BAB 40

Humor Completed 411630

Seminggu berlalu. Tiada perkhabaran diterima dari Ryu Rozzan. Sehari selepas Ryu pergi, Lana ada datang melawat ibu Ryu di hospital tetapi doktor memaklumkan yang ibu Ryu sudah dipindahkan ke bandar.

Saban waktu Lana menunggu dengan sabar. Dia cuba-cuba juga menghubungi telefon bimbit Ryu lantaran rasa rindu yang menggebu, dapat dengar suara lelaki itu sajapun sudah cukup. Malangnya, telefon bimbit Ryu tidak aktif.

Terkilan, masa cuba diisi dengan menganggu Seroja dan bayinya. Setelah puas bermain dengan anak Aizaff dan bayi tersebut mulai meragam akibat keletihan dan mengantuk, barulah Lana bergegas pulang.

Melihat sebuah kereta mewah yang terparkir di halaman rumah, Lana meluru masuk dan bergegas ke ruang tamu.

“Lana…” Lana mulai rasa tidak sedap hati bila terpandang wajah suram emak dan bapak. Tetamu yang datang berkunjung secara tiba-tiba itu Lana renung dengan tajam.

“Tuan…Mengapa? Apa berlaku?” Lana bertanya dengan hati penuh debaran.

“Aku datang bawa perkhabaran tak baik.” Balas Haraees dengan wajah tenang. Semakin tidak keruan Lana mendengar jawpan yang diberikan.

“Perkhabaran apa tuan?” Lana terus mendesak tidak sabar.

“Ryu mengalami kemalangan seminggu lepas, iaitu selepas dia meninggalkan tempat ini.”

Terasa ada batu besar jatuh dari langit dan menghempap sekujur tubuh Lana. Hampir saja dia tidak mampu berdiri dengan tegak. Tulang tiba-tiba terasa lembik semacam. Air mata menitis laju membasahi pipi. Kini terjawablah semua persoalan yang menyesakkan mindanya.

“Ba…bagaimana keadaan Ryu?” Tersekat-sekat suara yang terlontar.

“Sekarang dia dah okay dah, dah sedar pun. Waktu kritikal dah berlalu. Jangan risau, Ryu Rozzan tu takkan mati dengan mudah.” Haraees cuba menyedapkan hati Lana.

“Ryu di mana sekarang tuan? Bolehkah saya berjumpa dengan dia?”

Haraees menggosok dahi dengan perasaan kesal yang mulai menggumpal di dada. Nampaknya dia tak berjaya menenangkan Lisa Alana dengan kata-katanya.

“Ada sesuatu yang perlu kau tahu sebelum kau datang melawat Ryu di hospital.” Teragak-agak Haraees bersuara, mengundang rasa ingin tahu yang semakin memuncak di jiwa Lana.

“Kalau halangannya ialah Puan Sri dan Qarlisa, saya tak takut tuan. Saya masih isteri Ryu. Tuan tunggu saya sebentar ya, saya bersiap dulu.”

Haraees membuang keluh. Bola mata mengekori langkah Lana hingga menghilang di sebalik pintu bilik.

Tidak lama kemudian, Lana muncul semula. Pakaian sudah bertukar dan tangan sebelah menjinjing sebuah beg kecil.

“I’m ready tuan. Kita berangkat sekarang.” Melihat Lana melangkah laju sambil mengenggam kunci kereta Vivanya, Haraees pantas menghadang.

“Kau ikut aku je. Tinggalkan kereta kau tu.”

Laju kepala Lana tergeleng.

“Tapi tuan, saya perlukan kereta untuk memudahkan pergerakan saya kat bandar nanti. Saya tak nak menyusahkan sesiapa.”

“Kau pakai je kereta aku nanti.”

“Eh, mana boleh tuan. Habis tu tuan nanti nak pakai apa pulak?” Haraees tergelak sinis. Tergeletek hati melihat kenaifan Lisa Alana.

“Berlambak lagi kereta aku tak terpakai. Dah! Malas aku nak bertekak dengan kau. Ikut aku atau tak payah pergi!”

Lana terus terdiam. Haraees memang sangat cekap mematikan akal Lana. Gusar ditinggalkan, Lana terus mengekori Haraees yang sudah buka langkah besar-besar menuju ke kereta.

Sepenggal perjalanan, Lana mengorek sesuatu dari dalam beg tangan. Botol berisi air putih yang dibawa juga ditarik keluar dari beg tote yang dia letak di atas riba. Haraees menjeling sekilas. Macam poket Doremon, semua ada!

“Kau makan ubat?” Sedikit terkejut bila lihat Lana memasukkan dua biji ubat berbentuk bulat berwarna coklat ke dalam mulut. Lana angguk.

“Kau sakit apa? Bolehke kau jalan jauh ni? Jangan nanti menyusahkan aku pulak.”

“Aku okay tuan, takde sakit apa-apa. Just ubat tambah darah dan vitamin.”

“Kau masih kurang darah ke lepas keguguran hari tu?”

Lana diam. Hanya bola mata turun merenung perut. Melihat perubahan air muka Lana, Haraees terus kunci mulut. Rasa menyesal pula bila sedar pertanyaannya mungkin telah mengguris hati gadis itu.

Kesepian menyelubungi perjalanan yang jauh. Jauh yang tak terasa sangat oleh Lana kerana dia tertidur pulas sepanjang perjalanan. Haraees Reza hanya membiarkan, cuma sekali sekala mengerling ke sebelah. Bila kereta membelok, kepala Lana ikut meneleng ke arah Haraees. Dengan menggunakan jari telunjuk, Haraees tolak pelipis Lana menjauhinya.

Selepas memarkirkan kereta di depan sebuah hospital terkemuka di ibu kota, Haraees menyandarkan tubuh di penyandar lalu menjeling sebal Lana di sebelah yang tak bangun-bangun lagi! Mengecil mata Haraees menahan rasa jengkel yang mulai menebal. Sekarang macam terbalik pula dia rasa, macam dia ni kuli dan perempuan di sebelahnya boss besar.

“Urghh…” Lana menggeliat kecil. Air liur di celah bibir dikesat. Makin mencerlung mata Haraees melihat.

“Eh? Dah sampai ke?” Terkejut bila melihat keadaan sekeliling sebaik sahaja mata dikuak. Tambah terkejut bila terpandang wajah kelat Haraees.

“Err…sorry boss, tertidur pulak.” Kulit kepala yang tak gatal digaru sambil melemparkan senyum sumbing pada Haraees.

“Nak turun ke tak?” Nada suara yang mulai bosan, seperti air muka yang terpamer.

“Naklah!” Laju dijawab oleh Lana.

“Kita kena hati-hati, jangan sampai terserempak dengan Puan Sri dan Qarlisa.”

Lana mengangguk lemah. Wajah dilarikan, cuba menyembunyikan riak kekecewaan yang terpamer. Haraees keluar dari perut kereta. Lana cepat-cepat mengekori, takut benar dia ditinggalkan.

Sepanjang melalui lobi, wajah ditundukkan. Cuba bersembunyi di sebalik tubuh sasa Haraees. Sungguh, dia tidak mahu terserempak dengan Puan Sri. Risau sejarah mungkin berulang. Di tempat ini, pasti tiada siapa yang akan tampil membela dan melindungi dia kalau sampai itu terjadi.

“Aku nak kau ke bilik Fiona dan tunggu di situ sebentar. Aku nak pastikan keadaan selamat dulu. Nanti aku datang balik.” Haraees berhenti di depan sebuah bilik. Tertera nama doktor Fiona di daun pintu.

“Masuklah, Fiona masih sibuk dengan pesakit dia. Jangan risau, aku dah maklumkan pada dia yang kau berada dalam bilik dia.”

Lana angguk dengan mata yang mulai berkaca-kaca. Terharu sangat sebenarnya. Sungguh dia tak sangka bahawa boss yang selalu menderanya itu kini sedang bersusah payah menolong dia.

Melihat Lana masih tercengat di muka pintu, Haraees membengkokkan kening.

“Yang kau aku lihat macam nak menangis ni pehal? Takut? Takde hantulah dekat dalam tu.” Cepat-cepat Lana geleng.

“Ke kau takut aku lari tinggalkan kau?” Duga Haraees dengan kening yang hampir nak bercantum.

“Tak boss tak! Aku terharu. Boss dah banyak sangat tolong aku. Tak tahu macamana aku nak ucap terima kasih.” Luah Lana dengan suara sebak.

Haraees membiutkan bibir. Wajah dibuang ke arah lain.

“Tak payah! Kalau bukan sebab Ryu, aku takkan ada dengan kau sekarang faham?! Dah, kau pergi duduk diam-diam kat situ. Aku blah dulu!” Usai berkata, Haraees terus berlalu tanpa memandang ke belakang lagi.

Lana menyimpul senyum kecil. Kepala tergeleng ketika bola mata mengiringi langkah kaki Haraees. Jahat dan tak berperasaan, tapi dalam hati rupanya ada taman!

Hampir sejam menunggu, Haraees muncul semula. Lana terus menerpa.

“Macamana boss? Bila aku dapat jumpa Ryu?” Tak menyempat nak bagi Haraees tarik nafas dulu ke, bagi lelaki itu duduk dulu ke, takde! Lana terus menyerang dengan soalan.

Haraees masuk, siap dilanggar bahu Lana yang menghalang laluan. Lana cepat-cepat berundur. Berkerut sedikit dahi akibat rasa sakit. Bayangkan jela badan sasa berotot pejal tu melanggar tubuh dia yang kurus kering!

“Puan Sri dah balik. Tinggal Qarlisa menemai Ryu.”

Lana tunduk merenung jari yang sedang memintal-mintal hujung blouse yang dipakai.

“Nampaknya takde rezeki aku jumpa Ryu hari ini kan?” Keluh Lana dengan suara lemah.

Kecewa? Teramat sangat. Ditambah lagi dengan kehadiran Qarlisa yang setia berada di sisi Ryu di saat lelaki itu sangat memerlukan seseorang. Terasa diri benar-benar tidak berguna! Sepatutnya dia yang lebih layak berada di sisi Ryu Rozzan bukan? Dia isteri yang sah dan bukannya Aileen Qarlisa.

Lalu….mengapa dia yang perlu bersembunyi-sembunyi untuk berjumpa dengan suami sendiri? Atas dasar apa dia diperlakukan sebegini? Taraf hidup? Bukankah semua manusia sama di mata Allah?

“Kita cuba besok.” Haraees cuba melembutkan suara bila lihat wajah sayu Lana. Pasrah, Lana hanya mengangguk.

“Dah, aku hantar kau balik ke rumah Fiona. Kau masih ada kunci rumah dia kan?”

Lana balas dengan anggukan. Mood untuk berbual sudah tenggelam ke dasar perasaan. Seperti yang dikata, Haraees menghantar Lana hingga depan banglo mewah doktor Fiona.

“Kau tunggu je aku besok, nanti aku ambil kau.” Sempat Haraees menitipkan pesan ketika Lana turun dari kereta.

“Baik tuan. Terima kasih.” Ucap Lana lalu menundukkan sedikit kepala. Haraees angguk lalu memecut pergi.

Usai membersihkan diri, Lana terus berkurung di dalam bilik melayan perasaan. Malangnya, tidak lama kemudian, suara Fiona yang terpekik-pekik dari tingkat bawah memanggil dia membantutkan niat mahu bersendirian. Dengan malas, Lana bangun lalu keluar dari bilik dan turun menuju ke ruang tamu. Fiona yang sedang berdiri sambil peluk tubuh merenungnya dengan tajam. Kemudian, bola mata Fiona turun memerhati tubuh Lana sebelum sepasang mata itu terkuak seluas-luasnya.

“Lisa Alana! Kau…kau…” Melihat arah mata Fiona, Lana sudah dapat meneka apa yang bakal dikatakan. Lana terus mengangguk. Nak menafikan, dia berhadapan dengan seorang doktor pulak tu!

“Tolong rahsiakan perkara ni buat sementara waktu. Please…” Pinta Lana dalam nada sebak.

“Ya Allah!” Fiona meluru lantas memeluk Lana.

“Kuatnya seorang Lisa Alana! What do you plan to do now? Men are sucks, don’t they? That’s why aku tak nak kahwin. But how come Lana? Haraees cerita yang kau…”

“Allah masih sayang! Aku bersyukur dan terima pemberianNya dengan hati yang terbuka.”

“Kau sanggup lalui semua fasa yang menyakitkan itu seorang diri? Suami tak guna kau tu bakal dirampas tau tak? I heard everything. Setiap kali aku buat lawatan ke bilik suami kau tu aku rasa nak muntah kau tau tak? But then Lana…macamana nak cakap ya? Kalau aku cerita dekat kau apa yang aku dengar boleh kena tatatertib aku tau pasal aku dah langgar etika kedoktoran.”

Berdebar pula bila dengar kata-kata Fiona. Misteri sungguh, penasaran jadinya. Fiona menarik tangan Lana lalu dibawanya duduk di sofa.

“Kau mesti nak tahu kan sebab ini ada kaitan dengan suami kau tu. Aku tak cerita pada siapa-siapa lagi tau even dekat pakcik Raees aku tu. Tapi aku rasa kau patut tahu tentang perkara ini Lana.”

“Macam rahsia besar je. Doktor buat aku jadi berdebar-debar pula. Ceritalah kalau tak keberatan. Tapi aku tak paksa tau. Aku faham kalau doktor tak nak cerita.”

“Ahh, sudah-sudahlah panggil aku doktor Lana. Dekat rumah ni, lucutkanlah jawatan tu! Panggil Fiona je.” Sempat lagi Fiona komplen.

“Yela, sorry Fiona dah terbiasa panggil macam tu.” Lana menjawab jujur.

“Hah, macam ni barulah mesra sikit. Macam ni Lana, hari tu aku tak sengaja terdengar perbualan perempuan yang selalu menemani suami kau tu. Siapa namanya…urm…Lisa?” Lana cepat-cepat angguk ketika Fiona menatapnya tajam, menagih jawapan.

“Masa tu suami kau masih dalam keadaan koma. Perempuan tu sedang bercakap dalam telefon di tepi jendela. Langsung tak sedar aku masuk untuk buat pemeriksaan biasa.” Fiona berhenti sebentar untuk mengambil henfon di atas meja.

“Aku rasa something’s wrong with that woman. Dia pun tengah mengandung kan? Aku dengar anak yang dia kandung tu anak suami kau. But...I don’t think so Lana. Kau dengar dulu rakaman ni.” Henfon diletakkan kembali di atas meja. Pembesar suara dibuka, lalu rakaman suara yang tersimpan dalam memori henfon tersebut dimainkan.

“Janganlah macam ni sayang. Aku hampir berjaya, kau bersabar sikit masa lagi boleh tak? Aku janji syarikat kau akan mampu berdiri dengan gah semula seperti waktu dulu bila anak ini dilahirkan kelak.”

Diam sebentar.

“Laa, itu ke yang kau risaukan? Kalau bayi ni sebijik muka kau sekalipun, aku akan yakinkan Ryu yang anak ini anak dia. Susah payah aku perangkap dia. Aku takkan mengalah dengan mudah sayang. Setelah aku berjaya kikis harta Ryu, aku akan lari bersama anak kita dan kembali ke pangkuan kau.”

Diam lagi.

“Hah yela! Tapi janji tau, bila syarikat kau pulih semula kau juga akan kembalikan kegemilangam aku seperti suatu waktu dahulu. Seorang model terkenal yang sentiasa menjadi rebutan jenama-jenama terkemuka.”

Gelakan kecil penuh gedik terletus.

“Ok sayang, bye I love you so much.”

Rakaman tamat. Fiona terus memaku pandangan pada Lana.

“Perempuan itu menipu!” Tempelak Fiona sambil pamer wajah geram.

“Aku tak sangka Lisa sanggup buat macam tu.” Luah Lana dengan suara sayu.

“Kau nak tegakkan kebenaran tak?” Fiona merapatkan wajah seraya berkata. Lana membuang keluh kesal.

“Soalnya aku tak mungkin dapat jumpa Ryu selagi Puan Sri dan Lisa berada di situ.”

“Serahkan pada aku Lana! Kau tahu kan hospital tu milik keluarga Raees? Biar aku atur. Kau datang je besok. Aku akan pastikan kau dapat jumpa suami kau.” Lana tenung Fiona dengan bola mata terang bercahaya.

“Betulke Fiona? Ya Allah terima kasih sangat-sangat.” Terharu dengan kebaikan Fiona, sampai nak keluar air mata.

“Serahkan semuanya pada aku.” Sambil sengih lebar, Fiona meyakinkan Lana.

Selepas berbual seketika, mereka kemudian beredar ke bilik masing-masing kerana keletihan.

Keesokan harinya, selepas jenuh menunggu Haraees yang bertegas mahu menjemput dia, akhirnya terpacul tubuh sasa itu di depan pintu.

“Sorry, ada hal yang tak dapat dielakkan tadi kat pejabat. Are you ready?” Pertanyaan yang buat bibir Lana terherot tinggi. Tak nampak ke wajah dia yang kejenuhan menunggu sejak pagi tadi?

Lana jawab dengan jelingan tajam. Haraees berdehem perlahan lalu memberi isyarat supaya Lana mengekorinya.

“Fiona dah aturkan semuanya. Tiada siapa dibenarkan masuk ke bilik Ryu Rozzan dengan alasan Ryu perlu jalani rawatan intensif. Kau boleh jumpa Ryu.” Haraees memecahkan kesunyian ketika hampir separuh perjalanan.

“Walau bagaimanapun…” Hararees mengerling ke sebelah. Wajah kelihatan serba salah.

“Urm…Sesuatu yang tak terjangka mungkin berlaku. Kau kena kuat.”

“Jangan risau tuan, saya dah sedia. Saya akan jaga diri baik-baik.” Penuh yakin Lana menjawab.

“Tak, bukan macam tu. Ada sesuatu yang kau tak tahu dan kau pasti akan terkejut nanti.”

“Apa maksud tuan?” Lana merenung tepat pada wajah Haraees.

Haraees tidak menjawab. Tiba-tiba kelajuan kereta diperlahankan. Riak wajah Haraees kelihatan sedikit gelisah.

“Oh no!” Seraya berkata, kepala dipaling sebentar ke arah Lana.

“Get down, now!” Lana yang masih terkejut tercengang-cengang ditempik oleh Haraees.

“Now!” Tanpa kesabaran, Haraees merapatkan badan lantas mencengkam belakang kepala Lana lalu menolaknya ke bawah.

“Duduk kat bawah tu cepat!” Arah Haraees tegas sambil tangan terusan menolak hingga kepala Lana hampir menyentuh lantai kereta yang dipijaknya.

“Ok, ok boss!” Masih bingung-bingung, lalu dengan lurus bendulnya mengikut arahan tanpa memahami apa-apa. Lana duduk berteleku di tempat kaki berpijak.

Haraees kelam kabut membuka kot hitam yang membaluti tubuhnya lalu dilemparkan ke arah Lana.

“Sembunyi di sebalik kot aku, diam dan jangan gerak!” Usai berkata, Haraees memandang semula ke depan lalu kereta diberhentikan.

Cermin kereta diturunkan separuh.

“Raees! Pehal hospital ni hah? Mengapa kita tak dibenarkan masuk hari ni?! Dah tu anak aku macam mana? Siapa nak bantu uruskan kalau dia perlukan sesuatu? Melampau betul tau peraturan di sini! Bagi aku jumpa papa kau sekarang!” Tersentak Lana di sebalik kot yang membungkus seluruh tubuh bila dengar tempikan penuh amarah itu.

Puan Sri Helena!

Kini baru dia faham mengapa Haraees menggelabah semacam. Bukan kerana takut berhadapan dengan Puan Sri tetapi lebih kepada tidak mahu Puan Sri terlihat dia ada bersama Haraees. Terdetak persoalan di hati, adakah Haraees risaukan dia? Bukankah perbuatan Haraees seolah sedang melindungi dia walaupun terlihat sangat kasar dan tak berperasaan?

“Puan Sri, saya tak tahu menahu tentang urusan hospital ini. Kalau puan nak komplen, ya silakan. Ikut prosedur yang betul, isikan borang yang disediakan dan letakkan di tempat yang betul. Nak jumpa pengarah pun kenalah ikut prosedur yang betul. Puan boleh buat temujanji di kaunter. Senang bukan?” Haraees balas dengan nada tenang namun penuh sindiran pedas.

“Hah! Aku peduli apa dengan prosedur tu semua! Kalau korang tak bagi aku masuk, aku akan saman hospital ini, muktamad! Kau bagitau papa kau sekarang!” Puan Sri melengking, tak dipedulikan orang yang lalu lalang memandang sinis.

“Aku bakal isteri Ryu. Aku tengah mengandungkan anak dia, tak kasihan ke? Sekurang-kurangnya bagilah kami masuk dan temankan Ryu. Rawatan apa sebenarnya yang perlu Ryu jalani sampaikan kami tak boleh masuk hah?! Tak pernah dalam sejarah ada hal macam ni tau!” Aileen Qarlisa yang berdiri di samping Puan Sri menyampuk dengan riak angkuh.

“Semak ah! Aku takde masa nak layan korang. Nak saman? Teruskan. Kita jumpa di mahkamah!”

“Haraees Reza!!!” Terjerit-jerit Puan Sri Helena bila Haraees menekan minyak dan kereta mulai bergerak meninggalkan Puan Sri dan Qarlisa.

“Kurang ajar! Kau tengoklah nanti Raees, taulah aku nak ajar kau dan keluarga kau nanti!” Telinga sempat menangkap jeritan penuh amarah Puan Sri walaupun kereta sudah agak jauh meninggalkan dua manusia tersebut.

“Hey! Kau kat situ! Okay tak?” Laju tangan Lana menarik kot Haraees menjauhi tubuhnya bila dengar suara teguran Haraees. Bingkas bangun kerana seluruh tubuh mulai lenguh akibat berada dalam keadaan yang tidak selesa.

“Nampaknya kau kena cepat berjumpa dengan Ryu sebelum dua minah kepoh tu buat hal dekat hospital ni!” Nasihat Haraees dalam nada gusar.

“Aku akan cuba suruh sekuriti halang dua manusia tu dari berada berdekatan dengan bilik Ryu supaya kau tak dilihat oleh mereka nanti.” Sambung Haraees lagi.

Lana hanya mampu menatap Haraees dengan wajah penuh terharu. Sampai tidak mampu berkata-kata!

“Dah, jom gerak sekarang sebelum mereka menghampiri.” Kerana kelam kabut, tak sedar jemari Lana dipaut erat lalu ditarik masuk ke perut bangunan hospital.

Terperanjat sungguh Lana, tapi dia tidak berani bersuara lantaran dia sedar diri. Pergerakan dia memang agak lambat berbanding Haraees.

Ketika berada di dalam perut lift, baru Haraees sedar jemari Lana yang masih berada dalam genggaman eratnya. Tercengang bila bola mata turun dan secara tak sengaja terpandang jemari mereka bertaut erat, Haraees buang tangan Lana dengan kasar.

Wajah juga dibuang ke arah lain, buat-buat tak tahu lalu bersiul kecil sambil memeluk tubuh dengan janggal sekali. Celaka! Mengapa sampai terbabas seteruk itu? Hati kecil mati-mati mengutuk.

Selama ini tak pernah sekalipun dia sentuh mana-mana perempuan kecuali Fiona. Tu pun ketika mereka bertengkar. Kalau bukan dahi Fiona diketuk kuat, lengan Fiona pasti jadi mangsa, dipulas sampai terjerit-jerit gadis itu!

Ni pehal siap pegang-pegang tangan bini orang ni? Arghhh Haraees Reza…Please jangan cari masalah! Terus bermonolog sendirian. Tak berani langsung memandang Lana di sebelah sampailah pintu lift terbuka.

“Boss…tak nak keluar ke?” Haraees terpinga-pinga bila lihat Lana sudah menunggu di luar perut lift. Kelam kabut langkah diorak, menonong melintas di depan Lana dengan wajah lurus ke depan.

Langkah kaki Haraees terhenti di depan pintu sebuah bilik kelas satu. Wajah dipalingkan ke arah Lana dan bola mata mereka bertaut.

“Ini bilik Ryu Rozzan. Buat masa ni dia seorang je. Cepatlah masuk, apa-apa hal nanti aku inform.” Sambil berkata, bola mata terusan memandang wajah keresahan Lana. Terbit rasa simpati dalam hati Haraees. Apa yang bakal dilakukan oleh gadis itu sekiranya tahu kebenarannya nanti? Akan kuatkah gadis itu menghadapinya? Argh! Ryu Rozzan cuma membawa bala! Hati menjerit geram.

“Tuan…” Lana kelihatan teragak-agak mahu menolak daun pintu. Nafas ditarik dalam-dalam.

“Saya masuk dulu. Terima kasih tak terhingga tuan. Saya benar-benar terhutang budi pada tuan dan doktor Fiona.”

Rasa nak nangis pun ada ketika mengucapkan kata-kata itu. Sungguh, Lana benar-benar terharu. Haraees hanya mengangguk sebelum membuang wajah. Perlahan, daun pintu Lana tolak.

Di atas sebuah katil, terbaring sekujur tubuh yang sedang membelakangi pintu. Kaki berbalut sampai betis, atas kepala juga berbungkus. Lana terkesima buat seketika. Adakah Ryu mengalami kecederaan di bahagian kepala? Dada terus dilanda ombak Tsunami yang mengganas.

Menyedari seseorang berada di dalam bilik, perlahan Ryu memusingkan badan. Bola mata mereka bertaut buat seketika.

“Apa khabar Ryu?” Lana memecahkan kesunyian yang mencengkam.

“Aku nak bangun. Tolong aku!” Selamba Ryu memberi arahan sekali dengan tangan terangkat memanggil Lana mendekat.

Lana bergegas menghampiri. Terus dibantu Ryu bangun lalu bersandar dengan lebih selesa di kepala katil.

“Mana semua orang? Sejak tadi aku dibiarkan bersendirian.” Pertanyaan dalam nada polos tanpa perasaan itu buat Lana termangu sebentar. Mengapa lain macam perangai mamat ni? Dingin sedingin aisberg Kutub Selatan!

“Err…anu…kau perlu direhatkan untuk jalani rawatan intensif nanti.” Lana jawab ikut apa yang keluar dari akal fikirannya.

Ryu Rozzan membuang keluh. Bola mata terarah ke luar jendela.

“Pindahkan aku ke kerusi roda. Bawa aku ke tepi jendela tu.” Sekali lagi Lana menurut tanpa banyak songeh.

Dia bergerak mendapatkan kerusi roda yang terletak di satu sudut bilik. Kemudian, dia membantu Ryu turun dari katil lalu didudukkan di atas kerusi roda tersebut. Seperti yang dipinta, Ryu disorong perlahan menuju ke jendela yang terbuka luas itu. Ryu terus merenung ke bawah.

“Aku dah lama perhati pokok mangga tu. Kau nampak tak bertapa ranumnya buah-buah mangga tu?” Mendengar kata-kata Ryu, Lana terus memanjangkan leher melihat ke bawah.

Yup! Memang ada sebuah pokok mangga yang sangat rimbun daunnya di situ. Juga sedang mengeluarkan buah dengan banyaknya, malah ada juga yang sudah separuh masak.

“Ya, aku nampak Ryu. Tapi aku datang bukan nak lihat pokok mangga tu. Kau okay tak ni? Macamana boleh kemalangan?”

Ryu mendongak lalu merenung Lana dengan hairan.

“Kau ni siapa sebenarnya? Bukan mummy bayar kau untuk jaga aku ke?”

Lana benar-benar terkejut! Tak sedar badan terundur ke belakang. What happened to Ryu Rozzan?

satu chapter je mampu disiapkan, sorry korang. Hrp² esok mampu siapkn nxt chp, cite ni perlu disiapkn cpt spya MandakZ dpt concentrate cite uc MandakZ >.<

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience