×satu×

Romance Series 18510

"AKU TERIMA NIKAHNYA Durriyatul Umairah Binti Haji Fadhil dengan mas kahwin sebanyak RM 70 dibayar tunai," lafaz Tengku Mikael dengan tenang.

"Sah!" ujar dua orang lelaki yang berada di sisi Tengku Mikael serentak.

Dengan sekali lafaz sahaja, Durriyatul Umairah telah sah menjadi isteri kepada Tengku Umar Mikael. Air mata yang tertahan sejak tadi akhirnya mengalir laju membasahi pipi. Bukan perkahwinan dengan cara ini yang dia mahukan hingga dia terasa sangat jijik dengan diri sendiri.

Dia dapat melihat senyuman sinis di bibir Tengku Mikael. Lirikan mata lelaki itu mampu membuatkan setiap wanita tunduk padanya. Tapi tidak bagi Umairah, lelaki itu mampu menghancurkan hidup sesiapa saja yang dia mahukan.

Umairah mengesat kasar air matanya. Selendang di atas kepala ditarik menutupi wajah yang kemerahan akibat menahan rasa malu. Bagaimana jika ayah dan ibu tahu tentang perkahwinan ini? Adakah mereka akan menerimanya lagi?

Tindakan bodoh Tengku Mikael yang telah mengheretnya ke dalam perkahwinan ini. Perkahwinan yang dibina atas dasar menutup malu untuk menjaga maruah diri. Tapi bukan maruahnya. Maruah seorang lelaki bernama Tengku Umar Mikael. Dia rasakan maruahnya bagaikan dipijak-pijak buat masa sekarang.

Jika dahulu, dia mengimpikan pernikahan yang sangat indah. Ayahnya sendiri yang akan menjadi wali dan bukannya menggunakan wali hakim seperti sekarang. Ibu juga tiada disisi untuk menemaninya di hari begini. Semua ini sangat tidak adil baginya. Dia langsung tidak diberi peluang untuk menjelaskan segalanya. Benarlah kata orang, Tengku Mikael tidak mempunyai hati sebagai seorang manusia. Sebaliknya, dia adalah raksasa. Lelaki ini mampu menghancurkan hidup seseorang sekelip mata sahaja.

"Sudahlah menangis tu. Kita dah kahwin pun. Baik kau ikut aku balik ke rumah. Lagipun kau patut gembira sebab aku sudi ambil perempuan macam kau jadi isteri aku," sindir Tengku Mikael.

Hati Tengku Mikael kini tersenyum riang kerana kemenangan berpihak kepadanya. Inilah yang terjadi jika kau berani melawan Tengku Umar Mikael. Egonya juga semakin tinggi menggunung sahaja kerana dapat melihat kesengsaraan wanita tersebut. Dia akan menghukum wanita itu mengikut kemahuannya selepas ini.

Umairah mengikut langkah  Tengku Mikael ke tempat parkir. Sebuah kereta jenis Honda Civic Type R sedang menanti mereka. Tanpa banyak bicara, Tengku Mikael meloloskan diri ke dalam kereta dan mengambil tempat di sebelah pemandu.

"Masuklah Puan," ujar pemandu Tengku Mikael iaitu Pak Mad.

"Terima kasih Pak Mad," ucap Umairah.

Lambat-lambat Umairah masuk ke dalam kereta. Fikirannya sangat berserabut sekarang. Dia teringatkan ayah dan ibunya di kampung. Pasti mereka sedih jika tahu tentang pernikahan ini.

Mata Umairah melilau ke kiri dan ke kanan. Dia mengakui lelaki ini sangat berpengaruh. Apa saja yang dia inginkan perlu dilaksanakan. Lelaki ini juga memegang satu prinsip bahawa tiada sesiapapun yang boleh ingkar akan setiap kata-katanya.

"Pak Mad tolong bawa saya ke kondo ya. Tentang hal ini, pastikan tiada sesiapapun tahu termasuk mummy dan daddy," ujar Tengku Mikael kepada pemandunya. Kereta yang mereka naiki terus meluncur laju di atas jalan raya.

Kini kereta yang dinaiki mereka memasuki perkarangan sebuah kondominium mewah. Tengku Mikael terus melangkah ke arah lobi kondominium sebaik sahaja Pak Mad memberhentikan kereta. Umairah pula hanya mendiamkan diri sahaja. Air matanya masih lagi mengalir membasahi pipi. Matanya juga semakin kemerahan dan membengkak.

"Puan Umairah jangan risau. Tengku Mikael itu baik sebenarnya. Cuma dia tidak pandai tunjuk kebaikan itu sahaja. Pak Mad dah lama kenal dia. Tengku Mikael berubah jadi begitu setelah menetap di London. Dahulu dia seorang yang sangat menghormati orang lain. Tapi semuanya telah berubah," ujar Pak Mad tiba-tiba. Wajahnya yang sudah berkedut dimamah usia itu jelas menunjukkan simpati kepada nasib Umairah.

"Tapi Pak Mad, kenapa Maira yang jadi mangsa? Apa dosa Maira pada dia." Air mata Umairah mengalir lagi untuk kesekian kalinya. Tapi cepat-cepat sahaja diseka.

"Anggaplah ini adalah dugaan untuk Puan. Mungkin Tengku Mikael adalah jodoh yang dikirimkan oleh-Nya pada Puan. Pak Mad akan sentiasa doakan yang terbaik untuk Puan dan Tengku."

"Kenapa saya? Itu sahaja yang saya nak tahu." Umairah menundukkan kepalanya. Ada bunyi esakan kecil di situ.

Pak Mad menggeleng-geleng kepalanya. Dia tiada jawapan untuk soalan Umairah. Biarlah Tengku Mikael saja yang menjawabnya. Tidak lama selepas itu, Tengku Mikael pun muncul bersama sebuah bagasi besar. Pak Mad segera mengambil bagasi tersebut lalu dimasukkan ke dalam kereta.

"Pak Mad ambil kereta saya di tempat parkir dan bawa pulang ke rumah. Saya bawa kereta ini. Pak Mad ingat pesanan saya tadi. Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut." Tengku Mikael menyerahkan kunci keretanya kepada Pak Mad sebelum memandu kereta yang dinaikinya tadi pergi meninggalkan perkarangan kondominium.

Umairah masih mendiamkan diri di belakang. Sesekali dia mencurilihat ke arah wajah Tengku Mikael melalui cermin pandang belakang. Ketat sekali wajah lelaki itu. Ke mana lelaki ini nak bawa dia pergi? Perlukah dia takut akan lelaki yang baru saja bergelar suaminya itu.

Tengku Mikael membetulkan cermin belakang kereta hingga menampakkan wajah Umairah di tempat duduk belakang. Bibirnya mengukir senyuman sinis apabila matanya dan mata Umairah bertentangan di dalam cermin pandang belakang.

"Malam ini kita pergi Kedah. Aku malas nak cakap banyak. Aku tak nak mummy dan daddy aku tahu pasal perkahwinan ini. Lagipun aku memang tak sangka plan yang aku buat sampai jadi teruk begini. Jatuhlah maruah aku bila orang dapat tahu perempuan macam kau jadi wife aku," ujar Mikael sinis.

"Apa salah saya pada Tengku? Kenapa Tengku buat saya begini?" soal Umairah sedikit keras.

Tengku Mikael mendengus kasar. Anak rambut yang berjuntaian di dahi ditolak ke belakang kasar. Dia terus memandang ke arah Umairah melalui cermin pandang belakang. Bibirnya kembali mengukir senyuman sinis.

"Aku buat semua ini sebab nak bagi kau merana. Kau nak tahu satu perkara. Tak ada mana-mana manusia pun akan melawan cakap aku seperti kau. Tambahan pula malukan aku di tempat umum. Tindakan kau di office minggu lepas memang buat aku bengang. Kau mungkin anggap perkara tu kecil. So, aku decide nak jahanamkan kau. Tak sangka pula sampai kena kahwin bagai."

"It's just a slap Tengku. Saya tak malukan Tengku di tempat umum pun," jawab Umairah berani.

"It's not just a slap Umairah!" jerkahan Tengku Mikael membuatkan Umairah diam tidak berkutik.

Umairah menundukkan wajahnya. Dia tidak sangka hal yang berlaku minggu lepas diperbesarkan oleh Tengku Mikael. Sakit hatinya memikirkan perkara itu. Sedangkan semua itu memang salah Tengku Mikael dan dia memang layak menerima tamparan itu.

"Mulai hari ini, aku nak kau sembunyikan status kau yang sebenar. Aku takkan pernah anggap kau sebagai isteri aku. Aku pun tak akan tuntut apa-apa dari kau. Cukup tempoh yang aku rasa agak rasional, aku akan ceraikan kau."

Hancur hati Umairah mendengar kata-kata seorang lelaki bernama suami. Hari pertama pernikahan sudah berbicara tentang cerai. Umairah hanya mampu berdoa agar Tuhan kuatkan hatinya untuk melayari bahtera perkahwinan ini. Semua ini sangat pahit untuk dihadam.

Tengku Mikael fokus pada pemanduan. Dia hanya mencebik apabila terdengar esakan tangisan Umairah. Dia tidak kisah dengan apa yang bakal berlaku. Selagi statusnya tidak diketahui, selagi itulah kehidupan yang akan berjalan seperti biasa. Tiada sesiapapun boleh menyekat cara hidupnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience