BAB 34

Romance Completed 119020

Erin sampai di rumah setelah jam hampir menunjukkan pukul 11 malam. Erin melangkah masuk ke dalam rumah lalu melabuhkan duduk di atas sofa. Penat seharian keluar bersama sahabatnya. Pelbagai aktiviti mereka lakukan.

Erin mengeluh kecil. Fikirannya lebih penat berbanding badan. Penat memikirkan pelbagai perkara. Depan rumah masih kosong bermaksud Rayyan belum pulang. Setelah makan tengahari tadi, Rayyan terus beredar meninggalkannya.

Erin melihat skrin telefonnya yang dari tadi tidak henti berbunyi. Ada mesej dari Alicia. Ada mesej dari Khaleed. Erin tidak berniat mahu membaca atau membalas. Esok sahaja dia buat semua itu. Dia mahu berehat.

Setelah memastikan pintu utama berkunci, Erin terus bergerak ke atas. Dia mahu membersihkan diri dan tidur. Rayyan? Pandai la Rayyan pulang. Erin tidak tahu ke mana Rayyan pergi sehingga tengah malam begitu pun masih belum pulang.

Selepas siap membersihkan diri dan mengenakan baju tidur, Erin terus memanjat naik ke atas katil. Dia mahu berehat dan berhenti memikirkan segalanya. Dia penat dengan apa yang terjadi. Terlalu penat!

Lena Erin sedikit terganggu apabila terasa ada tangan melingkari pinggangnya. Erin mula menggeliat tidak selesa. Hembusan nafas yang terasa di lehernya juga membuatkan Erin berasa geli.

"Awak bila balik?" Tanya Erin. Dia pasti tangan itu milik Rayyan walaupun dia tidak membuka mata. Bauan yang menusuk hidungnya cukup membuktikan itu adalah Rayyan.

"Baru jer." Jawab Rayyan perlahan menahan kantuk.

Erin menarik nafas dalam sebelum di hembus perlahan. Perlahan Erin memusingkan badannya menghadap ke arah Rayyan. Rayyan menarik Erin rapat ke tubuhnya apabila terasa ada jarak di antara mereka disebabkan pergerakan Erin.

"Awak dari mana?" Tanya Erin lagi. Wajah putih bersih Rayyan di tatap penuh perasaan.

"Jumpa kawan." Erin hanya mengangguk dan terus mendiamkan diri. Erin suka melihat wajah Rayyan dari dekat seperti itu. Cukup menenangkan.

"Saya tak suka awak panggil lelaki itu abang." Rayyan kembali bersuara setelah tiada lagi pertanyaan daripada Erin.

"Siapa?" Erin tidak faham siapa Rayyan cuba maksudkan.

"Lelaki yang tinggi tadi. Dari pandangan dia, saya tahu dia sebenarnya cintakan awak." Kata Rayyan. Perlahan matanya dibuka. Pandangannya terus bertembung dengan pandangan Erin. Di situ, Erin faham lelaki yang dimaksudkan oleh Rayyan ialah Khaleed.

"Saya tak nak awak jumpa dengan dia lagi. Saya tak suka pandangan dia pada awak." Tegas Rayyan memberi amaran.

"Tapi bukan ke dalam perjanjian kita, awak tak kisah dengan siapa yang saya ingin keluar? Dengan siapa saya mahu berkawan? Apa yang saya ingin lakukan?" Erin cuba membangkitkan semula perjanjian yang telah dibuat oleh Rayyan.

"Saya tahu itu. Saya akan benarkan awak keluar dengan sesiapa yang awak nak tetapi bukan dengan lelaki tadi."

"Apa salahnya kalau saya keluar dengan dia?"

"Salah la! Dia cintakan awak. Tidak tahu ke dia berdosa mencintai seseorang yang telah dimiliki oleh orang lain? Walaupun saya tak cintakan awak, tapi saya masih suami awak. Jadi saya tak nak orang lain berdosa kerana mencintai isteri saya. Awak mesti jauhkan diri daripada dia." Jelas Rayyan panjang lebar.

"Awak cemburu?" Duga Erin.

"Cuma tanggungjawab."

Erin mengawal riak wajahnya agar tidak berubah. Kenapa setiap kali perkataan 'tanggungjawab' yang keluar dari mulut Rayyan itu begitu menyakitkan untuk ditelan. Hatinya pedih bagaikan dihiris.

"Saya nak tidur. Penat!" Putus Erin. Dia malas berdebat dengan Rayyan.

"Tapi awak belum bayar saya." Erin mengerutkan dahi.

"Bayar apa? Saya ada berhutang dengan awak ke?" Tanya Erin pelik. Serasanya dia tidak berhutang apa-apa dengan Rayyan.

"Restoran tadi. Awak telah berhutang dengan saya jadi awak patut bayar balik." Jawab Rayyan. Erin mengukir senyuman sinis.

"Kalau macam tu buat apa awak susah-susah tempah restoran tu untuk saya dan akhirnya awak minta saya bayar balik?" Suara Erin terus berubah. Rayyan betul-betul menguji kesabarannya.

"Supaya awak tak pening-pening kepala fikir nak makan dekat mana dengan sahabat awak tadi. Walaubagaimanapun, awak tetap kena bayar balik. Saya tuntut." Erin berdecik sebal. Dia tidak sepatutnya bersyukur tengahari tadi.

"Esok saja. Rasanya duit simpanan saya cukup untuk bayar semula duit awak yang telah habiskan. Kalaupun tidak cukup, saya akan berusaha untuk mencukupinya." Jawab Erin tegas.

"Awak salah faham. Saya tak nak pun duit awak. Saya mahu awak bayar cara lain selain daripada duit." Rayyan tersenyum tipis melihat wajah Erin yang berubah masam.

"Macam mana? Jadi bibik awak?" Tanya Erin sinis.

"Selain daripada bibik."

"Apa?!"

"Tanggungjawab awak sebagai seorang isteri." Erin mula kehilangan sabar dengan bicara kiasan Rayyan.

"Setiap hari saya buat tanggungjawab saya sebagai isteri. Saya sediakan makan minum awak. Pakaian awak. Kemas rumah walaupun tak bersepah. Tanggungjawab macam mana lagi yang awak nak saya buat?" Rayyan pula yang berasa geram dengan otak lembab Erin ketika itu. Langsung tidak dapat menangkap maksud kata-katanya.

"Tanggungjawab awak sebagai isteri melalui batin!" Jawab Rayyan. Erin terus terdiam. Baru dia dapat faham tanggungjawab yang di perkatakan Rayyan.

"Tapi..." Erin terdiam lagi.

"Berdosa tolak permintaan suami." Ugut Rayyan.

Erin menggigit bibir. Turutkan saja Erin. Bukankah itu salah satu daripada perancangan kau? Mengandung secepat mungkin dan ikat Rayyan. Buatkan Rayyan tidak boleh lepas dari kau. Tanpa sedar, Erin mengangguk perlahan mendengar kata hatinya.

"Boleh?" Suara Rayyan itu mengejutkan Erin.

"Kalau itu yang buat awak maafkan saya tentang penolakan hari tu." Balas Erin lembut walaupun dia mula terasa malu.

"Terima kasih sayang." Ucap Rayyan berbisik di telinga Erin.

Rayyan bergerak mematikan lampu sisi katil sebelahnya. Hanya lampu sisi katil sebelah Erin sahaja dibiarkan terpasang. Akhirnya Rayyan dan Erin tenggelam dalam lautan yang mereka ciptakan.

*
* *
* *

Erin tersenyum apabila terasa pinggangnya di peluk dari belakang. Sekilas Erin melirik ke arah belakang melihay Rayyan sudah menempel di tubuhnya.

"Good morning." Ucap Rayyan lembut.

"Morning." Balas Erin.

"Dah siap masak?"

"Dah. Awak nak minum air apa pagi ni?"

"Buatkan saya kopi seperti biasa."

"Kejap saya buatkan. Awak pergi la duduk sana dulu."

Rayyan hanya mengangguk lalu terus bergerak ke meja makan. Cepat sahaja Erin melakukan kerjanya. Tidak mahu Rayyan menunggu terlalu lama.

"Dah siap. Jemput makan awak." Kata Erin.

"Terima kasih." Ucap Rayyan.

Erin mengangguk lalu melabuhkan duduk berdepan dengan Rayyan. Lega hati Erin apabila Rayyan tidak cerewet tentang makanan, semua Rayyan makan tanpa banyak komen.

"Awak balik tengah hari nanti?" Tanya Erin ingin tahu.

"Tak pasti tapi rasanya tak. Saya nak jumpa kawan." Jawab Rayyan.

"Lelaki atau perempuan kawan awak tu?"

Soalan itu dibiarkan tidak berbalas. Erin tersenyum kelat. Sepatutnya dia tidak perlu bertanya kerana dari awal dia patut tahu tidak ada jawapan untuknya.

"Barang dapur masih ada?" Tanya Rayyan tiba-tiba membuatkan Erin mengerutkan dahi.

Dah berbulan kahwin hari ni baru ingat nak tanya barang dapur masih ada atau tak? Tak guna punya suami!

"Kalau kat dapur tu tak ada barang, tak adanya awak makan sekarang." Jawab Erin dalam sindiran. Rayyan terus memandang Erin tajam.

"Betul la apa yang saya cakap." Kata Erin lagi bagi membalas pandangan Rayyan.

"Okay!" Balas Rayyan sepatah.

"Saya dah nak gerak ke pejabat ni." Kata Rayyan sebaik menyelesaikan sarapannya.

"Saya hantarkan awak ke depan." Laju Erin bangun dari duduknya.

Erin mengekori langkah Rayyan dari belakang. Rayyan berpusing menghadap ke arah Erin setelah selesai memakai kasut.

"Awak keluar hari ni?" Tanya Rayyan.

"Tak pasti." Jawab Erin.

"Kalau nak keluar jangan lupa kunci rumah dan jaga diri baik-baik. Dan ingat, jangan jumpa lelaki itu lagi." Pesan Rayyan.

"Lelaki itu ada nama. Khaleed!" Erin berdecik. Suka hati dia jer panggil orang 'lelaki itu.'

"Saya tak kisah. Yang penting awak jangan jumpa dia." Erin mengherotkan bibirnya tetapi kepala mengangguk.

"Saya pergi dulu." Rayyan mengusap lembut pundak kepala Erin.

"Hati-hati drive. Apa-apa bagitahu saya ok?" Erin terus menghulurkan tangan untuk bersalam.

"Awak pun. Assalamualaikum."

"Waalaikumsalam."

Rayyan mengucup dahi Erin lembut sebelum melangkah ke kereta. Erin hanya berdiri tegak di depan pintu itu melihat Rayyan mula meloloskan diri ke dalam kereta. Sebaik sahaja Rayyan membunyikan hon, Erin melambaikan tangan bersama senyuman tenang.

Jika di tanya bahagiakah dia? Erin akan memberitahu seluruh dunia bahawa dia sangat bahagia ketika itu. Bahagia melihat perubahan Rayyan seolah mula dapat menerima kehadirannya. Layanan dan kemanjaan yang ditunjukkan Rayyan itu lagi membuatkan dia rasa bahagia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience