32 : Bahagia

Romance Series 18510

BEBERAPA bulan kemudian...

Perlahan-lahan Jojo melangkah ke dalam bilik kerja majikannya sambil membawa beberapa keping gambar bersaiz 12r yang siap dicetak. Dia perlu tunjukkan kepada Fawwaz terlebih dahulu sebelum diserahkan kepada pelanggan. Daun pintu ditolak. Kelihatan Fawwaz sedang sibuk menghadap kerjanya di hadapan komputer.

"Bos, saya dah cetak gambar untuk perkahwinan client kita. Kalau tak ada masalah, saya boleh call diorang datang ambil esok." Jojo meletakkan gambar-gambar tersebut di atas meja.

Fawwaz berhenti mengedit gambar di komputer. Dia terus mencapai gambar-gambar tersebut lalu diperiksa dengan teliti. Risau juga kalau-kalau ada warna yang tidak sekata ketika dicetak. Lagipun dia taknak jika ada rasa tidak puas hati daripada pelanggan atas hasil kerjanya.

"Awak boleh call diorang dan suruh ambil sebelum pukul 2 petang esok."

Jojo mengambil semula gambar-gambar itu lalu ingin melangkah keluar. Sebaik sahaja melangkah, kaki kanannya tersadung beg kamera milik Fawwaz di atas lantai. Tubuhnya jatuh tertiarap di atas lantai. Fawwaz yang sedar akan hal itu cepat membantu Jojo untuk bangun.

Lutut Jojo sedikit melecet kerana dia hanya memakai seluar pendek sahaja ketika itu. Fawwaz menarik tangan Jojo lalu menyuruh gadis itu duduk di sofa. Setelah itu dia bergegas mendapatkan peti pertolongan cemas yang berada di atas meja kerja.

"Alamak, kanta lekap saya tertanggal." Jojo menggosok matanya berkali-kali.

Matanya terasa kabur sahaja. Dia memakai kanta leka itu untuk menggantikan kaca matanya. Lagipun penglihatan matanya juga agak kabur dan boleh dikatakan kategori rabun. Fawwaz menarik dagu Jojo dan memaksa gadis itu untuk melihatnya. Betullah kanta lekap gadis itu sudah tertanggal sebelah.

"Macam mana ni. Saya tak nampak langsung," rungut Jojo.

Fawwaz menarik tangan Jojo untuk menghalang gadis itu dari terus menggosok matanya.

"Jom ikut saya. Kita pergi kedai cermin mata selang dua blok dari sini. Rasanya kedai itu tawarkan cermin mata siap segera."

Pergelangan tangan Jojo digenggam lalu gadis itu mengikut sahaja langkahnya. Sebenarnya Fawwaz sedaya upaya menahan tawanya apabila Jojo selalu sahaja tersilap langkah. Hampir semua benda dihadapannya dilanggar akibat tidak nampak. Banyak kali juga Jojo hampir terjatuh. Akhirnya Fawwaz menarik tangan Jojo agar dipautkan pada lengannya.

"Okay, kita dah sampai di kedai. Awak duduk dulu atas kerusi ini."

Fawwaz meninggalkan Jojo untuk memanggil pekerja kedai kaca mata itu. Jojo mengikut sahaja pekerja kedai itu dari memilih bingkai kaca mata hinggalah ke ukuran tahap kerabunan. Fawwaz pula setia menanti. Tercuit juga hatinya bila melihat Jojo memakai kaca mata kerana belum pernah lagi dia lihat gadis itu mengenakan kaca mata.

Dua jam kemudian, kaca mata itu siap akhirnya. Jojo ingin membayar tapi Fawwaz cepat menghalang. Kali ini biarlah dia yang belanja. Kononnya gadis itu dah buat kerja yang baik di studio.

"Terima kasih bos sebab bayarkan. Malu pula saya," ujar Jojo ketika mereka dalam perjalanan pulang.

"Malu apa pula. Kira ini bonus untuk awaklah. Lagipun awak dah kerja keras sangat kat studio tu."

Jojo tersenyum sahaja menampakkan baris giginya yang dipasang pendakap gigi.

"Malam ini temankan saya pergi dinner di fashion show kawan saya. Malas pula nak pergi seorang," ajak Fawwaz.

Terbeliak mata Jojo mendengar ajakan majikannya itu. Susah betul Fawwaz nak ajak dia ke mana-mana. Kalau kerja pun mereka takkan berada di tempat yang sama kecuali acara yang besar sahaja. Fawwaz lebih senang bergerak solo.

"Emm... saya tak ada baju yang sesuailah bos. Baju yang ada hanya yang saya pakai tiap hari ni saja. Saya mana pernah pergi dinner bagai."

"Tak jadi masalah. Ikut saya." Fawwaz menarik tangan Jojo ke arah butik di sebelah studio gambarnya.

Beberapa helai dress dipilih lalu dihulurkan pada Jojo. Setelah itu dia meminta gadis itu untuk memakai dan dia sendiri akan pilih mana satu yang sesuai dengan gadis genit itu. Jojo mengenakan dress labuh berwarna biru muda lalu melangkah keluar dari bilik persalinan. Fawwaz mengusap dagunya lalu menggeleng. Jojo mengeluh lalu masuk kembali ke dalam bilik persalinan itu.

Tidak lama selepas itu Jojo keluar pula dengan mengenakan dress panjang dan berlengan panjang berwarna putih. Fawwaz tersenyum lalu melangkah menghampiri gadis itu. Topi yang setia berada di atas kepala Jojo ditanggalkan lalu rambut panjang gadis itu terus jatuh melepasi bahu.

"Now it's perfect Ashla Zulaikha," puji Fawwaz.

Merona kemerahan pipi Jojo. Jarang betul orang panggil dia dengan nama sebenar. Sekali lagi Fawwaz murah hati untuk membayar semuanya.

*****

JOJO memaut lengan Fawwaz erat. Dia langsung tak nampak apa-apa di depannya. Semuanya gelap sahaja. Fawwaz menepuk tangan Jojo perlahan untuk menenangkan gadis itu. Tidak lama selepas itu, kelihatan cahaya terang berada di hujung jalan. Jojo mengecilkan matanya agar lebih jelas.

"Kita kat mana ni bos? Kata nak pergi dinner. Ni dah macam nak masuk rumah hantu. Gelap jaaa."

Fawwaz meletakkan jari telunjuknya pada bibir Jojo. Langkah mereka semakin hampir dan akhirnya mereka tiba di tempat itu. Terlopong mulut Jojo melihat tempat itu. Kawasan tepi pantai itu hanya diterangi dengan cahaya unggun api. Tidak jauh dari situ ada meja makan yang sekelilingnya diterangi lampu malap.

"Kita silap tempat ni bos. Entah dinner date siapa kita terjah ni. Jomlah pergi. Nanti tuan punya tempat datang habis kita," ujar Jojo polos sambil menarik tangan Fawwaz untuk pergi.

Genggaman tangan Jojo dileraikan lalu Fawwaz melangkah menghampiri unggun api itu. Berkerut dahi Jojo melihat tindakan majikannya itu. Tiba-tiba sahaja dia berasa tak sedap hati. Takkanlah majikannya itu teringatkan arwah isterinya hingga bertindak begitu.

"Err.. bos tak sihat ke? Kita balik ya."

Tanpa disedari bibir Fawwaz mengukir senyum. Kenapalah polos sangat si Jojo ni. Takkanlah dia nak bawa ke tempat yang salah pula kan. Dah tu mesti dia fikir negative punya. Fawwaz memandang Jojo lalu memanggil gadis itu menghampirinya. Takut-takut Jojo menghampiri.

"Sejak bila lagi awak sukakan saya Jojo?" soal Fawwaz.

"Eh, mana bos tahu ni. Alamak kantoi." Jojo cepat-cepat menutup mulutnya dengan tangan apabila sedar keterlanjurannya berkata-kata.

Tawa Fawwaz terus meletus. Dia mengeluarkan sebuah diari bersaiz kecil dari poket blazer yang dipakainya. Dia melayangkan diari itu di depan Jojo. Terjengket-jengket Jojo ingin merampas semula diari miliknya. Malu yang dirasainya sekarang tak boleh disembunyikan lagi. Kenapalah dia letak diari itu merata tempat.

"Bos dah langgar privasi saya. Tak adil betul."

"Kalau saya tak langgar privasi awak, sampai bila rasanya awak nak sembunyikan?" Fawwaz cuba mengumpan.

"Biarlah saya sembunyikan. Lagipun takkanlah saya nak ushar suami orang lebih-lebih."

Spontan tangan Fawwaz mengusap kepala Jojo. Mula-mula sewaktu baca diari Jojo, terkejut jugalah dia kerana dah lama gadis itu menaruh perasaan padanya. Yang paling mengejutkan juga, Jojo memang dah lama memerhatinya dalam diam sebelum mula bekerja di studio lagi. Jojo juga mengambil peluang untuk dekat dengan Fawwaz apabila lelaki itu mencari pekerja. Tapi semua perasaan gadis itu dilupakan apabila tahu bahawa Fawwaz sudah memiliki Aira ketika itu.

"Awak ni stalker rupanya. Patutlah rasa seram saja selama ini. Rupanya ada yang memerhati dalam diam," usik Fawwaz.

"Sudahlah bos. Janganlah usik saya. Malunya. Rasa macam nak letak muka dalam pasir ni sahaja."

Fawwaz menghampiri meja makan lalu mencapai kotak baldu berbentuk hati. Dia menghulurkan kotak itu pada Jojo. Gadis itu memandang Fawwaz dengan penuh tanda tanya. Fawwaz mengarahkan Jojo untuk membuka sahaja.

"Awak nak jadi wife saya tak?" soal Fawwaz sambil memeluk tubuh. Pandangannya dihalakan ke laut yang ditelan gelap malam.

Spontan sahaja Jojo memeluk lengan Fawwaz lalu menjerit kecil. Sudah lama dia impikan perkara ini. Siapa sahaja yang akan menolak lamaran daripada lelaki yang disukai dalam diam kan. Fawwaz hanya menggeleng kepalanya sahaja. Dia bukanlah pandai sangat nak romantik. Mudah-mudahan gadis inilah jodohnya sepanjang hayat. Dia juga inginkan kebahagiaan seperti orang lain.

"Macam mana bos dapat ukuran jari saya eh. Muat pula."

"Adalah. Biarlah rahsia." Fawwaz menjungkit keningnya.

Sebenarnya dia ambil cincin yang selalu dipakai oleh Jojo. Minggu lepas gadis itu tertinggal cincin itu dalam tandas. Pelik juga dia kerana tak pula Jojo cari cincin itu. Alah, diari hilang pun dia tak sedar. Inikan pula cincin kecil itu.

"Terima kasih bos," ucap Jojo.

"Sudahlah. Jangan panggil saya bos lagi. Panggil saya sayang ke. Baby pun best juga." Sengaja Fawwaz menyakat.

Jojo terus mencubit lengan Fawwaz kuat. Menjerit kecil Fawwaz dibuatnya. Kesan cubitan Jojo digosok-gosok kasar. Boleh tahan juga budak kecil ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience