengah sawah padi.

"Yang penting, ikan-ikan yang kita tangkap tu mesti nenek yang akan siangkan. Ummi pula akan masak ikan-ikan tu. Angah selalu dapat banyak ikan." Amzar juga teringat akan kenangan masa kecilnya.

"Maira rindukan nenek. Rindukan sangat."

"Nenek, Ummi, Abi dan angah dah ada di tempat terbaik sekarang. Kita yang hidup ini perlu teruskan hidup."

Umairah tersenyum lalu mengesat air matanya kasar. Dia segera memeluk lengan Amzar erat lalu dilentokkan sedikit kepalanya. Tangan Amzar terus mengusap pipi Umairah yang kemerahan itu.

"Kalaulah Mikael ada dan dapat saksikan semua keindahan ini..." ayat Umairah terjeda apabila telefon milik Amzar berdering.

Tanpa menunggu lebih lama, Amzar meminta diri untuk menjawab panggilan.

"Abang, Maira rindukan abang," rintih Umairah.

Perutnya diusap perlahan-lahan. Dia berjanji akan menjaga anak-anaknya dengan baik. Semua yang berlaku terlalu pantas untuknya terima semua ini. Tidak lama selepas itu, Amzar memanggil Umairah dan mengajaknya pulang. Katanya ada tetamu yang datang ke rumah dan mahu bertemu dengan Umairah.

Setibanya di rumah, Umairah perasan akan Hummer milik Idzlan tersadai di hadapan rumah. Kelibat lelaki itu kelihatan di pondok tepi sawah. Umairah segera menghampiri majikannya itu.

"Idz..." panggil Umairah.

Idzlan menanggalkan kaca mata hitamnya sambil mengalihkan tubuh ke arah Umairah. Bibirnya tersenyum pahit. Dia perasan akan mata Umairah yang agak bengkak dan kemerahan. Pasti wanita itu banyak menangis dan terpaksa menerima semua ini dengan sepenuh hati.

"Takziah Maira."

"Terima kasih Idz. Terima kasih juga sebab sudi datang."

"Tak ada apalah. Lagipun saya memang ada sekitar ini juga."

Umairah mengajak Idzlan menghampiri sawah berhampiran rumahnya. Ada beberapa perkara yang ingin dibincangkan dengan lelaki itu.

"Saya minta maaf kerana sembunyikan status diri saya." Umairah memulakan perbualan.

Idzlan tersenyum pahit. Tipulah kalau dia tidak kecewa. Dia bertambah kecewa apabila mengetahui bahawa Umairah adalah isteri Tengku Mikael.

"Tak apalah Maira. Benda dah lepas kan. Saya yakin sangat Mikael bahagia ada isteri sekuat awak."

Sedang leka mereka berbual, kelihatan sebuah kereta dipandu masuk ke dalam perkarangan rumah. Tahulah Umairah bahawa itu ibu dan bapa mertuanya. Umairah meminta diri untuk bertemu dengan Tengku Arwana dan Tengku Arsyad.

"Mummy dan daddy pergi mana lepas balik dari kubur tadi?" soal Umairah.

"Daddy ajak mummy ke pekan untuk belikan barang masakan untuk tahlil malam nanti."

"Kenapa susah-susah belikan. Maira baru nak ajak abang dengan along keluar beli. Lagipun itu tanggungjawab Maira kan."

Tengku Arwana menepuk bahu Umairah perlahan.

"Tak apa Maira. Mummy dan daddy juga rasa ini tanggungjawab kami. Maira tak perlu fikir apa-apa lagi."

Tengku Arsyad dan Tengku Arwana mengangkat barang masuk ke dalam rumah. Umairah sedar akan sesuatu, apabila berlakunya kematian semua orang pasti akan berkumpul sekali. Bibirnya tersenyum pahit apabila ternampak Fawwaz dan Aira di tepi rumah yang sibuk melayan Airina dan Azrael. Hatinya sudah seakan boleh menerima apa yang pernah berlaku. Setiap saat dia mengingatkan dirinya bahawa suami isteri itu tidak bersalah.

Umairah melangkah masuk ke dalam rumah lalu terus menuju ke bilik tidur di hujung dapur sana. Dahulu, bilik inilah yang dihuni oleh insan yang sangat dia sayang. Kini, insan itu telah pergi buat selamanya.

"Kenapa cepat sangat tinggalkan Maira. Maira masih belum bersedia lagi. Maira tahu bahawa perit sangat menahan sakit itu. Tapi..." air mata Umairah terus tumpah.

Wajahnya disembamkan pada bantal. Teresak-esak dia menangis mengadu nasib diri. Dia tak kuat sebenarnya. Tapi dia perlu berlagak kuat di depan semua orang dan tidak tunjukkan kelemahan dirinya. Biarlah dia sahaja yang rasa semua kesedihan itu sendiri.

Tiba-tiba ada tangan memegang bahu Umairah dari belakang. Tersentak Umairah akibat terkejut. Dia memandang wajah pemilik tangan itu. Air matanya makin laju mengalir. Lidahnya menjadi sangat kelu. Tanpa disengaja, Umairah terus memeluk tubuh itu erat.

"Menangislah Maira, abang sentiasa ada dengan Maira. Abang akan sentiasa temani Maira hingga ajal sahaja yang memisahkan kita."

Huzair mengusap kepala adiknya. Dia tahu semua ini sangat berat untuk Umairah menerimanya. Tapi siapa mereka untuk menidakkan takdir Tuhan. Apa yang dia tahu, yang hidup perlu teruskan hidup.

"Bertahun Maira tak balik sini. Bila dah balik, satu-satu orang yang Maira sayang tinggalkan Maira."

"Apa Maira cakap ni. Masih banyak lagi orang yang sayangkan Maira."

Huzair memandang ke arah pintu bilik. Ada satu susuk tubuh yang sedang berdiri di situ. Huzair tersenyum lalu melangkah keluar memberi laluan kepada pemilik tubuh tersebut untuk memujuk Maira pula.

"Maira..."

Bibir Umairah mengukir senyuman melihat pemilik suara itu. Dia terus bergegas bangun lalu memapah lelaki itu ke arah katil.

"Abang dah boleh berjalan? Ya Allah, syukurlah."

"Abang dah boleh berjalan seminggu yang lepas sayang. Tapi Maira terlalu fokus uruskan arwah nenek waktu itu. Abang tak naklah ganggu," ujar Mikael sambil mengesat air mata Umairah.

"Maira minta maaf kerana abaikan abang."

Wajah Mikael kelihatan agak pucat. Kepalanya yang agak botak ditutup dengan snow cap. Sebenarnya Mikael bukan sahaja menyembunyikan kepalanya yang botak, dia juga menyembunyikan kesan jahitan akibat pembedahan dua bulan yang lepas. Akibat pembedahan itu, doktor mengesahkan ada sarafnya yang terganggu dan menyebabkan dia tak boleh berjalan. Tapi bukan untuk tempoh selamanya, Mikael perlu jalani rawatan untuk membolehkan dia kembali berjalan.

"Abang minta maaf sebab tak ada dengan Maira waktu Maira sedih semalam. Abang tahu Maira sedih sangat bila nenek tak ada."

"Tak apa abang. Lagipun Maira sempat jaga nenek sewaktu di rumah pak andak hari tu. Cuma agak ralat saja nenek pergi cepat sangat."

Umairah memeluk pinggang suaminya erat. Siapa sangka dia masih lagi boleh bersama dengan suaminya itu. Dua bulan yang lepas, Mikael bertarung nyawa dengan kansernya. Selepas pembedahan dan rawatan lanjut, sel kanser telah mula berkurang. Mungkin Tuhan ingin berikan peluang kepada suaminya itu untuk terus hidup lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience