Bab 40

Romance Completed 44291

Pertemuan pertama berlangsung lancar. Gelak tawa Puan Nora dan Puan Rogayah bersilih ganti. Sesekali suara garau Encik Muazzam turut mencelah. Adam saja yang membisu. Tiba-tiba kaku apabila berada di rumah itu.

Matanya melirik ke kiri kanan mencari kelibat Qeisya. Berdebar juga rasa hati kalau Qeisya tiba-tiba muncul lalu menghalaunya keluar. Ya Allah, mana nak letak muka? Datangnya ke mari tanpa pengetahuan Qeisya. Tiada niat untuk berahsia, tapi Puan Rogayah yang menegahnya dari menghubungi Qeisya.

Sebaik saja dia menyuarakan hasrat hati kepada orang tuanya, serta-merta Puan Nora mengatur janji dengan Puan Rogayah. Cepat dan pantas! Tak serupa dia yang lambat bertindak, kalau dibiar agaknya senang-senang Hadif mencantas.

"Tak payah kamu meliar mata, Adam. Qeisya tak ada. Dia di kedai." Tegur Puan Rogayah sambil tersenyum. Adam tersipu sendiri. Puan Nora menampar bahu anak terunanya. Meliar lagi mata tu dalam rumah orang!

"Adam memang ada bercerita tentang Qeisya, tapi itulah... Jalannya tak berapa nak lancar. Qeisya agak dingin kalau Adam bercakap tentang hati dan perasaan." Kata Encik Muazzam yang membawa mereka ke landasan perbincangan yang betul.

"Qeisya tu... Entahlah! Serik kot..." Balas Puan Rogayah bersama keluhan. Jika diingatkan semula, hatinya bagai dirobek sekali lagi. Itu baru dia, apatah lagi kalau Qeisya sendiri. Mungkin sebab tu hati Qeisya serupa batu.

"Qeisya tak percaya Adam. Bukannya Adam tak mencuba, tapi itulah...susah betul nak yakinkan Qeisya." Kata Puan Rogayah lagi.

"Jadi, apa rancangan kita sekarang?" Giliran Puan Nora pula bersuara. Adam pula berdiam diri. Terasa aneh apabila soal hatinya dijadikan topik pada perbincangan ini.

"Kalau ikut rasa hati, kita ikatkan saja anak-anak kita. Tunangkan mereka sebulan dua, lepas tu kahwin." Selamba Puan Rogayah menutur kata.

Wow! Terkejut Adam mendengar cadangan super bernas daripada Puan Rogayah. Selain daripada super bernas, cadangan itu juga super pantas!

"Dari pihak kami tak ada sebarang halangan, malah Adam sendiri pun memang nak sangat dengan Qeisya. Buat apa kita nak tangguhkan benda elok macam ni." Encik Muazzam terus bersetuju tanpa banyak soal.

"Eh,kejap! Betul ke ni? Kita tak perlu tanya Qeisya?" Tiba-tiba Adam menyampuk. Ada satu perasaan aneh muncul sekiranya tuan empunnya badan tidak tahu menahu tentang semua ini. Qeisya perlu tahu! Kahwin bukan satu perkara main-main. Dibuatnya Qeisya tak sudi, malulah dia nanti.

"Tak payah tanya. Kamu cakap saja korang akan bertunang kurang dari tempoh sebulan. Dah lebih dari cukup dah tu. Tak payah banyak sangat tanya kalau dengan Qeisya. Nanti lain ditanya, lain dijawab." Balas Puan Rogayah.

"Eh, tak! Benda ni, rasa macam...betul ke ni? Macam tak serius je?" Bagaikan tak percaya, semudah itu ibu ayahnya dan Puan Rogayah membuat keputusan. Tapi apa yang merisaukan Adam ialah penerimaan Qeisya nanti.

"Apa yang tak seriusnya, Adam? Kalau tak serius, ibu ayah tak datang jumpa Puan Rogayah, bakal mak mertua kamu." Puan Nora bersuara.

Enam pasang mata memandang Adam serentak. Allahu, Adam takut. Pelbagai jenis soalan mula menjengah. Persoalan tentang reaksi Qeisya, penerimaan Qeisya dan paling Adam risau jika Qeisya merasakan dia terlalu memaksa. Risau jika Qeisya sebenarnya memang tak ada sebarang perasaan terhadap dia, namun hanya dia yang terhegeh-hegeh menagih kasih sendiri.

"Adam risaukan reaksi dia. Adam risau kalau dia rasa Adam terlalu menekan, terlalu memaksa." Luah Adam.

"Kalau dari apa yang kamu ceritakan pada ayah, rasanya sudah cukup banyak ruang dan peluang yang kamu berikan pada dia. Sudah cukup banyak hints yang kamu bagi tapi semuanya dia tak pandang. Sudah cukup jelas tentang niat dan perasaan kamu pada dia, tapi dia sengaja tak nampak. Kalau ruang dan peluang sudah sebanyak itu, kamu rasa kamu masih menekan dia ke?"

Adam terdiam mendengarkan kata-kata ayahnya. Ada betul dan benar tapi apakah Qeisya juga akan berfikiran sedemikian? Ah, terlalu mudah bagi orang tua mereka memberi kata putus tanpa mempedulikan tentang kesannya terhadap hubungan mereka yang sudah pun keruh.

" Nanti kamu contact Qeisya, cakap saja kamu dan dia akan bertunang tak lama lagi. Apa pun reaksi dia jangan difikirkan sangat. Kalau tak, sampai bila-bila pun Qeisya masih pada takuk yang sama. Tak berani nak melangkah, masih dengan kisah silam."

Arahan Puan Rogayah untuk dia menghubungi Qeisya diibaratkan batu besar yang diletakkan pada bahunya. Ah, mampukah dia? Setelah hampir sebulan membiarkan Qeisya sendiri, hanya memerhati dari kejauhan tanpa menghubungi Qeisya, agak-agaknya bagaimanakah reaksi Qeisya nanti?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience