“Duduk”. Thamin mempelawa Jian untuk duduk dihadapannya. Air teh panas yang masih berasap disisipnya sedikit. “Makan..”. Thamin mempelawa Jian lagi sekali untuk makan bersamanya bila melihatkan Jian yang hanya tercegat berdiri tidak jauh darinya. Jian bergerak perlahan menghampiri Thamin sebelum mengambil tempat duduk dekat dengannya. Jam di dinding menunjukkan sembilan pagi masih terlalu awal untuk kedatangan Jian kerumahnya pada pagi itu. Tambahan pula hari tersebut merupakan hari sabtu. Ada sesuatu yang Jian ingin bincangkan dengannya. Lewat malam semalam Jian menelefonnya untuk berjumpa pada hari ini. Dia dapat mengagak ada sesuatu yang penting ingin diberitahu kepadanya. Sepertinya dia sudah dapat meneka awal-awal lagi apa yang ingin Jian bincangkan dengannya pada pagi itu.
Nasi lemak yang dihidangkan dihadapannya dimakan beberapa sudu sebelum dia meletakkan sudu dan garfunya di tepi. Dia melihat wajah Jian yang masih menunduk dan hanya mendiamkan diri. Air teh dan nasi lemak yang dipelawanya untuk makan tidak berusik.
“Kenapa kamu hendak berjumpa harini?”. Soal Thamin sambil mengelap mulutnya dengan kain yang disediakan diatas meja. Jian mengangkat wajahnya memandang wajah Thamin yang memandangnya serius. Bibirnya bergerak-gerak sedikit tapi dia tidak tahu bagaimana hendak memulakan kata.
“Raisa dah tahu perkara yang sebenar”. Akhirnya Jian membuka mulut.
Thamin berdehem sedikit. “Jadi dia dah tahu Banan dan Jian adalah orang yang sama?”. Soal Thamin kembali dan soalannya itu disambut oleh anggukan. Thamin menyandarkan tubuhnya ke kerusi dan kakinya disilangkan. Tiba-tiba saja dia hilang selera setelah mendengar berita itu. Dia dapat mengagak yang Raisa sudah pun jelas mengenai kedudukan Jian di dalam agensi setelah Raisa berjumpa dengannya lewat pagi kelmarin.
Raisa sudah tahu yang Jian dan Banan adalah orang yang sama. Malah sebelum itu lagi Paswi juga sudah memberitahu kepadanya yang Jian sudah pun berpindah rumah dan tinggal bersama dengan Raisa. Tapi dia pura-pura tidak tahu dan tidak bertanyakan hal itu kepada Jian. Selepas saja dia berjumpa dengan Raisa pada pagi itu dia menelefon Jian memberitahu akan hal itu. Apabila Jian bertanya kepadanya untuk apa Raisa berjumpa dengannya dia tidak menjawab. Sengaja hendak melihat sejauh mana lelaki itu hendak berahsia dengannya. Dia mahu lihat apa yang Jian rancangkan sebenarnya.
“Saya yang berjumpa dengannya”. Tutur Jian. “Kenapa?”. Soal Thamin laju dengan nada sedikit meninggi. Dia masih tidak faham dengan tujuan Jian. Tujuh tahun dia membantu menyembunyikan identiti lelaki itu. Kenapa sekarang dia semudah itu membuka rahsia sendiri.
“Saya nak berhenti bekerja dari agensi”. Jian memberitahu walaupun bibirnya terasa berat ketika menuturkan kata. Memberitahu niatnya yang sebenar untuk berhenti dari bekerja dari agensi. Wajah Thamin yang terkejut dipandangnya tanpa lepas. Perasan takut mula mengular didalam dirinya. Dia mengengam tangannya kuat. Rahangnya bergerak-gerak. Tidak dapat menebak reaksi yang bakal diberikan oleh Thamin. Namun tindakan Thamin yang tiba-tiba tertawa halus membuatkannya sedikit keliru. Thamin bangun berjalan mendekati Jian.
“Semudah itu?”. Soal Thamin. Jian tahu yang Thamin tidak akan semudah itu melepaskannya. Tidak selepas dia bekerja dengan lelaki itu setelah sekian lama dan terlalu banyak rahsia Thamin yang dia ketahui. Ini adalah satu pengkhianatan terbesar bagi Thamin. Orang yang dianggap sebagai perisainya hendak berhenti dan pergi meninggalkannya. Lelaki yang disuap dan dijaga sejak tujuh tahun lepas tiba-tiba hendak menghentikan segalanya. Thamin pasti akan cuba membunuhnya jika dia tidak pandai mengatur langkah. Jadi dengan itu dia perlu menawarkan sesuatu sebagai gantian.
“Saya ada satu tawaran untuk Tuan”. Jian memberanikan diri.
“dan pulangan untuk tawaran tersebut?”. Soal Thamin semula. Masih memandang wajah Jian yang sedang menunduk tanpa kelip. Matanya sedikit memerah.
“Lepaskan saya dan Raisa. Biarkan kami pergi”. Jawab Jian. Dia menikam anak mata Thamin.
Thamin mengangguk. “Bergantung pada tawaran tersebut. So what it is?”. Soal Thamin. Dia kembali duduk diatas kerusinya menyandarkan tubuhnya sambil memandang Jian.
“Yesa..”. Tutur Jian sebelum terhenti seketika. Kening Thamin terangkat sebelah. “Raisa dan Arta sedang siasat mengenai kes kematian Madam Jane”. Sambung Jian lagi.
Thamin mendengus kuat. Pandangannya dialihkan dari Jian. Dia sudah tahu akan hal itu dari Paswi bila mana Raisa tertangkap mengambil dokumen laporan kematian Madam Jane. Sejak itu dia sudah dapat mengagak yang Yesa masih belum berhenti unuk membuktikan bahawa dialah pembunuh sebenar Madam Jane. Pipinya bergerak-gerak sepertinya sedang menahan marah.
“Madam Jane ada siasat mengenai Kampung Bidadari. Projek 6District. Arta sedang cuba dapatkan fail tersebut dan Raisa..”. Jian terhenti disitu. “Raisa?”. Soal Thamin. Pandangannya dialihkan kembali kepada Jian.
“Dia tahu yang Paswi dihantar untuk bunuh Madam Jane dan dia tak akan berhenti selagi Paswi tidak ditangkap”. Sambung Jian.
Thamin menghela nafas berat. Dia mendiamkan diri seketika menekur meja dihadapannya. “Jadi ada fail mengenai Projek 6District yang aku tak tahu?”. Soal Thamin. Jian mengangguk mengiakan. Kali terakhir dia berjumpa dengan Madam Jane sebelum kematian wanita itu Madam Jane secara terang-terangan menyuruhnya untuk menghentikan projek haramnya itu. Tapi dia tidak menyangka yang Madam Jane sudah pun mengumpul maklumat dan bukti sebanyak itu untuk menjatuhkannya.
“Fail tersebut ada dengan siapa?”. Soal Thamin lagi. Kini kerisauannya lebih tertumpu kepada fail tersebut. Jika fail itu berjaya diperolehi oleh Arta dan seterusnya jatuh ke tangan Yesa dia sudah tidak akan punya jalan keluar lagi.
Jian mengelengkan kepalanya. “Tidak ada seorang pun tahu. Arta juga masih mencari”. Jian memberitahu perkara yang sebenar. Fail 6District yang dikatakan oleh Arta dan Raisa itu masih belum benar-benar wujud seperti diperkatakan. Mungkin saja ianya helah Yesa untuk memerangkap Thamin.
“Lewat petang semalam Arta ada di safe house”. Tambah Jian lagi.
Thamin bermain-main dengan jarinya sendiri. Fail 6District yang belum tentu kewujudannya dan jika Arta gagal mendapatkan fail tersebut Yesa akan mula jadikan Paswi sebagai sasaran. Yesa akan lakukan apa saja agar Paswi buka mulut. Malah bukan kes kematian Madam Jane sahaja yang akan terbongkar. Kes sulit seperti Eri Suria dan Rekan juga kemungkinan besar akan dikorek dari mulut Paswi sebelum Yesa benar-benar puas hati. Yesa akan buat apa saja agar the founder benar-benar yakin dia adalah antagonis yang sebenar dalam penceritaannya.
“Jadi apa yang kau nak dari aku?”. Soal Thamin. Jika dia tidak menang dalam pertarungan ini dia akan kehilangan segalanya dan Yesa akan menang. Malah bukan sahaja impiannya untuk menjadi pucuk pimpinan baru agensi musnah malah lebih dari itu. Dia akan hilang segala-galanya.
“Bunuh Paswi dan hapuskan semua bukti sebagai pulangan keselamatan Raisa”. Cadang Jian.
Thamin tergelak kuat. “Jadi kau nak aku buat semua kerja kotor dan sebagai tukaran kepada keselamatan Raisa?”. Soal Thamin. Lagi pula terlalu rugi baginya hendak membunuh Paswi. Tapi Jian pantas menidakkan.
“Saya akan buat semuanya”. Jawab Jian. Thamin tersenyum. Puas hati dengan tawaran Jian. Dia menepuk bahu Jian dengan senyuman yang meleret. “Baik”. Thamin memberi kata putus. Dia tersenyum lebar. Jian akan membunuh Paswi tapi masalahnya tidak akan selesai disitu selagi Raisa dan Arta mencari bukti kepada kerja haramnya dan juga kaitannya dengan kematian Madam Jane. Dia harus mengikat dan merantai Raisa dengan sesuatu. Perjanjiannya dengan Jian mengenai keselamatan Raisa sudah tentu dia akan tepati tapi dia tetap perlu mengikat Raisa. Raisa bukan semudah itu akan mengikut kata Jian. Dia yakin. Dia perlukan sesuatu sebagai perisai jika rancangan Jian tidak menjadi dan Raisa memilih untuk meneruskan segalanya.
Share this novel