Bab 23

Romance Completed 44291

"Sayang, mari kat ibu."

Dhia Adelia merengek apabila Qeisya mahu mengambilnya.

"Alah, kacau je ibu tu kan sayang?" Ujar Adam sambil mencuit hidung Adelia yang sedang berada dalam dakapannya. Terkekek-kekek anak kecil itu ketawa.

"Takpa ke Adam dukung Adelia tu?" Jujur Qeisya bertanya risau jika Adam lenguh mendukung Adelia yang tiba-tiba menerpa ke arah Adam sebaik saja berjumpa Adam.

Pertemuan kali kedua mereka kali ini merupakan pertemuan yang tidak dirancang. Pertemuan yang bertempat di pasaraya Tesco kali ini ternyata jauh lebih selesa berbanding dengan makan malam mereka yang lepas.

Dari jauh Adam sudah perasan dengan kehadiran Qeisya yang kebetulan sedang membeli barang keperluan dapur. Lalu dengan berbekalkan sedikit keyakinan, dia menegur dan tanpa disangka Adelia tersenyum lalu meminta didukung.

Betapa dahaganya si kecil dengan kasih seorang ayah daripada seorang lelaki ternyata menimbulkan sekelumit rasa simpati. Kasih Adam tumpah apabila melihat dahaganya si anak. Terdetik di hati tentang ketidaksempurnaan hari-hari Adelia sebagai seorang anak yang diyatimkan oleh ayah kandungnya sendiri.

"Adam, Adelia tertidur tu." Tiba-tiba Qeisya bersuara apabila Adam mendiamkan diri. Adelia melentokkan kepalanya di bahu Adam.

"Eh, tadi bukan main lagi tergelak. Tak sampai lima minit lepas tergelak-gelak terus tidur pulak dia ni."

"Dia memang belum tidur siang lagi. Sejak dah dapat kaki ni, dah pandai berjalan, haa sejak tu laa dia susah nak tidur siang. Asyik nak main je."
"Amboi, boleh tahan lasak si kecik ni ye?" Balas Adam sambil tertawa. Mereka berjalan seiring ke arah kaunter.

"Sya dukung Adelia, biar Adam bayarkan." Pelawa Adam namun dengan segera Qeisya menolak lembut.

"Eh, tak apa, Adam tolong dukung Adelia je. Boleh? Qeisya bawak barang, Adam bawak Adelia." Qeisya segera mengeluarkan dompetnya. Tak selesa pula jika Adam yang membayar barang-barangnya. Pantas Qeisya mengambil tempat di hadapan kaunter menyebabkan Adam terpaksa meminggir. Usai membayar, mereka berjalan seiringan menuju ke tempat parking kereta.

"Laa, ni kreta Qeisya rupanya." Ujar Adam tiba-tiba sebaik saja Qeisya membuka pintu kereta Axia Advance miliknya lalu menghidupkan enjin.

"Aah, kenapa? Takat ni je kemampuan Sya." Balas Qeisya merendah diri. Baginya, asalkan berkereta sudah cukup baik. Kecil besar kereta bukanlah satu masalah bagi Qeisya.

"Laa, tu kereta Adam kat sebelah." Adam memuncungkan bibirnya. Menunjuk kedudukan keretanya yang berada betul-betul di sebelah kereta Qeisya.

Qeisya menoleh ke arah yang ditunjukkan. Alahai, boleh pulak letak kereta sebelah menyebelah. Ini kebetulan atau jodoh? Hati Qeisya mula berseloroh sendiri.

"Patutlah Adam semacam kenal je kereta ni tadi tapi tak ingat pulak kat mana pernah nampak." Tambah Adam lagi.

Qeisya membuka pintu kereta di bahagian belakang pula. Adam meletakkan Adelia perlahan-lahan di dalam tempat duduk bayi. Wajah Adelia yang polos kelihatan lena benar tidurnya. Adam tidak mahu jika anak itu tersedar dan terganggu pula lenanya. Sehabis baik dia cuba membuatkan Adelia selesa di tempatnya.

"Thanks Adam sebab dah tolong dukung Adelia. Mesti lenguh lengan Adam kan?" Qeisya pula yang rasa bersalah. Dia sendiri pun boleh lenguh jika terlalu lama mendukung Adelia.

"Alah, Sya. Bukannya berat mana pun Adelia tu." Balas Adam sambil tersenyum. Terasa taman di hati mekar berbunga apabila berdua dengan Qeisya. Terasa mereka bagaikan sebuah keluarga kecil pula apabila berjalan seiringan sebentar tadi.

Qeisya dan Adelia berlalu pergi selepas mengucapkan selamat tinggal. Adam hanya menghantar dengan pandangan matanya saja. Langsung matanya tidak berganjak memandang kereta Qeisya yang semakin jauh meninggalkannya.

Adam membuka pintu kereta dan menghidupkan enjin sebelum menukarkan gear kepada 'D' namun baru saja dia mahu menekan minyak, tiba-tiba dia teringat sesuatu. Tadi dia keluar dari pasaraya Tesco tanpa membeli satu pun keperluannya. Dia hanya masuk dan terserempak dengan Qeisya dan Adelia seterusnya tolong dukung Adelia. Lepas tu terus nak balik sebaik saja Qeisya menghilang dari pandangan.

Adam menepuk dahinya. Tersengih sendiri. Malu dengan diri sendiri. Dia mematikan semula enjin kereta lalu mengatur langkah menuju ke dalam pasaraya semula. Dia masih lagi tersengih. Kalaulah Qeisya tahu, malu besar dia!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience