Bab 48

Romance Completed 44219

Dua pasang mata merenungnya sayu. Melihatkan adanya titisan air mata yang gugur dari tubir mata tua itu membuatkan Anis semakin bersalah. Dia tahu, dialah harapan keluarga namun kepulangannya pada kali ini menghancurkan segala impian.

"Mak, Ayu minta maaf. Tolong jangan buang Ayu mak." Hanya insan terdekat saja yang akan memanggilnya Ayu dan kerana itulah dia melutut merayu memohon keampunan

"Mana mak nak letak muka? Apa kata orang nanti Ayu?" Sayu suara Puan Marina menutur kata.

"Malu kita tak payah nak cerita, anak kita memang salah tapi pihak sebelah sana elok sangat lepas tangan. Dah buat anak kita mengandung, senang-senang dia putuskan hubungan dengan Ayu. Dulu masa nak bertunang, bukan main lagi." Dengan nada terkilan Encik Aziz pula bersuara.

Nak dimarah atau dihukum Anis pun apalah gunanya. Benda dah jadi, kalau diturut rasa hati entah-entah boleh jadi arwah Anis dikerjakan tapi apabila mengenang adanya nyawa lain yang sedang menumpang di dalam rahim anak sulungnya itu, dia terpaksa tenangkan diri.

Marah? Mak ayah mana yang tak marah. Anak dah dididik sehabis baik, ilmu dunia akhirat sudah dibekal tapi jalan yang salah juga jadi pilihan. Bila dah mendapat baru nak menyesal. Hatinya sebagai seorang ayah bagaikan dicincang saat mendengar pengakuan Anis. Cerita tentang bagaimana segalanya bermula. Anaknya diragut kehormatan! Anaknya ditipu mengenai status Hadif pada awal perkenalan mereka. Tidak mahu di anggap perampas, Anis nekad meninggalkan Hadif namun ternyata tindakan nekad itu membawa bencana. Malangnya Anis percaya pada janji yang ditabur, Anis mengikut rentak Hadif hanya kerana tidak mahu lelaki lain mendapat sisa namun apa yang dia dapat sekarang? Tetap juga dia ditinggal sendiri! Lebih parah dengan adanya benih daripada si durjana.

"Abah jaga Ayu dengan baik. Segala pakai makan Abah jaga, Mak ajar mana elok mana yang tak. Tinggi harapan kami tapi lelaki tu... Allah, hancur hati Abah bila fikirkan balik tentang si Hadif tu." Encik Aziz melepaskan satu keluhan berat. Masalah anaknya ini bukannya biasa-biasa. Silap-silap orang luar akan menuduh dia dan isteri tak reti nak jaga anak dara. Siapa nak percaya yang mereka dah berikan yang terbaik kalau dah sah-sah anak mereka membusung sebelum bersuami?

"Kamu kena minta dia jadikan kamu sebagai isteri dia, Ayu. Lagi cepat lagi bagus!" Ujar Puan Marina. Baginya hanya itu jalan penyelesaian. Lagi cepat lagi bagus sementara perut Anis masih belum membuncit. Asalkan sebelum jiran sebelah-menyebelah mula bersuara.

"Eh, dah hilang akal ke nak serahkan anak kita macam tu? Orang tak hendak, kita terhegeh-hegeh?" Encik Aziz membantah. Baginya itu bukanlah satu jalan penyelesaian sebaliknya satu permulaan kepada derita yang bakal ditanggung oleh Anis. Kalau sebelum kahwin pun Hadif lepas tangan, apa lagi kalau dah berumah tangga esok lusa. Makan entah minum si Anis jangan-jangan Hadif tak ambil peduli.

"Habis tu? Tak kan abang nak biarkan anak kita usung perut dia ke hulu-hilir? Mata jiran kiri kanan kita ni bukannya buta, bang! Malu kita nanti."

"Malu kita yang awak fikirkan? Nasib anak kita kalau betul dia kahwin dengan Hadif tu nanti awak tak fikir ke, Rina?"

"Abang...ini jalan terbaik. Kita pastikan Hadif bertanggungjawab atas perbuatan dia. Dia kena kahwin dengan Ayu."

"Kahwin bukan perkara main-main, Rina. Hadif buang Ayu macam sampah. Dia bukannya tak tahu Ayu tengah bawa benih dia tapi dia tak kisah pun. Orang macam tu tak kenal erti tanggungjawab. Kalau dia kenal, mesti dia dah datang untuk jumpa kita. Ini tak, sibuk terkejar-kejar dengan bekas isteri tapi bakal isteri tak diendah."

"Habis tu?" Puan Marina cuba bersabar. Menunggu cadangan dari suaminya.

"Kita jaga Ayu. Walau apa pun, dia tetap anak kita. Apa yang akan berlaku di hari muka, kita hadap sama-sama."

Puan Marina terkejut. Baginya itu sama seperti mengundang masalah.

"Allah... Abang! Tak masuk akal!" Puan Marina menggaru kepalanya yang tidak gatal.

"Rina, kita dah jaga Ayu sehabis baik. Buktinya dia datang jumpa kita, bercerita dari A sampai Z. Dia tak lari dari masalah atau pun paling mudah dia boleh je gugurkan kandungan dia. Abang percaya kalau dia nak sorokkan dari kita, boleh je sorokkan. Dia boleh gugurkan kandungan dia dan datang jumpa kita selepas semuanya reda tapi tak...dia datang sendiri." Ujar Encik Aziz sambil memandang isterinya. Dia cuba untuk meyakinkan isterinya bahawa mereka sudah pun berusaha sehabis baik dalam mendidik anak-anak. Jalan yang Ayu pilih bukanlah kerana kegagalan mereka.

"Ayu, selagi Abah masih ada Insya-Allah abah akan sentiasa ada untuk Ayu. Sakit hati Abah bila orang luar senang-senang buat anak Abah macam ni." Sambungnya lagi.

Anis menerpa ke arah Encik Aziz. Dia memeluk erat tubuh lelaki itu. Tangisnya memenuhi ruang. Adik kembarnya yang menyorok di sebalik dinding yang memisahkan ruang tamu dan dapur turut menitiskan air mata. Sungguh, tindakan mulia abahnya benar-benar mengusik jiwa lelaki mereka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience