BAB 35

Humor Completed 411630

“Ceritakan!” Arahan bapak umpama halilintar memanah sekujur tubuh Lisa Alana. Terus tertelan segumpal air liur.

Lapan pasang mata kini sedang berbalas pandangan, semuanya duduk berkumpul di ruang tamu atas arahan bapak. Tiada yang berani bersuara termasuk Haraees Reza yang jelas masih kebingungan. Mujur juga lelaki itu tak banyak songeh, keletihan agaknya.

“Nak ceritakan apa bapak? Dah penat dah Lana bagitahu tadi kan, Lana datang dengan boss Lana ni, tuan Haraees Reza. Kebetulan lawat site berhampiran, jadi Lana terus ajak boss Lana ni singgah kat sini. Tu je. Bapak janganlah fikir yang bukan-bukan.” Lana sedar Haraees mengerling tajam tapi dia kisah apa, bapak lebih menakutkan!

“Habis tu, kau tinggalkan laki kau seorang diri dekat bandar tu?” Bersungguh-sungguh nampaknya bapak mahu memenangkan menantu tak guna dia tu. Kalau saja bapak tahu apa yang dah dilakukan oleh Ryu Rozzan…

“Ryu kerja bapak!” Kali ini terangkat kepala Haraees, merenung Lana dengan riak wajah tidak percaya. Nasib baik mulut lelaki itu masih terkunci rapat.

“Dia tahu tak yang kau datang ke sini dengan lelaki lain?”

Lana ketap bibir. Sebak mulai menguasai. Wajah terus tunduk menekur lantai. Tidak mahu bapak lihat perubahan wajahnya.

“Lana! Kau gaduh dengan laki kau ke?!” Suara bapak naik seoktaf.

Orang tua, pengalaman berkepuk-kepuk, lebih dulu makan garam…Dengan mudah dapat meneka realiti yang cuba disembunyikan! Lana genggam hujung blouse yang dipakai, cuba sedaya upaya menahan diri dari dikuasai hiba.

“Jangan risau pakcik, Ryu tahu. Lagipun, projek ni adalah hasil kerjasama dengan syarikat Ryu. Tiada istilah gaduh pakcik, Lana pembantu saya jadi Ryu faham yang Lana kena sentiasa menemani saya ketika bekerja.” Haraees tiba-tiba bersuara, menyelamatkan suasana yang mulai tegang.

“Anak muda, siapa namamu?”

“Haraees Reza pakcik, panggil Raees je.” Wajah Haraees kelihatan tenang ketika menjawab, walaupun panahan mata helang bapak menusuk tajam, hampir memutuskan tangkai jantung.

“Raees...Hmm… Dah kahwin?” Aduh bapak! Merisik untuk siapa tu? Bapak dah takde anak dara lagi untuk dikahwinkan!

“Belum pakcik.” Haraees jawab mahu tak mahu je.

“Belum? Sayang sungguh tau. Dah tua-tua gini ni tak kahwin-kahwin!”

Lana buang wajah, segan dengar kata-kata tak bertapis bapak! Kejap lagi kalau dibiarkan, keluarlah carutan ntah apa-apa bapak…huhu…Tak sanggup nak dengar! Haraees berdehem perlahan. Panas pula telinga dengar sindiran Pak Samad.

Haraees bingkas bangun. Lana memandang panik. Mampuslah kali ni. Gorilla tu dah mengamuk ke apa? Dahlah bapak ni jenis pantang dicabar.

“Pakcik jangan risau, saya bahagia dengan cara hidup saya setakat ni. Kalau takde apa-apa lagi saya pergi dulu.”

Lana terus membuang nafas lega. Bapak pula bergegas bangun lalu mengekori Haraees yang sudah mula buka langkah.

“Raees…” Panggil bapak. Suara lebih lembut. Menegak cuping telinga Lana. Aduh…Apa lagi bapak nak buat ni? Haraees berhenti lalu menoleh.

“Macam ni…” Bapak merapat lalu cuba memaut bahu Haraees supaya nampak lebih mesra gitu. Malangnya ketinggian bapak tak cukup, sampai sanggup berjengket gara-gara mahu menyaingi ketinggian Haraees. Kelu lidah melihat perangai bapak!

“Kau punya syarikat besar kan? Pasti punya hubungan baik dengan syarikat lain kan? Hurm… Pakcik bukan apa, sekarang ni sawit pakcik tu tak seberapa hasilnya pasal kurang baja. Baja sawit sekarang melampau mahalnya, cekik darah! Ni… Boleh tolong pakcik tak?”

Lana yang sedari tadi memasang telinga bingkas bangun sambil berbalas pandangan dengan emak. Bapak ni kan…Argh! Stress!!!

“Bapak…! Boss Lana sibuk tu, nanti bapak cerita kat Lana je.” Entah dari mana keberanian diperolehi, badan Haraees Lana tolak menuju ke pintu. Haraees menjeling sebal.

“Eh, nantilah dulu. Bagilah Raees rehat lama sikit. Dahlah jauh perjalanan tadi. Meh duduk dulu Raees, temankan pakcik berbual kosong. Korang berdua… Pergi masak! Masak tu bagi special sikit tau, macam makanan kenduri…Cepat sikit!”

Lana berbalas pandangan dengan emak. Bapak ni kan… Bila bapak membeliakkan mata pada Lana dan emak, tak tunggu lama emak tarik tangan Lana untuk beredar dari situ. Berat sungguh hati mahu tinggalkan Haraees dengan bapak.

Sambil sibuk menyiapkan juadah, kepala terjengah-jengah di pintu dapur mahu mengintai. Semua pekerjaan dibuat separuh hati kerana fikiran dan hati bukan berada di situ sebenarnya. Lana benar-benar gusar. Siapa tak kenal Pak Samad? Di mana dia harus sembunyikan wajah kalau misalnya bapak mencarut depan Haraees? Emak yang menyedari kelakuan Lana menyenggol lengan Lana dengan kuat.

“Kau kenapa ni Lana? Mak tengok gelisah saja dari tadi. Kau dengan lelaki tampan tu…Ada apa-apa ke?”

“Eh mak ni! Ke situ pula. Lana cuma risau mak, bapak tu…”

“Nak buat macamana lagi, bapak kau tu memang orang tua tak tahu malu. Benci betul mak dengan perangai orang tua tu! Ni, kau tau tak laki kau ajar bapak kau guna benda alah tu… Apa namanya? Tula, yang cecair dalam botol tu…Err…Dopex… Detox…Ehh tak ingatlah nama botol tu!”

Hampir terlopong Lana mendengarnya. Bola mata emak ditenung dalam-dalam.

“Cecair apa mak?” Berdebar-debar hati. Apa Ryu Rozzan dah buat dekat bapak?

“Laa..Yang bagi licin masa hubungan intim tu Lana. Laki kau tak cerita ke? Kali terakhir korang datang tu, masa bapak kau hilang… Laki kau jumpa bapak kau dan bagi benda tu!”

Mulai faham, terus merah padam wajah Lana. Kurang asam betul Ryu Rozzan! Patutlah bukan main berseri-seri wajah bapak berbanding kali terakhir mereka berjumpa.

“Maaf mak, Lana betul-betul tak tahu. Nanti Lana marah Ryu ya.”

“Eh, nak marah buat apa? Laki kau tak salah. Mak ni cuma geram dengan orang tua tak sedar diri tu, asyik perasan yang dia masih muda Lana oii! Tak tahan mak nak layan.”

“Mak…Tukar topik please, seram Lana dengar tau.” Cepat-cepat Lana melabuhkan tirai pada cerita emak, tak sanggup mahu dengar lebih banyak.

“Sebenarnya ada kebaikan Lana, bapak kau sekarang dah kurang melepak dekat warung dah. Abis kerja terus balik rumah. Semua kerana usaha laki kau tu, sampaikan ucapan terima kasih mak pada laki kau nanti tau.”

Lana tenung emak buat seketika. Terfikir tentang diri sendiri dan Ryu Rozzan. Hati merintih hiba… Adakah disebabkan ikatan tanpa hubungan intim hingga Ryu sanggup berzina dengan Qarlisa?

“Mak…” Emak melarikan pandangan dari periuk lalu menatap Lana.

“Penting sangatkah hubungan intim pada pasangan suami isteri?”

Emak menarik nafas. Diam sebentar.

“Sangat penting Lana. Lihat saja bapak kau tu, semakin tua semakin miang! Hubungan intim tu yang sebenarnya menguatkan rasa cinta dan mengikat perhubungan suami isteri. Nak tundukkan suami senang je Lana. Buka je semuanya!”

Omg! Emak pun dah terjangkit dengan bapak ke apa ni? Lana tenung mak dengan mata tak berkelip, masih tak percaya mak yang selalu kelihatan lebih tertib dan menjaga pertuturan akan berkata seperti itu.

“Mak!”

“Kau ada masalah dengan laki kau tu kan? Dari mula kau muncul mak dah dapat baca melalui air muka kau Lana. Korang gaduh pasal apa? Kau tak bagi nafkah batin secukupnya dekat laki kau tu ke?”

Lana renung mak dengan mata berkaca-kaca. Sesungguhnya emaklah yang paling memahami di dunia. Tak perlu bagitahu, naluri seorang ibu pasti dapat menabrak dengan tepat.

“Mak…” Lana hilang kata, hanya air mata merembes laju, mencerminkan tentang keadaan jiwanya saat itu.

“Lana…” Emak datang merapat lalu memeluk Lana.

“Mak…Maafkan Lana… Perkahwinan Lana… Mungkin tak mampu Lana pertahankan.” Esakan mulai kedengaran. Terasa tangan emak mengusap-usap lembut belakang Lana.

“Mak tak kisah Lana. Kau yang melaluinya, jadi mak yakin kau pasti tahu apa yang terbaik. Jangan kisahkan mulut orang kampung ya. Nanti adalah tu yang kata keluarga kita ketulahanlah, kau kena badilah, itulah… inilah! Mak dah biasa, kau tu kena kuat tau. Mak sayangkan kau Lana, mak selalu doa yang terbaik buat anak-anak mak.” Tangisan makin pula menjadi-jadi bila dengar kata-kata emak.

“Maknyaaa!!! Dah siap masak ke? Ni, tetamu dah nak gerak ni!” Pantas emak tolak tubuh Lana lalu dikesat air mata di pipi Lana hingga kering.

“Dah Lana… Jangan nangis, jangan bagi bapak kau nampak air mata tu. Payah mak nanti kalau bapak kau lari ke bandar naik motor buruk dia tu semata-mata mahu ajar laki kau.” Mendengar kata-kata emak, Lana pantas menyembunyikan wajah lalu buat-buat sibuk bila menyedari bapak sudah terpacak di muka pintu dapur.

“Lahai…Tak siap-siap lagi ke? Nilah perangai perempuan, suka sangat membawang…Asyik pot pet pot pet, macamana kerja tu nak selesai?! Orang dah lapar kena serang gastrik tunggu sejak tadi!” Muncul-muncul terus membebel panjang lebar, panas telinga!

“Dah siap dah bapaknya, tinggal hidang je lagi. Dari bapaknya bazir air liur dekat situ, lebih baik tolong angkat pinggan mangkuk ni bawa ke ruang makan tu. Nah, ambik ni!”

Terperangah Pak Samad bila emak angkat pinggan mangkuk yang telah siap disusun secara bertingkat itu lalu didekatkan di dada Pak Samad. Terus tersenyum simpul bila terhidu masakan lemak cili api yang sedang Lana senduk ke pinggan lauk.

Ketika keluar dan menyusun hidangan di atas tikar mengkuang di ruang makan, bola mata sempat melirik ke arah Haraees Reza yang masih berada di ruang tamu, sedang sibuk bercakap dengan seseorang di dalam telefon.

Menyedari diri sedang diperhatikan, Haraees menoleh. Bola mata mereka bertaut.

“Raees! Jemputlah makan dulu sebelum balik. Masakan kampung je, tapi masakan isteri saya dan anak perempuan saya ni memang tiptop tau, kau takkan jumpa dekat mana-mana restoran!”

Haraees bingkas bangun selepas menamatkan panggilan lalu melangkah menghampiri mereka. Punggung dilabuhkan di sebelah bapak. Masing-masing mulai diam bila menyantap makanan. Bapak memang tak suka berbual ketika makan, susah nak cerna makanan yang masuk ke dalam perut katanya.

Selesai makan dan mengemas, Lana masuk ke ruang tamu. Haraees Reza sudah mula bersiap-siap mahu pergi. Bapak siap tawar diri mahu hantar sampai ke kereta lagi. Melihat Lana hanya memerhati di muka pintu, bapak memandang hairan.

“Kau tak ikut ke Lana?” Ada curiga pada pertanyaan bapak. Laju kepala tergeleng.

“Lana cuti seminggu pak.” Memandai je, tapi dia dah tak kisah. Diberhentikan kerja pun dia sanggup je buat masa sekarang.

“Habis tu kau nak biarkan laki kau sorang-sorang kat bandar tu ke?”

“Taulah dia cari bila dia senang nanti pak, Lana nak masuk berehat pak. Letih.” Tak tunggu jawapan bapak, kaki diatur laju menuju ke bilik.

Semalaman dihabiskan untuk tidur. Bangun pagi lalu bergegas membantu emak di dapur. Bapak dan emak biasanya jalan ke kebun selepas semua adik-adik Lana ke sekolah. Usai bersarapan, Lana masuk ke bilik dan menukar pakaian. Dia bercadang mahu ikut ke kebun. Lana menunggang basikal manakala emak dan bapak menaiki motosikal.

Bendang sawah emak taklah sebesar mana, mungkin hanya setengah ekar. Terbentang cantik kekuning-kuningan kerana buah padi hampir masak dan boleh dituai. Mereka membuang rumput kemudian menaburkan racun serangga perosak seperti siput gondang emas.

Selain serangga perosak, burung juga merupakan ancaman utama bagi pesawah. Macam-macam usaha yang dilakukan seperti memasang orang-orang dari jerami padi dan merentang tali yang dipenuhi susunan plastik untuk menakut-nakutkan burung.

Lana duduk di bawah sepohon pokok kelapa yang agak rimbun sambil memerhati emak dan bapak merentangkan tali yang digantung plastik-plastik bagi tujuan menakutkan burung.

“Lana? Lisa Alana kan?” Kepala laju terpusing ke arah belakang.

“Hah..Betullah! Dari tadi aku perhati kau, takut salah orang! Apa khabar Lana?” Lana tekun memerhati, dari atas ke bawah. Mengerah otak untuk mengingati.

“Kau…Seroja anak pak haji Salleh kan?” Gadis bertudung labuh itu mengangguk sambil tersenyum lebar. Menghampiri lalu ikut duduk di sebelah Lana.

“Kau dah kahwin rupanya. Dah berapa bulan?” Muncung Lana diarah ke perut Seroja. Tersipu-sipu Seroja.

“Dah masuk tujuh bulan dah.”

“Oh…” Terangguk-angguk kepala Lana.

“Bila kahwin?” Sekadar berbasa basi. Lana bukannya rapat sangat dengan Seroja sebenarnya. Mereka berdua pernah bermasam muka di zaman persekolahan gara-gara Aizaff Nafees.

“Hujung tahun lalu. Permintaan keluarga suami, buat kecil-kecilan saja.” Lana angguk lagi. Pasti suami pilihan Seroja ni warak seperti dia. Lana tenung diri sendiri, rasa segan pula berada di sisi Seroja. Dahlah tak berhijab, baju lengan panjang siap disinsing hingga ke paras atas siku.

“Suami orang mana?” Eh, macam penyiasat pula. Lana bukan berminat nak tahu sebenarnya, cuma malas nak fikirkan topik perbualan, dia sebut je apa yang terlintas dalam fikiran.

“Orang sini jugak. Saya dengar sekarang menetap di bandar bersama suami? Macamana kehidupan bandar? Kesiannya saya, tak pernah keluar dari kampung ni. Tak tahu macamana kehidupan di luar sana.”

“Biasa je Seroja, takde istimewanya. Sesak! Penat! Dikelilingi manusia penipu, tak setia, tak…Err…takde hehe…” Lana gosok belakang tengkuk sambil tergelak sumbing. Bukan sengaja!

“Aku dengar kau akan bercerai dengan suami kau kerana korang saling tak mencintai…”

Terpempan sekejap Lana! Berkerut dahi merenung wajah Seroja yang kelihatan sangat tenang ketika itu.

“Dari mana kau dengar berita mengarut itu Seroja?” Hati sedikit memanas. Tak sangka cerita mengarut tentangnya dijaja di kampung. Ini tak lain tak bukan pasti kerja persatuan bawangrian yang diketuai oleh Mak Aizaff!

“Suami aku dah ceritakan semuanya pada aku Lana. Dia juga meminta persetujuan aku supaya membenarkan dia menikahi kau selepas kau diceraikan. Aku nak kau tahu, aku ikhlas menerima kau sebagai madu aku. Aku bersama korang sejak kecil, aku juga jadi saksi kisah cinta korang berdua. Aku tahu, dia tidak pernah cintakan aku dan terpaksa terima aku atas desakan keluarganya.” Lana bingkas berdiri. Dada rasa mahu meletup saat itu!

“Dia akui yang korang berdua masih saling mencintai. Aku… Takkan halang Lana. Asal kelak dia tahu menjalankan tanggungjawab dengan adil, itu sudah mencukupi bagi aku.”

Wajah diraup beberapa kali. Lana langsung tak faham, Seroja cakap apa ni? Gilake dia bercinta dengan laki orang?

“Siapa maksud kau Seroja? Aizaff? Zaff ke suami kau?” Hampir pitam bila lihat Seroja mengangguk perlahan.

Argghh!!!

Dah kahwin sejak tahun lalu!!! Why masih terkinja-kinja mengejar cintanya? Tak hairan jika Seroja salah sangka. Dasar jantan tak guna!! Aizaff Nafees dan Ryu Rozzan memang spesis buaya dari neraka. Mulut je kata tak cinta, tapi malam-malam diuliti hingga bunting!

“Seroja. Aku memang akan bercerai tapi untuk berkahwin dengan Aizaff itu tak mungkin! Kau jangan risau, aku doakan kau bahagia bersama Aizaff. Aku ikhlas…” Perut bulat yang menonjol dan kelihatan sedikit bergerak-gerak itu Lana sentuh perlahan. Tersentuh hati bila merasa pergerakan si kecil. Terus rasa teringinlah pulak!

“Stay healthy baby, semoga jadi anak yang menghormati dan membanggakan ibu bila besar nanti.” Perut Seroja Lana usap perlahan.

“Kisah aku dan Aizaff dah lama terkubur Seroja.” Usai berkata, tubuh Seroja dipeluk erat. Tabahnya wanita yang bernama Seroja ini ya Allah, betul-betul menyuntik keinsafan pada diri seorang Lisa Alana.

“Lana…Terima kasih…” Air mata tak mampu dibendung bila dengar esakan halus Seroja.

“Why did you do that Seroja? Berkahwin dan sanggup mengandungkan anak lelaki yang langsung tak mencintaimu? Malah merelakan suami berkahwin lain?”

“Allah itu maha adil Lana… Walaupun tak dicintai, aku bahagia bersama Aizaff. Suami aku lelaki terbaik, jadi aku juga ingin bahagiakan dia Lana. Kebahagiaan tak semestinya harus memiliki hati. Tak perlu tamak, bersederhana dan mensyukuri apa yang ada… Itulah kebahagiaan sebenar.”

Terpukul dengan kata-kata itu!

Pertemuan dengan Seroja betul-betul memberi kesan mendalam pada Lana. Beberapa hari berada di kampung, pertemuan itu…Kata-kata Seroja… Bagaikan player rosak, asyik diulang tayang dalam layar minda.

“Lana…Mak dan semua dah nak gerak dah ni! Betul tak nak ikut?”

Lamunan di atas katil sirna serta merta! Lana bingkas bangun lalu terkocoh-kocoh menuju ke pintu. Wajah emak tersembul sebaik pintu dikuak.

“Taklah mak, Lana nak rehat je...”

“Yelah, hati-hati tau. Agaknya lewat sikit balik ni, taulah bapak kau tu bila dah berkumpul dengan pak long dan pak angah tu.”

Lana angguk. Tak berminat nak ikut keluarga ke kenduri di kampung sebelah. Pasti akan ada soalan cepu emas untuk dia, rimas nak hadap!

“Jangan lupa kunci semua bila malam. Dah, mak jalan dulu.”

Tinggallah Lana sorang-sorang dalam rumah tersebut. Tak tahu harus buat apa, dia kembali semula ke katil selepas mengunci pintu. Nak tengok tv, takde mood. Henfon? Lagilah tak! Henfon langsung tak dihidupkan sejak dari hari pertama sampai. Mata ditutup, mahu menyambung tidur.

Bola mata terkuak luas bila dengar sesuatu dari tingkap cermin bilik. Lana diam tak berkutik, hanya memasang telinga mahu memastikan bunyi apakah itu. Tak mungkin pencuri, kampung mereka aman damai setakat ni!

PAK! PAK!

Bunyi itu kedengaran lagi. Lana toleh melihat jam di dinding. Belumpun pukul lapan malam! Takkan seawal itu kalau hantu jembalang kan?

PAK! PAK!

Hati sudah tak mampu bertenang. Macam benda keras dilempar mengena tingkap kaca. Kalau terus dibiarkan, lama kelamaan boleh pecah tingkap kaca itu!

“Siapa?!!!” Lana jerit kuat-kuat.

Sunyi!

Tabir yang menutupi cermin ditarik ke tepi. Cuba mengintai namun tak jelas kerana cermin berembun. Lana tarik cermin ke tepi.

“Lana!”

Melihat sekujur tubuh yang terpacak di luar bilik, sekonyong-konyong tubuh terundur ke belakang.

“Lana!”

Menggigil tubuh! Air mata mulai berguguran. Lana cekup mulut, berusaha tidak mahu menangis namun apakan daya… Dia cuma seorang wanita yang berkali-kali dilukai.

“Lana!”

Lelaki di luar terus memanggil hiba. Lana geleng kepala! Untuk apa datang lengkap berpakaian baju Melayu dengan inai terang di jari?!!!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience