Bab 39

Romance Completed 44219

Puan Rogayah melabuh pandang pada Adelia yang tersenyum riang. Sesekali matanya singgah pada lelaki yang duduk di depannya. Satu keluhan dilepaskan. Dia dulu pun bercinta jugak, tapi tidaklah sepayah ini.

"Kenapa?" Tanyanya merujuk kepada maksud keluhan yang dilepaskan oleh Puan Rogayah.

"Berapa lama kamu nak macam ni?" Soal Puan Rogayah.

"Macam ni macam mana?" Tanya Adam.

"Yelah, macam ni! Jangan pura-pura tak faham pulak. Ni haa, kamu dengan Qeisya ni haa... Orang lain bercinta jugak, tapi takde pun sepayah kamu berdua."

Adam tersenyum. "Haa, itulah bezanya kami dengan orang lain. Masalahnya orang lain tu bercinta, tapi kami tak. Tangan ni bertepuk sorang, aunty. Tak berbunyi."

"Sekarang ni kamu berdua saling tak berhubung antara satu sama lain, alih-alih aunty pulak yang kamu call semata-mata nak jumpa Adelia. Kenapa tak call Qeisya?"

Adam diam. Nama Qeisya saja sudah cukup untuk membuatkan hatinya bergetar. Bukannya dia tak mahu, tapi dia sengaja. Biarlah Qeisya merindu, asyik-asyik dia saja yang memula langkah tapi akhirnya disalah tafsir. Niat ikhlas dikatakan dusta.

"Kamu serius dengan Qeisya?" Tanya Puan Rogayah untuk kepastian.

Sekali lagi Adam tersenyum. Sudah acap kali dia ditanya serius atau tak, ikhlas atau sebaliknya. Kalau boleh nak saja dia merakam jawaban dan hanya ulang suara jika ditanya.

"Aunty, kalau orang sana tu sudi, seribu kali hati ini berkehendak." Ringkas saja jawaban Adam.

"Bukannya apa, Adam. Bekas suami Qeisya dulu tu nak kan Qeisya semula. Hari-hari contact Qeisya. Nak memujuk la konon, merayu bagai. Pernah satu hari tu, tak lama selepas korang balik dari Cameron. Duh, berejam dia tunggu Qeisya kat depan pintu rumah."

"Eh, Qeisya nak ke?" Tanya Adam tak senang duduk. Terasa panas sebaik saja nama Hadif disebut-sebut.

"Uiee, kalau Qeisya nak sekali pun, Aunty ikat dia dengan tali tau! Berani dia nak balik semula dengan Hadif? Ni haa, hati ni dah cukup pedih, cukup sakit tengok derita dia dulu. Hidup dah serupa mayat." Tangan Puan Rogayah menekan-nekan dadanya. Menyatakan rasa sakit dan pedih tatkala melihat anaknya hampir gila suatu ketika dahulu.

"Makan tak, minum pun tidak. Anak pun tak diendahnya. Siang malam menangis serupa orang mati laki. Tapi laki dia tak mati lagi masa tu. Masih hidup cuma menggatal dengan perempuan lain. Tinggalkan anak isteri, diceraikan dalam tempoh berpantang selepas berjuang lahirkan benih dia. Ish, panjang pulak umur dia hidup lagi sampai sekarang!" Puan Rogayah masih tidak berhenti membebel.

"Kalau dia dah berubah, Aunty terima?" Soal Adam menguji.

"Kalau dia betul-betul berubah, dia tak akan putuskan pertunangan dia sekarang ni. Qeisya kata Hadif nak tinggalkan tunang dia untuk bersama Qeisya. Maknanya perangai dia yang kallau suka ambil, kalau tak suka buang tu masih ada laa... Tak berubah jauh mana pun lagi tu." Suara Puan Rogayah mengendur. Bayangan wajah Anis mula muncul. Wajah sayu gadis itu tatkala berselisih dengannya ketika di kedai Qeisya.

"Adam, kamu betul nak kan Qeisya?" Tanya Puan Rogayah untuk kesekian kalinya. Kali ini wajahnya lebih serius.

Adam mengangguk. Dia juga serius. Bukannya suka-suka, bukannya main-main.

"Kalau macam tu, bawak mak ayah kamu ke rumah. Kira jadi terus!" Cadang Puan Rogayah.

Dalam diam, hati Adam berbunga. Lampu hijau daripada Puan Rogayah meyakinkan dia bahawa Puan Rogayah mampu menerimanya sebagai menantu namun apabila difikirkan semula tentang penerimaan Qeisya, bunga yang mekar kembali mengucup malu. Orang tak ingin, dia pula yang beria-ria.

"Macam mana penerimaan Qeisya nanti?" Luah Adam.

"Pandailah Aunty uruskan Qeisya. Sekarang ni kalau betul kamu ikhlas nak kan dia, bawak mak ayah kamu jumpa Aunty. Biar kami orang tua-tua uruskan." Ujar Puan Rogayah yakin.

Adelia melemparkan senyum menampakkan beberapa batang gigi putihnya ke arah Puan Rogayah. Seakan-akan memberi satu persetujuan pada cadangannya sebentar tadi. Puan Rogayah tekad, dia kena lakukan sesuatu. Kalau nak tunggu Qeisya, tak bergerak ke mana cinta Adam. Sekadar melukut di tepian gantang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience