Bab 57

Romance Completed 44291

"Sampai hati you buat I macam ni, Hadif?" Tangisan sayu Anis membuatkan hatinya luluh. Anis, berhentilah menangis.

"Sayang, maafkan I." Hadif cuba untuk mencapai tangan Anis tapi kakinya bagaikan tersekat di pasak bumi. Dia cuba untuk mengangkat kaki, memaksanya untuk melangkah namun hampa.

"You memang tak ada niat untuk halang I pergi,kan?" Anis mula berpaling dan membelakangi dia. Ah, Hadif cemas. Tidak, bukan begitu sayang. Sekali lagi Hadif cuba mengorak langkah namun hasilnya tetap sama. Dia gagal!

Tubuhnya seakan-akan kaku. Kakinya juga keras seperti batu. Seketika kemudian dia sedar bahawa Anis tiada lagi di situ. Dia menoleh mencari kelibat Anis tetapi hampa. Tiba-tiba suasana menjadi gelap. Hadif terkebil-kebil sendiri. Apa yang berlaku?

Tiba-tiba bagaikan sebuah tayangan filem, dia menyaksikan gambaran khas yang muncul di depan ruangan matanya. Senyuman Anis saat kali pertama mereka bertegur sapa, disusuli dengan gelak tawa mereka berdua. Ralit dia menyaksikan tayangan tersebut. Indahnya permulaan kisah mereka. Buat seketika dia turut disulam bahagia. Lupa sebentar pada pencariannya.

Tidak lama kemudian keindahan itu mula dirobek perlahan-lahan apabila tayangan itu memaparkan pula saat dia rakus merenggut kehormatan Anis. Tangisan, jeritan dan rayuan daripada Anis yang sebelum ini bagaikan lagu di telinga kini sedang menyesak dan menyiksanya.

"Stop it!" Hadif menjerit. Kepada siapa dia menjerit, dia sendiri tidak pasti. Apa yang dia tahu, tayangan itu mesti berakhir. Dia sendiri sudah berlinangan air mata. Esak tangis Anis turut mengundang sesal. Hatinya sebal, jiwanya kesal. Dia menangis teresak-esak. Jahatnya dia! Kenapa dia kejam terhadap Anis?

Suasana senyap sunyi seketika. Keadaan gelap semula namun hanya beberapa detik cuma sebelum wajah Qeisya pula yang muncul di tayangan itu. Dialog yang pernah dilafazkan sebagai tanda dia mengakhiri hubungannya dengan Qeisya sebagai suami dan isteri mula bergema berulang kali. Hadif menekup telinganya. Tidak sanggup untuk mendengarnya berkali-kali.

Tidak lama kemudian, muncul pula wajah sedih Qeisya. Dia nampak serabut. Hadif bagaikan tersentak. Qeisya saling tak tumpah seperti zombi. Nampak matanya sembab, kelopak matanya juga bengkak, lingkaran hitam di bawah matanya cukup jelas kelihatan, malah pipinya cengkung. Rambutnya pula dibiarkan begitu saja. Sayup-sayup kedengaran pula tangisan bayi. Semakin lama semakin jelas dan nyaring. Ah, Hadif kenal suara tangisan itu. Qeisya kelihatannya masih membatu. Langsung tak peduli pada suara nyaring yang sedang cuba meraih perhatian.

"Sya, anak kita nangis tu." Hadif bersuara namun Qeisya masih seperti itu.

"Sya, pergilah jenguk Adelia." Sekali lagi dia mencuba.

Dadanya berat menahan rasa. Aduh, nafasnya bagaikan tersekat. Hadif menangis lagi.

"Maafkan ayah, sayang." dia mengucapkannya berkali-kali. Dadanya pula yang terasa sakit mendengar suara tangis anaknya yang tenggelam dalam tangis. Tidak sanggup rasanya dia mendengarnya lagi. Kakinya terasa lemah untuk berdiri lagi. Akhirnya dia tersembam ke bumi. Tidak terdaya dihukum rasa bersalah tanpa henti. Perlahan-lahan matanya tertutup sendiri. Suasana kembali sepi dan gelap.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience