Usai mengisi perutnya Wina berjalan kearah singki membasuh pinggan mangkuk yang masih belum dibasuh sejak malam tadi. Dia membebel sendirian bila teringatkan Mok yang melantak mee segera malam tadi tapi tidak membasuh perkakas memasak semula. Pandangan matanya dilemparkan keluar tingkap. Mulutnya riang menyiulkan lagu kegemarannya. Sesekali dia tersenyum galak bila memikirkan betapa untungnya dia dapat ambil cuti sakit pada hari jumaat. Esok sudahlah cuti lagi!. Dia tersengih sendirian. Namun suara Jian yang tiba-tiba menegurnya dari belakang mengejutkannya bukan kepalang. Hampir terlepas pinggan yang dipegangnya. Fikirnya hanya dia seorang saja tinggal dirumah pada waktu itu. Mati terus lagu yang disiulnya tadi. Jian mengangkat tangannya dan meminta maaf kerana mengejutkan Wina tanpa sengaja.
“Tak kerja?”. Soal Wina bila Jian hanya tercegat berdiri dihadapan. Terasa kekok dibuatnya.
Jian mengeleng. “Tak kerja?”. Soalnya semula. Wina tersengih sedikit walaupun serasanya hendak lari sahaja dek kerana perasaan malu dan kekok. Dia mengeleng perlahan.
“Boleh tahu siapa lagi menyewa dalam rumah ni?”. Soal Jian dengan senyuman nipis. Namun disebalik senyuman itu ada sesuatu yang tidak kena pada pandangan Wina. Malah soalan Jian itu adalah soalan yang sama ditanya kepada Mok semalam. Mindanya teringat kejadian malam semalam. Kebetulan pada waktu tersebut dia hendak keluar minum air di dapur dan terdengar perbualan singkat antara Mok dan Jian. Soalan yang sama Jian bertanya kepadanya kini telah ditanya pada Mok pada malam tadi. Bulu romanya tiba-tiba meremang. Lengannya diusap-usap. Dia memarahi dirinya sendiri dek kerana suka berfikir buruk mengenai orang. “Kau ni Wina!”. Gumam Wina.
“Kuna bagitahu ada ramai tinggal dekat sini..”. Jian menambah. Sepertinya dia dapat mengagak yang Wina tidak selesa dengan soalannya.
“Ha. Ada Cempaka!. Tak jumpa Cempaka lagi kan?”. Soal Wina kembali. Hilang sudah perasaan ragu-ragunya dengan Jian bila mendengarkan nama Kuna. Jian mengangguk.
“Cempaka. Lain?”. Soal Jian kembali. Kini air mukanya sedikit berubah. Senyumannya tadi entah kenapa sepertinya kelihatan pudar sedikit. Wina mengangkat keningnya pelik. Sekali lagi soalan yang sama dia dengar lewat malam tadi. Bulu romanya kembali meremang. Terasa nyeri satu badan. “Lain?”. Soal Wina semula tersekat-sekat. Memancing lelaki dihadapannya itu untuk memberi jawapan. Walaupun tangannya sudah berasa sejuk. Tapi Jian tidak menjawab. Dia tersenyum sebelum memusingkan badannya hendak berlalu pergi.
“Oh Uyaa!”. Tutur Wina dengan sedikit terjerit. Bukan sengaja dia hendak terjerit begitu tapi dek kerana perasaan takut yang menyelubungi dirinya pada ketika itu jadi tidak terkawal intonasi suaranya. Namun kata-katanya itu berjaya membuat Jian berpaling semula kearahnya dan berjalan beberapa tapak mendekati. Wina mengerling kearah rak yang teratur susunan pisau pelbagai saiz disebelah kirinya yang agak jauh tapi masih boleh dicapai jika perlu. “Kalau kau buat aku, aku cucuk muka kau dulu”. Wina sudah berkira-kira kalau Jian hendak apa-apa kan dia.
“Tak pernah nampak dia pun”. Soal Jian. Masih dengan senyuman di wajahnya. Tapi Wina sepertinya sudah hilang kesemua darah dimukanya bila Jian menunjukkan minat ketika mendengarkan nama Uyaa. “Dia bekerja luar kawasan. Lusa dia balik”. Jawab Wina laju. Cuba mengawal ekspresi mukanya. Dia cuba membaca reaksi wajah Jian pada waktu tersebut. Tapi wajah Jian cukup bersahaja.
“Kau kenal Uyaa?”. Soal Wina tiba-tiba. Entah macam mana soalan itu boleh meluncur laju dari bibirnya. Dia mengetap bibirnya kuat. Wajah Jian sedikit berubah mendengarkan soalan Wina, lagaknya seperti tertangkap oleh Wina. Jian mengeleng perlahan sebelum berlalu pergi. Tidak mahu meneruskan perbualannya dengan Wina.
Wina mengecilkan matanya menghantar pemergian Jian dari meneruskan perbualan antara mereka. “Pelik ni”. Tuturnya perlahan. “Kena beritahu yang lain ni”. Dia pantas berjalan ke biliknya. Baru saja beberapa hari lelaki itu tinggal bersama mereka satu aura negatif sudah dapat dirasai dari Jian. Hatinya mula risau jika Jian bukan baik seperti yang disangkakan oleh mereka. Keputusan gila mereka membenarkan orang asing yang dikenali tidak lebih dua hari tinggal bersama sudah cukup menjadi alasan untuk perasaan risau dan takutnya mengunung. Jika begini dua bulan hendak bertahan juga sudah cukup bahaya. Dia perlu beritahu yang lain secepat mungkin tentang apa yang dia rasakan mengenai Jian. Biarlah Kuna hendak bermasam muka sekalipun dengannya.
Wina berjalan mundar mandi di ruang tamu rumah sambil diperhatikan oleh dua lagi rakannya. Mok dan Kuna yang sudah pun duduk di atas sofa sejak tadi memerhatikan tingkah laku Wina mengelengkan kepala mereka tidak mengerti dengan kelaku Wina. “Kau jadi macam ni sebab soalan dia ke?”. Soal Mok tidak tahan dengan Wina. Pulang saja dia dan Kuna ke rumah selepas sesi temuduga terus disergah oleh Wina dan meminta mereka untuk terus duduk diruang tamu sambil menanti kepulangan Cempaka. Katanya ada perkara yang hendak dibincangkan. Tapi setelah didesak oleh Kuna akhirnya Wina membuka cerita mengenai perbualannya dengan Jian tengah hari tadi. Mok agak terkesan dengan apa yang diceritakan oleh Wina. Ada logiknya kerisauan rakannya itu. Tambahan pula semasa perbualan ringkas antaranya dan Jian lewat semalam juga terasa ada sesuatu perasaan yang kurang enak. Tapi dia cuba untuk tidak ambil pusing. Tidak mahu menambah kerisauan Wina. Lagi pula mungkin saja Jian benar-benar sekadar bertanya cuba merapatkan diri dengan mereka.
Kuna pula sudah menarik muka sedikit bila Wina mula sangsi buruk mengenai Jian. Tambah pula bila Wina mengaitkan nama Uyaa. Cemburu barangkali. Sebaik saja bunyi pintu pagar besi dibuka Wina pantas berlari ke arah pintu mendapatkan Cempaka. Ditariknya Cempaka kearah ruang tamu sebelum menyuruhnya untuk duduk. Kini Wina sudah pun berdiri dihadapan mereka bertiga. Dia menarik nafas panjang. Menceritakan sekali lagi mengenai kejadian antaranya dengan Jian. Mok dan Kuna hanya menadah telinga.
“Dia takda dekat rumah?”. Soal Cempaka. Mukanya nampak sedikit penat. Wina menjengilkan biji matanya. “Gila aku nak cakap buruk pasal dia kalau dia ada dekat rumah!”.
“Itu laa orang lain sibuk cari kerja kau buat kerja jahat ambil cuti sakit walaupun tak sakit”. Mok mengusik. Wina mencebik sebelum mengerling kearah Kuna yang mengelengkan kepalanya bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Mok kepadanya.
Suasana sepi seketika sebelum Mok tiba-tiba bersuara. Air mukanya tiba-tiba berubah serius. Teringat kembali kejadian malam semalam. “Sebelum dia datang berbual dengan aku. Aku nampak dia berdiri depan bilik Uyaa”. Tutur Mok sambil memandang muka Cempaka. “Lama dia berdiri situ”. Tambah Mok lagi. Masing-masing kembali diam bila mendengar apa yang diceritakan oleh Mok. Wina mengambil tempat duduk disebelah Cempaka menghadap Mok dan Kuna. Dia menguis lengan Cempaka yang hanya mendiamkan diri tidak bersuara sejak tadi.
“Aku rasa tak sedap hatilah Cempaka”. Wina bersuara lagi. Mok menjeling sedikit kearah Wina memberikan isyarat yang Kuna sudah pun diam seribu bahasa. Kuna mendengus perlahan. “Sebenarnya aku pun rasa yang sama. Maaf korang. Sebab aku satu masalah datang lagi”. Akhirnya Kuna menutur kata maaf.
“Ha.. Aku kata dah. Sekarang baru nampak kan. Tu la lain kali dengar cakap kami Kuna!”. Bebel Wina. “kau tahu tak kerja gila ni kita tengah buat. Kerja gila!”. Tambahnya lagi masih tidak puas hati.
Cempaka menarik nafas dalam. Penatnya ditempat kerja masih terasa. Lelaki bernama Jian itu dia masih belum punya berpeluang untuk bersua muka. Kini Wina dan Mok sudah pun bercerita yang tidak enak. Dia mengurut-ngurut bahu kanannya sambil mindanya menerawang jauh memikirkan penyelesaian bagi masalah mereka. Tapi sepertinya mindanya tepu pada waktu tersebut. Masalahnya terlalu banyak.
“Aku dan Mok dah lihat sendiri perangai aneh dia. Kuna pun mengaku yang dia rasa ada sesuatu yang tak kena dengan Jian. Cuma kau je yang belum berjumpa dengan dia Cempaka”. Wina menambah lagi bila Cempaka masih lagi mendiamkan diri. Kuna mengambil duduk diselah Cempaka sebelum mengurut-ngurut kedua-dua bahu Cempaka. Cempaka tersenyum lebar. Terasa lega sedikit bahunya.
“Kita dah setuju untuk dia tinggal sini. Lagi pun dia dah bayar sewa. Takkan kita nak halau dia keluar?”. Soal Cempaka. Masing-masing diam dengan apa yang dikatakan oleh Cempaka. Mereka sendiri yang setuju untuk membiarkan Jian tinggal di rumah itu dengan perjanjian untuk bantu membayar sewa bulanan rumah yang tertangguh. Tak akan dia hendak menghalau Jian keluar begitu saja dek kerana perasaan sangsi.
“Dia dah bantu kita lebih dari sepatutnya. Kalau kita suruh dia keluar dari rumah ni dan Mak Wati dapat tahu apa yang kita buat sekarang. Aku tak tahu bencana apa yang akan jadi nanti.”. Mok mencelah tiba-tiba. Pandangannya jatuh ke wajah Cempaka yang sedang termenung. Jian sudah bantu mereka menyelesaikan permasalahan antara mereka dengan Mak Wati tanpa wanita keparat itu tahu yang mereka membenarkan Jian tinggal disini. Kini tiba giliran mereka untuk membantu lelaki itu tapi mereka mahukan dia keluar dari rumah pula setelah baru dua hari Jian tinggal dirumah mereka.
“Esok Uyaa balik kan?”. Soal Kuna. Cempaka mengangguk. “Kita tunggu Uyaa?”. Soal Kuna. Wina menepuk tangannya kuat tidak menyangka yang Kuna akhirnya akan mengeluarkan idea bernas begitu. “Betul!. Kita tunggu Uyaa balik. Kita tengok betul atau tidak yang Jian kenal dengan Uyaa”. Tutur Wina. “Betul. Aku pun rasa macam tu”. Tambah Mok. Hanya Uyaa saja yang akan menjadi penentu syak wasangka mereka kepada Jian.
“So kita tunggu Uyaa?”. Soal Cempaka memastikan. Masing-masing mengangguk bersetuju. Cempaka mengukir senyuman lega. Sekurangnya masalahnya selesai buat seketika.
Share this novel