6 : Rindu

Romance Series 18456

"AZRAEL nak daddy! Azrael nak jumpa daddy! Kenapa mummy tak bagi Azrael jumpa daddy?" hampir saban hari kata-kata Azrael menusuk masuk ke dalam telinga Umairah. Dia sudah buntu bagaimana hendak memujuk anaknya itu. Sudah hampir seminggu juga Mikael pulang ke rumah mertuanya dan langsung tidak mahu bertemu dengan Umairah dan anak-anak.

Mikael menganggap Umairah adalah penipu. Yang paling melukakan hati Umairah, Mikael tidak mahu mengakui Azrael dan Airina sebagai anaknya. Dia tidak kisah akan hal itu kerana dia sedar akan keadaan Mikael. Tapi, perlukan Mikael berkata yang bukan-bukan di hadapan Azrael yang langsung tidak memahami situasi sekarang.

"Aku tak pernah berkahwin. Entah-entah anak siapa yang kau beranakkan. Kemudian suruh aku jadi kambing hitam. Lagipun tak mungkin aku akan kahwin dengan perempuan seperti engkau." Umairah mengurut dadanya yang terasa sesak apabila mengingati kata-kata Mikael.

Inilah yang paling Umairah takutkan apabila Mikael kembali menjadi Mikael yang pernah dia kenali suatu ketika dahulu. Kata-katanya sangat tajam bagaikan pedang yang mampu menikam apa sahaja dan kesannya juga mungkin akan kekal. Airina yang tidur di sampingnya dipandang kosong. Mujurlah si kecil ini belum tahu apa-apa dan yang perlu dia risaukan sekarang adalah Azrael sahaja. Siang malam bibir kecil itu memanggil Mikael hingga terbawa-bawa dalam tidurnya.

Umairah mengalihkan pandangannya ke arah Azrael yang berada di sisi kanannya pula. Pipi mulus itu diusap perlahan. Kasihannya Azrael kerana rindukan Mikael. Anak lelakinya itu lebih rapat dengan Mikael berbanding dirinya.

"Daddy... Daddy...," racau Azrael.

Mata Azrael masih lagi terpejam rapat. Umairah menyentuh dahi anaknya, panas. Dia segera mendapatkan alat penyukat suhu badan yang berada di dalam laci meja solek. Alat itu diletakkan di dalam telingan Azrael.

"Ya Allah, sayang mummy demam ni. Suhu pula tinggi sangat ni." Umairah mengangkat tubuh Azrael ke dalam pangkuannya.

Telefon bimbit di tepi katil dicapai lalu dia menghubungi seseorang.

"Assalamualaikum Fawwaz. Awak boleh datang rumah saya sekarang? Azrael demam. Saya tak berani nak drive malam-malam." setelah mengangguk beberapa kali, Umairah menamatkan panggilan.

"Sabar ya sayang. Kejap lagi Uncle Fawwaz datang." Umairah bergegas ke arah closet lalu mengeluarkan sehelai baju berlengan panjang yang agak tebal lalu dipakaikan pada Azrael. Bibir Azrael diketap bagaikan menahan sejuk yang melampau.

Umairah mundar-mandir sambil memerhati skrin telefon di tangannya. Dia sangat risaukan Azrael. Jika dahulu, Mikael yang akan menguruskan jika anak-anak demam. Tapi kini dia sendirian menguruskan anak-anak. Tidak lama selepas itu loceng rumah berbunyi menandakan Fawwaz sudah datang. Umairah bergegas membuka pintu.

"Mana Azrael?" soal Fawwaz risau.

Umairah menunjuk ke arah biliknya di atas. Tanpa berkata apa-apa, Fawwaz bergegas mendapat Azrael. Pipi Azrael sudah menjadi kemerahan mungkin disebabkan suhu badannya yang tinggi. Umairah pula mendapatkan Airina lalu bergegas ke arah kereta Fawwaz.

"Dah lama dia demam?" soal Fawwaz.

"Baru tadi saya perasan dia demam. Bila check suhu tinggi sangat. Sebab tu saya call awak. Saya bingung." Umairah meraup wajahnya.

Fawwaz hanya mengangguk lalu fokus kembali pada pemanduan. Kereta yang mereka naiki dipandu ke arah sebuah poliklinik yang beroperasi 24 jam. Sebaik sahaja mendaftar, Azrael segera dibawa masuk ke bilik rawatan.

"Azrael rindu daddy dia. Saya dah tak tahu nak pujuk dia. Mikael pula taknak jumpa kami." air mata Umairah mengalir laju.

Fawwaz mengambil Airina yang tidur di pangkuan Umairah. Emosi wanita itu sangat tidak stabil. Mungkin dia masih terkejut dengan apa yang berlaku sekarang.

"Apa dosa saya hingga diuji begini? Saya lemah sangat bila fikirkan anak-anak," tambah Umairah lagi.

"Awak tak boleh begini Maira. Anak-anak perlukan awak. Mungkin ini ujian untuk awak. Kita doakan yang baik-baik sahaja untuk Mikael."

Umairah hanya mampu mengeluh. Dia memerhati jam di dinding, sudah hampir 30 minit Azrael dirawat. Risau juga dengan keadaan anaknya yang seorang itu. Fawwaz menghampiri kaunter untuk bertanya tentang keadaan Azrael. Malangnya, penjaga kaunter juga tidak tahu akan keadaan Azrael.

"Siapa waris Tengku Azrael?" soal seorang jururawat.

Fawwaz segera menghampiri dituruti dengan Umairah. Jururawat itu menerangkan bahawa deman Azrael agak teruk dan perlu dibawa ke hospital. Umairah sudah susah hati mendengar semua itu. Dia sangat tahu, jika sekali Azrael jatuh sakit. Memang keadaan anaknya akan menjadi teruk. Fawwaz sudah mengikuti jururawat tersebut untuk mengambil surat rujukan ke hospital.

*****

SAYU mata Umairah memandang Azrael yang terlantar di atas katil hospital. Hari ini sudah cukup tiga hari anaknya itu menjadi penghuni hospital. Suhu badannya terlampau tinggi dan membuatkan doktor terpaksa menahan Azrael di wad. Bibir mugil itu tidak henti-henti memanggil Mikael. Sudah naik berbuih mulut Umairah memohon dan merayu supaya Mikael datang dan bertemu anaknya itu.

Malangnya lelaki itu tetap dengan pendiriannya dengan mengatakan dia tidak kenal pada Umairah dan anak-anaknya.

"Mummy, mana daddy?" soal bibir pucat Azrael.

Umairah segera menyeka air matanya yang hampir mengalir. Dia segera mengukir senyuman pada anaknya.

"Daddy kerja sayang. Nanti daddy balik ya," pujuk Umairah.

"Daddy dah tak sayangkan Azrael dan baby Airin ke? Daddy dah lama tak balik kan. Kenapa mummy tipu kata daddy kerja?"

Umairah memejam matanya rapat. Alasan apa lagi hendak dicipta supaya anaknya itu memahami. Hati ibu mana yang tidak sedih jika terpaksa melihat anak terlantar sakit dan bertanya mengenai bapanya hampir setiap hari.

"No sayang. Daddy sayangkan Azrael dan Airina." Umairah mengucup tangan Azrael.

Azrael menekup telinganya. Dia terus memalingkan tubuhnya daripada menghadap Umairah. Setiap hari ibunya memberi alasan yang sama sahaja. Tiba-tiba muncul seseorang di muka pintu sambil memberi salam. Umairah menjawab lalu memusingkan tubuhnya ke arah suara itu. Air mata Umairah terus tumpah melihat tuan empunya suara.

Fawwaz menolak kerusi roda Mikael menghampiri katil Azrael sambil membawa sejambak bunga mawar. Umairah menghulur tangannya untuk bersalam. Namun tidak disambut oleh Mikael.

"Daddy..." panggil Azrael sebaik sahaja ternampak Mikael. Dia segera mendepakan tangannya untuk memeluk Mikael.

Mikael tersenyum lalu segera merangkul tubuh Azrael. Wajahnya dipaksa untuk tersenyum. Matanya tajam sahaja memandang Umairah yang sedaya upaya mengesat air matanya dari terus mengalir.

Fawwaz hanya mendiamkan diri sahaja melihat situasi yang tegang ini. Syukurlah dia berjaya memujuk Mikael untuk datang melawat Azrael untuk seketika. Sebenarnya agak susah hendak memujuk sepupunya itu.

"Kenapa daddy baru balik? Azrael sakit," adu si kecil itu.

Mikael meleraikan pelukan lalu mengusap wajah Azrael.

"Daddy kerja sayang. Sayang sakit ya. Maafkan daddy sebab tak balik lihat sayang ya," pujuk Mikael lalu mencium ubun-ubun anaknya.

"Daddy akan balik kan. Stay dengan Azrael, mummy dan baby Airina kan?" soal Azrael bersungguh-sungguh.

Mikael tersenyum sahaja memandang Azrael. Umairah sudah tidak tahan mendengar segala soalan yang diajukan oleh Azrael. Laju sahaja air matanya mengalir. Dia segera mengambil Airina yang bermain di atas sofa lalu melangkah keluar. Umairah tersandar di dinding lalu dia menangis semahu-mahunya. Airina yang tidak memahami apa-apa hanya tersenyum dalam dukungan ibunya.

Tidak lama selepas itu, Mikael dan Fawwaz pun keluar. Mikael meminta Faewaz berhenti di hadapan Umairah buat seketika. Setelah itu, Mikael menghulurkan sesuatu.

"Apa ni?" soal Umairah sambil mengesat air matanya.

"Walaupun aku tak ingat siapa kau dan anak-anak kau, daddy tetap paksa aku jalankan tanggungjawab aku. Ini perbelanjaan untuk kau dan anak-anak kau. Bulan depan aku akan bagi lagi. Tapi, aku tetap tak boleh nak terima kenyataan tentang semua ini. Aku tetap akan tinggal dengan daddy," terang Mikael panjang lebar.

Umairah menggenggam sampul berisi duit di tangannya. Bukan wang ringgit yang dia mahukan. Dia hanya mahu suaminya itu kembali sihat seperti biasa dan ada di sampingnya sahaja.

"Terima kasih sebab datang," ujar Umairah.

Mikael tersenyum sinis sahaja.

"Aku datang sebab daddy yang paksa. Kalau ikut hati, memang aku tak nak datang. Aku pergi dulu."

Kata-kata Mikael bagaikan sembilu yang menusuk hati Umairah. Apabila Fawwaz ingin menolak Mikael pergi, Umairah cepat-cepat mencapai tangan suaminya lalu terus dicium. Mikael yang terkejut terus merentap tangannya. Wajahnya seakan-akan ingin marah. Disebabkan terlampau ramai yang lalu-lalang di sekitar ruang lebar itu, Mikael mematikan niatnya lalu terus pergi.

Umar Mikael : Revenge

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience