Bab 10

Romance Completed 44219

Kejadian tertukar kek yang lepas menjadi punca kepada keresahan hati Adam. Lagi-lagi kes halau tuan tanah dari tanahnya sendiri. Ah, bila diingat-ingat tak semena-mena wajah Adam kembali merah. Oh tidak, rasa-rasanya ada sesuatu yang bukan biasa-biasa telah tercetus di hati seorang lelaki bernama Adam Ar-Wardi.

Adam tersengih sendiri. Wajah Qeisya yang menahan malu kembali bermain di ruangan matanya. Sungguh, hatinya tercuit. Ah, Adam tak senang duduk. Toleh ke kiri ada wajah Qeisya. Toleh ke kanan pun ada wajah Qeisya. Adam meraup wajahnya. Mata dipejam rapat. Sekali lagi wajah Qeisya muncul. Langsung tidak mahu membiarkan Adam tenang sendiri. Tetap juga mahu memunculkan diri walau dalam kegelapan mata.

Adam jadi tak keruan. Apa yang Adam tahu hatinya seolah-olah meronta untuk bersemuka dengan Qeisya. Adakah ini yang dinamakan cinta?

Ah, tak mungkin! Adam menafikan hatinya.

"Jumpa baru sekali, tak kanlah boleh suka, boleh rindu, boleh cinta bagai?" hati Adam mula berbisik.

Tidak logik baginya hanya kerana satu pertemuan, penangan Qeisya boleh menyebabkan dia tak senang duduk. Tak logik jika apa yang berlaku ke atas dirinya adalah kerana cinta..

"Eh, apa yang tak kena dengan aku ni?" Adam menepuk-nepuk dahinya sendiri. Sedaya-upaya cuba untuk bangun daripada perasaan yang sukar untuk diterjemah. Hati seolah-olah tersangkut terpaut pada gadis kedai kek tersebut.

Dia mundar-mandir sendiri. Sebentar kemudian duduk semula di birai katil. Buat kesekian kali dia meraup wajahnya seraya menghempas tubuhnya.

Terbaring di atas tilam sambil melontarkan pandangannya ke arah siling. Tiba-tiba dia tersenyum sendiri. Buat kesekian kalinya dia mengimbau kembali kejadian yang menjadi titik pertama pertemuannya dengan Qeisya.

"Haa, Qeisya!" laung Encik Muazzam sambil melambai-lambai di muka pintu rumah. Senyuman terukir manis pada wajahnya. Serta-merta Qeisya dan Adam berpaling ke arah Encik Muazzam.

"Sini, mari sini! Haa, Adam kamu ajak Qeisya masuk."

Serta-merta Qeisya memandang Adam semula. Sah! Memang sah lelaki yang sedang tercegat di depannya merupakan penghuni rumah yang kononnya diceroboh oleh Qeisya.

"Aduhai Qeisya, tuan tanah rupanya yang kau halau tadi." bebel Qeisya dalam hati. Khusus ditujukan buat dirinya sendiri.

Tanpa menunggu ajakan Adam, Qeisya melangkah laju ke arah Encik Muazzam. Sebolehnya dia ingin "menghilangkan diri" secepat yang mungkin.

" Eh uncle ade dekat rumah rupanya. Ni haa, saya tak boleh nak lama-lama. Takut huru-hara pulak kedai.. Ni saya bawakan kek coklat untuk uncle. Alaa, sebagai ganti rugi sebab tersilap hari tu." dengan hanya senafas, Qeisya memuntahkan kata-katanya.

"Laa, busy rupanya. Baru ingat nak ajak masuk sembang-sembang. Tak sangka pulak tergesa-gesa nak balik. Buat susah-susah je datang ke rumah uncle hantar kek ni." balas Encik Muazzam.

"Eh, tak susah. Dah saya yang silap jadi saya kenalah tebus." Qeisya tersenyum namun kelat apabila Adam berdiri di sebelah Encik Muazzam secara tiba-tiba. Eh, mana ada tiba-tiba. Dah itu rumah dia, memanglah dia bebas ke sana ke mari.

"Saya minta diri dulu ye? Banyak tempahan hari ni jadi rushing sikit takut tak sempat nak siapkan." Qeisya menipu. Ya, dia menipu.

"Haa, elok-elok jalan tu. Terima kasih ya."

"Sama-sama, uncle. Assalammualaikum."

Adam tersenyum sendiri. Hanya anak matanya yang menghantar Qeisya keluar dari perkarangan rumahnya. Bukannya dia tak tahu Qeisya malu dengan kejadian sebentar tadi. Ketara sangat Qeisya melarikan anak matanya setiap kali Adam memandangnya walhal pada awal pertemuan mereka bukan main lagi Qeisya.

Sejak dari itu hidup Adam jadi tak keruan. Hatinya berdegup pada kadar yang tidak normal setiap kali teringatkan Qeisya. Degupannya pula terlampau kuat sampai terlanggar dinding dada milik Adam.

Adam buntu, jalan apakah yang harus dilaluinya? Kenapa terlampau pantas rasa rindu dan sayang itu muncul untuk gadis kek itu? Sekali lagi Adam tertanya sendiri. Adakah ini yang dinamakan cinta?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience