×dua puluh empat×

Romance Series 18510

"AIZRIL, kau stay dalam kereta dan lakukan apa yang sudah dirancang. Ini tape yang aku berjaya ambil dari rumah Fawwaz. Kalau boleh kau kena hack pintu keselamatan bawah tanah tu secepat mungkin." Mikael mula memberi arahan.

Mikael dan Mark sudah bersedia untuk pecah masuk ke dalam rumah Fawwaz. Apa yang perlu dilakukan cuma tunggu arahan daripada Aizril. Mikael mengaktifkan bluetooth headset miliknya. Mark pula meninjau kawasan sekeliling untuk memastikan Fawwaz tidak berada di persekitaran rumah.

Aizril memberi isyarat tangan bahawa dia sudah berjaya menggodam CCTV dan penggera keselamatan. Mikael mengangguk lalu mula mengatur langkahnya dengan perlahan-lahan. Pistol yang berada di dalam genggaman tangannya dikemaskan. Mark menghampiri pintu belakang rumah Fawwaz. Dia mengeluarkan klip kertas yang tersisip di kolar bajunya kemudian membuka kunci mangga tersebut. Mikael terus bergegas masuk ke dalam rumah apabila pintu terbuka.

"Aku tak nampak kelibat Fawwaz pun. Takkanlah mudah sangat kita masuk dia kan," bisik Mark.

"Fawwaz tu licik. Kita kena berhati-hati. Kita turun ke bawah tanah. Aizril dah bagi isyarat," ujar Mikael.

Mikael menuruni anak tangga ke bawah tanah dengan berhati-hati. Dia menjumpai sebuah pintu kebal dilengkapi sistem keselamatan yang canggih. Sungguh Mikael tidak sangka Fawwaz sebegini cerdik.

"Macam mana nak buka ni. Tak sangka pula photographer ada otak begini," rungut Mark.

"Aku rasa kita kena pecahkan saja pintu ni," ujar Mikael.

Terlopong mulut Mark mendengar kata-kata Mikael. Macam mana nak pecahkan pintu ini? Ini pintu kebal dan bukannya pintu tandas yang boleh disepak begitu sahaja.

"Ke belakang bro," ujar Mikael lalu dia turut sama melangkah ke belakang.

Pistol dihalakan pada pintu tersebut lalu dia melepaskan berdas-das tembakan. Setelah hampir beberapa minit dan banyak menghabiskan peluru, pintu itu mula terbuka. Mikael segera mengangkat pistolnya apabila pintu itu terbuka.

"Mikael," ujar Mark. Mulutnya terlopong melihat keadaan bilik yang agak berselerak itu.

Mikael berlari mendapatkan Fawwaz yang terbaring di tepi katil. Tubuhnya dipenuhi darah. Mark mencapai pistol yang digunakan oleh Fawwaz untuk menembak dirinya. Mikael segera memangku kepala Fawwaz sambil tangannya menekan kesan tembakan pada perut Fawwaz.

"Kenapa kau buat begini Fawwaz. Kau kan cakap best man always win. Tapi aku tak nak menang begini." Mikael menampar-nampar pipi Fawwaz perlahan. Nafas Fawwaz sudah naik turun. Dadanya juga kelihatan berombak.

"Aku sepupu yang tak guna. Maafkan aku Mikael. Aku dah penat dengan semua ini. Kau tahu kan aku ada masalah personaliti. Personaliti aku yang satu lagi bernama Khalish. Dia adalah negatif aku. Aku perlu hapuskan Khalish. Dia tak akan mati jika aku tak mati." Fawwaz mengusap pipi Mikael perlahan.

Mark mendapatkan Azrael yang sedang menangis di atas katil lalu dibawa ke arah Mikael. Mikael mengisyaratkan kepada Mark untuk mendapatkan Aizril. Dia harus selamatkan Fawwaz tidak kira apa yang berlaku. Tidak lama selepas itu, Aizril tegesa-gesa datang sambil membawa peti pertolongan kecemasan.

"Kita ada cara lain untuk hapuskan Khalish. Aku akan bantu kau Fawwaz. Kau kena kuat. Aku akan bantu kau." Mikael segera mengangkat Fawwaz ke atas katil.

Fawwaz menggeleng kepalanya.

"Caranya hanya dengan buatkan aku mati."

"Kau cakap apa ni Fawwaz. Setiap masalah pasti ada penyelesaian. Aku taknak dengar kau cakap pasal mati. Aizril cepat bantu Fawwaz," jerkah Mikael lantang.

"Mark, dapatkan sebekas air panas dan air bersih bersama tuala kecil. Mikael kau tolong sedarkan Fawwaz. Jangan biarkan dia pengsan atau kita akan kehilangan dia," ujar Aizril.

Mikael mengangguk. Dia cuba untuk bercakap-cakap dengan Fawwaz. Tangan Aizril sangat lincah memasang alat bantuan pernafasan. Dia memerhati kadar denyutan nadi Fawwaz pada skrin vital. Kadar oksigen di dalam badan Fawwaz semakin menurun.

"Bro, cepat sedarkan dia. Fawwaz dah makin tak sedar tu. Aku nak keluarkan peluru." Aizril mencapai skalpel lalu membelah kesan tembakan.

Selapis demi selapis lapisan perut dibuka. Peluru itu telah menembusi jauh ke dalam.

Mark kembali dengan barang-barang yang diminta oleh Aizril tadi. Mikael mencapai tuala suam itu lalu mengelap wajah Fawwaz seperti yang lelaki itu selalu lakukan apabila dia mabuk. Mata hitam Fawwaz sudah tidak kelihatan. Pernafasannya melalui rongga hidung berbunyi kuat bagaikan nafasnya tersekat pada kerongkong.

"Aizril, aku rasa dia tak boleh bernafas,"ujar Mikael.

Aizril melekapkan telinganya pada dada Fawwaz. Perlahan-lahan tangannya mengetuk dada lelaki itu. Kepala Fawwaz diangkat sedikit agar mendongak. Aizril segera melakukan CPR. Dada Fawwaz ditumbuk perlahan setelah itu.

"Dia ada masalah paru-paru. Mungkin banyak merokok," ujar Aizril lalu kembali meneruskan kerjanya.

"Fawwaz, kalau kau hidup. Aku janji akan hapuskan Khalish untuk kau. Tapi kau mesti hidup. Kau sepupu terbaik yang aku pernah ada. Kau bagaikan abang aku bro." Mikael mengusap kepala Fawwaz.

Peluru telah berjaya dikeluarkan. Aizril terus menjahit kesan torehan itu. Dia mencapai besen yang berisi air suam lalu merendam beberapa keping kapas. Perlahan-lahan dia mengelap kesan darah di sekitar perut Fawwaz.

Mikael juga membantu Aizril mengelap tubuh Fawwaz. Kasihan dia melihat Fawwaz, semua yang terjadi disebabkan keluarganya juga. Jika nenda tidak khianati atuk Fawwaz dahulu, Khalish tidak akan muncul dalam diri sepupunya itu.

"Keadaan Fawwaz stabil. Kita tunggu beberapa hari lagi untuk lihat perkembangan dia," ujar Aizril.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience