14 : Putus Harapan

Romance Series 18456

MIKAEL terjaga dari tidurnya yang dirasakan sangat lama. Belakang lehernya diurut perlahan. Matanya juga terasa kabur sahaja. Keadaan di sekeliling sangat asing baginya. Tangannya pantas menggosok mata sehingga jelas. Terkejut dia melihat Fawwaz sedang berdiri memeluk tubuh di hujung katilnya.

"Aku kat mana?" soal Mikael bingung.

Fawwaz menjawab sepatah dengan mengatakan lelaki itu sedang berada di hospital. Mikael segera bangun menyandarkan dirinya pada hujung katil. Tekaknya terasa sangat kering. Entah berapa lama dia sudah tak sedarkan diri agaknya. Sedar akan keadaan sepupunya itu, Fawwaz segera mencapai gelas lalu menuangkan air untuk Mikael.

Air kosong dari gelas diteguk sehingga licin. Terubat sedikit rasa dahaga yang dirasainya sebentar tadi. Mikael menggeleng-geleng kepalanya yang terasa agak berat. Dia baru tersedar akan sesuatu. Pandangannya terus dihalakan ke sekeliling bilik tersebut mencari sesuatu. Tapi dia tidak menjumpai apa yang dicari. Terasa hampa seketika.

"Dia dah pergi jauh dari sini. Tak perlulah kau cari dia lagi," ujar Fawwaz.

Mata Mikael dipejam seketika. Dia dah ingat sekarang. Ya! Dia dah ingat segalanya termasuk apa yang telah dia lakukan pada Umairah beberapa hari lepas.

"Apa yang aku dah buat ni Fawwaz. Aku dah zalimi anak dan isteri aku."

Fawwaz tidak mampu berkata apa-apa. Dia hanya mampu melihat sahaja sepupunya itu meraung mengenang nasib dirinya. Tiada apa yang patut disesali lagi. Umairah sudah buat keputusan untuk pergi jauh dari situ. Nampaknya wanita itu memang sudah nekad kali ini. Dia sudah tidak betah lagi melayan setiap amukan Mikael.

Perlahan-lahan Fawwaz menghampiri katil Mikael lalu mengeluarkan sampul surat dari kocel seluarnya. Mikael segera mencapai sampul surat tersebut lalu mengeluarkan isinya. Tajuk utama surat itu meniti di bibir Mikael. Terketar-ketar tangannya sehingga terlepas surat itu dari pegangan. Dia tak bersalah dalam hal ini. Semua ini berlaku luar dari kawalannya.

"Aku tak mampu halang dia. Umairah harap sangat kau tandatangan surat itu. Selepas kau dah tandatangan, kau boleh serahkan pada aku kembali." Fawwaz menghulurkan sebatang pen kepada Mikael.

Mikael terus menepis tangan Fawwaz kasar. Tak mungkin dia bersetuju dengan semua ini.

"Aku takkan pernah lepaskan Maira. Semua yang berlaku luar kawalan aku. Dia sepatutnya boleh bersabar." Nada suara Mikael sudah meninggi.

Fawwaz hanya tersenyum sinis. Baran Mikael memang tak boleh nak dikawal. Bercakap juga mengikut sedap mulutnya sahaja.

"Sabar kau cakap? Umairah dah bersabar dengan kau lebih dari dua bulan. Mujurlah kau duduk dengan mummy dan daddy kau. Kalau tidak, setiap hari pipi Umairah dihadiahkan dengan penampar kau agaknya."

Ego Mikael seakan tercabar. Dia segera mengambil pen di tangan Fawwaz lalu menurunkan tandatangan di surat permohonan cerai itu. Jika itu yang dimahukan oleh Umairah, dia akan bersetuju sahaja.

"Kau cakap dengan dia. Aku akan tuntut Azrael dan Airina," pesan Mikael.

"Aku yakin anak-anak takkan mahu dengan kau lagi."

Fawwaz terus melangkah pergi. Mikael pula sudah mula menjerit menggila di dalam bilik tersebut. Rambutnya yang tidak terurus dicengkam dengan dengan hujung jari. Sepatutnya dia dapat lihat keluarga kecilnya di sisi di saat dia mengingati segalanya. Tapi dia dia dikejutkan dengan suatu perkara pula. Ini memang tak adil baginya.

Tiba-tiba seseorang menepuk tangan lalu melangkah masuk ke dalam bilik itu. Senyuman sinis terukir di bibir Aira yang merah terang itu. Nampaknya makin bertambah senang kerjanya untuk mendapatkan Mikael kali ini.

"Itu isteri yang you banggakan? Isteri yang menuntut cerai dari suaminya yang sakit," sindir Aira.

Memang sengaja Aira memarakkan api kemarahan lelaki di hadapannya itu. Bahu Mikael disentuh dengan hujung jarinya.

"I dah cakap. Maira tu memang perempuan tak baik."

Mikael menepis tangan Aira. Merah matanya menikam bebola mata Aira.

"Kalau betul dia tak baik, kenapa perlu sekarang? Kenapa?"

Aira sudah mula ketawa semahu-mahunya. Nampaknya emosi lelaki ini memang sangat tidak stabil. Mudah sahaja dicucuk dengan fitnah. Buta-buta sahaja dia akan mempercayainya. Manusia kalau tengah marah memang begitu agaknya.

"You ni lemah sangat. Dulu you bukan macam ni. Semua orang kenal siapa Tengku Umar Mikael. Agaknya you kena guna-guna kot."

Setelah menambah api pada lelaki itu, Aira terus meninggal Mikael yang dibayangi dengan pelbagai persoalan. Nampaknya Aira memang perlu berterima kasih pada Umairah kerana memudahkan kerjanya.

*****

UMAIRAH menarik nafas panjang dan mampu merasa lega dengan hidupnya kini. Keputusan yang dibuatnya pada kali ini sudah muktamad. Dia akan lakukan apa sahaja demi anak-anaknya. Cukuplah sekali sahaja dia melihat anak-anaknya dalam keadaan ketakutan begitu. Bukan niatnya untuk membawa diri pergi dari suaminya. Tapi keadaan sangat memaksa dirinya itu.

"Ummi... Ayah, Maira dah kembali ke sini. Dah hampir tujuh tahun Maira tak lawat ummi dan ayah." Tangan Umairah ligat mencabut rumput liar yang tunbuh di atas kubur abinya.

Dia tersenyum memandang Azrael di sisinya yang sibuk mencabut rumput di atas kubur umminya pula. Si kecil Airina pula masih tertidur di pangkuannya.

"Mummy, ini kubur siapa?" soal Azrael polos.

"Ini kubur atok dan nenek. Diorang ibu dan bapa mummy."

Azrael mengangguk. Dia terpandang Umairah yang sedang menadah tangan membaca doa. Serta-merta dia meniru perbuatan Umairah walaupun dia tidak faham apa yang berlaku. Umairah tersenyum memandang Azrael. Dia segera menyuruh anaknya itu membaca surah Al-Fatihah. Lancar sahaja surah itu keluar dari bibir Umairah.

"Maira..." panggil seseorang dari belakang.

Air liur yang ditelan Umairah tiba-tiba terasa pahit. Dia kenal akan suara itu. Suara yang sangat dirinduinya selama bertahun lamanya. Umairah segera bangun sambil memegang erat tangan Azrael. Takut-takut dia mengalihkan pandangan ke arah suara itu.

"Ya Allah Maira." Amzar terus berlari memeluk tubuh adiknya.

Air mata akhirnya tumpah juga. Dia terus menangis semahu-mahunya pada dada abang sulungnya itu. Kali terakhir dia pergi, lelaki inilah yang telah memutuskan pertalian mereka adik-beradik. Mungkin masa yang bertahun telah mengubah hati abangnya itu.

"Maira minta maaf Along. Maira berdosa dengan along, angah dan abang."

"Shh.. along juga salah. Along buang Maira tanpa fikir perasaan Maira.

Beria-ria Amzar mengesat air mata adiknya itu. Syukurlah akhirnya Umairah sudah kembali. Bertahun lamanya dia cuba mencari adiknya itu.Namun langsung tidak berhasil.

"Mana angah?" soal Umairah polos.

Amzar menundukkan kepalanya. Tiba-tiba sahaja dia rasa tidak kuat apabila Umairah bertanya tentang Zarith.

"Mari ikut along dulu." Amzar menarik tangan adiknya ke arah sudut pagar kubur.

Mata Umairah tertancap pada nama yang terukir pada batu nisan itu. Zarith Ishraf Bin Haji Aminudin. Dia terus memandang Amzar meminta penjelasan. Apa yang telah berlaku selama tempoh dia tidak pulang ke kampungnya ini. Perlahan-lahan duduk melutut sambil tangannya mengusap batu nisan tersebut.

"Tiga tahun lepas, ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur. Angah terlibat dalam kemalangan. Sebulan angah koma dan dalam tempoh itu juga along cuba cari Maira. Tapi along tak dapat cari Maira."

Terhinjut-hinjut bahu Umairah menangis. Dahulu dia tak sempat memohon maaf daripada ummi dan ayah. Kini sekali lagi dia tak dapat memohon maaf daripada abangnya, Zarith.

"Angah... Maira dah balik sekarang. Ini anak-anak Maira." Umairah menarik tangan Azrael duduk di sisinya.

Amzar mengusap perlahan belakang adiknya itu. Setelah itu, dia mengajak Umairah pulang ke rumah. Pasti banyak perkara yang telah dilalui oleh Umairah sehingga adiknya itu akhirnya pulang ke sini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience