BAB 16

Romance Completed 119020

Awal pagi itu, seperti biasa Erin akan ke dapur untuk menyediakan sarapan kepada Rayyan. Pakaian Rayyan sudah dia siapkan dari semalam sebelum menjalankan misinya. Mengingatkan misi itu, pipi Erin terasa berbahang. Bibir hangat Rayyan di bibirnya semalam masih terasa.

Siap menghidang, Erin duduk menongkat dagu di atas meja makan. Matanya merenung kosong ke depan. Tiba-tiba fikirannya terfikir sesuatu. Sesuatu tentang Rayyan. Dia tertanya-tanya adakah Rayyan ada masalah? Dia cukup terkejut pagi tadi apabila melihat Rayyan tidur di balkoni bilik.

"Ehem!" Bunyi seseorang berdehem itu membuatkan Erin terkejut.

Entah bila Rayyan turun pun dia tidak sedar. Terlalu fokus mengelamun. Ah dia bukan mengelamun tetapi dia terfikirkan tentang Rayyan. Dia tahu pasti ada sesuatu terbeban di fikiran lelaki itu. Kalau tidak, mana mungkin Rayyan boleh tidur di balkoni biliknya.

"Awak jemput duduk. Saya dah siap hidangkan." Kata Erin lembut. Senyuman manis dia ukirkan untuk Rayyan.

"Seperti yang saya minta?" Tanya Rayyan.

"Yup! Seperti yang awak minta." Jawab Erin.

Rayyan terus melabuhkan duduk di atas kerusi berdepan dengan Erin. Erin pantas menyenduk bihun goreng ke dalam pinggan di depan Rayyan. Entah apa angin lelaki itu, tiba-tiba saja memintanya masakkan bihun goreng untuk sarapan.

"Awak nak kopi?" Tanya Erin pula.

"Boleh juga." Jawab Rayyan.

"Kejap saya buatkan."

Erin terus bergerak untuk membuat air kopi. Biasanya dia sudah bancuh tetapi disebabkan dia mengelamun tadi, dia terlupa. Rayyan pula memerhatikan pergerakan Erin. Dia tertanya-tanya mana Erin mendapatkan baju yang melekat di tubuh Erin ketika itu.

Pagi itu, Erin mengenakan mini dress berwarna hijau lembut. Dress itu kelihatan sangat sesuai dengan tubuh Erin apatah lagi dia mempunyai kulit yang putih melepak. Setiap lengkuk di tubuh itu jelas kelihatan.

Erin mengawal setiap gerak gerinya agar tidak kelihatan kekok walaupun dia berasa pergerakannya terbatas dek pandangan Rayyan. Erin dapat rasakan setiap gerak gerinya diperhatikan. Setelah siap, Erin terus menghidangkan air kopi itu kepada Rayyan.

"Jemput makan awak. Harap-harap bihun ni kena dengan citarasa awak." Kata Erin lembut.

"Awak tak makan sekali?" Tanya Rayyan apabila melihat hanya satu pinggan bihun untuknya sahaja yang Erin hidangkan.

"Awak makan dulu. Saya makan lepas awak ke pejabat nanti." Jawab Erin.

"Saya nak awak duduk dan makan dengan saya sekarang!" Kata Rayyan berupa satu arahan. Suaranya sengaja ditegaskan.

"Tapi saya belum lapar." Tolak Erin.

"Awak menjawab?" Rayyan merenung tajam ke wajah Erin.

"Mana ada! Yelah-yelah saya makan sekali." Erin mencebik bibir.Dia menyendukkan bihun goreng ke dalam pinggan di depannya. Punggungnya dilabuhkan duduk berdepan dengan Rayyan.

Rayyan terus membaca doa makan. Setelah mengaminkan doa, mereka berdua terus bersarapan bersama seperti biasa. Sesekali Erin mencuri pandang wajah Rayyan. Wajah dingin tetapi penuh kelembutan.

"Nanti tengah hari awak balik lunch rumah?" Tanya Erin.

"Maybe no. Saya ada temujanji lunch dengan client." Jawab Rayyan.

Erin mengangguk perlahan lalu kembali menyambung makan. Seperti biasa, Erin akan mencuri pandang wajah Rayyan yang tenang bersarapan. Hatinya berasa tenang apabila dapat melihat wajah itu. Erin tidak tahu kenapa tetapi dia seolah ketagih untuk menatap wajah Rayyan.

Sudah menjadi rutin hariannya, selesai bersarapan, Erin akan mengiringi Rayyan yang akan ke pejabat sehingga ke garaj kereta. Erin tunduk menyalami tangan Rayyan. Erin memejamkan matanya sebaik sahaja bibir Rayyan hinggap di dahi.

Seketika Erin berasa sedih, kalau la kucupan yang setiap pagi diberi padanya penuh dengan rasa cinta dan kasih sayamg bukan hanya sekadar tanggungjawab semata-mata, pasti dia berasa lebih bahagiam Erin menarik nafas dalam mengawal gelodak di hati.

"Saya pergi dulu. Terima kasih atas bihun tu. Sedap!" Kata Rayyan. Erin mengukir senyuman tipis. Bukan pagi itu sahaja, malah setiap pagi dia menerima pujian dari Rayyan.

"Hati-hati bawa kereta." Balas Erin.

"Kalau awak bosan duduk rumah, keluar la jalan-jalan. Atau awak ajak Alicia datang sini untuk temankan awak."

"Ok."

"Assalamualaikum." Ucap Rayyan.

"Waalaikumsalam." Jawab Erin.

Rayyan terus meloloskan diri ke dalam kereta. Keretanya mula bergerak keluar dari pagar rumah. Erin melambaikan tangannya seraya berdoa dalam hati agar Rayyan selamat sampai di pejabat dan selamat pulang seperti biasa.

"Kenapa aku selalu mengharapkan layanan dia kepada aku penuh rasa cinta dan bukan tanggungjawab? Atau aku betul-betul mula cintakan dia?" Erim bermonolog sendiri.

Sejak kebelakangan ini, dia selalu mengharapkan layanan Rayyan terhadapnya lebih dari tanggungjawab. Setiap mengingatkan Rayyan melayannya kerana tanggungjawab dan bukannya cinta atau kasih sayang, hatinya terasa sedikit pedih. Apakah itu cinta? Dia mencintai Rayyan?

*
* *
* *

Tengah hari itu Erin memilih untuk mengajak Alicia makan di luar. Awal-awal lagi dia sudah menanyakan Alicia jika sahabatnya itu ada masa lapang. Setelah bersiap, Erin bergegas turun ke bawah. Dia melihat kunci kereta yang tergantung di tepi pintu. Matanya terbeliak.

"Kereta mana yang patut aku naik?" Tanya Erin kepada diri sendiri. Di situ ada empat jenis kunci kereta, bermakna ada empat buah kereta di bawah garaj sana.

Satu persatu kunci kereta itu dilihatnya. Semuanya kereta mahal-mahal. Erin pening sendiri. Akhirnya dia memilih untuk bawa kereta BMW. Kereta itu jer nampak sesuai dan dia juga sudah terbiasa bawa kereta BMW milik papanya.

Sampai sahaja si Suria KLCC, Erin terus memakirkan kereta. Dari dalam dalam kereta dia sudah nampak kelibat Alicia yang sudah menantinya. Bibirnya merekah dengan senyuman. Setelah mematikan enjin kereta, dia terus melangkah keluar dan mendapatkan Alicia.

"Wah bukan main kau ye? Bawa BMW. Aku ni bawa Myvi jer." Kata Alicia sebaik Erin berdiri di depannya.

"Bersyukurlah. Sekurang-kurangnya ada juga Myvi. Aku ni apa pun tak ada." Balas Erin. Lengan sahabatnya itu terus dirakul.

"Apa pula tak ada? Tu punya mahal kau bawa. Warna merah pula tu. Menyerlah gitu." Alicia tertawa kecil di hujung ayatnya.

"Mahal tak mahal bukan hak aku. Kereta pinjam jer tu ok? Pinjam!" Sengaja Erin menekan kata 'pinjam' itu. Betullah apa dia kata kan? Kereta itu hak milik Rayyan.

"Heh! Kau dengan Rayyan tu suami isteri. Mana ada istilah kata pinjam tu antara kau orang berdua. Harta-harta Rayyan nanti tetap akan jadi milik kau juga." Alicia mencubit lembut lengan Erin. Geram dia dengan sikap Erin yang satu itu.

"Ishh dah la. Hangus aku kalau lama-lama berada di tengah panas ni." Kata Erin. Tangan Alicia ditarik supaya mengikut langkahnya.

"Amboi kau, bukan main ye sekarang? Hangus konon." Sindir Alicia. Erin pantas menjeling tajam kepada Alicia.

"Ok ok. Aku gurau jer!" Alicia tersengih seperti kerang busuk apabila mendapat jelingan maut itu.

Insaf sebelum dia di insafkan. Jelingan itu jelingan amaran. Kalau sekali lagi lagi dia bersuara, boleh arwah dia di depan mall itu.

"Cepatlah. Kita makan dulu ye? Aku dah lapar ni." Gesa Erin.

"Ye ye. Tapi kau belanja ok?"

"Apa-apa je la."

Erin pantas menarik lengan Alicia masuk ke dalam mall itu. Mereka berdua berpusing melihat restoran yang ada. Akhirnya Erin memilih untuk makan di sebuah restoran tidak jauh di depannya. Alicia hanya mengikut sahaja langkah Erin.

Masuk sahaja di dalam restoran itu, Erin terpegun. Restoran itu penuh dengan pelanggan. Maklumlah sudah masuk waktu makan tengah hari, jadi ramai yang datang. Erin dan Alicia sama-sama memanjangkan leher mencari meja kosong. Sebaik sahaja nampak, mereka berdua terus menuju ke meja itu.

Erin dan Alicia sama-sama melepaskan nafas lega apabila dapat duduk. Seorang pelayan terus ke meja mereka untuk mengambil pesanan. Erin hanya memilih menu spaghetti carbonara dan jus tembikai. Alicia pula hanya memilih minum air sahaja. Dia sudah pun makan sebelum keluar tadi.

"So macam mana dengan plan aku? Jadi tak?" Tanya Alicia sebaik sahaja pelayan itu beredar setelah mengambil pesanan mereka.

"Entah." Jawab Erin acuh tak acuh.

"Kau jangan cakap yang kau tak jalankan misi tu semalam." Alicia memicingkan matanya memandang Erin. Erin hanya menjungkit bahu dan tersenyum.

"Cerita la. Aku nak tahu juga. Kau dan Rayyan dah ehem-ehem ke?" Tanya Alicia tanpa rasa malu. Lengan Erin dicuit-cuitnya.

"Eeee apa kau ni? Otak biru betul!" Erin terus mencubit tangan Alicia geram. Buat malu saja!

"Dah aku tanya kau tak nak jawab." Alicia menggosok lembut tangannya yang terasa pedih akibat cubitan Erin.

"Aku buat tapi entah. Tak jalan." Jawab Erin.

Macam mana nak jalan kalau semuanya berakhir dengan dia pura-pura tidur? Tetapi satu yang tidak dapat dan tidak akan dia lupakan. Bibir hangat Rayyan.

"Tak apa. Baru cubaan pertama. Kau masih ada banyak masa lagi. Cuba malam ini pula." Kata Alicia. Erin mengangguk bersetuju.

Pesanan mereka berdua akhirnya sampai. Erin terus menyedut jus tembikainya melegakan tekak yang dari tadi terasa haus. Akhirnya mereka berdua diam dan Erin sibuk menikmati spaghetti carbonara. Matanya meliar melihat gelagat pelanggan lain yang turut menjamu selera.

HAPPY READING<33

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience