Bab 53

Romance Completed 44219

Hadif memecut membelah keheningan pagi. Ah, dia tidak mampu menunggu matahari menyinar kerana perasaan bersalah terus-menerus menghukum dirinya. Malam tadi dia ke rumah sewa Anis. Ternyata terkunci rapat. Aduh, di mana Anis? Semalaman dia cuba menghubungi Anis namun hampa.

Hanya satu tempat yang dia fikirkan, di mana lagi kalau bukan di rumah ibu ayahnya. Hadif tak kisah Anis ada atau tidak, yang penting dia mesti menjenguk. Kalau benar Anis ada, maka berakhirlah pencariannya. Tapi kalau Anis tiada, entah bagaimana harus dia menjelaskan segalanya kepada kedua orang tua Anis. Cincin pertunangan sudah dipulangkan kepada keluarganya namun dia pula sepi tanpa sebarang berita. Memohon maaf pun tidak atas kegagalannya hubungan mereka, malah ada pula kesilapan lain iaitu janin yang sedang membesar di dalam kantung rahim Anis.

Hatinya gelisah. Rasa bersalah semakin menebal. Entah apa khabar Anis sekarang. Pedal minyak ditekan lagi. Dia memecut laju. Kalau boleh dia mahu cepat sampai. Setengah jam kemudian dia sudah pun berada di perkarangan rumah bakal mertuanya. Eh, silap! Bekas bakal mertua. Dia mengerling pada jam tangan, aduh baru pukul 6.30 pagi. Masih terlalu awal tapi...

"Assalammualaikum, ya? Nak cari siapa?" Satu suara menegurnya dari belakang. Hadif menoleh. Siapa pula lelaki itu?

"Waalaikumsalam... Aa.. nak cari... Orang."

"Ya? Siapa namanya?" Fariz menyoal sopan berserta sekuntum senyum dihadiahkan buat pemuda itu. Walaupun hatinya pelik dengan kedatangan pemuda itu yang datang bertandang seawal ini.

"Anis. Nak cari Anis."

"Haa, Anis ada. Encik ni siapa? Kawan dia ke?"

"Bukan... Saya tunang dia."

"Oh, saya suami dia." Ujar Fariz lalu menghulurkan tangan. Secara tak langsung dia tahu siapakah gerangan pemuda itu. Sudah semestinya itulah Hadif yang selalu diceritakan oleh mertuanya. Oh, lelaki itulah empunnya bayi yang sedang dikandung oleh isterinya kini.

Hadif yang kaku dan terkejut dengan berita tersebut tidak mampu untuk menyambut salam yang dihulurkan Fariz. Dunianya terasa kosong tiba-tiba. Sepi yang dia rasakan bagaikan terlalu asing. Seolah-olah hanya ada dia yang sedang berdiri di dunia ini.

"Ayu, ada orang nak jumpa." Suara Fariz yang memanggil Anis membuatkan Hadif kembali berpijak pada dunia nyata.

"Sekejap bang." Sayup saja sahutan itu namun Hadif kenal suara itu sememangnya milik Anis.

Fariz masih lagi tersenyum. Ah, janggal benar rasanya berhadapan dengan Hadif. Hadif pula bagaikan orang yang telah hilang arah. Tergamam, terkaku, terpaku ahh!

"Jemput naik, Hadif. Molek rasanya kita berbual di atas." Fariz menjemput namun Hadif masih membatu.

"Hadif, tak sudi ke? Jangan begitu, mari kita berbincang di atas. Walaupun dia isteri saya sekarang, tapi jangan lupa anak di dalam kandungan dia tu tetap anak kamu." Dia mempelawa lagi.

Kali ini lebih tegas. Fariz sedar hakikat tersebut, dan kerana itulah dia mengajak Hadif untuk naik ke rumah. Kalau boleh, biarlah anak itu kenal ayahnya. Sungguh pun dia sendiri sudah jatuh sayang pada kandungan yang bukan miliknya, namun itu bukan asbab untuk dia merampas dan conquer gelaran ayah untuk dirinya saja. Hakikatnya masih sama, anak itu adalah anak kandung Hadif.

Mendengar saja perihal anaknya, barulah kaki Hadif melangkah. Otaknya masih tidak mampu berfungsi dengan baik. Apatah lagi ditambah dengan persoalan bagaimana lelaki yang sedang berdiri di hadapannya kini boleh menikahi wanitanya sedangkan dia sedar bahawa wanita itu sedang mengandungkan benih lelaki lain.

"Awalnya kita ada tamu..." Kata-kata Anis terhenti sebaik saja memandang Hadif.  Seketika kemudian dia memandang suaminya. Fariz segera mendekat lalu memeluk bahu isterinya sambil berbisik.

"Sudah tiba masanya sayang. Kita mesti berhadapan dengan dia. Jangan risau, abang ada."

Anis melangkah seiring dengan langkah kaki Fariz. Mereka berdua duduk berhadapan Hadif.

"Macam mana kamu berdua..." Hadif mula bersuara.

"Hadif, maafkan Anis."

"Tak, I yang sepatutnya minta maaf. I ingatkan nak perbetulkan semuanya tapi...you dah kahwin? Macam mana dengan anak I? Macam mana you boleh berkahwin dengan lelaki lain sedangkan you tengah kandungkan anak I?"

"You akhiri semua yang pernah ada di antara kita. I bawa diri ke kampung. Hidup rasa tak ada makna. I tak mampu nak tanggung semua. I...pernah...nak bunuh diri. Tak sanggup nak hadap semua kenyataan yang you dumped me."

Fariz mendengar tenang. Ah, apa juga yang dia risaukan. Anis sah miliknya. Dia juga tahu Anis sudah pun memberi hatinya. Dia juga telah berjanji akan menjaga hati Anis sebaik yang mungkin. Biarlah hari ini menjadi pengakhiran buat mereka berdua.

"I harap you akan datang untuk I, paling tidak pun untuk baby ni tapi you sepi. Tak pernah sekali pun you hubungi I. Setiap apa yang I hadap, I tanggung seorang diri. Nasib I baik bila Allah hadirkan Fariz. Dia yang jaga I, berikan I kekuatan untuk teruskan hidup. Sakit pening sepanjang awal kandungan dulu dia yang handle semua. Dia tak pandang pun I kotor walaupun itu hakikatnya."

"Ssshh....siapa kata sayang kotor? Tak baikk." Fariz mencelah lalu memandang isterinya. Anis membalas pandangan itu dengan penuh kasih. Ya Allah, baiknya lelaki itu. Sungguh, martabatnya berada di tempat yang tinggi sejak dia menerima kehadiran Fariz.

"Tapi anak tu..." Hadif menyoal. Dia tak habis fikir macam mana Fariz boleh menerima kehadiran anak yang sedang dikandung oleh Anis.

"Hakikat bahawa itu adalah anak kamu kita tak boleh nak sangkal. Ya, kamu ada hak." Fariz bersuara.

"Cumanya janganlah kamu rampas anak ini. Itu saja yang kami minta. Kamu boleh datang menjenguk kerana kamu ayah kandungnya. Itu tetap tanggungjawab kamu. Jangan lupa. Dia benih kamu, tapi dia anak kami juga."

Hadif terdiam. Ah, tak mampu nak hadam semua. Bagaikan mimpi Anis sudah berkahwin?

"Lahirnya baby ni tak boleh nak di binti atau di bin dengan nama kita. Statusnya tetap tidak sah taraf namun dia tidak sewajarnya dihukum atas kesilapan kita. Dia suci. Dia juga layak untuk merasakan kasih sayang kita sebagai ibu ayahnya."

Sekali lagi Hadif terkelu. Sedangkan anaknya yang sah taraf pun dia tak tunaikan tanggungjawab, apatah lagi anaknya yang satu ini.

"Bukankah haram menikahi wanita hamil?" Hadif menyoal. Sungguh, baginya tindakan Fariz tidak boleh diterima akal.

"Hukum menikahi wanita hamil hasil zina itu adalah sah pada pendapat mazhab Syafie dan Hanafi. Perkara yang haram tidak mengharamkan perkara yang halal." Fariz memberikan sedikit penerangan. Tidak dinafikan ramai yang masih keliru tentang hukum ini. Pernikahan itu sah. Bagaimanapun, haram bagi mereka untuk bersetubuh selagi mana anak itu belum dilahirka kerana Rasullah bersabda Tidaklah halal bagi sesiapa yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya untuk menyiram benih kepada tanaman lelaki lain ( jika wanita itu sedang mengandungkan benih lelaki lain) - Hadis riwayat Abu Daud dan At-Tirmidzi.

Dunia Hadif bagaikan kelam, hilang cahaya dan suram secara tiba-tiba. Dia melabuh pandang sayu pada seraut wajah yang disayang. Hatinya sakit melihat tautan tangan Fariz pada wanita yang dikejarnya. Bukankah sepatutnya Anis miliknya? Bukankah anak di dalam rahim Anis juga milik dia? Tapi kenapa pula Fariz yang berada di sisi mereka?

Qeisya Irdina....

Anis Ayuni....

Dua wanita yang dipuja namun sayang, kedua-duanya bukan milik dia. Kenapa dunia menghukumnya sebegitu? Ini tidak adil!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience