Bab 58

Romance Completed 44219

"Abang..." Qeisya memandang Adam. Jelas terpancar riak terkejut pada wajahnya.

"Kenapa?" Adam menyoal. Menunggu ungkapan yang seterusnya dari Qeisya.

"Hadif bang... Hadif dah tak ada."

Adam tersentak. Allahu.

"Innalillhiwainnalillahhirajiun." Adam duduk di sisi Qeisya. Kedua-dua mereka terdiam sendiri. Sungguh, kedua-dua mereka mengharapkan yang terbaik untuk Hadif walaupun kisah di antara mereka pahit dan kelat.

"Macam mimpi..." Air mata Qeisya menitik jua. Walaupun tiada sebarang ikatan di antara mereka berdua, namun hatinya tetap pilu. Dia kenal Hadif sekian lama malah sempat berkongsi hidup dengannya walau seketika cuma. Kenangan saat masih bersama membuatkan dadanya sebak apabila dia cuba menerima kenyataan bahawa Hadif sudah pergi. Tak pernah dia menduga begini rupanya pengakhiran hidup Hadif Arfie. Sungguh, kematian itu rahsia Allah.

Adam memeluk bahu Qeisya. Faham apa yang dirasakan Qeisya pada waktu itu. Sedangkan hatinya juga pilu, apatah lagi Qeisya. Ya, Adam bersedih atas berita itu. Dia tidak pernah menyimpan dendam terhadap Hadif malah segala apa yang pernah dilakukan atau diucapkan oleh Hadif, sudah pun  dimaafkan dengan seikhlas hati. Dia percaya Hadif baik orangnya, cuma dia leka dan tersilap langkah. Masakan tidak jika Qeisya pernah jatuh cinta pada dia. Bagi Adam, dia cuma tidak tahu cara yang betul untuk menyelesaikan masalahnya dengan baik. Dia terlalu terbawa-bawa dengan emosi dan kerana itulah dia sering bertindak sesuka hati. Qeisya sendiri pernah bercerita tentang Hadif dan kerana itulah dia yakin bahawa ada kebaikkan yang tersirat pada Hadif.

"Bersiap-siap, sayang. Kita ke sana. Ini kali terakhir Adelia berjumpa ayahnya." Adam sedar, hubungan Adelia dan Hadif tidak dapat diputuskan. Ah, sebenarnya dia sedar setiap kali Hadif hadir memerhatikan mereka. Dia kenal susuk tubuh Hadif. Dia tahu Hadif sering memerhati mereka dari jauh namun sengaja dia buat-buat tak tahu. Dia pernah melontarkan senyumnya pada Hadif namun Hadif cepat-cepat berlalu pergi. Dia juga pernah melambai ke arah Hadif, reaksi yang sama turut diterima. hadif bagaikan tidak mahu mendekat walaupun Adam memanggil. Semakin dipanggil, semakin itu kaki Hadif laju meninggalkan mereka. Akhirnya Adam membiarkan saja Hadif menjadi pemerhati. Mungkin Hadif belum bersedia dan masih memerlukan masa. Tapi kenapa begini akhir cerita?

Qeisya mengangguk. Bersedia untuk bersiap-siap. Ah, kasihan bekas mertuanya. Sudahlah hanya Hadif yang mereka punya, ditinggal pula begini. Entah bagaimana rasa hati Puan Suraya dan Encik Hisyam pada ketika ini. Adelia pula? Ah, boleh dikatakan bahawa dia langsung tiada kenangan indah bersama ayah kandungnya itu namun Qeisya tidak pernah putus harap agar Hadif muncul dalam hidup anak mereka. Namun sayang, apa yang diimpikan tidak menjadi kenyataan.

Usai berkemas, pantas saja mereka sekeluarga masuk ke dalam perut kereta dan terus bergerak untuk menemui Hadif buat kali terakhir. Perjalanan mereka senyap sunyi tanpa sebarang perbualan. Puan Rogayah juga diam seribu bahasa. Entah apa yang bermain di fikirannya. Qeisya pula hanya membuang pandang ke luar tingkap.

Dalam tak sedar kenangan lalu muncul  mengusik jiwanya yang sedang pilu. Saat kali pertama salam perkenalan disambut menjelma semula. Kenangan-kenangan indah yang pernah mereka kongsikan bersama membuatkan air matanya jatuh mencemar wajah. Sedaya upaya dia cuba untuk menyembunyikan air mata. Risau jika Adam tahu betapa suram hati mengenangkan bekas suaminya itu. Ya, mereka pernah berkongsi hidup. Tidak dinafikan dia terkilan hubungan mereka terkubur, namun mengenali Hadif yang dulu berbanding dengan Hadif yang sekarang membuatkan sendu datang tanpa diundang.

"Abang tahu sayang nangis. Tak payah nak menyorok sangat." Adam bersuara. Dia tahu isterinya sedang bersedih. Tidak pula dia cemburu kerana kesedihan itu bukanlah sesuatu yang kita rancang. Adam sendiri pun sedih kerana pengakhiran hidup Hadif tidak berakhir dengan bahagia. Dia sempat mengenali Hadif buat sementara dan kerana itulah hatinya turut pilu. Apatah lagi Qeisya yang sempat berkongsi hidup dengannya.

"Kasihan Hadif, bang..." Ujar Qeisya bersulam sendu.

"Ya, sayang... Maafkan kesalahan dia selama ni, jangan simpan apa-apa dalam hati. Biar dia pergi dengan tenang." tutur Adam tenang.

"Tak sangka... berkali-kali dia cuba membunuh diri gara-gara penyakit yang dihadapinya tapi tewas juga akhirnya. Kasihan betul perjuangan dia berakhir macam ni." Puan Rogayah menyampuk.

Bekas besannya pernah bercerita tentang keadaan Hadif yang semakin lama semakin teruk. Disangkakan tertekan dek rasa bersalah, tak sangka pula makin melarat. Hadif pernah menelan pil tidur berbiji-biji. Saat Puan Suraya menemui Hadif, mulutnya berbuih manakala matanya tertutup rapat. Hati ibu mana yang sanggup menyaksikan semua itu. Jantung bagaikan terhenti berdetak, masa pula bagaikan terhenti bergerak.

Itu cubaan yang pertama, permulaan kepada gangguan mental yang dialaminya. Terselamat kali pertama, muncul pula kali kedua. Akhirnya dia terpaksa mendapatkan rawatan mental daripada hospital bagi mengenal pasti punca berkaitan dengan perubahan Hadif yang sering kali mencederakan diri sendiri. Hidupnya juga tidak sama seperti sebelum ini. Dia seperti sedang mengalami masalah kemurungan yang teruk. Tidak lagi keluar rumah bahkan keluar bilik pun jarang. Disahkan sebagai pesakit Bipolar Type 2 membuatkan Puan Suraya dan Encik Hisyam tersentak. Puan Rogayah turut berkongsi rasa yang sama. Hati ibu miliknya turut merasai perit yang dilalui keluarga itu. Dia sendiri tidak mampu untuk meletakkan dirinya di tempat Puan Suraya dan Encik Hisyam. Membayangkannya saja sudah cukup membuatkan jiwanya runtuh. Ah, tak sanggup!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience