19 : Hutang Nyawa

Romance Series 18456

TENGKU MIKAEL bangun lebih awal dari kebiasaannya pada hari ini. Seperti yang dirancang, dia dan Idzlan akan turun melawat tapak pembinaan pada jam 10:00 pagi nanti. Langkahnya dibawa ke arah beranda. Pandangannya dilempar pada hutan yang menghijau. Sebenarnya, dia tidak boleh tidur langsung semalam. Fikirannya asyik teringat pada Umairah. Hari ini pasti dia akan bertemu dengan isterinya lagi.

Skrin telefon bimbit direnung lama. Wajah Umairah yang tersenyum riang dalam pelukannya ditenung lama. Apa yang kau dah buat Mikael hingga senyuman itu hilang dari bibirnya.

"Kau harus kawal ego kau Mikael. Kalau tidak, Maira akan makin menjauh."

Wajahnya diraup berkali-kali. Susah betul nak tawan hati si isteri semula. Mikael terus menghubungi seseorang.

"Maria, batalkan semua appointment dan mesyuarat untuk bulan ini. Kosongkan jadual saya. Kalau ada mesyuarat penting, minta Tengku Arsyad yang gantikan. Saya ada hal penting di Kedah." Panggilan telefon terus ditamatkan.

Setelah itu, dia membawa langkahnya ke arah tandas. Usai membersihkan diri, Mikael mengenakan sepasang suit casual. Mikael tersenyum puas apabila puas hati melihat gayanya pada cermin. Dahulu, Umairah yang akan memilih setiap baju yang dipakainya. Tapi kini, dia terpaksa membuat pilihan sendiri.

"Kau dah siap ke? Kalau dah siap, kita gerak lah," tanya Idzlan sambil memakai jam tangan.

Mikael mengangguk lalu mengikut Idzlan turun ke bawah. Sempat lagi Idzlan menyalakan sebatang rokok ketika menuruni anak tangga.

"Kita terus ke site. Umairah dah tunggu di sana. Rasanya nanti aku perlu tinggal kau di sana dengan Umairah sebab aku terpaksa ke office," ujar Idzlan sambil meloloskan diri ke dalam perut kereta.

Bibir Mikael mengukir senyum dalam diam. Ini peluang yang bagus untuknya. Sepanjang perjalanan, Mikael hanya mendiamkan diri sahaja.

Kereta yang dipandu oleh Idzlan kini memasuki kawasan tapak pembinaan. Dari jauh lagi mereka dapat melihat Umairah sedang menunggu sambil memegang beberapa skrol pelan pembinaan.

"Selamat pagi Encik Idzlan. Selamat pagi Tengku Mikael," sapa Umairah sebaik sahaja kedua-dua lelaki itu keluar dari kereta.

"Selamat pagi Umairah. Saya pergi ke office sebentar. Boleh awak bawa Tengku Mikael melawat kawasan? Kalau saya tak kembali dalam masa sejam, awak tolong bawa Tengku ke office ya." Idzlan meminta diri.

Umairah menelan liur. Takkanlah Idzlan nak tinggal Mikael dengannya pula. Ah! Lantaklah apapun nak jadi.

"So Cik Umairah, kemana kita nak pergi dulu?" tanya Mikael sambil melangkah pergi.

Umairah mencebik apabila mendengar panggilan Mikael terhadap dirinya. Sajalah tu nak buat Umairah rasa tak selesa. Umairah menarik nafas dalam lalu berlari-lari anak mengejar Mikael. Mereka sama-sama melangkah ke arah bangunan terbengkalai itu. Umairah membawa Mikael melawat setiap sudut. Apa yang dikomen oleh Mikael cepat-cepat dicatat.

Dalam diam, Umairah memuji cara kerja lelaki itu. Adakah Mikael begini serius jika berbicara hal berkaitan kerja? Lelaki ini memang profesional.

"Mana Idz ni," rungut Umairah sambil melihat jam pada telefon bimbitnya.

Mikael berdehem apabila melihat Umairah memegang telefon bimbit. Dia tidak suka melihat pekerja bermain dengan teledon bimbit apabila berada di tapak pembinaan. Baginya, itu adalah salah satu faktor kecuaian dan banyak perkara berbahaya akan berlaku.

"Dah sejam lebih pun. Encik Idzlan minta kamu hantarkan saya ke office. Boleh tak Cik Umairah?" tanya Mikael dalam nada sindir.

Umairah mengangguk. Dia terus mengajak Mikael ke arah kereta. Setibanya di kereta, Mikael segera meminta kunci.

"Tak apa Tengku, saya boleh pandu. Lagipun Tengku guest  syarikat."

"Sudahlah Maira, waktu melawat site dah tamat. Tak perlu nak formal lagi. Luar waktu kerja, kau isteri aku. Ingat tu." Mikael mencapai kunci yang berada dalam genggaman Umairah lalu meloloskan diri ke dalam kereta.

Umairah menarik nafas panjang. Sabar untuk bulan ini sahaja. Lepas habis kontrak dengan syarikat Dermaga Holdings, dia akan pastikan takkan bertemu dengan Mikael lagi.

"Hey, masuklah. Kau berangan apa lagi," sindir Mikael.

Umairah cepat-cepat masuk ke dalam kereta. Mikael sengaja memandu perlahan kereta. Dia ingin mengambil masa bersama Umairah sebenarnya.

"Kau dah nekad nak berpisah dengan aku?" soal Mikael memecah kesunyian.

"Ya Tengku. Saya tunggu surat dari pihak Tengku sahaja. Kalau Tengku taknak lepaskan saya secara baik. Saya akan tuntut fasakh."

Kata-kata Umairah sedikit sebanyak melukakan hati Mikael. Sampai tahap itu Umairah mahu berpisah dengannya. Tapi dia tak akan benarkan semua itu berlaku. Jika Umairah pandai mengatur strategi, ingatlah bahawa Tengku Mikael lebih bijak.

"Kalau kau buat begitu, anggaplah kau takkan pernah bertemu dengan Azrael dan Airin lagi." Mikael fokus pada pemanduannya.

"Tengku tak boleh buat begitu pada saya," ujar Umairah dalam nada separuh menjerit.

Mikael terus memberhentikan kereta di bahu jalan.

"Aku dah cakap. Kalau kau betul nak berpisah dengan aku, bagi sebab yang boleh aku terima. Kalau tidak, aku takkan pernah lepaskan kau sampai bila-bila." Mikael meraup wajahnya kasar.

"Saya tak minta banyak Tengku. Lepaskan saya. Saya dah penat. Penat bersabar. Jangan seksa saya lagi." Nada suara Umairah mengendur.

Mikael mengeluh lalu menyambung pemanduan semula. Jika diikutkan hati, memang dia rasa putus asa untuk memujuk isterinya. Tiba-tiba, telefon bimbit Umairah berdering.

"Hello, apa? Maira ke sana sekarang." Wajah Umairah kelihatan cemas.

"Saya hantar Tengku ke office dulu. Saya perlu ke hospital. Anak saya sakit."

Mikael mendengus.

"Anak kita Maira. Anak kita. Kita tetus ke hospital," ujar Mikael geram.

"Tapi Tengku perlu hadiri mesyuarat dengan pihak pembekal."

"Nyawa anak aku lebih penting," ujar Mikael.

Setibanya di hospital, Mikael dan Umairah terus bergegas ke unit kecemasan. Kelihatan Amzar dan Huzair sedang menunggu di situ.

"Apa yang dah jadi?" tanya Umairah.

"Tadi waktu Azrael sedang main di rumah. Ada sebuah kereta telah langgar dia. Abang tak perasan sebab Azrael ada di tepi batas waktu itu. Mujurlah Airin tak apa-apa. Cuma Azrael sahaja..." Huzair tidak lagi mampu berkata-kata.

Huzair masih lagi terbayang bagaimana Azrael telah dilanggar sebelum pemilik kereta itu terus melarikan diri. Di baju Huzair juga terdapat kesan darah Azrael yang sudah kering.

"Ya Allah anak aku." Lembut lutut Umairah mendengar penjelasan abangnya. Air matanya mengalir laju membasahi pipi.

Mikael juga kehilangan kata-kata. Dia cepat-cepat memaut bahu Umairah apabila lihat wanita itu melorot jatuh. Tubuh Umairah dipeluk erat.

"Azrael... Azrael..." Umairah menghamburkan tangisannya dalam pelukan Mikael.

"Tadi doktor cari waris Azrael. Along rasa, lebih baik kamu berdua masuk ke dalam," ujar Amzar.

Umairah mengesat air matanya sebelum melangkah ke dalam zon merah bersama Mikael. Matanya dapat menangkap sekujur tubuh sedang terbaring di atas katil. Banyak wayar berselirat pada tubuh kecil itu.

"Siapa yang sanggup buat anak mummy macam ni."

Mikael hanya mampu memandang dari jauh. Dia juga sedih melihat keadaan Azrael begitu. Rasanya dia tahu siapa yang rancang semua ini. Dia akan pastikan orang yang lakukan ini semua akan merana.

"Ini waris Tengku Azrael ya?" tanya seorang doktor lelaki.

Umairah dan Mikael segera mengangguk.

"Alhamdulillah, tiada kecederaan pada organ dalaman. Cuma, kaki kanannya sahaja payah. Luka pada bahagian tubuh yang lain juga telah dirawat."

Mikael mengangguk.

"Maira, tolong jaga Azrael. Aku perlu balik ke KL sekarang." Mikael bergegas pergi.

Umairah cepat-cepat mengejar lelaki itu. Tangan Mikael ditarik untuk menghentikannya.

"Tolong jangan bertindak sendiri. Maira tahu apa yang abang fikirkan. Tolonglah. Sekarang ini, Azrael perlukan kita," pujuk Umairah.

"Tapi, Aira patut diajar. Kalau kau nak tahu, ini percubaan kedua dia untuk cederakan Azrael. Kali pertama ketika aku sendiri yang kemalangan." Mikael meleraikan genggaman tangan Umairah.

Umairah memeluk lengan Mikael lalu kepalanya digeleng perlahan. Dia tak mahu Mikael bertindak seperti itu lagi. Jika betul Aira yang terlibat, biarlah undang-undang menentukannya.

"Maaf Maira. Aku perlu pergi." Mikael terus melangkah pergi.

Ketika dalam perjalanan ke arah kereta, Mikael mengeluarkan telefon bimbitnya lalu menghubungi Aizril dan Mark.

"Tolong cari di mana Aira. Dia ada hutang nyawa dengan aku." Panggilan terus ditamatkan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience