BAB 3

Romance Completed 119020

Lelaki itu berjalan ke hulu ke hilir di depan pintu wad kecemasan. Sesekali dia berhenti dan melihat ke pintu itu sebelum kembali berjalan ke hulu ke hilir. Setelah berasa lenguh, lelaki itu melabuhkan duduk di atas kerusi. Wajahnya ditutup dengan kedua belah tangannya. Di dalam hati, lelaki itu berdoa agar Erin baik-baik saja.

"Ayyan!" Terdengar suara seseorang menyebut namanya membuatkan lelaki itu pantas panggung kepala memandang ke arah datangnya suara itu.

"Mummy!" Lelaki yang dipanggil Ayyan itu terus bangun lalu memeluk erat wanita yang sudah berdiri di sisinya. Terasa belakang tubuhnya diusap lembut membuatkan gundah gulana yang dia rasakan tadi sedikit menghilang.

"Macam mana Erin boleh pengsan? Ayyan buat apa dengan dia?" Tanya Puan Rodziah. Terkejut dia apabila anak lelakinya itu tiba-tiba sahaja menelefonnya dan meminta dia datang ke hospital.

"Ayyan tak tahu! Erin tiba-tiba sahaja pengsan selepas kami hampir kemalangan."

"Hah kemalangan?" Puan Rodziah mengurut dada terkejut dengan khabar itu.

"Macam mana boleh hampir kemalangan?" Tanya Puan Rodziah masih lagi terkejut. Rayyan tidak menjawab. Dia meleraikan pelukan itu lalu wajah mummynya ditatap.

"Mummy macam mana ni? Macam mana kalau apa-apa jadi pada Erin?" Rayyan buntu memikirkan itu walaupun dia tahu tiada apa yang teruk.

"Ayyan duduk dulu ok. Erin tak ada apa-apa. Kita tunggu doktor keluar." Pujuk Puan Rodziah. Rayyan hanya mengangguk lalu kembali melabuhkan duduk di kerusi tadi.

Hampir 10 minit selepas itu, seorang doktor perempuan keluar dari wad kecemasan itu. Rayyan dan Puan Rodziah lantas berdiri dan terus mendekati doktor itu.

"Doc macam mana dengan Erin?" Tanya Rayyan terlebih dahulu.

"Alhamdulillah Cik Erin tak ada apa-apa. Dia cuma pengsan. Sekarang Cik Erin dah sedar dan sedang tidur." Jelas doktor perempuan itu.

"Boleh saya masuk?" Tanya Puan Rodziah.

"Ah silakan Puan tapi kalau boleh biarkan pesakit berehat." Jawab doktor itu bersama senyuman.

"Terima kasih doc." Ucap Puan Rodziah.

Puan Rodziah mendekati katil di mana tubuh Erin terbaring. Tangan Puan Rodziah naik mengusap lembut kepala Erin. Melihat wajah pucat Erin membuatkan dia rasa kasihan pada gadis muda itu.

"Ayyan temankan Erin ok? Mummy keluar call mama papa Erin kejap." Kata Puan Rodziah kepada Rayyan. Rayyan mengangguk dan melihat mummynya melangkah keluar dari wad kecemasan itu.

Rayyan berjalan mendekati katil. Dia memerhatikan wajah pucat Erin. Tiba-tiba saja dia rasa bersalah. Kalau dia tidak berkeras tadi mungkin semua ini tak akan terjadi bukan? Rayyan mengeluh kecil.

Rayyan terus memerhatikan wajah lena Erin sehingga matanya tertacap pada parut di dahi Erin. Rayyan memberanikan diri menyentuh parut itu. Jarinya bergerak mengusap lembut parut itu.

"Haish mesti waktu kecil dulu you buas sangat sampai tinggal parut kat dahi ni." Kata Rayyan perlahan sambil kepalanya tergeleng perlahan.

Sekarang sudah tiga jam Rayyan berada di hospital itu. Puan Rodziah sudah pulang kerana ada perkara yang perlu diuruskan. Tinggallah Rayyan dan kedua orang tua Erin yang masih menanti Erin bangun. Erin juga sudah dipindahkan ke wad biasa untuk sementara.

Puan Elisya duduk di atas kerusi bersebelahan katil Erin. Tangannya mengusap lembut tangan Erin itu. Matanya tidak lepas memandang wajah Erin. Puan Elisya betul-betul terkejut apabila mendapat panggilan dari Puan Rodziah mengatakan Erin berada di hospital. Bergegas dia dan Tuan Zakri datang ke hospital.

"Papa tolong Erin! Sakit. Tolong lepaskan saya!" Suara jeritan Erin yang tiba-tiba itu membuatkan mereka yang tenang tadi terkejut terutama sekali Rayyan.

"Ya Allah sayang bangun. Mama dan papa ada ni. Erin bangun sayang." Puan Elisya menepuk-nepuk lembut pipi Erin supaya tersedar. Tetapi Erin langsung tidak tersedar. Tubuh Erin yang meronta-ronta itu cuba dipeluk.

"Papa tolong Erin!" Jerit Erin lagi. Rayyan pantas berdiri.

"Abang..." Puan Elisya memandang Tuan Zakri dengan pandangan berkaca meminta bantuan dari suaminya.

Tuan Zakri bergerak memeluk erat tubuh Erin yang sedang meronta-ronta itu. Dia berselawat rapat di telinga Erin. Tuan Zakri tidak melepaskan pelukan itu dan terus berselawat sehingga terasa tubuh Erin mula melemah. Apabila tiada lagi rontaan dari Erin barulah Tuan Zakri melepaskan pelukan itu.

"Maafkan papa sayang." Ucap Tuan Zakri sedih. Dahi Erin diusap lembut. Kedengaran dengkuran halus keluar dari bibir Erin membuatkan Puan Elisya lepas nafas lega.

Rayyan memandang Puan Elisya dan Tuan Zakri silih berganti. Tidak faham apa yang sedang berlaku. Wajah kedua orang tua Erin ditatap meminta penjelasan.

*
* *
* *

"Rayyan, boleh Uncle tahu kenapa Erin boleh pengsan?" Tanya Tuan Zakri lembut.

"Tadi kami hampir kemalangan dan setelah itu Erin tiba-tiba senyap. Tubuhnya menggigil kuat sebelum Erin pengsan." Jawab Rayyan jujur.

"Rayyan mesti terkejut kan? Tapi Rayyan jangan risau. Erin jadi macam tu sebab trauma dengan kisah lalu." Jelas Tuan Zakri seraya tersenyum tipis.

"Trauma? Apa yang terjadi pada Erin hingga dia trauma Uncle?" Tanya Rayyan ingin tahu lebih lanjut.

"Waktu Erin baru berumur 6 tahun, Erin pernah diculik dan kemalangan. Uncle masih ingat macam mana Erin menjerit minta dilepaskan. Waktu tu Uncle tak sempat buat apa-apa apabila penculik tu sudah bawa Erin masuk ke dalam kereta. Tanpa fikir panjang, Uncle kejar kereta tu untuk selamatkan Erin, tapi tiba-tiba kereta penculik tu hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh penghadang jalan." Tuan Zakri berhenti sejenak. Dadanya terasa sebak mengingatkan kembali apa yang berlaku pada 17 tahun yang lalu dimana dia hampir kehilangan puterinya yang satu itu.

"Semuanya salah Uncle. Kalau Uncle tak leka dengan telefon waktu itu mesti Erin tak akan diculik. Kami hampir-hampir kehilangan Erin waktu tu. Selepas Erin di bawa ke hospital, doktor cakap keadaan Erin sangat kritikal. Tapi alhamdulillah, Allah bagi peluang untuk kami jaga Erin sampai ke hari ni." Sambung Tuan Zakri. Puan Elisya mengangguk mengiyakan apa yang diceritakan oleh Tuan Zakri.

"Jadi parut di dahi Erin tu?..." Rayyan tidak menghabiskan ayatnya. Tuan Zakri mengangguk.

"Parut tu bekas dari kemalangan itu. Sebab itu bila Uncle terpandang parut tu, Uncle betul-betul rasa bersalah. Uncle berharap suatu hari nanti bila Erin bersuami, suami Erin akan jaga Erin lebih dari kami jaga dia sekarang." Besar harapan Tuan Zakri. Dia tidak mahu perkara yang sama berlaku pada Erin.

Gulp! Rayyan menelan liurnya yang terasa berpasir. Entah kenapa dia berasa bersalah. Terlalu besar harapan Tuan Zakri itu untuk Erin jumpa suami yang mampu menjaganya. Rayyan memandang Tuan Zakri dengan pandangan serba salah. Tersepit.

Mereka kembali menyepi. Hanya menanti Erin bangun sahaja. Rayyan masih memikirkan kata-kata Tuan Zakri tadi. Kalau itu harapan Tuan Zakri, dia bukan calon terbaik untuk Erin. Dia pergi jumpa Erin tadi pun kerana terpaksa.

"Mama." Terdengar suara Erin memanggil Puan Elisya membuatkan mereka semua mengalihkan pandangan ke arah Erin.

"Sayang mama dah bangun? Ada sakit mana-mana tak?" Tanya Puan Elisya.

"Tak ada. Macam mana Erin boleh ada dekat hospital ni mama? Bukan ke tadi ada seorang lelaki jumpa Erin ke?" Tanya Erin pelik. Pandangannya jatuh pula pada wajah Tuan Zakri.

"Tak ada apa Erin. Erin cuma pengsan jer tadi." Jawab Tuan Zakri.

"Hah awak! Awak pun ada? Macam mana saya boleh pengsan? Awak buat apa dekat saya hah?!" Tanya Erin apabila terpandangkan wajah Rayyan.

"Err mana ada buat apa-apa. You yang tiba-tiba pengsan jadi I bawa la you ke sini." Rayyan memandang Erin pelik apabila melihat gadis itu seolah tidak mengingat apa yang terjadi.

"Mama Erin nak balik. Erin tak nak duduk hospital. Papa tolong hantarkan Erin balik asrama boleh?" Erin mengerdipkan matanya meminta simpati Tuan Zakri.

"Mana boleh macam tu. Tadi Erin datang sini dengan Rayyan jadi Erin mesti balik asrama dengan Rayyan." Balas Tuan Zakri lembut.

"Rayyan? Nama awak Rayyan?" Tanya Erin kepada Rayyan.

"Haah nama I Rayyan." Jawab Rayyan.

"Cantik." Puji Erin sambil tersengih tanpa rasa malu. Puan Elisya menggeleng. Dia tahu Erin sudah ok sepenuhnya apabila gadis itu mula banyak cakap.

"Erin balik dengan Rayyan ok? Sambil-sambil tu kamu berdua boleh berkenalan." Pujuk Tuan Zakri.

"Yelah! Jom cepat. Alicia mesti risau Erin tak pulang-pulang lagi sekarang." Erin meloncat turun dari katil. Rayyan yang melihat semakin pelik. Ingin sahaja dia bertanya tetapi keadaan tidak mengizinkan.

Sampai di tempat parkir kereta, mereka berpisah di situ. Selepas bersalam dengan kedua orang tuanya, Erin terus mengikut langkah Rayyan. Di dalam kereta masing-masing senyap.

"Hurmm macam pelik." Kata Erin sendiri tetapi masih didengari oleh Rayyan.

"Apa yang pelik?" Tanya Rayyan.

"Entah. Rasa macam ada benda yang saya lupa tapi tak pasti apa." Jawab Erin.

"Fikiran you jer kot." Rayyan memandang sekilas melihat ke arah Erin.

"Yelah kot. By the way, awak anak Auntie Rodziah ehh?" Erin memusingkan badannya menghadap ke arah Rayyan yang sedang fokus memandu.

"Ye saya. Awak Erin Aulya yang dapat risikkan dari mummy I semalam."

"Hensem bakal suami saya." Erin ketawa kecil.

"Siapa kata I akan jadi suami you? I tak setuju pun ok dengan rancangan mummy I tu!" Balas Rayyan tegas.

"Habistu ada saya cakap saya setuju ke nak jadi isteri awak? Tak ada kan?" Balas Erin tidak mahu kalah.

"Listen. First, I nak cakap dekat you. Jangan pernah jatuh cinta pada I. Kita berjumpa hanya kerana orang tua kita. Tak ada maksud lain. I layan you baik sebab you perempuan dan I tak suka sakitkan perempuan. Kalau I sakitkan perempuan sama seperti I sakitkan mummy I. Jadi tolong jangan pernah suka atau jatuh cinta pada I kerana pada akhirnya you akan sakit sendiri." Tegas Rayyan memberi amaran.

"Awak ingat awak hensem sangat ke sampai saya nak jatuh cinta?" Balas Erin.

"Erin serius boleh tak? I tak ada masa nak main-main."

"Saya serius la ni. Saya pun tak pernah terfikir nak kahwin pada usia muda tetapi tiba-tiba dapat risikkan dari keluarga awak. Saya masih terkejut tau?"

"Jadi apa keputusan you? Kalau you tak setuju, then terus terang begitahu family I you tak setuju. I tak nak terus terikat dengan you."

"Kita sama-sama tak setuju. Apa kata kalau awak yang bagitahu family awak yang kita tak serasi?"

"No! I tak nak kecewakan mummy I. Dia berharap sangat I akan kahwin dengan you. Kalau I bagitahu, mummy I mesti kecewa. I tak nak mummy I sedih. Kalau you jujur sekurang-kurangnya mummy I boleh terima dengan tenang."

"Awak pasti mummy awak tak akan kecewa kalau saya tolak? Awak tahu semalam Auntie bersungguh cakap dekat saya, dia harap keputusan saya nanti berpihak padanya. Jadi sama saja kalau saya yang menolak. Dan saya pun tak nak kecewakan mama saya. Mama saya turut berharap saya terima risikkan itu."

Rayyan mengacing gigi geram. Ahh baginya itu adalah perancangan gila tetapi dia tiada kekuatan untuk membantah. Dia tak nak tengok wajah kecewa mummynya seperti mana yang berlaku beberapa tahun lalu disebabkan abangnya. Kereta yang dipandu berhenti di depan pagar asrama Universiti itu.

"Jadi nak teruskan?" Rayyan berpaling memandang Erin di sisinya.

"Bagi saya masa. Biar saya fikir." Putus Erin. Rayyan melepaskan keluhan kasar.

"You pergi la naik berehat. Sorry for today."

"It's okay. Thank you hantarkan saya balik. Awak drive elok-elok. Assalamualaikum."

"Waalaikumsalam."

Erin terus keluar dari perut kereta itu. Langkah kakinya dibawa masuk ke kawasan asrama itu. Cepat-cepat Erin berlari naik ke atas. Dia pasti sekejap lagi mesti bertalu-talu soalan yang akan diajukan oleh Alicia kepadanya.

->

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience