BAB 41

Crime Completed 2168

Mok berjalan mundar mandir di tengah ruang tamu yang menempatkan set sofa dan meja kaca kecil. Kuna pula duduk termenung lansung tidak mengendahkan Mok. Mindanya menerawang jauh memikirkan rakannya Uyaa dan juga Jian. Setengah jam yang lepas mereka check in di Hotel Telang atas bantuan Asyraf. Hotel yang hanya 20 minit dari kampung Cempaka dan juga Asyraf dengan harapan jika ada sesuatu yang buruk berlaku Asyraf ada untuk membantu. Tapi sekarang entah mengapa dia mula berasa tidak setuju dengan tindakan Wina melarikan mereka semua dari Uyaa dan Jian.

Wina tidak lansung memberikan peluang kepada Uyaa untuk memperjelaskan segalanya. Tambahan pula dia perlu bertanya secara lansung kepada Jian adakah pertemuan mereka sebulan yang lepas memang sudah pun dirancang dari awal seperti yang dia fikirkan.

“Aku nak jumpa dengan Uyaa”. Kuna bangun berdiri. Langkah kaki Mok yang sedang berjalan mundar mandir terhenti. Matanya mencerlung menikam anak mata Kuna.

“Kau gila?”. Soal Mok. Dia berjalan mendekati Kuna dan memaksa Kuna untuk duduk kembali diatas sofa. Mok berdiri bercekak pingang dihadapan Kuna. Kuna mendengus kasar. Dia menjeling ke arah Mok. “Kau percayakan Wina?”. Soal Kuna.

“Kau nampak kita ada pilihan lain?”. Soal Mok kembali senafas. Dia duduk disebelah Kuna. Tidak mengerti kenapa Kuna perlu tiba-tiba berubah fikiran sedangkan tadi dia sendiri bersetuju yang Uyaa dan Jian mungkin benar-benar boleh membahayakan nyawa mereka.

Mok mengigit bibirnya sendiri. Dia tahu yang Kuna tidak puas hati dengan keputusan Wina mahupun Cempaka yang mengheret mereka untuk bersembunyi dihotel tersebut tanpa memberi ruang kepada Uyaa untuk mempertahankan diri. Dia sendiri tidak pasti sejauh mana kebenarannya dengan hanya melihat helaian demi helaian kertas yang tersimpan rapi di dalam sampul kertas berwarna coklat yang dibuka oleh Wina tanpa sengaja.

“Wina kata Uyaa dan Jian bahaya. Mungkin mereka ada niat jahat”. Tutur Mok setelah lama mendiamkan diri. Cuba untuk memenangkan keputusan Wina dan membuat Kuna untuk berhenti meragui setelah mereka berdua bersetuju dengan rancangan Wina dan Cempaka.

“Uyaa cakap Jian bahaya. Jadi dia minta Wina tunggu dia. Tapi kenapa kita lari sekarang?!”. Soal Kuna separa menjerit. Rambutnya lurus panjang separas pingang itu kelihatan agak kusut. Mok menyandarkan tubuhnya. Matanya dipejam rapat. Kepalanya sakit memikirkan segalanya yang berlaku dengan cukup pantas. Dia juga tidak punya masa untuk membuat keputusan dan hanya mengikut tanpa banyak soal. Perasaan takut mendahului kewarasan akal fikiran.

“Macam mana kalau apa yang Wina fikirkan tu betul. Uyaa memang jahat”. Tutur Mok kembali meninggi suara. Matanya masih terpejam. Kuna menghela nafas halus. Dia memandang wajah Mok disebelahnya.

“Macam mana kalau sebaliknya?”. Soal Kuna kembali. Mok membuka matanya memandang Kuna memberikan isyarat yang dia tidak mengerti apa yang dikatakan oleh wanita itu.

“Macam mana kalau Uyaa memang hendak selamatkan kita dan Jian yang sebenarnya berbahaya?”. Soal Kuna. “Selama kita tinggal dengan Uyaa dua tahun. Tak ada masalah Mok. Cuba kau fikir. Tapi sejak Jian ada…”. Kata-katanya terhenti disitu.

“Maksud kau Jian memang rancang dari awal. Termasuk pertemuan kau dengan dia?”. Soal Mok kembali. Kuna menganggukkan kepalanya laju. Mok mengigit bibirnya. Lama dia termenung memikirkan kelogikan apa yang Kuna sampaikan. Memang sebelum ini mereka tidak pernah punya masalah tinggal bersama Uyaa. Malah Uyaa tidak pernah mencederakan mereka. Tapi sejak kemunculan Jian dirumah itu sebulan lepas Uyaa mula hilang dari rumah sewa mereka. Rakannya itu terlalu sukar untuk dilihat dirumah dan jika ada pertemuan tidak sengaja antara Uyaa dan juga Jian di dalam rumah itu sudah tentu satu perasaan kekok dan asing akan memenuhi ruang.

Dia dapat merasakan yang Uyaa berasa tidak selesa bersama Jian atau dalam kata lain ada perasaan takut menghiasi wajah rakannya itu. Paling jelas kelihatan sekali adalah ketika mereka menyambut hari jadi Uyaa tempoh hari.

“Apa sebenarnya hubungan Uyaa dengan Jian”. Mok bercakap perlahan. Tapi soalan itu didengari oleh Kuna. “Kembar”. Jawab Kuna sepatah. Mok yang melihatnya dengan wajah yang terkejut.

“Ejian Banan Razak dan Uyaana Raisa Razak. Umur dan nama ayah sama. Kau rasa?”. Soal Kuna kembali. Mungkin antara mereka berempat hanya dia sahaja yang perasan akan hal itu. Masing-masing terlalu fokus dan panik untuk melarikan diri sebaik saja melihat maklumat rahsia di dalam fail terbabit. Mok menghela nafas kuat sepertinya baru terlepas satu beban dari dadanya.

“Aku rasa tak sedap hati”. Tutur Kuna. Raut wajahnya berubah. Mok memandang. “Uyaa pesan untuk tunggu dia. Tapi kita lari. Uyaa pesan untuk jangan beritahu sesiapa. Tapi Wina bagitahu kita semua”. Tutur Kuna. “Dan sekarang dia beri copy fail kepada Asyraf?”. Kuna menambah.

“Kita jumpa Uyaa. Sebelum Wina dan Cempaka pulang dari berjumpa dengan Asyraf”. Tutur Mok tiba-tiba. Dia sudah tidak tahan lagi berteka-teki. Tambahan pula apa yang Kuna katakan segalanya ada benarnya. Mereka perlu dapatkan penjelasan dari Uyaa terlebih dahulu. Kuna mengangguk mengiakan. Telefon bimbitnya dicapai sebelum nombor telefon Uyaa didail laju.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience