Asyraf mengeluarkan kunci rumahnya dari dalam poket seluarnya. Kepalanya terasa sedikit senak. Mungkin terlalu banyak perkara yang dia fikirkan. Tambahan pula sejak dari pagi tadi dia lansung tidak sempat untuk berehat. Sebaik saja pintu dibuka dari luar Asyraf mengorak langkah masuk kedalam rumahnya sebelum mengunci dari dalam. Bunyi guruh dan kilat yang semakin kuat membuatkan Asyraf berasa sedikit tidak sedap hati. Dia membuka lampu ruang utama tapi tidak menyala. Asyraf menghela nafas berat. Suis kipas juga tidak berfungsi. Dia menyelak langsir sebelum menjengah keluar. Rintik hujan sudah kelihatan. Asyraf berjalan kearah biliknya dalam keadaan samar-samar hinggalah langkah kakinya terhenti.
“Siapa kau?”. Soal Asyraf. Suaranya bergetar. Satu susuk tubuh sedang berdiri tidak jauh darinya. Wajahnya tidak dapat dilihat disebabkan oleh kegelapan. Soalannya tidak berjawab dan susuk tubuh itu masih berdiri di tempat yang sama. Tidak berganjak.
“Siapa kau?”. Jerit Asyraf kuat. Dia memegang baju dan seluarnya mencari sesuatu agar boleh dijadikan senjata pertahanan. Namun usahanya gagal. Sepertinya dia sudah dapat mengagak tujuan susuk tubuh itu berada di dalam rumahnya. Fail copy 6District masih ada di dalam keretanya di simpan rapi di dalam begnya. Asyraf menelan air liurnya yang terasa kasar. Dahinya mula merenek peluh ketakutan. Dia tidak pasti bagaimana pengakhirannya malam itu tapi dia harus cepat keluar dari situ.
Seraya itu kakinya laju mendapatkan pintu rumahnya dan memulas tombol pintu selaju mungkin. Sebaik saja kaki kanannya melangkah keluar badannya ditarik kuat dari arah belakang hinggakan dia hilang keseimbangan dan tersembam keatas lantai. Rahang kanannya terasa sakit yang teramat. Kepalanya terasa berpinar. Susuk tubuh itu kemudian merapatinya perlahan-lahan. Asyraf cuba mengangkat kepalanya. Sebelum satu pukulan hinggap dikepalanya. Segalanya kelam.
Long Ani berjalan laju memasuki laman rumah Lebai Ali iaitu ayah kepada Asyraf. Rumah peninggalan orang tuanya itu. Sinaran cahaya kilat dan juga bunyi guruh yang kuat membuatkan bulu romanya merinding. Tapi hatinya tetap ingin mengetahui apa benar Cempaka ada dirumah Aysraf atau Asyraf memang ada berjumpa dengan anaknya itu dalam diam. Long Ani menolak pintu rumah yang separa tertutup tidak berkunci. Baru saja dia hendak membuka mulut. Kakinya terasa lemah. Dia jatuh terjelepok keatas lantai bersama payung yang dipegangnya. Tubuhnya mengigil.
Dia mengagahkan dirinya mengesot mendekati susuk tubuh Asyraf yang terbaring kaku diatas lantai di tengah ruang rumah. Darah merah pekat mengalir dari tubuh itu. Long Ani menjerit kuat sebelum mulutnya ditekup dari arah belakang. Matanya menjengil merah ketakutan. Badannya mengigil kuat.
“Shhhh….”. Bunyi satu suara betul-betul ditelinga kanannya. Long Ani memegang tangan yang menekup mulutnya. Meronta untuk dilepaskan tapi kekuatannya tidak mampu menandingi kekuatan tubuh tu yang memeluknya kuat dari belakang. Matanya mula berair ketakutan.
Long Ani membiarkan lelaki itu mengikat tangan dan kakinya dan menutup mulutnya dengan kain. Air matanya menderas keluar. Tubuh Asyraf yang sudah tidak bergerak lagi dipandangnya tanpa lepas. Pandangannya dialihkan kearah susuk tubuh tidak dikenalinya yang sedang membelakanginya. Sibuk membersihkan kesan darah Asyraf yang mengalir sejak dari tadi.
Lelaki itu kemudian datang merapatinya sebelum menarik kakinya yang berikat. Long Ani meronta cuba untuk melepaskan diri dari gengaman lelaki itu. Kepalanya ditarik kuat sebelum wajahnya betul-betul dihadapan lelaki itu. Kain yang diikat dimulutnya dibuka. Mulutnya ingin menjerit meminta pertolongan tapi suaranya tersekat. Lelaki itu mendekatkan wajahnya ketelinganya. Membisikkan sesuatu sebelum bibirnya tersenyum herot. Seraya itu Long Ani menjerit bagaikan gila namun suaranya seakan hilang. Lelaki itu lansung tidak terkesan. Dia bangun berdiri menghadap Long Ani yang sedang meronta ronta sebelum dia mengeluarkan sebilah pisau dari poket jaketnya.
Share this novel