BAB 2

Romance Completed 119020

Malam itu mereka sekeluarga makan bersama. Esya yang yang baru pulang entah dari mana turut menyertai mereka. Tiada siapa yang bersuara melainkan hanya bunyi detingan dari sudu dan garfu yang berlaga dengan permukaan pinggan. Sesekali Esya melirik ke arah Erin yang kelihatan muram.

Selesai makan malam, semua duduk di ruang tamu menoton tv termasuk Esya dan Erin. Esya sibuk dengan telefonnya manakala Erin berada dalam dunianya sendiri. Apa yang terjadi tengah hari tadi sedikit menganggu ketenangannya.

"Erin dah kenapa tu dari tadi papa tengok asyik termenung jer?" Tegur Tuan Zakri apabila Erin langsung tidak mengeluarkan suara selepas kepulangan Auntie Rodziah dan Uncle Qhairil tengah hari tadi.

"Entahnya. Esya tengok dan macam orang mati laki pun ada!" Celah Esya sambil menjeling ke arah Erin. Erin membalas jelingan itu dengan perasaan sebal.

"Adik kamu ni bukan termenung sebab mati laki tapi fikirkan masa untuk berlaki." Tambah Puan Elisya.

"Masa untuk berlaki? Kenapa tiba-tiba jer? Erin dah berisi ke mama?" Tanya Esya tanpa menjaga percakapannya.

"Esya! Tak baik cakap macam tu. Kalau di dengar orang luar tak ke jadi fitnah nanti?!" Tegur Tuan Zakri tegas. Kadang-kadang dia hampir hilang sabar dengan sikap Esya itu. Bercakap tanpa toleh kiri kanan.

"Betul tu Esya. Bila la kamu nak berubah? Semakin hari semakin teruk perangai kamu. Ni dah berapa kali mama nasihatkan? Kalau nak keluar cuba pakai pakaian yang elok sikit. Bukannya terdedah sana sini. Sakit mata mama tengok tahu tak?" Bebel Puan Elisya.

"Ishh mama papa ni! Nak bebel pulak. Esya cuma tanya jer. Iyalah tak ada angin tak ada ribut tiba-tiba nak berlaki kenapa?"

Tuan Zakri dan Puan Elisya menggeleng kepala perlahan. Entah di mana silap mereka mendidik Esya sampai Esya jadi seorang yang keras kepala dan suka melawan. Padahal serasa mereka antara Esya dan Erin, Esya lebih mendapat tempat. Apa yang Esya inginkan, mereka cuba tunaikan.

"Maksud mama fikir nak berlaki tu, tengah hari tadi Auntie Rodziah datang merisik Erin untuk anaknya." Terang Puan Elisya.

"What?! Maksud mama Auntie Rodziah isteri kepada Tan Sri Qhairil tu ke? Yang datang sini dua minggu lepas?" Esya sedikit terkejut mendengar nama Auntie Rodziah yang disebut oleh mamanya tadi.

"Yelah. Auntie Rodziah tu la. Yang kamu terkejut sangat ni kenapa?"

"Kejap-kejap! Tan Sri Qhairil? Apa maksud kakak?" Celah Erin dengan rasa terkejut.

"Kau tak tahu? Uncle Qhairil tu terkenal di seluruh pelosok negara. Sebut sahaja Tan Sri Qhairil mesti semua kenal." Jelas Esya. Erin pula terkaku seketika.

"Betul tu Erin. Sebelum ni Uncle meluaskan perniagaannya di luar negara tapi sekarang dia dah jual semua company dia di luar negara dan beli beberapa company di Malaysia sebab dia akan menetap di sini semula." Sambung Tuan Zakri.

"Ok berhenti pasal tu. Tapi Esya nak tahu, betul ke Auntie Rodziah datang merisik Erin tadi?"

"Betul la. Kamu ingat mama main-main ke?"

"Tapi kenapa Erin bukannya Esya?"

"Kamu dah kenapa Esya? Kamu lupa dua minggu lepas apa yang kamu katakan? Kamu dah berpunya! Sekarang bila Auntie Rodziah merisik adik kamu, kamu boleh tanya pula kenapa bukan kamu?" Kecik besar sahaja Tuan Zakri memandang Esya ketika itu.

"Mana Esya tahu. Kalau hari tu Esya tahu Uncle Qhairil tu Tan Sri, sah-sah Esya dah terima risikan tu." Cebik Esya. Dia tahu tentang latar belakang Uncle Qhairil itu pun setelah ternampak beberapa majalah yang terpempan wajah Uncle Qhairil.

Tuan Zakri dan Puan Elisya memandang sesama sendiri. Kepalanya digeleng perlahan. Kecewa dengan kata-kata Esya keluarkan tadi.

"Esya, Esya...Tak cukup ke apa yang papa dan mama berikan selama ini? Nasib baiklah tu kami tak terus terang tentang latar belakang Uncle Qhairil. Kalau tak habis hartanya kamu kikis nanti." Jelas nada kecewa dari Puan Elisya tetapi Esya tetap dengan sikap bongkaknya. Langsung tidak rasa bersalah.

Tuan Zakri dan Puan Elisya memandang Erin yang masih terdiam. Dia berharap Erin bukan seperti Esya. Kalau Erin menerima lamaran itu, biarlah ikhlas dari hatinya. Bukan memandang harta semata-mata.

"Tapi kenapa Erin mama? Takkan anak Auntie Rodziah tak ada girlfriend kot? Apa yang mereka pandang dekat Erin ni?" Perlahan Erin bersuara meluahkan rasa peliknya.

"Auntie Rodziah tak pandang apa-apa sayang melainkan keikhlasan seseorang itu. Nanti Erin berkenalan dulu dengan anak Auntie Rodziah. Dari situ Erin boleh tahu dia dah berpunya atau belum." Jawab Puan Elisya lembut.

Erin hanya mengangguk lemah walaupun dalam hati sudah menjerit tidak. Ya tidak mungkin. Dia tidak mahu berkahwin dengan orang itu. Apatah lagi lelaki itu dari keluarga ternama. Nanti tak pasal-pasal dia dicop sebagai gold digger. Mulut manusia zaman sekarang bukan boleh buat main.

Esya pula terus berlalu naik ke atas. Sakit hatinya melihat Puan Elisya dan Tuan Zakri seolah melebih-lebihkan Erin. Kakinya dihentak-hentak menunjukkan rasa tidak puas hatinya. Puan Elisya dan Tuan Zakri yang melihat hanya buat tidak endah.

*
* *
* *

Keesokkan paginya, selepas sarapan Erin pulang semula ke asrama. Tidak betah duduk di rumah. Otaknya berserabut memikirkan risikkan dari Auntie Rodziah. Di tambah pula Esya yang terus mencari gaduh dengannya kerana tidak berpuas hati kerana risikkan itu.

"Hoi! Yang kau dari tadi asyik termenung jer dah kenapa? Orang lain happy bila dapat jumpa family yang dah berbulan tak jumpa, tapi kau murung jer macam orang mati laki." Bebel Alicia. Sakit matanya melihat sahabatnya yang termenung itu.

"Ishh kau Ca. Laki-laki tak payah sebut. Menyampah aku tahu tak?!" Marah Erin.

"Eh eh! Kau dah kenapa marah-marah ni? Something berlaku ke kat rumah kau semalam?" Berkerut dahi Alicia pelik dengan perubahan angin Erin. Nak kata period, elok jer dia solat zohor tadi.

"Tak ada apa. Aku cuma tak ada mood. Kau tahu la kan kakak kembar aku tu macam mana. Tak habis-habis nak cari gaduh dengan aku!"

"Ishh kakak kau tu dah kenapa eh? Apa yang dengkikan dengan kau? Kalau ikutkan, apa yang dia nak semua papa kau bagi. Dia tak nak sambung belajar nak duduk rumah, papa kau setuju. Dia nak kereta, papa kau belikan. Dah tu tambah elaun yang papa kau bagi dia bulan-bulan. Apa lagi yang dia tak puas hati dengan kau?"

"Entahlah. Dah la, malas aku cakap pasal kakak aku tu. Menyakitkan hati jer!"

"Kalau aku ada kakak macam kau tu dah lama aku humban dia dalam sungai kajang. Bagi buaya makan."

Alicia turut berasa meluat dengan kakak kembar Erin. Walaupun tak pernah bertemu, tetapi Alicia dapat membayangkan bagaimana sikap Esya dari cerita Erin. Setiap kali kembali ke asrama dari rumahnya, mesti mood Erin seperti ribut taufan

"Tapi aku tahu mesti ada perkara lain yang kau fikirkan selain pasal kakak kembar kau tu. Cuba cita, mana tahu aku boleh kurangkan kekusutan kau tu." Alicia masih cuba mengorek rahsia Erin.

"Entahlah. Aku pun tak tahu nak cita macam mana." Keluhan berat Erin lepaskan.

"Macam teruk jer. Cita la!" Desak Alicia.

"Sebenarnya semalam..." Belum sempat Erin bercerita, saat itu jugalah telefonnya berbunyi.

"Haishh siapa pula yang call aku ni!" Dengus Erin. Dia terus mencapai dan menjawab panggilan itu tanpa melihat siapa si pemanggil.

"Assalamualaikum!" Kasar Erin memberi salam. Alicia yang melihat hanya menggeleng kepala.

"Waalaikumsalam. Erin Aulya?" Terdengar suara seorang lelaki di hujung sana menjawab salam. Terus berubah wajah Erin. Alicia pantas menjungkit kening melihat perubahan wajah Erin.

"Ha ye ye. Saya Erin Aulya." Jawab Erin lembut. Tiba-tiba dia terasa malu sendiri.

"Err siapa ni?" Tanya Erin kembali. Rasanya dia tidak pernah mendengar suara itu.

"I nak jumpa you. Turun sekarang. I dah berada depan asrama you." Kata lelaki itu berupa satu arahan.

"Arr tapi..." Belum sempat Erin menghabiskan ayatnya, panggilan telah di putuskan.

"Haishh la!" Dengus Erin sambil memandang skrin telefonnya yang bertukar gelap.

"Siapa call?" Tanya Alicia ingin tahu.

"Aku nak turun bawah kejap. Ada orang nak jumpa." Jawab Erin. Bergegas dia bangun lalu duduk di meja menulisnya. Wajahnya dibelek-belek.

"Siapa nak jumpa? Yang kau kalut semacam ni kenapa? Dah macam suami nak jumpa pula." Alicia turut bangun mengekori Erin keluar dari bilik mereka berdua.

"Memang suami nak jumpa. Bakal suami!" Jawab Erin dalam gurauan.

"Jumpa kau nanti!" Erin terus berlari ke arah tangga.

Alicia yang melihat tergeleng-geleng. Tetapi otaknya ligat memikirkan kata-kata Erin. Bakal suami? Alicia menggeleng tidak percaya. Mungkin Erin hanya sekadar bergurau.

*
* *
* *

Sesampai di bawah, Erin mencari kelibat gerangan yang ingin bertemu dengannya. Dia tidak melihat sesiapa kecuali sebuah kereta Audi A5 berwarna putih yang terpakir elok di luar pagar asrama itu.

"Ishh apa la yang kau buat ni Erin? Kau tak kenal pun siapa yang call kau tadi, tiba-tiba kau dah gelabah turun. Macam mana kalau orang tu berniat nak culik kau?" Bebel Erin sendiri. Otaknnya mula memikirkan perkara negatif.

Erin kembali memandang ke arah kereta Audi A5 itu. Ketika itulah pintu kereta terbuka dan seorang lelaki keluar dari perut kereta itu. Seketika Erin terpana melihat wajah itu.

"Masyaallah. Indahnya ciptaan Tuhan." Bisik hati Erin. Matanya tidak lepas menatap wajah itu.

Erin terus menatap ke arah jejaka itu sehingga tersedar apabila jejaka itu melambai tangan ke arahnya seolah-olah menggamitnya. Dengan perasaan berdebar, Erin mendekati jejaka itu.

"Erin Aulya kan?" Tanya jejaka itu apabila Erin sudah berdiri di depannya.

"Ha'ah saya Erin Aulya. Awak siapa yer?" Tanya Erin semula.

Jejaka itu tidak menjawab sebaliknya menarik tangan Erin lalu di bawa ke pintu kereta penumpang. Erin sedikit tersentak dengan tindakan jejaka itu.

"Eeeee...apa main tarik-tarik ni? Awak siapa? Macam mana awak boleh kenal saya?" Erin terus menarik tangannya dari genggaman jejaka itu.

"Masuk!" Arah jejaka itu sebaik membuka pintu kereta sebelah penumpang.

"Ehh kenapa pula saya kena masuk? Awak nak culik saya ke apa ni?" Erin masih cuba menarik tangannya dari genggaman lelaki itu tetapi malangnya lelaki itu semakin mengeratkan genggamannya.

"Heh! Kalau I culik you apa yang I dapat? Nanti tak pasal-pasal masuk lokap. Tengok tu ramai jer yang perhatikan kita." Balas lelaki itu.

Erin melihat sekeliling. Ye ramai yang sedang melihat ke arah mereka berdua. Mungkin pelik. Erin menggeleng. Mesti la semua yang melihat pelik. Mereka dah macam pasangan kekasih yang sedang bergaduh. Sorang tarik tangan sorang tak nak lepas.

"Cepat la masuk. Panas tahu tak?" Sekali lagi lelaki itu mengarahkan Erin masuk ke dalam kereta.

"Tak nak! Sekurang-kurangnya bagi la tahu nama awak dulu. Kalau apa-apa jadi nanti senang saya nak report polis." Erin masih membatu tidak mahu masuk ke dalam kereta.

"You pilih, nak masuk sendiri atau I angkat you masuk ke dalam kereta?" Ugut lelaki itu.

Erin tidak mengendahkan ugutan itu. Sebaliknya hanya berdiri tegak seperti tiang elektrik. Lelaki itu pula yang berdecik sebal dengan kedegilan Erin. Dia terus berura-ura membongkokkan badannya seolah mahu mencempung tubuh Erin membuatkan Erin gelabah.

"Ye ye nak masuk la ni!" Erin terus meloloskan diri ke dalam kereta. Lelaki itu melepaskan genggamannya pada tangan Erin.

"Kan bagus kalau dari tadi you masuk." Kata lelaki itu sambil mengukir senyuman kemenangan. Erin menjeling tajam.

Dia terus menutup pintu kereta laku melangkah ke arah sebelah pemandu. Selesai memakai tali pinggang keledar, lelaki itu terus memandu kereta Audinya meninggalkan Universiti itu.

"Hei hei. Awak nak bawa saya pergi mana ni?!" Erin mula gelabah. Tadi lelaki itu hanya menyuruhnya masuk ke dalam kereta sahaja.

"Boleh diam tak Erin Aulya. Mulut you tu pot pet pot pet macam bontot ayam." Kutuk lelaki itu geram. Erin menggigit bibir. Kurang gula betul kutuk hati Erin.

"Awak siapa sebenarnya? Saya tak rasa kita kenal. Apa yang awak nak dengan saya?" Erin masih tidak mengalah bertanya siapa lelaki yang 'menculiknya' itu.

"Nanti sampai dekat destinasi I bagitahu you siapa I. Sekarang you boleh diam tak? I nak drive pun tak senang." Marah lelaki itu.

"Saya tak akan diam selagi awak tak bagitahu siapa awak! Ke mana awak nak bawa saya pergi?" Erin merenung tajam sisi wajah lelaki itu. Lelaki itu turut membalas renungan Erin. Gerahamnya bergerak menahan geram dengan tingkah Erin.

Erin mengalah. Nafas dalam ditarik lalu dihembus perlahan mengumpul kesabaran. Erin membetulkan duduknya lalu memandang ke depan. Di saat itu juga mata Erin membulat.

"Awak break!" Jerit Erin kuat. Lelaki itu terkejut mendengar jeritan Erin terus memandang ke depan. Cepat sahaja dia menekan break kecemasan apabila keretanya sedikit sahaja lagi akan melanggar kereta di hadapan.

Berdecit bunyi tayar kereta bergeser dengan tar. Tubuh Erin terus tertolak ke depan kerana dia tidak memakai tali pinggang keledar. Nasib baiklah pergerakan lelaki itu lebih cepat menahan dahi Erin daripada terhantuk pada dashboard. Kereta di belakang mula membunyikan hon.

"You okay?" Tanya lelaki itu sambil menolak perlahan tubuh Erin supaya bersandar pada kerusi kereta. Tidak ada respon daripada gadis itu.

Lelaki itu terus memberi signal ke kiri. Dia memberhentikan keretanya di bahu jalan. Sesekali dia menjeling kereta lain yang mula bergerak aman setelah hampir berlaku kemalangan sebentar tadi. Nafas lega dilepas.

Lelaki itu kembali mengalihkan pandangan pada Erin. Wajah Erin tertutup dengan rambut panjangnya yang jatuh ke depan. Tubuh gadis itu kelihatan menggigil. Tangannya bergerak meramas antara satu sama lain.

"Erin you okay? I mintak maaf." Sama seperti tadi. Tidak ada respon dari Erin malah hanya tubuhnya semakin kelihatan menggigil. Tangannya semakin kuat meramas antara satu sama lain sehingga merah.

Dengan menggunakan jari telunjuk, lelaki itu menyelit rambut Erin yang jatuh menutupi wajah Erin ke belakang telinga. Saat itu barulah kelihatan wajah Erin yang berubah pucat. Peluh dingin mula membasahi dahi Erin.

"Hey Erin! Kenapa ni?" Lelaki itu mula cuak melihat keadaan Erin itu. Nafas Erin kelihatan tidak teratur.

Lelaki itu beranikan diri memegang tangan Erin. Tangan Erin yang gementar itu di genggam kemas. Terasa sejuk tangan itu.

"I minta maaf. You jangan buat I takut macam ni."

Sama seperti tadi. Tidak ada respon dari Erin tetapi kali ini tubuh Erin mula melemah. Matanya kelihatan semakin kuyu sebelum tertutup rapat. Tubuh Erin terus longlai membuatkan lelaki itu semakin cuak.

"Hey Erin! Kenapa ni? Bangunlah!" Lelaki itu menepuk-nepuk perlahan pipi Erin tetapi sayangnya tiada reaksi dari gadis itu. Erin langsung tidak sedarkan diri.

Enough for today. Ariss akan update lagi bila chapter2 seterusnya siap. HAPPY READING!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience