Wina mengerdipkan matanya beberapa kali sebelum pandangannya dialihkan kearah Kuna yang sedang berdiri tegak umpama patung cendana disebelah kanannya. Ternyata Kuna juga sama sepertinya sedang berdiri keras kaku dek kerana terkejut. Mok yang sedang berdiri di sebelah kirinya juga turut tegak berdiri diam tak berkutik.
“Betul ke yang ni Wina?”. Soal Kuna berbisik di telinga Wina. Matanya masih lagi tidak lepas memandang sekujur tubuh yang berdiri dihadapan mereka bertiga. Wina mencerlung memadang wajah Kuna. Boleh Kuna bertanya soalan begitu kepadanya sedangkan sebelum ini Kuna sendiri yang meroyan bagai hendak gila mempertahankan keputusannya untuk membiarkan lelaki bernama Jian itu tinggal bersama mereka. Sudahnya sekarang dia bertanya kepadanya seperti tidak kenal akan lelaki itu. Mahu saja dia menyekeh kepala Kuna.
Tapi bila wajah Kuna yang kuning langsat itu memandangnya tanpa kelip Wina tidak jadi hendak marah. Dia mengangguk sedikit memberikan kepastian. Walaupun sebenarnya dia juga turut samar-samar dengan wajah sebenar Jian. Ini kali kedua dia berjumpa dengan lelaki itu sejak pertemuan pertama mereka ketika dia membantu Kuna tempoh hari. Segalanya berlaku dengan begitu cepat. Serasa baru dua hari lepas lelaki itu menolong Kuna dan sekarang lelaki yang sama sudah terpacak dihadapannya. Dia bermain-main dengan jarinya sendiri. Didalam hatinya berbakul- bakul rungutan disebabkan oleh Cempaka yang tiada dirumah walaupun malam sudah menjengah. Sudahlah mereka buat kerja gila dengan membiarkan lelaki asing tinggal bersama!. Gumam Wina.
Kuna patut bersyukur kerana jiran mereka lebih memilih hidup tanpa bercampur gaul kalaulah mereka tinggal di kawasan perumahan yang punya kelab rukun tetangga yang aktif memang lunyai mereka berempat dikerjakan.
“Jian..” Akhirnya lelaki yang tinggi lampai dan berbadan sasa itu membuka mulut memperkenalkan dirinya. Tangan kanannya dihulur ke arah Wina.
Wina tersengih kambing sebelum menyambut hujung jari Jian dan cepat-cepat melarikan tangannya. “Bilik hujung sekali. Ikut ni terus je yaa”. Wina menunjukkan arah dengan tangannya. Mahu lelaki itu berlalu pergi dengan cepat. Terasa keras pipinya dek kerana senyuman yang dibuat-dibuat.
Jian mengangguk. Bibirnya mengukir senyuman ramah. Dia kemudian mengalihkan pandangannya kearah Kuna sebelum mengangguk sedikit. Kuna pula tersengih-sengih seperti kerang busuk. Mahu saja Wina mencepuk kepala kawannya itu.
“Takda baju elok sikit ke dia nak pakai?”. Bisik Mok yang sedari tadi mendiamkan diri ditelinga Wina mempersoalkan lelaki dihadapan mereka yang mengenakan T-shirt dan seluar paras lutut berwarna hitam. Wina menguis lengan Mok yang berdiri disebelah kirinya. Matanya dibulatkan ke arah Mok memberi isyarat untuk tidak bercakap yang tidak patut. Tapi sepertinya Mok mempersetankan saja amarannya itu.
“Wow! Tatu”. Tutur Mok sekali lagi. Wina menjengilkan biji matanya. “Diam Mok”.
Jian memberikan isyarat untuk berlalu pergi bersama satu bagasi kecil miliknya. Wina cepat-cepat memberikan kunci bilik dan menyuruhnya untuk berehat. Sebaik saja bunyi pintu bilik dikatup rapat Wina menghela nafasnya berat. Dia mengurut dadanya. Kuna dan Mok sudah pun terduduk di atas sofa di ruang tamu. Lagaknya seperti baru lepas berlari maraton. Wina berjalan laju kearah dapur mengambil segelas air dari peti sejuk. Dia kemudian mendapatkan Mok dan Kuna yang sudah duduk tersandar di sofa. Air di tangan bertukar tangan. Mok dan Kuna masing-masing menyisip sedikit air.
“Hensem”. Kuna tiba-tiba bersuara. Wina membaling bantal kecik bersaiz segiempat ke arah Kuna tapi pantas ditangkap gadis itu. Masih sebal dengan perangai Kuna.
“Macam mana kau orang boleh…”. Kata-kata Mok terhenti disitu. Dia mengaru kepalanya yang tidak gatal.
“Kau jangan tanya aku. Kau tanya Kuna kenapa dia boleh lembut hati dengan mamat tu. Entah kena tiup ke apa tu yang meroyan sangat”. Wina sudah menceceh. Lega rasa dia dapat lepaskan geramnya terhadap Kuna. Kuna sudah masam mencuka mendengarkan bebelan Wina.
“Tak Mok. Bukan macam itu. Masa aku dengan Wina jumpa dia masa hari itu. Dia nampak normal”. Jelas Kuna. Suara Kuna yang kedengaran jujur dan ikhlas. Wina membetulkan duduknya sedikit masih tidak puas hati dengan penjelasan Kuna.
“Kau je yang tak normal. Aku tengok dia sama je”. Balas Wina.
Mok diam mendengarkan penjelasan Kuna.”Yang penting dia gay”. Tutur Mok. ”Tak payah risau lah. Benda dah jadi. Sebulan je. Yang penting dia bayar sewa bulan ni”. Mok menambah lagi. Sekeras dan sebaran Mok pun dia tahu bila masa dia patut berhenti dan menyejukkan keadaan. Mungkin atas sebab itulah mereka masih lagi berkawan rapat hingga ke hari ini.
Kuna hanya mendiamkan diri. Wina berdehem sedikit menarik perhatian Kuna yang termenung menekur lantai.
“Eh call Cempaka sekarang!”. Mok tiba-tiba menyuruh. Dia mula membebel bila Cempaka masih belum pulang kerja walaupun jam sudah menandakan sembilan malam. Kuna mengambil telefon bimbitnya sebelum menelefon Cempaka tapi panggilannya tidak berangkat. Selang beberapa saat bunyi deringan mesej dari Cempaka memberitahu yang dia lambat kerana sedang berada dirumah Mak Wati membuatkan masing-masing mengeluh kuat.
“Kau cakap dekat Cempaka. Lima belas minit lagi kalau tak sampai aku pergi ambil dia dekat rumah Mak Wati”. Arah Mok. Kuna laju menaip mesej mengikut apa yang dikatakan oleh Mok.
“Aku baran betul dengan perempuan tu”. Sambung Mok lagi. “Dialah punca masalah kita ni. Aku rasa dia sengaja naikkan sewa rumah sebab dia tahu yang kau dengan Kuna dah tak bekerja”. Wina membuka mulut. Dia yakin Mak Wati memang sengaja hendak menyusahkan mereka dan juga Cempaka. Sebelum ini mereka lansung tidak punya masalah dengan pembayaran sewa rumah. Dia yakin kenaikan sewa rumah mereka secara mendadak ini selepas Mak Wati tahu Kuna dan Mok sudah hilang pekerjaan.
“Tiga hari lagi birthday Uyaa kan?”. Soal Kuna tiba-tiba bila dia teringatkan rakannya itu. Mok dan Kuna mengangguk mengiakan. “Lusa dia balik kalau tak silap aku”. Mok menambah.
“so…..”. Kuna tersengih nakal. “Apa plan kita kali ini!”. Soal Kuna dengan jeritan. Mok dan Wina bertukar pandangan. Masing-masing sudah merangka idea untuk mengenakan Uyaa sempena ulang tahun kelahirannya.
“Apa lagi!!!!”. Jerit Wina dan Mok serentak. Ruang tamu dipenuhi dengan suara gelak tawa mereka. Seronok memikirkan perancangan untuk menyambut kelahiran Uyaa.
Share this novel