28 : Nyawa

Romance Series 18456

KAKI Umairah sudah mula bengkak dan bahagian pinggangnya juga selalu sahaja terasa sengal. Perutnya yang semakin memboyot itu diusap perlahan. Matanya tertancap pada pasangan suami isteri di sebelahnya. Si suami setia menemani si isteri melakukan pemeriksaan kandungan. Sesekali kelihatan si suami mengusap perut isterinya pula. Sungguh Umairah sangat cemburu. Dia mahukan Mikael sentiasa berada di sisinya juga.

Tapi lelaki itu sudah mula sibuk dengan kerjanya semenjak cawangan baharu Dermaga Holding dibuka. Kini kandungannya sudah hampir mencecah sembilan bulan. Sepanjang tempoh itu jugalah Umairah membawa diri sendiri untuk melakukan pemeriksaan kandungan.

"Puan Durriyatul Umairah," panggil seorang jururawat.

Umairah cepat-cepat bangun menghampiri jururawat itu. Sudah tiba gilirannya untuk bertemu dengan doktor. Seorang doktor wanita menyambut Umairah dengan senyuman manis. Doktor itu juga membantu Umairah untuk duduk di kerusi yang disediakan.

"Tadi kita dah buat scan pada kandungan. Puan sendiri pun boleh lihat progress anak puan. Alhamdulillah, bayi puan sihat dan puan boleh lahirkan anak puan secara normal."

Umairah menarik nafas lega. Syukurlah kalau anaknya berada dalam keadaan sihat. Setelah panjang lebar berbual, Umairah dibenarkan untuk pulang. Walau bagaimanapun doktor menasihati Umairah agar tidak terlalu tertekan. Doktor itu dapat lihat bahawa Umairah sangat tertekan melalui wajah wanita itu.

Lambat-lambat Umairah mengatur langkah ke arah kereta. Kakinya yang bengkak menyukarkan dia untuk bergerak. Umairah juga mengakui bahawa dia sering tidak sihat apabila mengandung pada kali ini. Tubuhnya cepat sahaja terasa lemah. Mungkin dia tidak mendapat rehat yang mencukupi agaknya.

Dahulu ketika mengandungkan Azrael, Fawwaz yang banyak membantu menguruskan dirinya manakala ketika mengandungkan Airina, Mikael yang banyak membantu. Kini dia perlu lakukan segalanya sendirian. Yeah ! Umairah harus kuat dan tak perlu bergantung pada dirinya sendiri pula.

"Alamak, lif penuh pula. Dah lambat nak jemput Azrael di sekolah pula," rungut Umairah setelah memandang jam di tangan.

Akhirnya Umairah mengambil keputusan untuk turun melalui tangga. Keadaan di tangga agak lengang kerana tidak ramai yang menggunakannya. Perlahan-lahan Umairah mengatur langkah menuruni anak tangga. Tiba-tiba ada tangan asing menolak tubuh Umairah dari belakang. Tubuh Umairah terus tergolek jatuh dari tangga.

"Ahhh... sakit," jerit Umairah sekuat hati. Perutnya terhentak pada anak tangga terakhir sebelum tertiarap di atas lantai.

Ada darah yang mengalir melalui celah pehanya. Bahagian bawah perutnya terasa pedih sangat. Air matanya sudah mula mengalir. Siapa yang menolaknya sebentar tadi? Umairah menjerit untuk meminta tolong, tapi tiada sesiapapun yang muncul. Dia sudah tiada tenaga lagi. Darah yang keluar pula semakin banyak.

"Ya Allah Maira. Apa dah jadi dengan awak ni?"

Idzlan terus mencempung tubuh Umairah. Mujurlah dia terdetik hati untuk turun melalui tangga sebentar tadi setelah melawat ibunya di tingkat tiga. Idzlan melajukan langkahnya ke arah ruangan kecemasan apabila melihat mata Umairah sudah mula terpejam rapat.

"Tolong !" jerit Idzlan setibanya di ruang kecemasan.

Seorang jururawat mengarahkan Idzlan untuk masuk ke dalam ruang kecemasan. Tubuh Umairah yang tidak bermaya itu diletakkan di atas katil. Setelah itu Idzlan diarahkan untuk menunggu di luar.

Ke hulu dan ke hilir Idzlan berjalan. Dia tidak boleh duduk diam selagi tidak tahu keadaan wanita itu. Tangannya pantas mendail nombor seseorang melalui telefon bimbit setelah teringatkan sesuatu.

*****

BERITA yang diterima sebentar tadi sangat mengejutkan Mikael. Dia terus ke hospital setelah dihubungi oleh Idzlan. Sayu hatinya melihat Umairah yang masih terlantar tidak sedarkan diri di atas katil setelah pembedahan sebentar tadi.

"Sayang, abang minta maaf kerana tak teman sayang. Kalau abang ada, pasti semua ini tak berlaku," rungut Mikael.

Idzlan menghampiri Mikael lalu membisikkan sesuatu. Air muka Mikael terus berubah setelah itu. Wajah Idzlan dan Umairah dipandang silih berganti. Idzlan meminta Mikael untuk mengikutnya ke bilik kawalan CCTV hospital tersebut. Setibanya di bilik itu, seorang pengawal terus memainkan video yang direkodkan.

"Aira..." Mikael mengetap bibir geram.

Rakaman CCTV jelas menunjukkan Aira yang menolak Umairah jatuh tangga. Rakaman-rakaman lain juga ada menunjukkan bahawa Aira seperti mengekori Umairah di hospital itu. Idzlan yang meminta untuk memeriksa rakaman CCTV. Dia rasakan ada sesuatu yang tidak kena. Jika diikutkan memang salah kerana orang awam sepertinya tidak patut melihat rakaman tersebut.

Tapi dia perlu juga melihat rakaman tersebut. Pelbagai cara yang dilakukan untuk memujuk ketua pengawal di situ. Mikael menumbuk kuat meja yang berada di hadapannya. Perempuan itu memang sudah melampau.

"Aku rasa kau patut buat laporan pada polis. Bukti memang dah ada," cadang Idzlan.

"Terima kasih sebab tolong aku Idz. Tapi aku tak sanggup nak tinggalkan Maira."

"Tak apa. Aku akan bantu kau buat laporan. Kau tunggu ja Maira sampai sedar. Mana tahu perempuan tu akan kembali semula." Idzlan meminta diri.

Mikael pulang semula ke wad yang menempatkan Umairah. Tangannya diletakkan di atas perut Umairah yang sudah kempis. Semua perkara buruk yang menimpa Umairah sejak dahulu lagi adalah salahnya. Dia yang selalu bertindak tidak menggunakan akal. Apa yang difikirnya adalah untuk melepaskan diri sahaja. Kononnya apa yang dilakukan adalah untuk Umairah. Tapi sebenarnya tidak.

Tiba-tiba tangan Umairah bergerak memegang tangan Mikael yang berada di atas perutnya.

"Apa yang berlaku?" soal Umairah polos.

"Maira jatuh tangga tadi. Mujur Idzlan ada di sini tadi. Dia yang bawa Umairah ke ruang kecemasan."

Umairah menelan air liurnya yang terasa pahit. Matanya melilau ke sekeliling. Tahulah dia bahawa dia berada dalam wad.

"Azrael..." susah payah Umairah hendak bercakap.

Mikael meletakkan jari telunjuknya pada bibir Umairah.

"Abang dah minta Tiara ambilkan tadi. Jangan risau. Maira rehat okay."

Mikael mengusap kepala Umairah perlahan. Tangan Umairah terus meraba-raba perutnya yang terasa kempis. Dia memandang Mikael meminta penjelasan. Mikael hanya menunduk kepalanya lalu menggeleng. Umairah menarik tangan Mikael meminta penjelasan.

"Mana anak Maira? Jawablah abang," pinta Umairah dalam tangisannya.

"Sabar sayang." Mikael memeluk Umairah.

Umairah meronta-ronta untuk dilepaskan. Tangannya pantas menumbuk-numbuk dada Mikael. Dadanya mula terasa sesak fikirkan apa yang berlaku. Mikael mengemaskan lagi pelukannya.

Semakin lama semakin agresif tindakan Umairah. Dia mula menjerit sekuat hati dan menolak tubuh Mikael. Mahu tidak mahu, terpaksalah Mikael memanggil doktor untuk menenangkan isterinya.

Seorang doktor bersama dua orang jururawat bergegas masuk. Setelah diberi suntikan, barulah Umairah berhenti meronta-ronta. Perlahan-lahan mata Umairah tertutup rapat. Ada sisa air mata di hujung tubir matanya. Hati Mikael tidak keruan melihat keadaan Umairah begitu.

"Puan Umairah tak dapat nak terima apa yang berlaku. Saya harap Tengku sentiasa ada dengannya untuk berikan sokongan. Saya minta diri dahulu."

Mikael mengangguk. Perasaanya juga sudah bercampur sekarang. Marah. Sedih, Kesal. Semuanya dirasai sekarang. Marah pada dirinya yang abaikan Umairah. Sedih kerana terpaksa lihat Umairah dalam keadaan begitu. Kesal kerana tidak menjaga isterinya sebaik mungkin.

Seorang jururawat masuk ke dalam ruangan menempatkan Umairah dan meminta Mikael untuk mengikutinya. Langkah Mikael dibawa menghampiri bilik yang dipenuhi oleh bayi.

"Ini anak Tengku. Keadaanya agak stabil sekarang dan doktor benarkan Tengku untuk melawatnya. Semasa Puan Umairah jatuh, terjadi sedikit gegeran pada otak bayi. Keadaan bayi juga agak lemah dan kami terpaksa tempatkannya dalam incubator."

Jururawat itu meminta diri untuk memberi ruang kepada Mikael. Tangan Mikael melekap pada inkubator itu. Dia terus teringatkan Azrael yang juga pernah melalui keadaan seperti ini. Banyak wayar yang berselirat di tubuh kecil itu. Matanya ditutup untuk menghalang cahaya di dalam inkubator itu.

"Assalamualaikum Tengku Aidan Bin Tengku Umar Mikael. Daddy tahu Aidan kuat macam mummy kan. Mummy yang pilih nama ini untuk Aidan."

Mikael merapatkan bibirnya pada inkubator itu lalu dilafazkan azan dan iqamat. Tenang sungguh hatinya setelah itu. Kulit Aidan sangat cerah seperti Umairah. Cuma bibir dan hidungnya sahaja seperti Mikael.

"Nanti Aidan sihat, daddy bawa abang Azrael dan kakak Airin jumpa Aidan ya."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience