BAB 24

Romance Completed 119020

Erin memandang belakang Rayyan yang sedang tidur membelakangi dirinya. Dia masih tidak mengantuk tetapi dia juga takut untuk mengajak Rayyan berbual. Akhirnya keluhan berat terlepas dari bibir Erin. Dengan berhati-hati Erin tidur terlentang. Matanya memandang siling yang terlihat samar-samar dalam gelap.

Setelah puas memandang siling, Erin kembali berbaring menghadap belakang Rayyan. Nafas dalam ditarik lalu dihembus perlahan. Dia ingin mengajak Rayyan berbual. Dia tahu Rayyan hanya berpura-pura tidur untuk mengelak dari terus berbual dengannya.

"Awak..." Panggil Erin perlahan. Belakang Rayyan dicuit-cuit dengan hujung jarinya.

"Awak dah tidur ke?" Tanya Erin apabila tiada sahutan dari Rayyan.

"Awak nak apa Erin?" Tanya Rayyan semula dengan suara sedikit dingin.

"Saya tak boleh tidur." Jawab Erin sedih.

"Jadi? Itu masalah awak, bukan masalah saya. Jangan ganggu saya nak tidur!" Keras Rayyan bersuara membuatkan Erin mengalah.

"Maaf..."

Erin terus tidur membelakangi Rayyan. Terasa? Dia sudah terbiasa dengan sikap dingin Rayyan itu. Setelah lima minit berlalu, Erin akhirnya memilih untuk bangun. Dia tidak boleh tidur. Dia perlu lakukan sesuatu aktiviti sehingga dia akan berasa mengantuk.

Dengan pergerakan hati-hati, Erin mula melangkah keluar meninggalkan bilik itu. Seluruh ruang rumah sudah gelap kerana Rayyan mewajibkan untuk menutup semua lampu apabila mahu tidur. Dengan langkah yang berhati-hati, Erin melangkah menuruni anak tangga dengan hati-hati.

Apabila sampai di bawah, Erin terus melencong ke pintu belakang untuk menuju ke kolam. Dia mahu duduk di situ sendirian mengambil angin malam. Dalam keadaan gelap yang hanya diterangi cahaya lampu di atas pagar, Erin duduk di birai kolam. Kakinya dicelup masuk ke dalam air kolam. Erin tersenyum merasai kesejukan air kolam. Menenangkan.

Erin mendongak memandang langit. Dia melihat hanya ada beberapa bintang sahaja yang terlihat di dada langit. Itu kerana langit yang masih kelihatan cerah walaupun jam sudah menunjukkan pukul 12 malam. Pembangunan yang pesat membuatkan berlakunya pencemaran cahaya dan akhirnya langit tidak mampu gelap sepenuhnya.

'Ok kalau macam tu kita kahwin. Tapi you jangan menyesal suatu hari nanti.'

'Saya tak akan menyesal dengan apa yang saya katakan!'

Kata-kata suatu ketika dulu tiba-tiba bermain di fikiran Erin. Erin tersenyum tipis. Menyesalkah dia? Erin tidak tahu tetapi tiba-tiba dia berasa penat dengan apa yang berlaku sekarang. Hubungannya dan Rayyan sudah hampir cecah tiga bulan tetapi masih tiada perubahan.

Satu bulan dia bertungkus lumus melakukan pelbagai cara untuk buat Rayyan jatuh cinta padanya tetapi hampeh Rayyan sedikit pun tidak terusik dengan setiap godaannya malah dia pula yang jatuh hati pada sikap Rayyan yang lemah lembut itu. Patutkah dia mengalah? Patutkah dia akhiri semua itu?

Erin pantas menggeleng. Tidak! Dia tidak akan mengalah. Kenapa mesti dia mengalah sedangkan dia sudah bertahan sejauh itu? Erin menarik nafas dalam lalu dihembus perlahan. Apabila berasa sedikit tenang, Erin mengukir senyuman.

"Kau kuat Erin. Kau pasti boleh lakukannya. Kau hanya perlu bersabar sedikit sahaja lagi dan kau pasti akan dapat kebahagiaan yang kau impikan!" Kata Erin kepada diri sendiri.

"Ehem!" Suara deheman seseorang itu mengejutkan Erin.

Erin pantas menoleh ke belakang. Dalam samar-samar cahaya, Erin dapat melihat satu sosok tubuh berdiri tidak jauh darinya. Erin menekup mulut. Adakah Rayyan dengar apa yang dia katakan sebentar tadi? Harap-harap tidak.

"Seronok duduk dalam gelap sorang-sorang tepi kolam ni?" Nada pertanyaan itu kedengaran sangat sinis di pendengaran Erin.

"Mestilah seronok. Tenang rasanya. Kenapa? Awak nak ikut sekali? Jom duduk sini." Balas Erin biasa. Dia menepuk lantai disebelahnya

"Awak tahu tak betapa bahayanya duduk sini sorang-sorang? Macam mana kalau awak jatuh dalam kolam? Tiada siapa yang akan sedar dan awak pasti akan mati! Awak memang tak sayang nyawakan?" Bebel Rayyan seraya melangkah mendekati Erin. Manakala terkumat-kamit mulut Erin meniru aksi Rayyan membebel.

"Kalau saya mati sekalipun bukan ada yang kisah." Jawab Erin. Rayyan menggeleng. Perlahan Rayyan melabuhkan duduk sebelah Erin.

"Awak buat apa kat sini?" Tanya Rayyan semula tetapi dengan nada lebih lembut.

"Saya tak ngantuk jadi saya turun la ambil angin kat sini." Jelas Erin.

"Dan awak. Kenapa awak tiba-tiba boleh muncul dekat sini? Bukan ke tadi awak cakap awak nak tidur?" Erin pula menyoal Rayyan.

"Saya tersedar awak tak ada kat sebelah jadi saya turun la cari. Bimbang juga kalau awak hilang, tak pasal-pasal mummy pancung kepala saya esok pagi." Erin ketawa kecil mendengar kata-kata Rayyan. Takut sangat!

Akhirnya suasana kembali sepi. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Sesekali Erin mencuri pandang wajah Rayyan di sebelahnya. Hatinya berasa tenang apabila duduk serapat itu dengan Rayyan. Dia gembira apabila Rayyan sudi menemaninya mengambil angin malam itu.

*
* *
* *

"Awak..." Panggil Erin memecah kesunyian antara dia dan Rayyan.

"Kenapa?" Tanya Rayyan.

"Tadi Alicia call saya, dia cakap bulan depan akan ada majlis konvokesyen. Boleh saya pergi?"

"Kenapa perlu minta izin? Kalau awak nak pergi, pergi ajelah."

"Sebab awakkan suami saya. Jadi wajiblah saya minta izin dari awak dulu."

"Saya tak kisah. Kita juga sudah sepakat bahawa saya tak akan ambil tahu hal awak dan awak tak boleh ambil tahu hal saya. Jadi awak bebas untuk bergerak tanpa perlu meminta izin daripada saya." Erin tersenyum kelat mendengar kata-kata Rayyan itu.

"Walaupun begitu, saya tetap akan minta izin awak ke mana sahaja saya ingin pergi. Saya tak nak jadi isteri derhaka."

"Terpulang pada awak."

"Awak tak nak ikut saya ke majlis itu nanti?" Erin memandang Rayyan dengan berharap Rayyan sudi menemaninya.

"Saya sibuk. Tak ada masa nak sertai awak. Cukup la awak pergi bersama Alicia." Erin mencebik kecewa dengan penolakan Rayyan.

"Dah lewat. Jom la masuk dalam. Esok kita perlu hantar mummy pulang." Ajak Rayyan seraya bangun berdiri.

"Tolong angkatan." Pinta Erin manja.

"Kenapa? Lama sangat rendamkan kaki dalam air sampai tak boleh berjalan?" Rayyan mengacip gigi geram.

"Ermm...kaki saya dah kejang." Balas Erin. Rayyan mendengus sebal. Dia terus tunduk lalu mengangkat tubuh kecil Erin.

"Ishh perlahan la sikit. Tak gentleman langsung!" Kutuk Erin apabila Rayyan mengangkat tubuhnya kasar.

"Mengada!"

Rayyan terus berjalan masuk ke dalam rumah sambil mendukung Erin. Erin tersenyum bahagia. Dapat juga dia membuli Rayyan. Bukan selalu dapat peluang! Sampai sahaja di bilik, Rayyan terus menghempaskan Erin ke atas katil sehingga Erin terjerit kerana terkejut.

"Apa ni?! Kalau saya jatuh tadi macam mana?" Marah Erin tidak puas hati.

"Awak bela saka ke Erin? Tubuh kecil tu jer tapi berat mengalahkan saya dukung gajah!" Rayyan menghembus nafas kasar.

"Saya berat atau awak yang lembik? Huh!" Erin terus membetulkan duduknya di atas katil itu. Selimut ditarik sehingga ke paras dada.

Aku berat? Macam mana aku tak berat kalau di rumah hidup aku hanya makan minum tidur? Rayyan turut membaringkan tubuhnya di sebelah Erin. Selimut ditarik sehingga ke paras dada. Rayyan berbaring menghadap Erin, setelah itu Erin turut berbalik menghadap Rayyan. Seketika mata mereka bertembung.

"Awak..."

"Hurmm...?"

"Boleh saya peluk awak? Tanya Erin. Dia menebalkan wajahnya.

Rayyan tidak membalas membuatkan Erin kecewa tetapi itu hanya sementara apabila Rayyan tiba-tiba mendepakan tangannya. Bibir Erin merekah dengan senyuman lebar. Dia terus bergerak merapat ke dada Rayyan. Tubuh Rayyan dipeluk kemas.

"Terima kasih sebab sudi teman saya ambil angin malam. Saya gembira sangat-sangat." Ucap Erin perlahan.

Erin memperkemaskan lagi pelukannya pada tubuh Rayyan. Zon yang sangat selesa bagi Erin sejak semalam. Tidur dalam keadaan dipeluk oleh Rayyan. Erin berharap hari esok tak akan tiba kerana mungkin itulah malam terakhir dia akan sekatil dengan Rayyan dan berasa pelukan hangat Rayyan.

Rayyan tidak membalas. Dia hanya membalas pelukan Erin lalu memejamkan matanya untuk tidur. Hatinya sedikit terusik dengan kata-kata Erin sebentar tadi. Hanya menemani ambil angin malam sahaja sudau cukup membuat Erin gembira. Bagaimana jika dia menyayangi gadis itu sebagai isteri sebenar?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience