BAB 15

Crime Completed 2168

Arta menarik nafas dalam dan kemudian pandangannya dialihkan kearah Yesa yang sedang merenung kearahnya dengan dahi yang berkerut. Lama dia perhatikan membiarkan Yesa hinggalah dia akhirnya berdehem sedikit.

“Jadi kes terbaru ni mengenai apa?”. Soal Arta menghentikan lamunan Yesa. Dia sudah tahu mengenai kematian mengejut Madam Jane dan sangkaannya mengenai Yesa menyuruh Raisa untuk menyelidik akan hal tersebut secara sulit tepat sekali. Yesa tidak akan berdiam diri malah dia tidak akan membiarkan kes kematian Madam Jane dikuburkan begitu saja. Dua minggu lepas dia juga ada mendengar mengenai tekanan dari pihak the founder yang inginkan pucuk pimpinan baru mengantikan Madam Jane. Dua bulan sudah sejak kerusi pucuk pimpinan agensi itu kosong dan selama itu jugalah perpecahan kuasa antara Yesa dan juga Thamin makin terasa. Masing-masing sudah menunjukkan belang dengan siapa mereka berpihak.

Yesa dan Thamin tidak akan duduk diam. Tidak semudah itu. Bahkan sejak Madam masih ada lagi perpecahan antara dua kuasa itu sudah terasa. Tapi dia tidak menyangka yang Yesa akan menariknya untuk berada di sisinya. Dia sangkakan Thamin akan mencarinya dahulu. Membuat satu perjanjian yang boleh memberikan hasil dan keuntungan buatnya jika dia mengikut apa yang Thamin mahukan. Dia tidak pelik jika Thamin berbuat begitu kerana itulah Thamin sejak awal lagi. Tapi Yesa?. Arta menelan air liurnya kasar.

“Madam Jane ada kendalikan projek sulit. Projek 6District”. Tutur Yesa bila Arta menunjukkan riak berminat untuk berkerja semula dengannya. Arta mengalihkan pandangannya. Jadi ini semua ada kena mengena dengan projek sulit. Gumamnya.

“Kamu tahu mengenai organisasi anak yatim milik Thamin?. Kampung Bidadari?. 6District?”. Soal Yesa bertalu-talu. Arta mengangguk sedikit. Mana mungkin dia tidak tahu mengenai organisasi milik Thamin itu sedangkan separuh dari mereka yang bekerja di agensi sekarang adalah datangnya dari organisasi yang menyelia anak yatim itu. Rumah anak yatim yang terletak di enam daerah yang berbeza dan dikendalikan oleh Thamin merupakan salah satu organisasi terbesar yang mengendalikan anak yatim. Tapi dia tidak mengerti kenapa Madam Jane perlu campur hal dengan organisasi itu sedangkan mereka merupakan sumber terbesar agensi untuk agen latihan baru dan juga staf-staf yang bekerja di agensi.

Pada asalnya agensi hanyalah satu organisasi kecil rahsia yang ditubuhkan oleh Sarah Jane dan juga Razak Iberahim. Mereka mengambil upah dan dibayar untuk melakukan apa sahaja yang diminta oleh klien mereka hinggalah Sarah Jane iaitu Madam Jane dan juga Razak akhirnya mampu membina empayar. Empayar rahsia yang memerlukan tembok perisai dan perisai itu adalah Kampung Bidadari. Thamin diberikan kepercayaan untuk mengendalikan organisasi Kampung Bidadari untuk menyelia anak yatim dan Thamin berjaya menubuhkan enam buah rumah anak yatim di enam daerah yang berbeza. Cukup besar dan cukup berkuasa.
“Bukan Kampung Bidadari adalah organisasi yang dilindungi oleh agensi?”. Soal Arta. Keningnya bertaut.

Yesa menganggukkan kepalanya perlahan sebelum menarik nafas dalam.
“Madam Jane dapat maklumat yang Thamin ada kendalikan satu projek rahsia disebalik organisasi tersebut. Projek yang agensi tidak pernah tahu”. Yesa berjeda seketika.

Arta terdiam. Dia tidak terkejut tapi dia juga tidak menyangka yang Thamin mampu pergi sejauh itu. Melakukan sesuatu yang terlalu tinggi risikonya. Kampung Bidadari yang sudah bertapak hampir sepuluh tahun. Dia tidak dapat membayangkan berapa ramai yang sudah terkorban.

Arta termenung menekur lantai memikirkan mengenai Madam Jane dan juga Thamin. Entah kenapa dia terasa geli hati dengan situasi pada ketika itu. Dia tidak dapat memilih antara Madam Jane dan Thamin siapakah yang lagi pentingkan diri, gila kuasa dan juga licik. Dia tergelak halus. Hujung bibirnya terangkat. Yesa memandang tidak mengerti.

Madam Jane yang melindungi organisasi milik Thamin kerana ianya merupakan perisai bagi organisasi rahsia kepunyaannya. Malah kerana keperluan agensi untuk perisik-perisik latihan baru dan juga staff-staff agensi. Jika ditanya kenapa Madam Jane memilih anak yatim?. Jawapannya mudah. Kerana mereka tidak mempunyai keluarga lain selain agensi dan organsasi anak yatim yang menjaga mereka sejak kecil. Bak kata Madam Jane. Dia sangat mementingkan kesetiaan. Umpama anjing. Mereka akan makan apa saja yang diberikan. Jika ianya bangkai sekalipun.

Thamin?. Dia tidak pelik jika Thamin mula melakukan kerja kotor dibelakang agensi. Dia sudah pun punya reputasi yang baik di mata masyarakat sebagai pengasas Kampung Bidadari. Mengunakan anak yatim yang tidak mempunyai sesiapa untuk projek sulitnya yang boleh membahayakan nyawa mereka?. Apalah sangat jika hendak dibandingkan dengan kejayaan yang akan diperoleh jika satu hari ini projek tersebut berjaya. Malah mungkin Madam Jane juga akan bertepuk tangan dan membersihkan segala sisa kotor yang Thamin lakukan dibelakang. Walaupun Madam Jane pada asalnya menentang hebat pengunaan anak-anak yatim tersebut.

Yesa?. Itu belum lagi mengenai lelaki yang sedang duduk dihadapannya itu. Mungkin belum tiba masanya lagi untuk segala perbuatan jahatnya terbongkar. Arta tersenyum sinis. Agensi yang dibina dengan motto demi keadilan sejagat sedangkan mereka dibayar oleh mereka yang punya wang untuk melakukan sesuatu tidak mengira siapa yang salah atau betul. Seolah mencabar hukum alam. Ironik sekali baginya.

Arta memandang wajah Yesa yang masih memadangnya pelik. Keningnya berkerut-kerut. “Jadi sekarang apa yang perlu saya buat?”. Soal Arta. Yesa menarik satu lagi sampul surat sebelum diberikan kepada Arta.

“Kita perlu buktikan yang Thamin adalah dalang kematian Madam Jane”. Tutur Yesa. Matanya bersinar penuh pengharapan. Arta membuka sampul tersebut. Beberapa fail mengenai organisasi milik Thamin.

“Kita perlu cari saksi atau bukti. Kamu perlu cari fail 6District yang Madam Jane simpan”. Sambung Yesa lagi. Arta mengangguk tanda dia cukup mengerti apa yang perlu dilakukan. Dia tidak pasti sejauh mana kebenaran Thamin adalah dalang kepada kematian Madam Jane dan bagaimana Yesa boleh percaya yang Thamin adalah dalangnya. Tapi jika dengan menemukan fail 6District tersebut dapat membongkarkan segalanya dia tidak akan teragak-agak untuk melakukannya. Untuk sekarang dia memilih untuk mengikut apa yang Yesa minta. Selebihnya dia akan menunggu dan lihat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience