Bab 33

Romance Completed 44291

"Ayah, ibu... Hadif ada benda nak bagitau." Suasana senyap. Puan Suraya dan Encik Hisyam merenung sesama sendiri. Serius benar gelagat Hadif tika ini.

"Hadif rasa... Hadif nak kahwin semula dengan Qeisya." Kata-kata yang dilontarkan disambut baik oleh Puan Suraya. Memang itulah yang dia impikan namun tidak bagi Encik Hisyam.

"Eh, baguslah kalau macam tu! Akhirnya Allah kabulkan doa ibu nak tengok kamu berdua bersama semula. Ibu bukannya apa, kamu dengan Qeisya tu dah ada anak dah pun. Ada baiknya kalau kamu berdua bersama semula." Penuh riang Puan Suraya menyambut hajat hati yang disampaikan Hadif.

"Habis tu? Anis kamu nak campak ke mana?" Soal Encik Hisyam pula. Ya, memang benar selama ini dia mengharapkan agar masih ada jodoh di antara Hadif dan Qeisya namun sebaik saja Hadif dan Anis mengikat tali pertunangan, Encik Hisyam sudah pun mencampakkan harapan itu lalu menggantikan dengan harapan yang baru. Harapan agar Hadif dan Anis bersatu dalam sebuah ikatan perkahwinan, agar hubungan mereka sah di sisi agama dan undang-undang.

"Takpelah, bang. Anis belum sah jadi isteri Hadif lagi. Jadi rasanya tak terlambat lagi kalau nak putuskan hubungan mereka." Puan Suraya bersuara. Hatinya masih lagi teruja.

"Merepek apa kamu ni? Mana budak tu nak letak muka kalau tiba-tiba saja Hadif putuskan pertunangan mereka?"

"Betullah apa yang ibu cakapkan tu, ayah. Hadif tak kisah pun kalau nak putuskan hubungan dengan dia, asalkan Hadif dan Qeisya boleh bersama semula." Balas Hadif pula.

"Jangan nak buat gila. Ayah tak setuju. Dulu Qeisya tu jugaklah yang kau beria tinggalkan demi Anis. Sekarang kau berbalik pula?"

"Abang, sekarang Hadif dah sedar. Tak payahlah awak mengungkit." Puan Suraya tidak senang dengan bantahan yang ditunjukkan.

"Ayah, selepas sekian lama Hadif baru tahu yang dalam hati ni masih ada tempat untuk dia. Sebelum ni Hadif persia-siakan Qeisya. Sekarang Hadif nak baiki semua kesilapan yang pernah Hadif buat. Hadif dihukum rasa bersalah sebab dah sia-siakan hubungan kami dulu. Banyak dosa Hadif pada Qeisya."

Encik Hisyam masih lagi menggelengkan kepalanya.

"Hadif, apa kamu ingat nikah kahwin ni boleh dibuat main ke? Waktu nak kamu pakai, waktu tak nak kamu buang. Begitu? Dulu kamu juga yang nekad sangat ceraikan dia. Masih merah telapak kaki Adelia masa kamu tinggalkan mereka dua beranak. Muka ayah ni jugaklah yang tebal menjenguk cucu ayah, bekas menantu ayah malah bekas mertua kamu masa tu. Mata ayah sendiri yang nampak sakit perit yang Qeisya alami. Cukuplah dulu kamu dah hancurkan hidup dia, janganlah diulang semula perbuatan kamu tu. Ayah merayu."

Puan Suraya tiba-tiba berdiri. Menjeling Encik Hisyam tajam.

"Abang ni dah kenapa? Asyik-asyik bercerita tentang benda yang dah lepas. Benda yang sudah tu buat apa nak kenang. Itu dulu, sekarang Hadif bercerita tentang impian dan niatnya sekarang. Niat Hadif untuk bahagiakan Qeisya, bukannya hancurkan Qeisya seperti dulu."

Hadif mengangguk menyokong ibunya. Terasa menjalar sedikit keyakinan dengan adanya sokongan padu dari Puan Suraya. Anis? Ah, serabut! Segala masalahnya akan hilang jika dia melenyapkan Anis dari hidupnya. Kehidupan baru Hadif harus adanya Qeisya satu-satunya. Tiada lagi watak Anis sebagai perempuan simpanan. Hatinya lebih perit jika melihat Qeisya bersama lelaki lain. Hatinya diserang cemburu yang menggila. Jiwanya tidak dapat menerima andai Qeisya benar-benar tidak lagi mampu untuk dimiliki. Dia harus bertindak sebelum terlambat.

"Anis tahu tentang ni?" Suara Encik Hisyam sedikit mengendur.

"Tak, Hadif dah beberapa harini tak jumpa dia. Hadif nak maklumkan dulu niat Hadif, baru Hadif putuskan dia."

"Dia ada buat salah pada kamu?"

Hadif sekadar menggeleng bagi menjawab soalan Encik Hisyam. Memang benar, Anis langsung tidak membuat onar. Hanya hatinya yang memilih Qeisya. Hanya hatinya yang menyingkirkan Anis dari cartanya lalu menggantikan pemilik asal carta hatinya iaitu Qeisya.

"Habis tu? Apa alasan kamu nak putus dengan dia?"

Sekali lagi Hadif menggeleng. Sumpah, dia tidak tahu apa alasan yang wajar untuk diberikan.
"Alah, susah apa Hadif. Kamu kata je jujur supaya dia tak ganggu kamu dah." Puan Suraya mencelah.

"Gila kerja kamu ni, Hadif. Ikut kamulah, tapi ayah tetap dengan keputusan ayah. Pandai-pandai kamu uruskan sendiri. Tak sanggup nak menebal muka kerana kamu. Pandai-pandai kamu settle sendiri dengan Anis dan keluarga dia. Budak tu bukan anak kucing, ada adat waktu nak ambil dia, kena ada adat waktu pulangkan dia."

Hadif mengeluh perlahan. Sedikit ringan beban yang dirasakan hampir tidak tertanggung di dadanya. Hadif semakin yakin bahawa keputusannya untuk mengahwini semula Qeisya adalah perkara betul.

"Haa, lagi satu ayah nak tanya. Qeisya setuju ke nak kahwin dengan kamu?" Soal Encik Hisyam tiba-tiba.

Hadif menggaru kepalanya yang tidak gatal. Qeisya tidak tahu menahu pun tentang niatnya malah dia yang pandai-pandai mengatur langkah.

"Eh, tak apalah. Ibu yakin Qeisya mesti setuju. Kalau dia sayangkan si kecik tu, ibu pasti dia tak kan membantah. Yelah, Adelia dari kecik tak berbapa. Ibu mana yang sanggup besarkan anaknya tanpa kasih seorang ayah. Ibu yakin Qeisya setuju." Puan Suraya menyampuk.

"Kamu tak tanya Qeisya ke? Kamu yakin dia setuju dengan rancangan gila kamu ni?"

"Ish, abang... Qeisya mesti setuju. Saya yakin."
Encik Hisyam menjeling Puan Suraya. Asyik-asyik dia yang menyampuk padahal Hadif yang ditanya. Puan Suraya yang faham jelingan suaminya terus terdiam. Tersedar tentang ketelanjurannya.

"Hadif akan tanya dia nanti." Balas Hadif perlahan.

Encik Hisyam bangun dari duduk lalu melangkah ke arah bilik. Tidak mahu berlama-lama di situ. Dalam diam dia melahirkan rasa simpati terhadap Anis. Dari mata Anis, dia tahu hanya Hadif satu-satunya yang dia sayang. Sebelum pintu bilik ditutup, Encik Hisyam masih terdengar suara riang isterinya. Ah, dia sesama perempuan pun sanggup hancurkan hati Anis. Menyokong perbuatan anak lelakinya demi mendapatkan Qeisya yang sebelum ini pernah dibuang seperti sampah.

Encik Hisyam mendail nombor Puan Rogayah. Ingin memberi maklum tentang niat Hadif. Tidak mahu turut serta dalam sepakat dua beranak demi mendapatkan Qeisya dan meninggalkan Anis.

"Hadif biar betul?" Itulah reaksi yang diberikan oleh Puan Rogayah. Selepas apa yang dilakukan terhadap Qeisya dulu juga ketika mereka berada di Cameron Highland beberapa hari lepas, tiba-tiba hari ini dia menyuarakan niat untuk memperisterikan semula Qeisya? Tak masuk akal!

"Entahlah. Aku sendiri pun tak pasti apa yang dia fikir. Aku maklumkan awal-awal sebab Su bukan main seronok lagi bila Hadif nak bersama semula dengan Qeisya. Aku bukanlah tak seronok tapi keadaan sekarang dah berbeza. Dah tak sama sebab Hadif ada tunang."

"Qeisya ada cakap kat aku yang Hadif ada datang ke rumah, minta maaf. Tapi Qeisya tak bagi dia masuk. Berejam jugak Hadif tunggu Qeisya tapi Qeisya tak peduli pun. Aku tak rasa ada peluang untuk Hadif kalau tengok dari layanan Qeisya."

"Aku bukan tak suka Qeisya jadi menantu aku, cuma aku tak yakin dengan anak aku tu. Boleh ke dia bahagiakan Qeisya? Boleh ke dia jadi menantu yang baik untuk kau? Kalau dulu dia tu jadi hantu, bukan menantu. Malu aku dengan perangai dia."

"Hadif dah berubah ke, Hisyam?"

Encik Hisyam mengeluh perlahan. Entahlah, dia sendiri pun tak pasti benar atau tidak Hadif sudah berubah.

"Memanglah manusia boleh berubah. Kalau betul pun dia dah berubah, status dia sebagai tunangan orang jadi sebab kenapa aku rasa berat untuk merestui niat dia. Aku nak kau faham, aku bukan suka-suka nak halang mereka berdua tapi itulah... Tunang dia nak campak mana?"

Panjang lebar mereka berdua berbincang namun tetap menemui jalan buntu. Malah makin difikir makin berat rasanya masalah tersebut. Makin dilerai makin ketat juga simpulannya. Puan Rogayah terus membuat kata putus agar dia berbincang terlebih dahulu dengan Qeisya. Sukar untuk membuat keputusan tanpa tahu isi hati sebenar tuan punya badan.

Setelah talian ditamatkan, di sebelah sana Puan Rogayah mengeluh perlahan. Teringat dengan Adam yang beria-ria meminta izin mendekati Qeisya. Adam bukanlah anak orang berada seperti Hadif, kerjanya cuma sebagai pendidik namun kaya budi dan bahasanya enak didengar telinga. Hati keibuannya tertarik pada Adam.

Namun panggilan telefon Adam beberapa hari yang lepas membuatkan dia agak risau. Ya, dia risau dengan perkembangan hubungan Adam dan Qeisya. Keras juga hati Qeisya untuk menerima Adam walaupun Adam langsung tidak menyorokkan perasaannya terhadap Qeisya. Tak mungkin Qeisya tak tahu tentang niat Adam yang mahu serius dengannya.

"Kamu putus asa ke, Adam?"

"Terkilan, tapi belum lagi putus asa. Tapi itulah, dah tak tahu nak jelaskan macam mana. Adam syaangkan dia ikhlas, bukan sebab kesian ke, simpati ke apa semua tu. Tapi Qeisya tetap sama. Rindu Adelia tapi Qeisya tak faham. Tak tahu macam mana nak buat dia faham."

"Korang dua selalu keluar bersama, tak kan Qeisya tak ada perasaan apa-apa kat kamu? Sepanjang kamu keluar tu, tak kan Qeisya tak bagi hint apa-apa?"

Kedengaran gelak kecil Adam di hujung talian.

"Langsung tak. Rasanya Adam ni dah kena friendzone kot. Sekadar kawan, tapi Adam ikhlas nak memperisterikan dia." Adam berkata jujur. Tiada lagi istilah kekok atau segan ketika berbual dengan Puan Rogayah. Bagi Adam, Puan Rogayah sangat sporting. Walaupun begitu, Adam langsung tidak pernah mengambil kesempatan atas kelonggaran yang Puan Rogayah berikan. Nak keluar dengan Qeisya? Silakan. Syaratnya cuma satu, jangan apa-apakan Qeisya sama ada zahir atau batin.

"Nantilah aunty cuba korek-korek sikit rahsia hati dia. Kamu bersabarlah dulu." Balas Puan Rogayah walaupun dia sendiri tak tahu bagaimana untuk melakukannya.

"Kalau betul Adam ada di zon 'sekadar kawan', nampak gayanya tak ada peluanglah nak jadi menantu aunty." Bersulam tawa, Adam menutur kata. Tidak mahu terlalu jelas kecewa namun sebenarnya kekecewaan hati Adam tampak sangat jelas dalam setiap tutur katanya.

Puan Rogayah melepaskan satu lagi keluhan namun tidak mengurang sebarang beban. Eh, banyak pula yang nak kan Qeisya, bukannya dia artis pun tapi dua orang sekaligus nak kan dia. Alahai anak, Puan Rogayah menutup kedai awal hari itu. Sudah beberapa hari dia yang mencemar duli sementara Qeisya berehat di rumah. Kurang sihat katanya. Alah, kurang sihat batin. Kepala serabut, jiwa celaru. Haa, begitulah jadinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience