×tujuh×

Romance Series 18456

SELESAI sudah upacara pengebumian ayah dan ummi Umairah. Abang-abang Umairah masih lagi dingin dengan dirinya. Umairah juga banyak bersendirian di dalam bilik tidur ibu bapanya sejak petang tadi. Bingkai gambar ayah dan ummi ditatap sayu.

"Maafkan Maira ummi..ayah. Maira dah belakangkan ummi dan ayah. Tentu ummi dan ayah kecewa dengan Maira kan." Air mata Umairah mengalir lagi.

Tengku Mikael menyelak langsir pintu bilik. Kasihan pula dia melihat keadaan Umairah.

"Maira, kau okay?" Tengku Mikael menghampiri Umairah.

Umairah mengesat air matanya yang degil mengalir lalu tersenyum pada Tengku Mikael. Dia tak mahu kelihatan lemah di hadapan lelaki itu.

"Saya okay. Tengku nak minum apa-apa? Saya boleh buatkan," soal Umairah.

"Tak apa. Aku tak dahaga. Aku nak minta maaf pada kau. Kalau kita tak bernikah, pasti semua ini takkan berlaku. Abang-abang kau pun takkan bencikan kau." Perlahan-lahan Tengku Mikael mencapai tangan isterinya.

"Mungkin ini yang terbaik untuk saya. Jodoh, ajal dan maut di tangan Tuhan. Saya bukan sesiapa untuk menghalang semua ini daripada berlaku." Umairah mengusap tangan Tengku Mikael.

Tengku Mikael mengangguk sahaja. Setelah itu dia mengajak Umairah keluar menyertai yang lain kerana majlis untuk tahlil akan bermula tidak lama lagi. Amzar memandang tajam ke arah Umairah. Benci sungguh dia melihat Tengku Mikael dan Umairah di dalam rumah itu. Jika tidak disebabkan Huzair menasihatinya supaya tidak berbuat apa-apa yang memalukan, sudah tentu dia mengusir mereka berdua itu.

Usai sahaja tahlil, Umairah menyibukkan dirinya di dapur untuk mengemas. Tetamu juga sudah beransur pulang. Huzair memandang ke arah Umairah. Kasihan juga dia melihat adiknya itu. Tapi, tipulah kalau dia tak terkesan dengan tindakan Umairah membelakangkan mereka sekeluarga.

"Abang," sapa Tengku Mikael apabila ternampak Huzair berdiri di pintu masuk ke dapur.

"Mikael, boleh kita bercakap sekejap. Aku tunggu dekat luar dengan along dan angah." Huzair berlalu pergi.

Tengku Mikael mengangguk. Dia memandang ke arah Umairah yang sibuk mengemas. Mungkin wanita itu tidak perasan akan dirinya. Tanpa berlengah lagi, Tengku Mikael terus keluar menghampiri abang-abang iparnya.

"Duduklah," pelawa Zarith. Tangannya mencapai cawan yang berisi baki teh lalu diteguk perlahan.

"Aku malas nak panjangkan masalah ini. Aku serahkan Umairah pada kau. Kau bawalah dia pergi ke mana saja kerana dia isteri kau," ujar Amzar memecah kesunyian.

Tengku Mikael memeluk tubuh mendengar kata-kata Amzar. Kenapa susah sangat mereka nak terima akan status Umairah yang sekarang? Bukannya Umairah buat sesuatu berdosa besar pun.

"Saya boleh jaga Umairah. Tapi, boleh abang-abang janji satu perkara dengan saya," pinta Tengku Mikael sedikit sinis.

Huzair memandang ke arah Amzar apabila mendengar kata-kata Tengku Mikael. Dia tahu bahawa Tengku Mikael ini bukan calang-calang orang yang boleh diperbodohkan.

"Abang-abang semua tak akan jumpa Maira lagi selepas ini sebab korang dah buang dia siang tadi. Saya akan bawa Maira pulang malam ini juga. Saya harap abang-abang faham apa yang saya cuba sampaikan," ujar Mikael sinis.

"Apa hak kau nak halang kitorang jumpa adik kitorang sendiri. Kau jangan melebih Mikael." Zarith sudah menunjukkan amarahnya.

Mikael ketawa sinis mendengar kata-kata Zarith. Dah kenapa nak mengaku Umairah sebagai adik mereka tiba-tiba.

"Adik? Adik apa yang abang maksudkan? Abang-abang dah hukum dia atas kesalahan yang dia tak lakukan pun. Berdosakah dia kerana bernikah dengan saya? Mungkin cara dia salah, tapi kami sudah menghalalkan hubungan kami. Jadi kenapa abang-abang buang dia di saat jasad ummi dan ayah tidak dibawa keluar dari rumah lagi siang tadi. Kenapa?" ujar Tengku Mikael panjang lebar.

"Start from today, Umairah is not your sister anymore. Dia bawah tanggungjawab saya. Pandailah saya jaga dia," sambung Tengku Mikael lagi.

Amzar dan Zarith kelihatan tercengang mendengar kata-kata Tengku Mikael. Setelah itu, Tengku Mikael terus masuk ke dalam rumah. Dia mendapatkan Umairah di dapur lalu ditarik masuk ke dalam bilik. Semua barang-barang dimasukkan ke dalam beg. Umairah kelihatan terpinga-pinga. Bingung juga dia dengan apa yang berlaku sekarang.

"Kita balik rumah sekarang. Aku tak nak kau berhubung dengan abang-abang kau lagi," ujar Tengku Mikael sebaik sahaja mereka masuk ke dalam kereta.

Huzair berlari ke arah kereta untuk mendapatkan Umairah. Cermin kereta diketuk kuat hingga Tengku Mikael membuka cermin itu. Wajah Tengku Mikael kelihatan sangat dingin. Umairah segera membuka pintu lalu mendapatkan abangnya. Tubuh Huzair dipeluk erat. Tangisannya dihamburkan pada dada bidang Huzair.

"Maira dengar sini. Mikael akan jaga Maira dengan baik. Maira kena taat pada dia kerana dia suami Maira. Abang selalu doakan Maira. Masuklah, Mikael dah tunggu tu." Huzair mengusap kepala adiknya perlahan.

Umairah mengesat air matanya yang degil mengalir. Tangan Huzair dicapai lalu dicium penuh kasih. Sempat lagi dia memeluk abangnya itu sebelum masuk semula ke dalam kereta. Tengku Mikael menghidupkan enjin kereta lalu menekan pedal minyak. Kereta yang dipandu Tengku Mikael meluncur laju meninggalkan perkarangan rumah itu.

"Tapi, mereka abang-abang saya. Hanya mereka sahaja yang saya ada," ujar Umairah separuh menangis.

"Kau dengar sini Maira, abang-abang kau yang baik sangat tu dah buang kau dari hidup mereka. Kau bukan sesiapa lagi pun pada mereka."Tengku Mikael menghentak tangannya pada stereng kereta geram.

Umairah memilih untuk mendiamkan diri. Dalam sehari, dia kehilangan semua orang yang dia sayang. Malas hendak bercakap lebih panjang dengan  Tengku Mikael. Dia tahu emosi lelaki itu agak tidak stabil sekarang ini.

"Lagi satu, kau jangan pandai-pandai nak jumpa mereka. Kalau tidak, kau tahulah nasib kau. Mulai sekarang, kau dah tak ada sesiapa lagi kecuali aku. Ingat perkara ini baik-baik dalam kepala kau," jerkah Tengku Mikael kuat.

Air mata Umairah mengalir laju mendengar jerkahan Tengku Mikael. Apa lagi salahnya hingga dipisahkan daripada keluarga sendiri. Benarkah abang-abangnya dah buang dia atau ini hanya rekaan Tengku Mikael semata-mata sahaja?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience