BAB 8

Romance Completed 119020

Erin mencampak telefonnya ke atas katil. Tubuhnya dihempas kasar ke atas katil. Giginya diketap kuat. Dadanya turun naik mengumpul rasa sabar. Erin memejamkan matanya rapat cuba menahan rasa marah yang sedang menguasai dirinya.

Telefon yang dicampak tadi kembali berdering. Erin mencapai telefonnya, tetera nama Lion di skrin telefon. Sengaja dia menyimpan nombor Rayyan dengan nama Lion. Sesuai sangat dengan sikap memaksa dia dan langsung tidak pandai senyum itu.

"Apa lagi yang awak nak?" Tanya Erin kasar apabila menjawab panggilan itu.

"You boleh turun sekarang tak? Kita dah lambat ni!" Rayyan di bawah mula berasa bengang dengan sikap degil Erin.

"Wajib ke pergi?" Tanya Erin lagi membuatkan Rayyan di bawah sana sudah meluap-luap dengan rasa marah.

"ERIN AULYA! YOU TURUN ATAU I AKAN JEMPUT YOU DI BILIK?!" Seketika berdesing telinga Erin mendengar jeritan itu.

"Ye ye nak turun la ni. Tunggu la kejap!" Erin mencebik bibirnya. Dia terus memutuskan talian.

Baru sahaja panggilan ditamatkan terdengar pula ketukan pada pintu biliknya. Erin mengeluh kecil.

"Cepat siap sayang. Kesian Rayyan dari tadi tunggu kat bawah tu." Terdengar suara Puan Elisya dari luar bilik.

"Dah siap ni mama. Kejap lagi Erin turun." Balas Erin dari dalam.

"Yelah. Cepat sikit."

Erin tidak membalas. Baju kurung di atas katilnya dipandang. Ye hari itu dia akan ke kursus kahwin bersama Rayyan. Yang membuatnya bengang apabila Rayyan langsung tidak memberitahu tentang itu. Sampai sahaja di depan rumah, barulah Rayyan memberitahunya.

Sebaik masuk ke dalam kereta, Erin memeluk tubuh. Wajah Rayyan di sebelahnya dijeling tajam. Kalau ikutkan rasa marahnya mahu sahaja dia hempuk kepala Rayyan di stereng kereta itu. Biar bergegar otaknya.

"Kenapa awak tak bagitahu awal-awal pasal ni? Ni tak, hari ni nak pergi hari ni baru cakap!" Luah Erin marah.

"You tanya I kenapa I tak bagitahu awal-awal? Hey! I nak bincang dengan you benda ni sewaktu kita berada di Pulau Redang lagi. Tapi apa yang buat? Setiap kali I ajak you untuk bercakap, you selalu mengelak dari bercakap dengan I. Macam-macam alasan you bagi. You sanggup berkurung dalam resort dengan alasan tak sihat sebab you mengelak daripada I!" Jawab Rayyan turut berasa marah dengan sikap Erin. Selalu sahaja ingin persalahkan dirinya.

"Tapi awak boleh jer bagitahu dalam telefon. Tak perlu cakap depan-depan pun tak apa."

"You kenapa tak habis-habis dengan phone? You ingat perkara ni boleh main bincang dalam phone jer ke? Ye memang la phone tu penting, tapi tak semestinya boleh digunakan untuk berbincang hal macam ni! Kalau boleh buat macam tu dah lama I buat tahu? Tak perlu I penatkan diri I untuk pergi ambil dan hantar you balik. Tak perlu hadap perangai keras kepala you. Buat penat jer!" Rayyan menjeling Erin tajam. Rasa sabarnya semakin tipis.

"Tapi awak boleh jer cakap sepatah tentang ni. Tak perlu bincang panjang-panjang." Kata Erin lagi masih tidak berpuas hati.

"Persetankan dengan phone you tu! Okay kalau macam tu, apa kata kalau kita pergi kursus kahwin ni melalui telefon? Nikah melalui telefon? Nak sangat semua berurusan dengan telefonkan?!" Suara Rayyan naik seoktaf.

"Please la Erin, I tak minta banyak pun. I cuma minta you ikut sahaja. Hari tu you juga yang bersungguh terima risikkan tu, sekarang you pula yang buat hal! I pun penat tau? Bukan you jer?" Rayyan menarik nafas dalam lalu dihembus kasar. Pandangannya cuba difokuskan pada jalan raya. Tidak mahu perkara sama berulang.

"You silap kalau you rasa I hanya goyang kaki jer. Sebulan ni I ke hulu ke hilir untuk uruskan hal perkahwinan kita ni, uruskan hal pejabat. You sepatutnya terima kasih pada I sebab I dah ringankan beban you. I uruskan semua dan you cuma perlu pergi jer. Kalau ikutkan you yang sepatutnya uruskan semua ni sebab apa yang jadi ni keputusan you. Tapi I tahu you sibuk dengan pelajaran you, jadi I dengan rela hati turun padang uruskan semua ni. Kenapa you langsung tak fikir? You hanya tahu mengeluh sahaja!" Erin diam. Bibirnya digigit perlahan.

"Jadi awak nak mengungkit la dengan apa yang awak buat selama ni?" Tanya Erin perlahan.

"Inilah perempuan. Cakap sikit dikatakanya kita mengungkit. I bukan mengungkit, I cuma nak you faham I juga. Tak ada apa yang terbeban pada you tapi you selalu cakap penat. Sedangkan I, I langsung tak mengeluh dan ikutkan sahaja. Semuanya I uruskan. Tentang lain mummy dan mama you dah uruskan. You hanya tinggal pergi kursus kahwin ni dan ikut I pergi fitting baju pengantin jer lepas ni. Tu jer yang you perlu buat. Penat sangat ke?"

Erin memalingkan wajahnya ke luar cermin kereta. Kolam matanya terasa penuh. Tunggu masa sahaja air jernih mengalir. Dia bukan saja-saja mengelak ketika Rayyan mengajaknya berbual sewaktu mereka di Pulau Redang minggu lepas, dia ada sebab sendiri.

*
* *
* *
-FLASHBACK-

Setelah penat menjalankan aktiviti selam skuba tengah hari tadi, mereka semua berpakat untuk membuat barbeku malam itu. Mereka semua duduk mengelilingi unggun api. Sedikit sebanyak terasa hangat apabila haba daripada unggun api itu sampai ke tubuh mereka semua.

Erin memandang ke arah laut yang gelap. Hanya terdengar bunyi desiran ombak sahaja. Bunyi yang cukup menenangkan. Erin tersenyum tipis. Otaknya ligat memikirkan bagaimana hari esok yang bakal dijalani. Adakah setenang itu?

Lamunan Erin mati apabila tiba-tiba kawasan itu bertukar gelap gelita. Erin terus memandang sekeliling, semua lampu telah mati. Lampu di resort juga mati. Erin melihat pula sekeliling unggun api, tidak ada sesiapa kecuali dirinya sahaja. Erin tidak sedar masa mana yang lain meninggalkannya.

Erin pantas berdiri. Dia cuba melihat jika ada sesiapa di dalam gelap itu berhampiran dengan dirinya. Erin yakin tidak ada sesiapa disekelilingnya. Kecuali dia sahaja yang hanya diterangi oleh cahaya daripada unggun api itu. Erin terus membuka langkah untuk turut beredar dari situ.

"Erin..." Terdengar suara seseorang menyeru namanya membuatkan Erin tidak jadi meneruskan langkahnya.

Erin mencari-cari dari mana datangnya suara itu. Tetapi dia tidak nampak sesiapa. Pandangannya terbatas disebabkan suasana ketika itu sangat gelap.

"Erin..." Sekali lagi halwa telinganya menakap suara seseorang menyeru namanya.

"Rayyan awak ke tu? Awak kat mana?" Tanya Erin. Dia yakin suara yang memanggil namanya itu adalah suara Rayyan.
Dalam samar-samar, Erin dapat menangkap bunyi derapan kaki di atas pasir. Erin mendiamkan diri dan cuba melihat siapa yang mendekatinya. Semakin lama derapan kaki itu semakin dekat. Yang membuatnya Erin pelik apabila bunyi derapan kaki itu sangat banyak.

Suasana yang gelap tadi terus bertukar cerah apabila semua lampu yang mati tadi bernyala. Erin terkejut melihat Rayyan, diikuti oleh kedua orang tua mereka, Puan Elisya, Tuan Zakri, Puan Rodziah dan Tan Sri Qhairil. Tidak lupa juga Alicia turut bersama mereka dengan senyuman manis di bibir. Yang lagi mengejutkan Erin apabila melihat bukan keluarganya sahaja, malah ada pelancong lain bersama mereka dan memandang dirinya.

Perlahan Erin melihat Rayyan berjalan diikuti oleh keluarga mereka mendekati dirinya yang sudah terkaku. Jantungnya berdegup kencang menanti mereka semua berdiri di depannya. Erin tertanya-tanya apa sebenarnya yang dirancangkan oleh mereka semua.

Apabila Rayyan berdiri betul-betul di depannya, Erin baru ingin membuka mulut bertanya tetapi Rayyan terlebih dahulu memberi isyarat padanya supaya jangan bercakap. Erin menjungkit kening tidak faham. Kenapa Rayyan tidak membenarkan dirinya bercakap.

Tiba-tiba Rayyan mengeluarkan sesuatu dari poket seluarnya dan ia merupakan sehelai kain putih yang telah dicoretkan sesuatu menggunakan permanent marker. Setelah membuka lipatan kain itu, Rayyan menunjukkan padanya. Erin terkesima.

"Will you marry me Erin Aulya?"

Itulah apa yang tercoret di kain putih itu. Erin menekup mulutnya. Tidak semena-mena tubir matanya terasa hangat. Wajah serius Rayyan di depannya ditatap. Sekali lagi Rayyan memberi isyarat supaya jangan bersuara. Kali ini Alicia mendekati Rayyan lalu menghulurkan sesuatu. Setelah menyambut huluran itu, Rayyan turun berlutut depannya membuatkan Erin berundur beberapa tapak ke belakang.

Sekali lagi Erin terkesima. Rayyan menghulurkan kotak baldu berbentuk hati kepadanya. Perlahan kotak itu dibuka dan terlihatlah isi dalamnya. Sebentuk cincin yang bertakhtakan berlian. Perlahan air mata Erin turun menyentuh kulit pipinya.

Setelah beberapa minit setelah itu, suasana sekitar itu mula riuh dengan suara pelancong lain yang menjerit supaya Erin mengatakan 'Yes'. Erin memandang sekelilingnya dengan air mata terus mengalir. Wajah Puan Elisya ditatap sayu sebelum beralih ke wajah Tuan Zakri. Wajah Puan Rodziah dan Tan Sri Qhairil turut dipandang.

Perlahan Erin mengangguk kepalanya membuatkan suasana ketika penuh dengan jeritan 'Taniah' dan bunyi tepukkan. Erin memandang jarinya yang tersarung satu lagi cincin selain daripada cincin pertunangan. Sekali lagi dia menatap wajah Rayyan. Wajah itu langsung tidak tersenyum. Erin tahu itu adalah keterpaksaan.

Setelah Rayyan berdiri, Puan Elisya dan Tuan Zakri terus mendekat. Tidak lupa juga Puan Rodziah dan Tan Sri Qhairil. Masing-masing mengukir senyuman di bibir. Erin pantas memeluk erat tubuh Puan Elisya. Air matanya tidak berhenti mengalir. Ingin sahaja Erin menjerit bertanya kepada mamanya 'Kenapa?'. Tetapi dia tidak mampu melakukan itu kerana bimbang mamanya terasa.

Puan Elisya menyerahkan sekeping kertas kepada Erin sebaik sahaja meleraikan pelukan. Erin menyambut kertas itu dan membaca apa yang tertulis di kertas itu.

"Mama dan papa menumpang bahagia pada hari bahagia Erin. Tiada yang lebih baik untuk kami daripada mendengar anak kesayangan mama dan papa akan mendirikan rumah tangga. Mama dan papa akan sentiasa mendoakan kebahagiaan Erin. Semoga Allah memberkati rumah tangga Erin sehingga ke Jannah."

Erin menarik nafas dalam membaca tulisan itu. Tangannya mula menggeletar ditambah esakannya semakin menjadi-jadi. Setelah itu, Puan Rodziah pula maju dan memberikan sekeping kertas kepadanya. Erin menyambut huluran itu dengan senyuman cuba diukir pada bibirnya.

"Mummy dan daddy berterima kasih pada Erin kerana sudi berkongsi hidup dengan Rayyan. Mummy dan daddy doakan Erin sentiasa bahagia di sisi Rayyan. Jika Rayyan berkasar dengan Erin, terus bagitahu mummy atau daddy. Kami siap-siap buka gelanggang untuk memberi Rayyan pengajaran."

Erin tergelak kecil membaca hujung ayat itu. Dia terus memeluk erat tubuh Puan Rodziah. Terima kasih meniti di bibirnya walaupun suaranya sudah tenggelam timbul. Puan Rodziah mengusap lembut belakang badan Erin membuatkan Erin berasa sedikit tenang.

Setelah meleraikan pelukan dengan Puan Rodziah, Alicia pula mendekat pada Erin. Erin melihat mata Alicia yang berkaca. Seperti Puan Elisya dan Puan Rodziah, Alicia turut memberikan sekeping kertas kepadanya. Erin menyambut kertas itu lalu dibaca tulisan yang sudah tercoret.

"Erin percayalah Allah sudah menetapkan sebaik-baiknya jalan untuk kau. Aku percaya ada bahagia sedang menanti kau di depan sana. Terimalah dengan berlapang dada. Apa-apa pun taniah sayang. Terima kasih kerana menjadi sahabat terbaik aku. Kau mesti ingat, apa pun yang terjadi setelah ini, bahagia atau pun derita, aku akan selalu berada di sisi kau."

Erin menekup wajahnya membaca ayat itu. Alicia sangat memahaminya. Teresak-esak Erin menangis. Alicia yang melihat, terus memeluk erat tubuh Erin. Air matanya turut mengalir.

"Terima kasih Ca! Terima kasih kerana kau selalu memahami aku." Ucap Erin perlahan di telinga Alicia. Alicia mengangguk perlahan.

Setelah semuanya selesai, mereka semua memulakan aktiviti barbeku. Saat itu juga Erin mula mengelak daripada Rayyan. Dia tahu itu bukan salah Rayyan, tetapi dia malu untuk berdepan dengan Rayyan. Erin yakin mesti Rayyan fikir dia menangis kerana terharu dan gembira.

-END FLASHBACK-

*
* *
* *

Rayyan parking keretanya di petak parkir kosong. Dia hanya diam dan membiarkan Erin menangis. Terhinjut-hinjut baru Erin cuba menahan tangis tapi air matanya tetap mahu mengalir.

Mereka semua silap jika mereka fikir Erin menangis ketika dilamar oleh Rayyan itu kerana gembira, dia menangis kerana kecewa dengan mamanya. Waktu Erin masih di sekolah menengah, dia pernah bertanya mamanya bagaimana papanya melamarnya ketika ingin dijadikan isteri. Erin juga pernah bercerita pada mamanya lamaran seperti mana yang dia inginkan ketika dia mahu berkahwin nanti.

Dan suasana lamaran yang dia inginkan itu adalah seperti mana berlaku di Pulau Redang. Erin gembira apabila angan-angannya menjadi kenyataan tetapi dia kecewa apabila orang yang melamarnya adalah bukan orang yang dia cinta dan orang itu bukan mencintainya. Erin pasti apa yang terjadi itu rancangan mamanya.

Hampir 10 minit berlalu, Erin masih juga tidak berhenti menangis. Seketika Rayyan mula rasa bersalah apabila tangisan Erin itu terus kedengaran.

"I minta maaf. I bukan saja-saja bercakap kasar dengan you. Kalau you ikut sahaja apa yang I katakan, I tak akan paksa dan bercakap kasar dengan you." Rayyan bersuara perlahan mengalah.

"Erin pandang I kejap." Pujuk Rayyan lembut. Erin menggeleng perlahan.

"Pandang I, you jangan degil boleh tak?" Erin menyeka air matanya. Pandangannya dialihkan memandang Rayyan. Rayyan mengeluh kecil melihat mata Erin yang kemerahan.

"Dah jangan nangis lagi. Kejap lagi kalau orang tengok ada juga yang cakap I dera you." Tegur Rayyan lembut. Erin mengangguk tetapi air matanya masih mengalir.

"I minta maaf. Please jangan nangis lagi. You buat I rasa diri I jahat bila you terus nangis. You tahukan I tak suka sakitkan hati perempuan." Semakin lemah Rayyan apabila esakkan Erin kedengaran semula.

"Erin..." Rayyan terus mengangkat wajah Erin. Air mata Erin yang masih mengalir itu diseka lembut dengan ibu jarinya. Seketika Erin terpana dengan tidakkan Rayyan itu.

"I minta maaf ok?" Rayyan merenung dalam anak mata Erin yang kemerahan itu. Erin mengangguk kecil.

"Dah jangan nangis lagi. Kalau macam tu, kita tangguh dulu kursus kahwin hari ni. Kita pergi esok atau lusa. Hari ni apa kata kalau kita pergi fitting baju pengantin dulu?"

"Boleh ke? Nanti susahkan awak jer." Tanya Erin dengan suara seraknya.

"It's okay. Pasal ni I uruskan semula." Rayyan tersenyum tipis kepada Erin. Sekali lagi Erin terpana. Senyuman yang buat pertama kali dia lihat.

"Sorry..." Ucap Erin perlahan. Tangan Rayyan yang masih di pipinya dijatuhkan lembut.

"Jom!" Rayyan terus mengundurkan keretanya.

Dia menjeling sekilas ke arah Erin. Keluhannya ditahan dari terlepas. Walaupun dia berasa penat, tetapi dipaksakan juga supaya Erin tidak terus menangis.

Sambungan chapter semalam...Happy Reading<33

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience