Bab 1

Romance Completed 44219

"Qeisya Irdina, aku ceraikan engkau dengan talak satu"

Jelas. Cukup jelas lafaz talak yang dimuntahkan oleh suaminya. Qeisya tergamam. Dunia seakan berhenti seketika. Empangan air mata sudah lama pecah. Qeisya terkaku tanpa sebarang kata.

"Mulai dari hari ini, aku lepaskan kau." Sekali lagi Hadif melafazkannya.

"Apa salah saya, bang?" ujar Qeisya perlahan. Berselang sendu.

"Saja. Aku muak! Bosan! Aku tak bahagia dengan perkahwinan kita."

"Abang, kalau ada cacat-celanya hubungan kita sama-samalah kita perbaiki. Saya dah berusaha untuk jadi yang terbaik buat abang!"

"Aku cakap aku dah muak! Aku bosan!"

Sekali lagi Qeisya tergamam. Tenggelam bersama tangis. Sungguh, dia tidak menjangkakan situasi ini. Lebih-lebih lagi hari ini merupakan hari ulang tahun mereka berdua sebagai suami isteri. Bukankah perkahwinan ini terbina atas persetujuan kedua belah pihak? Bukankah perkahwinan ini sesuatu yang mereka idamkan sejak sekian lama?

"Abang, bertahun-tahun kita bercinta... Tapi kenapa hanya setahun usia perkahwinan kita?" luah Qeisya kesal.

"Ish, kau ni memang tak faham lagi ke? Disebabkan dah bertahun-tahun bercinta itulah aku naik muak! Aku bosan! Aku bertahan sampai setahun pun dah cukup baik, kau tahu tak?" balas Hadif sambil merenggut rambut Qeisya. Memaksa agar mata mereka bertentang.

"Abang, sakit..."

"Hei, kau dengar sini baik-baik. Tak payah nak panggil aku abang dah! Aku lepaskan kau. Aku ceraikan kau!" Buat kesekian kalinya Hadif mengulang lafaz cerai.

"Kenapa abang berubah macam ni? Dulu abang janji macam-macam. Abang janji akan lakukan apa saja asalkan rumah tangga kita bahagia. Tapi kenapa sekarang..." belum pun sempat Qeisya selesai bertutur, Hadif segera menepis.

"Manusia boleh berubahlah! Kau lupakan semua janji lapuk aku tu. Sekarang aku dah lepaskan kau, dah tak ada istilah rumah tangga kita dah. Sekarang cuma ada kau dan aku. Bukan kita!"

"Abang, abang ada perempuan lain ke?Kelemahan seorang lelaki adalah perempuan." Qeisya cuba meneka. Dia kenal Hadif sudah bertahun. Percintaan mereka sejak dari bangku sekolah. Dia kenal Hadif! Hadif yang berada di depannya sekarang bukan seperti Hadif yang pernah hadir dalam hidupnya.

Hadif hanya terdiam. Bisu tanpa sebarang jawapan. Hanya jelingan tajam yang dihadiahkan untuk Qeisya. Dalam kebisuan itu, tiba-tiba ada rengekan kecil. Suara rengekan itu datangnya dari buah hati mereka, Dhia Adelia. Bukti cinta mereka selama ini.

Qeisya kembali tersedu dirundung hiba.

"Malangnya nasibmu wahai anak, belum pun sebulan usiamu." Qeisya berbisik sendiri. Dalam hati.

"Aku tak akan tuntut Dhia. Kau belalah dia. Aku nak bebas. Aku baru tahu yang aku tak sedia lagi dengan semua ini. Aku tak sedia punya komitmen yang sebesar ini. Aku akan uruskan perceraian kita. Kau tunggu saja." sebaik saja habis bertutur, Hadif segera mengambil kunci keretanya. Tanpa menoleh dia segera melangkah keluar dari bilik.

Qeisya masih lagi terduduk di birai katil. Deruman enjin kereta Hadif mula kedengaran. Tidak lama kemudian bunyi deruman semakin menghilang.

"Tegarnya hatimu, Hadif Arfie." Qeisya meratap nasib diri. Ditinggalkan suami ketika masih dalam keadaan berpantang. Belum pun hilang penat lelah melahirkan zuriat, dia diceraikan mentah-mentah hanya kerana bosan! Hanya kerana muak! Tak sedia dengan komitmen sebesar ini? Ah, alasan!

Rengekan kecil Dhia Adelia mula berubah menjadi tangisan. Lapar barangkali. Qeisya segera mengendong si kecil Adelia. Ditatapnya wajah itu dalam-dalam, semakin sendu dan pilu hatinya.

Sampainya hatimu, Hadif. Ini anak kau. Kau pergi macam itu saja? Tidakkah kau fikirkan tentang si kecil Adelia?

Qeisya jatuh kasihan akan nasib anaknya. Ayahnya masih bernyawa tapi diyatimkan sendiri oleh si ayah.Tangisan Qeisya dan Adelia mula bergabung. Qeisya hanyut dalam lara.

Hanyut dalam tangisannya sendiri. Qeisya lemah, terasa kaki tidak mampu lagi berdiri. Dia memeluk Adelia yang baru berusia 20 hari. Pelukan yang sangat erat. Seolah-olah memohon agar disalurkan kekuatan kepadanya melalui si kecil Adelia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience